Rating: | ★★★★ |
Category: | Books |
Genre: | Other |
Author: | Radzi Sapiee |
Di Aceh, dia temui apa yang diinginkan selama ini. Dia merasa itulah kampung halamannya yang sejati. Dari situ, dia mula mengenal asal-usul diri dan identiti.
'Berkenalan' dengan Aceh menarik minat pemuda itu untuk membongkar sejarah ketamadunan alam Melayu-Islam sebenar yang tidak pernah ditulis secara rasmi dalam catatan sejarah Semenanjung dan Sumatera. Terbongkarlah kisah hubungan kerajaan-kerajaan lama seperti Perlak, Samudera Pasai, Melaka, Johor, Petani dan lain-lain kesultanan yang wujud antara dua kawasan yang dipisahkan oleh selat Melaka.
Pemuda itu pasti, wujud kaitan diantaranya tapi sengaja digelapkan oleh penjajah Belanda dan Inggeris lalu penjajah itu memecah-belahkan dunia Melayu-Islam sehingga menjadi Indonesia dan Malaysia. Lalu kesatuan Bangsa Melayu yang bertunjangkan semangat persaudaraan Islam yang terjalin satu masa dahulu digantikan semangat assobiyah kenegerian sehingga menyaksikan Bangsa Melayu berpecah-belah.
Hasilnya, sejarah perjuangan dan hubungan kesultanan-kesultanan di Sumatera jarang disebut di Malaysia apalagi diterbitkan secara rasmi dalam buku-buku sejarah semata-mata kerana wilayah itu berada dalam penguasaan Indonesia. Pertalian kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung juga hampir lenyap dalam catatan sejarah rasmi Indonesia kerana Semenanjung berada dalam wilayah Malaysia.
Pemuda itu percaya, semuanya perlu dirungkai supaya terisilah segala kelopongan yang ketika ini wujud dalam sejarah sebenar Nusantara. Kerana sejarah 'rasmi' Nusantara ketika ini ditulis oleh Orientalis Barat mengikut kacamata dan kepentingan mereka sehingga mereka mendakwa merekalah manusia pertama yang membuka Pulau Pinang dan Singapura.
Kata saya:
Buku ini (dan mungkin penulisnya) sealiran dengan jiwa saya. Ia sesuai dibaca oleh mereka-mereka yang sejiwa dan mereka-meraka yang sayang kepada hubungan persaudaraan rumpun Melayu yang ketika ini diperjuangkan satu-satu secara keakuan. Kalau Cina idamkan kewujudan 'satu Cina', kenapa tidak kita?