بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Kisah penyatuan sebuah keluarga dari dua negara

Gerimis petang itu bagai memberi satu tanda pada Aisyah. Hatinya yang selalu tenang tiba-tiba sayu bila terkenangkan kampung halaman, Kampung Sungai Tenang. Tanah tumpah darah yang telah hampir lima puluh tahun dia tinggalkan. Tak tertanggung rasanya rindu itu. Ingin rasanya Aisyah pulang dan bertemu adik, saudara dan sahabat handai yang telah ditinggalkan sejak tahun 1948 lagi. Ketika itu, seawal usianya 10 tahun, Aisyah telah dibawa ibu saudaranya ke Tanah Melayu dan membina hidup baru di perantauan. Kekallah Aisyah selamanya disana dan menjadi warga yang setia di negeri itu. Di Tanah Melayu.

Petang itu, kunjungan seorang lelaki yang tidak dikenali benar-benar telah meruntun jiwanya. Lelaki bernama Makmur segera memparkenalkan diri sebagai anak sulong kepada Masliha, berasal dari Kampung Sungai Tenang, Bangkinang, Riau, Indonesia. Hujan rahmat petang itu benar-benar telah menemukannya dengan anak kepada adiknya sendiri.

Pertemuan itu memberi sinar baru kepada Aisyah dalam merealisasikan hasratnya menjenguk kampung halaman. Malah kedatangan Makmur sendiri semata-mata untuk menjejak Aisyah atas permintaan ibunya  yang  turut merindukan kandanya itu yang kini menetap di Tanjung Malim, Perak, Malaysia. Bagi Aisyah, inilah masanya untuk dia pulang kampung. Tanpa Makmur, niatnya sebelum ini bagaikan mimpi yang tak sudah. Dia buta pada peta. Tidak tahu dibelahan mana harus ditemukan Kampung Sungai Tenang itu.  

23 September 2006. Pagi ini bersama Makmur, Aisyah diterbangkan ke Pekan Baru, Riau. Satu pertemuan bersejarah bakal berlaku dalam hidupnya yang diatur bersama pihak media Malaysia. Kepulangan Aisyah bersama rombongan media Malaysia dibawa ke Kampung Sungai Tenang, Bangkinang, sejurus mereka sampai di Pekan Baru. Dengan linangan air mata, kedua beradik itu ditemukan dalam majlis ringkas penuh sejarah. Penyatuan sebuah keluarga dari dua negara, Malaysia-Indonesia.

Sesuai dengan Ramadhan yang bakal tiba, Aisyah dibawa ke tebing Sungai Kampar bagi menyaksikan upacara ‘Berlimau Kasai’, satu ritual tahunan yang diadakan sempena menyambut bulan puasa. Sekali lagi Aisyah terbayangkan zaman kanak-kanaknya ketika turut serta ‘Berlimau Kasai’ bersama penduduk kampung dahulu. Kini suasananya sudah berubah. Semakin banyak perahu berhias dihanyutkan ke sungai. Semakin ramai pengunjung yang datang. Semakin Meriah. Malah telah dijadikan upacara tahunan oleh pemerintah setempat. Kini rindu Aisyah telah terubat.

Catatan ini adalah satu kisah yang saya petik dari siri dokumentari popular Malaysia yang diterbit oleh/dan disiarkan TV3. Pertemuan bersejarah ini didokumentasikan dengan indah berlatarkan budaya masyarakat kampung di Bangkinang, Riau beberapa minggu yang lalu. Saat menontonnya, saya berkata sendiri; Mengapa dua rumpun yang satu ini perlu dipisahkan? Saya berkata lagi, kalaulah hari ini kita masih di dalam zaman kegemilangan Melaka atau setidak-tidaknya dibawah kekuasaan Empayar Johor-Riau, mungkin ia yang lebih baik untuk kita, untuk bangsa Melayu seNusantara.

5 ulasan:

  1. Karena politik dan penjajahanlah kita berpisah

    BalasPadam
  2. dan kerana itu, biarpun dalam rumpun yang sama, muncullah segelintir manusia yang mengaku dirinya hebat, maju, berpendidikan dan menganggap pihak lain kolot, tertinggal dan mundur. Manakala segelintir lagi memandang pihak lain dengan rasa curiga dan penuh rasa benci. Inilah dia satu daripada kesan penjajahan.

    BalasPadam
  3. ...tetapi jauh dimata, dekat dihati.....hehehe....

    BalasPadam
  4. bolehkah saya minta tengok videonya? Saya orang Bangkinang juga, nak tengok macam mana dokumentasi TV3 tu. Tabik.

    BalasPadam