بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Ada Apa Pada Sebatang Rokok

Klik pada gambar untuk hasil yang lebih jelas

 

 

Bukan niat mempengaruhi, saya tujukan info bergambar ini untuk kebaikan kita bersama. Terutama buat diri saya sendiri – seorang manusia yang memilih menjauhi segala jenis asap – makanan para jin.

 

Buat para perokok, saya hormat pilihan anda untuk terus merokok.

 

Sebenarnya saya baru saja bertengkar dengan salah seorang penyewa saya atas kesalahannya merokok. Kesalahan yang tak dapat diampunkan mengikut undang-undang yang saya gubal berkuatkuasa selama-lamanya di rumah saya sendiri. Memang sudah aturan bahawa siapapun yang mahu tinggal menyewa bilik di rumah saya harus mengikut tetapan, iaitu: saya tidak merokok dan saya berhak memilih hanya yang tidak merokok.

 

Malang sekali, saya kurang berhati-hati ketika memilih seorang penyewa baru. Dan dia gagal bersembunyi ketika saya mendadak pulang ke rumah. Akhirnya kami bertengkar dan saya jatuhkan hukumam paling kejam 24jam tanpa notis. Nasiblah, saya sudah syaratkan dan dia gagal patuhi.

 

Khas untuk dia dan teman-teman lain yang masih merokok, mari kita lihat apa yang anda dapat pada sebatang rokok.

 

Satu sedutan asap rokok membekalkan anda dengan:

-         Polonium-201 (bahan radioaktif)

-         Acetone (bahan membuat cat)

-         Ammonia (pencuci lantai)

-         Naphthalene (ubat gegat)

-         Diedrin (racun serangga : nyamuk, lipas, semut)

-         Arsenik (racun anai-anai)

-         Hidrogen Cyanide (gas beracun yang digunakan di bilik hukuman maut)

-         Tar (bahan pengikat batu-batu untuk pembinaan jalan)

-         Nikotin (sejenis dadah – penyebab gian – punca serangan jantung dan strok)

-         Karbon Monoksida (gas beracun yang biasa keluar melalui ekzos kenderaan)

-         Formalin (bahan pengawet mayat)

-         Benzene (bahan pelarut industri dari minyak mentah)

-         Cadmium (sel bateri)

-         Nikel (logam berat)

-         Kobalt (logam berat)

-         Plumbum (logam berat)

-         Hidrazin (bahan api pesawat)

-         Asetilin (bahan kimia toksik)

-         Asid Asetik (cuka)

-         Butane (bahan api untuk pemetik api)

-         Hexamine (cecair pemetik api)

-         Asid Stearik (pengilat lilin)  

 

Pilihlah untuk menjaga diri sendiri atau pilihlah untuk membunuh diri anda sendiri. Pilihan di tangan anda.

 

    

Melancong lagi...

Start:     Apr 9, '10
End:     Apr 12, '10
Location:     Ho Chi Minh
Satu lagi lokasi baru sesudah tiga negara lain di Asia Tenggara.
Masih menghitung hari...

Perkhemahan




Tarikh: 5 - 7 Mac 2010

Lokasi: Teluk Batik, Lumut, Perak

Objektif: Pererat silaturahim sesama rakan

Sebagai satu tanggungungjawab menjaga hubungan sesama rakan dari pelbagai peringkat umur, kami telah memilih lakukan aktiviti berkemah selama 3 hari di Teluk Batik di lokasi yang agak jauh dari kemudahan dan terasing dari jangkauan pengunjung. Alhamdulillah, segala yang direncana berjalan dengan baik biarpun terpaksa menempuh sedikit rintangan yang mencabar kesabaran.

Saksikan sedikit gelagat kami Abang Long, Acik, Angah, Uda dan Usu

Antara Dunia Fantasi Ancol dan Kota Keriangan Genting

 

Sudah terlalu sering, satu demi satu kenalan saya dari negara seberang, dalam rangka kunjungan mereka ke Malaysia sangat teruja mengunjungi Kota Keriangan. Jangan salah, mereka bukan datang kerana terpikat pada apa yang ada di kota itu, sebaliknya mereka sekadar ingin tahu. Tentunya untuk tujuan membandingkan dengan sesuatu yang serupa yang telah mereka sajikan di negara mereka. Seingat saya, sudah lebih 6 kali saya temani rakan-rakan dari negara seberang yang ingin naik ke puncak yang tinggi itu. Masing-masing dengan niat mahu melihat. Sekadar ingin melihat.

