بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





SEJARAH KEBERADAAN MELAYU SEMENANJUNG DI BERBAGAI WILAYAH INDONESIA

Pengetahuan terhad terhadap sejarah keberadaan MalaysiaIndonesia banyak mengundang masalah hubungan dua negara berjiran ini. Tentunya kita sedar banyak tuduhan-tuduhan tidak berasas tentang pencurian budaya, kemiripan seni dan banyak lagi masalah lain yang dibangkitkan dan bakal dibangkitkan lagi satu masa nanti oleh mereka yang buta tentangnya. Mujur telah ada usaha dilakukan bertujuan menegak kekusutan ini demi membendung kejadian salah sangka sesama jiran.

 

Baru-baru ini telah berlangsung persidangan Memori Kolektif Indonesia – Malaysia dengan tema Pengalaman dan Iktibar Hubungan Indonesia – Malaysia di Johor Bahru pada 1 hingga 3 Oktober lalu. Para hadirin terdiri daripada ahli Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dan Masyarakat Sejarawan Indonesia (MSI).

 

Satu perkara menarik yang dibentangkan MSI adalah tentang pengaruh orang Melayu Semenanjung ke atas segenap pelosok Nusantara yang sekarang sebahagian besarnya bergabung dalam Negara Kesatuan Republik Indonesia.  Satu pendedahan menarik yang tidak pernah disedari selama ini. Lebih-lebih lagi oleh generasi muda Indonesia. Dan yang lebih menarik, hal ini disentuh oleh wakil Indonesia sendiri.

 

Dedahan MSI ini berkisar tentang sejarah yang berlaku selepas kejatuhan Melaka tahun 1511 ke tangan Portugis. Menurut MSI, selepas pusat perdagangan terkemuka itu menjadi titik pertama di Nusantara yang jatuh ke tangan penjajah, ramai penduduknya meninggalkan Melaka menuju daerah-daerah lain. Ini termasuklah oleh Sultan dan pembesarnya yang mengasas kerajaan baru di Johor dan Bintan (Johor – Riau),  pedagang Melaka yang pindah ke Tuban dan Grisek (Jawa), Gowa (Makassar) dan ke Kupang (NTT) dan ada juga yang mencari penghidupan baru di Aceh dan Pantai Barat Sumatera (Sumatera), Banten (Jawa) dan Ambon (Maluku).

 

Tambah MSI, pedagang yang merantau ini mengidentifikasikan diri sebagai Orang Melaka di daerah-daerah baru itu. Malah mereka mendapat layanan yang baik di Makassar hingga diberi gelar Kapitan Melayu. Hingga ke hari ini masih ada organisasi sosial di sana yang menamakan komuniti mereka sebagai Kerukunan Keluarga Melayu Indonesia Keturunan Melaka.

 

Di Nusa Tenggara Timur, para pedagang Melaka yang dikenal sebagai Sunan Mutin Melaka berhasil mendirikan kerajaan Wesei Wehali hingga menjadi sebuah kerajaan kuat di sana. Malah di Belu Utara juga didirikan kerajaan Lamaknen dan Jenilu.

 

‘Orang Melaka’ turut membawa bersama mereka artifak seperti tanah, meriam, kelawang, gading, perhiasan dan gong yang semua ini akhirnya dijadikan pusaka kerajaan yang dianggap suci dan dipakai sewaktu pertabalan raja-raja di sana, hal yang sama berlaku seperti pertabalan raja-raja di Semenanjung Tanah Melayu.  

 

Selain daripada pengaruh Melayu Melaka di berbagai wilayah Indonesia, terdapat juga peranan Melayu Johor di Sambas (Kalimantan) dan Buton (Sulawesi). Pertabalan Kesultanan Sambas pada abad ke-15 mendapat perkenan Kesultanan Johor, manakala di Buton, seperti dinyatakan dalam Hikayat Selanjogo, seorang putera raja Johor telah menubuhkan kerajaan Buton pada abad ke-14.

