بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





12.05pagi, 5 November 2010. Pantai Dalam awal hari ini digegarkan dengan beberapa siri letupan separa kuat disusuli deretan letusan kecil bagaikan tembakan senapang. Bertali-arus. Semuanya berlaku selama setengah jam. Kedengaran bayi-bayi menangis ketakutan sambil para ibu menjerit melarang anak-anak kecil mereka mendekat. Dari jauh terlihat percikan api menjulang ke langit lalu pecah dan berbunga di udara. Asap tebal lantas menyelubungi, disusuli bau belerang yang menusuk. Ratusan penduduk yang kehairanan mula bergegas melihat apa yang berlaku. Ada yang turun tak cukup tangga menuju ke bawah, tak kurang yang terjengok-jengok menerusi jendela sambil muka tercengang-cengang kerana menyangka genderang perang sudah dipalu. Malah ada yang berdoa: "Ya Allah selamatkanlah kami". Tiba-tiba terdengar tepuk gemuruh dan sorak-sorai satu pihak lain seolah-olah telah menang melawan musuh. Dan mereka menjerit kegembiraan sana-sini sambil bersalaman sesama sendiri lalu mengucapkan salam "Deepavali Valtikal".

2 ulasan: