Berakhir sudah kisah tuntutan bertindah selama 28 tahun ke atas Pulau Batu Putih. Isu ini merupakan salah satu dari sekian banyak Isu tertangguh yang menjadi duri dalam daging dalam hubungan Malaysia dan Singapura. Ramai pihak mengharap keputusan yang telah disampaikan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan tuntutan bertindih ini akan merungkai sedikit perselisihan faham antara kedua negara. Malangnya saya tidak beranggapan begitu.
ICJ pada petang 23 Mei yang lalu telah menolak pandangan Singapura bahawa pulau itu adalah terra nullius (tidak bermilik). Penolakan itu sekaligus memenangkan hujah Malaysia yang menyebut, atas alasan sejarah, pulau itu adalah sebahagian dari Kesultanan Johor. Secara kasar, Malaysia telah menang berhujah 1-0.
Malangnya ICJ memberi kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura atas alasan Malaysia pernah menyerahkan hak kedaulatan pulau tersebut sebagaimana surat yang dikeluarkan pegawai setiausaha kerajaan Johor pada 1953. Surat itu mengesahkan bahawa Johor tidak akan menuntut kembali pulau itu dari Singapura. Malaysia juga sebelum tahun 1979 telah memgeluarkan enam buah peta yang melabelkan Pulau Batu Putih sebagai Horsburgh Singapore atau Singapura. Kedua-dua bahan bukti ini dijaja Singapura bagi menyanggah hujah Malaysia. Malaysia juga menurut ICJ tidak pernah menjalankan sebarang aktiviti yang menunjukkan kekuasaannya ke atas pulau itu sebaik ia diserahkan kepada British untuk pembinaan rumah api Horsburgh dulu. Akhirnya kesemua faktor ini berjaya menyakinkan 12 dari 16 hakim yang bersidang bahawa Pulau Batu Putih sah milik republik kecil itu.
Bagaimanapun ICJ, sebulat suara (15 hakim berbanding 1) menyatakan Batuan Tengah (Middle Rock) yang merupakan struktur batu yang lebih kecil yang berada 0.9km ke selatan Pulau Batu Putih masih menjadi milik Malaysia. ICJ mendakwa, Batuan Tengah tidak pernah terlibat dalam perjanjian antara Johor-Singapura-British satu masa dahulu, jadi statusnya kekal kepada pemilik asal. Manakala Tubir Selatan (South Ladge), struktur batuan yang paling kecil sejauh 4km ke selatan Pulau Batu Putih akan dimiliki oleh negara yang menguasai perairan di kawasan tersebut.
Saya memetik ulasan RTM ketika ia menayangkan keputusan pertikaian itu secara langsung petang Jumaat lalu: Menurut RTM, kedaulatan Tubir Selatan mungkin akan diselesaikan secara rundingan antara Malaysia dan Singaura dan mungkin akan melibatkan Indonesia memandangkan struktur batu terkecil itu mempunyai jarak yang lebih dekat dengan Pulau Bintan berbanding jarak dari daratan Johor dan Singapura. Barangkali Indonesia mungkin tanpa diminta akan turut serta dalam pertikaian ini (memang Indonesia sikapnya begitu). Bagaimanapun pada pandangan saya, atas alasan sejarah, Tubir Selatan tanpa perlu diragu memang milik Kesultanan Johor kerana seluruh Kepulauan Riau itu sendiri pernah menjadi jajahan takluk Johor sebelum dirampas Belanda – kini Indonesia.
Berbalik kepada keputusan ICJ, saya berpendapat keputusan itu sebenarnya tidak menyelesaikan masalah hubungan Malaysia - Singapura. Sebaliknya ia hanya merungkai siapakah pemilik bentuk-bentuk maritim di kawasan itu sahaja. Pada saya, pertikaian akan terus wujud ekoran keputusan ICJ yang saya sifatkan aneh. Mengekalkan kedaulatan Batuan Tengah yang berada di selatan kepada Malaysia dan menyerahkan kedaulatan Pulau Batu Putih yang berada di utara kepada Singapura hanya akan menjadikan keadaan bertambah kacau.
Selain jarak keduanya yang terlalu dekat, keputusan itu juga menjadikan sempadan perairan Malaysia - Singapura menjadi bersilang. Pada saya, jika ICJ mahu melaksanakan keputusan menang-menang, secara logik, Malaysia yang berada di utara seharusnya mendapatkan hak pulau yang berada di sebelah utara dan Singapura yang di selatan seharusnya mendapat hak struktur maritim yang berada di selatan. Atau mungkin lebih baik kalau kesemua struktur itu diserahkan saja kepada sebuah negara dan negara lain yang terlepas kedaulatan harus akur dengan apa yang diputuskan. Entahlah.
Akibat dari keputusan itu, kini sesiapa pun di Malaysia yang ingin melawat sebahagian struktur maritim milik Malaysia di sebelah selatan harus melalui perairan milik Singapura di sekitar Pulau Batu Putih yang kini secara sah menjadi hak mereka. Adakah ia sesuatu yang mudah?
Tak tahulah, ini hanya pandangan peribadi saya.