 

Maklumat tambahan dari MSI juga tak kurang menariknya, menurut seorang wakil mereka,  Inyo Yos Fernandes, orang Melayu dari Semenanjung dan Sumatera telah pindah ke timur Indonesia lebih awal sebelum zaman Srivijaya. Mereka inilah yang menyebarkan bahasa Melayu hingga ke Flores, Maluku dan Timor. Sejak zaman itu lagi bahasa Melayu telah menjadi bahasa maritim dan lingua franca di kawasan berkenaan. Sampai hari ini, boleh dilihat varian bahasa Melayu di timur Indonesia seperti Melayu Kupang, Melayu Lamholot, Melayu Alor dan sebagainya.

 

Sepanjang penguasaan penjajah Eropah di Kepulauan Melayu, ramai pendatang Melayu Semenanjung terpaksa beralih kerjaya dari peniaga kepada petani ekoran monopoli perdagangan yang dilakukan penjajah tersebut. Ada yang pindah jauh ke tengah daratan dan beranak pinak di sana.

 

Melihat pendedahan ini, dapat dipastikan bahawa hingga kini unsur Melayu dan kemelayuan tetap terpelihara di seluruh Nusantara biarpun di sesetengah kawasan hanya tinggal bahasa, lebih-lebih lagi di wilayah timur Indonesia. Di kawasan timur, Memori Kolektif IndonesiaMalaysia tak terasakan lantaran kukuhnya agama bukan islam di kawasan tersebut - satu hal yang asing bila berbicara soal hubungan serumpun dua negara ini. Iaitu tentang kesamaan bahasa, agama dan budaya.

 

Kesan kehadiran Melayu Semenanjung di berbagai tempat di Indonesia adalah salah satu ciri penting pada erti keserumpunan. Sama pentingnya seperti erti keserumpunan Jawa – Melayu, Bugis – Melayu atau Banjar – Melayu di Malaysia. Sayangnya rasa keserumpunan pada masa ini hanya tinggal sisa dan barangkali menjadi mitos dan nostalgia saja satu hari nanti. Hal ini demikian kerana adanya anutan konsep negara-bangsa lebih-lebih lagi selepas masing-masing negara dijajah kuasa asing yang berlainan. Di tambah dengan rasa kenegaraan melampau, semangat keserumpunan itu barangkali hanya terhad sekadar tinggal di lokasi yang sama saja, tidak lebih dari itu. Jika tidak diluruskan hal-hal sepenting ini, tidak akan ada siapapun yang tahu bahawa, sebahagian raja-raja di Semenajung keturunan Bugis, Kesultanan Buton di asas oleh kerabat diraja Johor. Perdagangan di Gowa dimeriahkan pedagang Melayu keturunan Melaka dan separuh warga Johor dan Selangor keturunan Jawa.

 

Ini adalah ulasan saya berhubung satu artikel yang tersiar dalam Utusan Malaysia, 11 Oktober 2010 berjudul Memori Kolektif sejarah Malaysia – Indonesia berhubung pendedahan Masyarakat Sejarawan Indonesia (MSI) di Johor Bahru. Di harap tulisan saya mampu  membuka mata rakan-rakan dari negara jiran kerana saya yakin pendedahan menarik dari MSI itu tidak akan pernah disiarkan di media negaranya sendiri.

5 ulasan:

  1. Trima kasih diatas maklumat yg sangat bermakna ..

    BalasPadam
  2. dulu saya heran kenapa bukan bahasa jawa yang menjadi bahasa nasional indonesia, mengingat penutur bhs jawa paling banyak (sekitar 150 juta orang dari 230 juta penduduk indonesia), penyebabnya ternyata bahasa melayu yg jadi cikal bakal bahasa indonesia lebih tersebar di kota2 dagang nusantara dari pulau sumatera, kalimantan sampai sulawesi sehingga bahasa indonesia penggunanya lebih luas. ini membuat bahasa indonesia lebih dipilih sebagai pemersatu indonesia yang terdiri dari ratusan suku yang berbeda, dibandingkan bahasa jawa yang relatif lebih terlokalisir penggunaannya di pulau jawa. trims untuk tambahan pengetahuannya

    BalasPadam
  3. Semua karena tak faham sebelumnya...moga dgn maklumat ini boleh memperbaiki kekusutan selama ini...

    BalasPadam