Alhamdullillah, saya berjaya menuntut ilmu hingga ke universiti dan mendapat segulung ijazah dengan gred yang agak baik. Terima kasih kepada guru-guru di sekolah yang tidak jemu mengajar hingga saya peroleh kejayaan seperti ini. Tanpa guru-guru, saya tidak mungkin mendapat keputusan yang cemerlang di sekolah terutama untuk subjek yang melibatkan sains dan matematik.
Zaman pembelajaran saya dari peringkat tadika hingga ke universiti semuanya saya terima dalam bahasa Melayu. Termasuklah dalam subjek sains dan matematik yang sekarang ini diajarkan dalam bahasa Inggeris. Tidak tahulah apa akan jadi kepada saya, adik-beradik dan saudara mara yang lain jika kami dipaksa belajar dalam bahasa Inggeris sejak kami belum mengenal huruf lagi. Kalau itu berlaku, barangkali sekarang ini saya masih di kampung meneruskan pekerjaan tradisi keluarga dengan menoreh getah, lalu menerima pendapatan tidak seberapa dan tidak menentu setiap masa. Atau mungkin sedang meniti saat-saat getir meneruskan kepayahan hidup sambil belajar menternak itik untuk dijual di pasar-pasar tani.
Syukurlah saya kini berjaya mendapat perkerjaan yang agak baik di sebuah syarikat pemaju perumahan di Kuala Lumpur dan diberi kepercayaan mengendalikan beberapa perisian garfik berkomputer selain dalam masa sama terlibat dalam urusan pemasaran. Bukan riak, sayalah antara staf kepercayaan (biarpun terkadang rasa seperti kuda) untuk dibebankan dengan tugas yang mengguna bermacam-macam perisian yang semuanya saya belajar dalam bahasa Melayu walaupun command languagenya tersedia dalam bahasa Inggeris. Bukan juga riak, kemahiran saya selalunya melebihi ramai staf–staf lain yang berpendidikan barat. Termasuklah melebihi kemahiran mereka-mereka yang lebih gemar speaking London sehari-hari.
Kerana alasan-alasan ini, saya tidak nampak di mana logiknya PPSMI. Pandangan saya, PPSMI hanya membunuh kreativiti anak-anak kampung pedalaman yang kurang terdedah dengan bermacam-macam teknologi komunikasi hari ini. Bukankah seluruh manusia di muka bumi punya impian dan menyimpan harapan tidak kira di mana mereka berada? Jangan lupa, di balik hutan-hutan pedalaman negara ada manusia yang sama-sama miliki keinginan untuk berjaya. Bukan hanya anak-anak datuk, datin, tan sri dan encik-encik tak sedar diri yang tinggal di bandar-bandar itu.
Bahasa apakah yang anda gunakan ketika berfikir, ketika marah atau ketika bercakap pada diri anda sendiri? Saya berfikir dalam bahasa Melayu sewaktu kali pertama belajar melukis pokok. Hingga kini saya masih berfikir dalam bahasa Melayu ketika menghasilkan animasi 3D pokok. Tidak pula timbul masalah.
Adakah kerana bahan-bahan rujukan yang berlambak di Malaysia banyak tersedia dalam bahasa Inggeris, maka kita perlu belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Bukankah kita punya pakar untuk terjemahkan semua bahan-bahan itu? Lagi pula, ilmu itu sendiri tidak seluruhnya datang dalam bahasa Inggeris semata-mata. Jepun dan Rusia sendiri mampu memajukan teknologi mereka dalam bahasa mereka.
Atau adakah kerana sebahagian kecil dari rakyat Malaysia yang sering terlibat dengan urusan antarabangsa maka keseluruhan rakyat Malaysia harus belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris? Sedarlah, tidak sedikit tokoh-tokoh di dunia ini yang tidak mampu berbahasa Inggeris tapi masih mampu menjadi pemimpin negara yang disegani.
Saya tidak nampak apa perlunya PPSMI ini diteruskan.