بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Pengalaman Diseludup ke Lombok - Nurul Wahida

Dari Berita Harian
Kisah ikut kekasih dan kemudian berkahwin di Lombok, Indonesia wajar dijadikan teladan kepada gadis elak terpedaya

KISAH gadis lari mengikut kekasih adalah cerita cinta klasik yang berlaku sepanjang zaman. Namun, sejak awal tahun ini masyarakat dikejutkan dengan tren gadis sunti yang dilarikan atau melarikan diri dengan lelaki seberang. Bermula dengan Maslina Maulat, rupa-rupanya ada lagi gadis senasib dengannya seperti Che Siti Nor Azreen dan Nurul Wahida Hamzah yang diseludup ke Lombok, Indonesia.

Dilarikan atau melarikan diri bukan lagi menjadi persoalan penting kerana jawapan sebenar terlalu kabur dan hanya empunya diri menyimpan rahsia sebenar. Secara logiknya, mereka yang berusia antara 13 hingga 17 tahun ini masih terlalu mentah atau ‘lurus bendul’ untuk memikirkan kesan tindakan yang diambil sehinggalah mereka akhirnya tersedar kesilapan yang dibuat.
Ada juga mengaitkan kes ini dengan ilmu mistik dan beranggapan gadis muda ini dipukau yang menyebabkan mereka tidak dapat berfikir secara waras dan hanya mengikut telunjuk orang lain. Namun sejauh mana kebenarannya, tidak dapat dipastikan.

Menyelongkar cerita sebenar, Citra menemui Nurul di rumah kakaknya, Saadiah di Klang baru-baru ini, bagi berkongsi pengalamannya tatkala dibawa keluar ke negara seberang oleh teman lelaki yang hanya baru beberapa bulan dikenalinya itu. Namun bukan mudah bagi Nurul yang kini mencecah usia 20 tahun untuk berkongsi segala rahsia dirinya.

Sepatah ditanya, hanya senyuman atau gelengan kepala saja diterima. Mulutnya terkunci rapat, seakan cuba menyembunyikan liku kehidupan yang pernah dilaluinya.

Menurut Saadiah, memang begitulah sifat Nurul sebelum tiba-tiba menghilang tiga tahun lalu. Gadis ini memang tidak banyak bercakap dan hanya mengisi masa luang di rumah dengan bermain bersama dua anak Saadiah. Perjalanan ke sekolah yang dikelilingi semak dan hutan menjadi punca Nurul tidak melanjutkan persekolahan sebaik tamat tahun enam. Sesekali Nurul keluar ke Teluk Intan untuk membeli makanan dan tanpa disedari gadis manis berusia 17 tahun itu menjadi perhatian pekerja ladang, Yusuf Supardi yang berasal dari Lombok, Indonesia.

“Yusuf menegur lalu meminta nombor telefon dan saya terus berikan,” kata Nurul. Dia hanya tersenyum apabila ditanya adakah ia cinta pandang pertamanya. Apapun, kasih antara mereka terus berkembang walaupun sekadar telefon menjadi penghubung. Selalunya Yusuf akan menghubunginya pada sebelah malam dan mereka berbual berjam-jam lamanya sehingga dimarahi ibunya.

Ternyata perbualan melalui telefon saja belum cukup melepas rindu. Keduanya berpakat untuk berjumpa di tempat kali pertama mereka bertentang mata dulu. Sebelum keluar dari rumah, Nurul hanya meminta RM2 daripada ibunya untuk tambang ke Teluk Intan. Sehelai sepinggang tanpa kad pengenalan diri, tidak pernah terlintas pada fikirannya, ia adalah langkah ke dunia yang tidak pernah dibayangkannya selama ini. Tahu-tahu dirinya sudah berada di dalam bas bersama Yusuf menuju ke Klang.

Sambil menggelengkan kepala, Nurul menafikan dia dipukau atau terkena ilmu ketika itu sehingga sanggup meninggalkan keluarga dan mengikut Yusuf ke Lombok. Dalam keadaan teragak-agak, Nurul mengaku rancangan melarikan diri itu dibuatnya bersama Yusuf.

“Mana ada kena ilmu?” katanya perlahan sambil menggelengkan kepala. Dari Klang, mereka membeli tiket bas untuk menyambung perjalanan ke Johor.

“Yusuf tidak memberi tahu ke mana arah tujuan kami. Saya hanya mengikutnya saja. Seharian kami di dalam bas, akhirnya sampai ke jeti tepi laut. Saya tidak tahu apa nama tempat itu. Kemudian kami menaiki kapal kecil selepas Yusuf membayar tambang sebanyak RM1,000 untuk kami berdua. Kapal itu menuju ke Lombok iaitu kampung Yusuf. Saya tidak tahu di mana letaknya Lombok, tetapi saya rasa seronok kerana dapat bersamanya.