 

Kebetulan dalam rangka kunjungan saya ke ibu kota negara mereka beberapa bulan yang lalu, saya sempat diajak melihat sesuatu yang serupa yang ada di sana. Tentunya saya di bawa ke Dunia Fantasi, tandingan Kota Keriangan versi mereka. Artikel ini  saya tulis hanya sekadar mahu mengulas perbezaan kedua taman tema ini. Maaf, saya tidak akan menilai mana di antara dua taman tema ini yang lebih hebat kerana pada saya, kedua-duanya punya keistimewaan tersendiri. Mari lihat dapatan saya hasil dari pengamatan yang singkat.

 

Dunia Fantasi atau mereka singkatkan menjadi Dufan menurut saya lebih luas dan permainan dalaman dan luarannya juga lebih banyak. Sayang sedikit, taman tema ini sangat panas memandangkan lokasi keberadaannya di pinggir pantai.  Haba panas menjadi lebih tak terkendali bila ia dikunjungi ramai manusia. Pun begitu, sesuai dengan lokasinya di pinggir pantai, pengelola taman ini bijak memanfaatkan air yang hadir secara alami menjadi salah satu elemen penting yang menghidupkan Dufan. Dan hasil dari saiznya yang luas itu, banyak hal yang dapat anda lihat di sini. Saya sifatkan Dufan sebagai dunia yang kaya permainan, baik permainan dalaman mahupun luaran di darat dan di air.

 

Beza dengan Kota Keriangan milik Malaysia yang lebih akrab disebut Genting, menurut saya ia sedikit lebih kecil. Permainan dalaman dan luaran yang ditawarkan di Genting juga jauh kurang. Lebihnya, taman ini dibangun di puncak pergunungan yang jauh dari jangkauan manusia. Hal ini membuat Genting terlihat lebih eksklusif dan mewah. Sesuai dengan lokasinya, Genting menyajikan suasana yang lebih segar hasil kedinginan tiupan angin yang asli.

 

Aktiviti utama yang disajikan kedua taman ini pada dasarnya sama - permainan. Masing-masing menyediakan hal-hal fantasi yang mendatangkan keriangan. Pada saya kedua-dua taman ini saling melengkapi. Apa yang tidak ada di Genting, ada di Dufan. Begitulah sebaliknya. Masing-masing miliki kombinasi antara permainan yang ekstrem dan permainan yang sekadar mendodoi minda. Cuma sekali lagi, Dufan lebih kaya permainan dan Genting punya kasino.

 

Dufan, sesuai dengan lokasinya di dalam wilayah ibu kota, punya akses yang mudah dan senang dicapai oleh siapapun.  Faktor kedekatan ini mungkin menjadi daya penarik buat Dufan.  Lain dengan Genting, terletak di luar Kuala Lumpur tapi punya jarak yang relatif dekat tetap memberikan kelebihan yang sama. Ditambah dengan kemudahan pengangkutan termasuk penyediaan kereta kabel curam lagi panjang menambah bonus buat Genting.  Biarpun situasinya beza, masing-masing miliki kemudahan akses yang baik menurut saya.

 

Pun begitu, biarpun kedua-duanya merupakan pusat pelancongan yang popular, Dufan saya lihat masih di dominasi pelancong lokal alias wajah-wajah Indonesia. Hal ini sangat kontra dengan Genting yang penuh dengan warga-warga asing baik yang berkulit putih, kuning mahupun yang hitam lagi gelap sampai ada saatnya jumlah mereka mengatasi pelancong tempatan. Hasil carian di Yahoo! juga mampu menerjemahkan hal ini.  

 

Pada saya, Dufan dan Genting sama istimewa. Yang beza mungkin promosi.