“Di dalam kapal itu saya dapati ada 20 lagi gadis Melayu yang diletakkan di bahagian atas kapal. Semuanya hampir sebaya saya dan ada yang lebih muda. Ada tiga gadis lagi yang datang dari Teluk Intan. Mereka semua melarikan diri dari rumah kerana mengikut kekasih masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, kapal berkenaan berlayar selama seminggu di lautan sebelum sampai ke Mataram. Suasana di dalam kapal agak selesa dan tidak banyak halangan. Sesekali kapal kecil itu dilambung ombak ganas. Semua gadis diletakkan di bahagian atas, manakala lelaki di bahagian bawah. Sepanjang masa mereka habiskan dengan makan dan tidur sehingga tiba ke destinasi dituju. Di Mataram, mereka menukar kapal lain dan belayar lagi selama dua jam.

“Sebaik tiba di Lombok, suasananya mengejutkan saya. Kehidupan di sana amat mundur. Teluk Intan jauh lebih baik suasananya berbanding di situ. Saya tidak mengalami masalah masuk ke Lombok. Seingat saya, ketika kami tiba, tidak ada pegawai polis atau imigresen yang memeriksa kami. Jadi, mudah saja kami masuk walaupun tidak mempunyai pasport atau dokumen lain.

“Dari situ, kami menaiki teksi motor selama dua minit untuk ke Desa Gelanggang. Yusuf membawa saya terus ke rumah ibu bapanya. Mereka kelihatan agak terkejut dengan kehadiran saya. Bagaimanapun, saya tidak tinggal di situ sebaliknya di bawa ke rumah kakaknya.

“Selain saya, ada dua gadis yang bersama saya di atas kapal dibawa ke kampung sama oleh kekasih masing-masing. Rupa-rupanya lelaki yang berjaya membawa pulang gadis dari Malaysia dianggap ‘wira’ di Lombok. Mereka seolah-olah berlumba-lumba menunjukkan kehandalan dengan cara itu,” katanya.

Sebaik berada di desa berkenaan, Nurul bertukar nama kepada Puteri Sofia Zakaria. Beliau bukan lagi gadis dari Teluk Intan yang pendiam, tetapi menjadi gadis Lombok yang pertuturannya turut mengikut loghat Indonesia. Cara berpakaian juga berubah dari berbaju kurung kepada kebaya dan berkain batik. Beliau juga hilang selera makan dan hanya makan roti kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara masakan mereka.

Menggunakan nama dan dokumen palsu yang dibuat oleh Yusuf, seminggu kemudian mereka dinikahkan dalam satu adat perkahwinan Lombok secara sederhana.

“Ibu bapa Yusuf mahu kami bernikah. Ketika akad nikah, saya berwalikan seorang lelaki yang mengaku sebagai bapa saya iaitu Zakaria. Semuanya diuruskan Yusuf dan kedua ibu bapanya. Saya tidak tahu apa-apa dan hanya gembira kerana bakal bergelar isteri Yusuf,” katanya.

Selepas berkahwin, Yusuf dan Nurul bekerja di ladang menanam tembakau. Subuh jam enam pagi, Nurul terpaksa bergegas ke ladang untuk menanam anak pokok tembakau sehingga sembilan pagi semata-mata untuk mendapatkan gaji RM5 sebulan. Namun, ternyata gadis yang tidak biasa dengan kerja kasar ini hanya mampu bertahan sehingga sebulan saja. Terik matahari dengan keadaan kerja yang terbongkok-bongkok memaksa Nurul berhenti kerja.

Lima bulan berkahwin, mereka dikurniakan dengan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Intan. Saat melahirkan, Nurul tiba-tiba teringatkan ibu di kampung. Kesakitan ketika bersalin seakan menyedarkan Nurul dosa yang dilakukan terhadap ibunya.

“Selepas bersalin terasa ingin sangat nak balik ke kampung, tetapi mana ada duit. Hidup kami juga bertambah sukar dihimpit kemiskinan apabila ladang tembakau tempat Yusuf dan kebanyakan penduduk di situ mencari rezeki ditutup. Tiga bulan lamanya Yusuf tidak bekerja. Kami tidak mampu untuk membeli susu untuk Intan. Yusuf berhijrah semula ke Malaysia dan bekerja di ladang sawit di Kuantan, Pahang,” katanya.

Pada saat dirinya diselubungi kesedihan, Nurul menerima panggilan yang tidak disangkanya. Suara ibunya dicorong telefon membuatkan Nurul meraung. Ketika itu mahu saja beliau terbang ke tanah air dan mendakap erat ibunya untuk memohon keampunan. Apakan daya, wang menjadi halangan utama. Nurul tidak berdaya menyediakan kos untuk tambang ke Malaysia.

“Kali kedua bila mak telefon, saya rasa seronok. Mak minta saya balik, tetapi saya terpaksa memberitahunya keadaan sebenar. Intan sakit dan perlukan susu sedangkan saya tidak mampu menyediakannya. Desakan hidup membuatkan saya tebalkan muka meminta bantuan ibu. Dia berjanji untuk menghantar susu dan pakaian bayi.

“Bagaimanapun, hayat Intan tidak lama apabila akhirnya menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas. Saya tidak sempat membawanya ke hospital kerana terlalu jauh dan mengambil masa lebih sejam. Ibu mentua saya pula bimbang Intan tidak sempat di bawa ke hospital dan meninggal di atas motor. Katanya lebih baik jika Intan meninggal di rumah saja. Memang pedih menyaksikan anak sakit dan akhirnya meninggal dunia perlahan-lahan,” katanya.

Keperitan hidup akhirnya berjaya memujuk Nurul kembali ke tanah air. Kepulangannya dibantu Migrant Care dan badan bukan kerajaan (NGO), Kijang Care yang prihatin atas nasib malang menimpa Nurul. Hasil kerjasama menjejakinya di Lombok, Nurul akhirnya berjaya dibawa pulang ke Malaysia 7 Mei lalu.

Nurul kini berazam membina hidup baru. Kalau boleh beliau mahu melupakan segala-galanya dan menganggap ia sebagai mimpi ngeri yang pernah singgah dalam tidurnya.

“Biarlah segala-galanya berlalu. Saya kesal kerana tidak berfikir panjang sebelum membuat keputusan yang merugikan itu. Harapan saya janganlah ada gadis lain yang mudah cair dengan pujuk rayu kekasih sehingga sanggup membelakangkan keluarga terutama ibu bapa. Perkahwinan tanpa restu mereka pasti tidak menjamin kebahagiaan,” katanya.

7 ulasan:

  1. Ooooo...gitu. Besok kamu jadi diekspor ya ke Papua...di Taman Nasional Wasur, banyak Kangguru tanah, yang didaerah lain x ada kecuali Australia

    BalasPadam
  2. Tak patut mempersalahkan salah satu pihak, ini da keputusan masing2 mereka berdua...bila x elok da resiko yang ditanggung kerana ini da pilihan hidup mereka...menyesal di kemudian x guna

    BalasPadam
  3. Karim. Ini hanya kisah tauladan agar perkara serupa tidak berlaku lagi. Ianya tidak melibatkan perasaan kesukuan, apalagi nasonalisme.

    Apa yang harus ditauladani?
    1. Kawalan keselamatan kedua negara. Harus dipertingkatkan - kisah ini mungkin satu kisah romantis. Bagaimana kalau kejadian serupa terjadi melibatkan samsing (gangster)?

    2. Ikatan keluarga - Harus diperbaiki. Lihatlah bagaimana seorang anak lebih mementingkan kekasihnya berbanding keluarga sendiri. Akhirnya terpaksa menempuh hidup derita di lingkungan budaya asing. Dan cuba bayangkan perasaan seorang Ibu yang kehilangan anak secara tiba-tiba. tanpa berita selama tujuh tahun.

    3. Pentingnya pembangunan ekonomi menyeluruh - agar tidak ada lagi daerah terpinggir hingga masyarakatnya terpaksa menggadai nyawa, merantau jauh bagi mencari sesuap nasi.

    4. Pentingnya pelajaran - Lihatlah pelaku wanita dalam kisah ini yang kurang berpendidikan hingga dia mudah diperdaya - sanggup merantau jauh tanpa membawa wang dan sebarang penganalan diri. Dia hanya bernasib baik kerana suaminya seorang yang jujur.

    Mungkin Karim harus baca keseluruhan kisah ini agar mengetahui isinya dengan lebih jelas.

    BalasPadam
  4. Banyak kanggaru? kalau gitu aku akan datang sendiri ke sana tanpa perlu dieksport....

    BalasPadam
  5. Saya faham...agar kejadian serupa tak terulang lagi di masa hadapan...tapi pendapat pribadi saya saja...sama saya mencontohkan kes kawan pejabat saya, dulu dia memutuskan keluar/berhenti bekerja dan merantau ke Amerika, saya dulu sempat berfikir kenapa berhenti, bukankah mencari kerja itu tak mudah, apalagi di goverment...tapi seiring berjalannya waktu, saya mulai memahami itulah pilihan hidup, tak boleh judge dia itu berbuat bodoh dengan jalan pilihan hidupnya, begitu juga kes Nurul Wahida ini...mungkin kita boleh cakap bodoh dia nih nak bekorban untuk lelaki tetapi sengsara di kemudian hari...tapi saya kurang sependapat saja...itulah pilihan hidup dia, kalau tak elok da konsekwensi yang harus dia tanggung sendiri...tak patut mempersalahkan orang lain...mungkin yang di kesali dia masih di bawah umur (masih muda belia) hingga tak berfikir panjang...

    BalasPadam
  6. apapun cerita tentang malaysia yang paling aku suka adalah upin dan ipin udah gitu ajah.

    o iya buat NURUL WAHIDA semoga mendapatkan kehidupan yang lebih baik, bahagia dunia dan ahkirat :)

    BalasPadam