بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Kawthaung; Myanmar yang serba Thailand

Kawthaung, bandar sempadan paling selatan di Myanmar
Perahu yang menyeberang Sungai Kra pada pagi itu hanya diisi tiga penumpang. Barangkali saya antara penumpang bertuah kerana dilayan seperti VIP. Ramai lagi calon penumpang yang mahu ke seberang sebelah sana, tapi cuma saya, rakan dan seorang penumpang wanita warga Kemboja saja yang diangkut. Yang lain dibiar menunggu perahu belakang yang masih belum siap. Mujurlah laluan membelah muara sungai ini tak selebar mana. Tebing seberang sana ialah Kawthaung, lokasi kembara saya di bandar paling selatan negara Myanmar. Negara yang ketika ini masih diperintah oleh junta tentera.


Kenapa saya pilih Kawthaung? Tentu ramai yang hairan kenapa dari sekian banyak lokasi mewah di seluruh Asia Tenggara, bandar kecil ini yang saya pilih. Ada apa di sana?, Tunggu.

Kawthaung dapat di akses melalui jalan air dari Ranong, Thailand. Bagi penduduk di sini, akses ke lokasi lain dalam negaranya sendiri jauh lebih sulit. Tidak ada jaringan jalanraya yang dapat hubungkan Kawthaung ke bandar-bandar di utara. Sekaligus memberi kesan pergantungan yang sangat ketara terhadap Thailand. Hal ini terbukti dengan lambakan barang-barang keluaran negara itu, dari makanan terproses, mainan kanak-kanak, perkakas rumah, hingga ke bahan-bahan binaan. Malah, warga Kawtraung sendiri berulang-alik tiap hari untuk berkerja di Ranong. Kesan sosial lain, rata-rata warga Kawthaung fasih bertutur berbahasa Thai. Suatu hal kontra yang tak kita temui di Thailand. Belum satu pun warga Thailand di Ranong ini yang saya temui boleh berbahasa bamar, bahasa rasmi Myanmar.

Ini hanya sebahagian alasan kenapa saya pilih lawat Kawthaung. Sebenarnya ada hal lain yang lebih penting dari itu.

Kawthaung ialah saksi bisu betapa luasnya sebaran wilayah Melayu yang pernah wujud. Nama Kawthaung sendiri diambil dari nama Melayu yang bermaksud 'Pulau Dua'. Tapi nama yang lekat dipakai ialah dari bahasa Thai, 'Koh Song' yang juga bermaksud Pulau Dua sebelum terpeleset jadi Kawthaung. Dalam pentadbiran Myanmar, Kawthaung diletak dibawah kuasa pemerintah Negeri Taninthary (baca: Taninsari). Bunyinya juga seperti Melayu bukan?. Bukan sekadar nama Kawthaung, nama negerinya juga diambil dari jajahan yang dulunya bernama Tanahseri.

Lalu apa lagi kesannya? Sebagai sebuah bekas jajahan Melayu, Kawthaung masih menyimpan khazanah berharga, khazanah itu ialah Bangsa Melayu itu sendiri. Malah orang Melayu Kawthaung masih mampu berbahasa Melayu dialek Kedah/Perlis dengan baik, lebih fasih dari jiran Melayunya di Ranong yang sudah perlahan-lahan mengaku bangsa Thai. Sebagai satu-satunya akses paling sempurna, saya mulakan kembara saya ke bandar terpencil ini melalui Ranong, dalam perjalanan ke selatan dari Bangkok.

pelancong Eropah ini hanya mahu perbarui visa mereka
Imbas kembali - Bangkok 27 Disember 2015. Bas yang saya naiki dari ibukota Thailand ini menuju Ranong berlepas jam 8.30 malam. Perjalanan menempuh jarak sejauh 470km. Hampir sama jauh jaraknya dai Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Masa perjalanan kira-kira 10 jam. Lebih ramai pelancong Eropah dalam bas ekspress ini. Mungkin mereka juga mahu ke seberang sempadan. Dari catatan yang pernah saya baca, pelancong luar yang mahu tinggal lama di Thailand, suka keluar ke sempadan terdekat untuk perbarui visa. Mungkin itulah yang ingin mereka lakukan. Sepenjang perjalanan ini saya begitu mudah lelapkan mata. Nyenyak hingga pagi. Tak sedar apa ada di kiri kanan laluan kerana sebaik terjaga saya dah begitu hampir ke destinasi. Mungkin kerana kenyamanan layanan bas ekspres ini yang sedikit saja kurang dari Air Asia. Sebaik bas berlepas ada penerangan tentang tatacara keluar masuk saat kecemasan, ruang simpan bagasi, jarak perjalanan dan jauh jarak tempuh yang tak ada bezanya seperti penerangan pramugari. Hanya yang kurang, penerangan itu disampaikan krew lelaki yang sudah semestinya tak membuat tidak begitu terarik. Cuma sedikit lebih baik, bas ekspres ini turut hulurkan sehelai selimut dan sedikit hidangan selamat datang. Pendek kata, penumpang benar-benar dimanjakan. Saya tak pasti apakah semua perjalanan jarak jauh dengan bas ekspres seluruh Thailand seperti ini.

Azan subuh berkumandang sebaik kami tiba di Ranong. Sebaik terjaga, di depan tempat duduk semua penumpang, sudah tersedia sebuku roti. Penumpang yang bangun tidur serta merta dihidangkan secawan kopi oleh krew tadi. Satu lagi kejutan lima bintang dari syarikat bas ini. Mungkin boleh kita tiru untuk diaplikasikan di Malaysia.

Sampai terminal Ranong, terdengar sangat kecuh teriakan memanggil penumpang yang baru sampai agar lanjut perjalanan guna kenderaan mereka. Berpusu-pusulah penumpang dari bas turun mengejar ikut suara yang berteriakkan berbagai nama destinasi. Ada teriakan "Myanmar, Myanmar, pier, pier" keluar dari salah peneriak itu. Saya bersama seorang rakan yang ikut kembara ini terpancing dengan suara itu. Kami dibawa ke sebuah bas mini. Beberapa pelancong Eropah yang lain turut mengejar suara yang sama. Kemudian semuanya yakin naik kenderaan itu tanpa sangsi.

Cuma yang keliru, kami berdua tak dibenarkan turun walau sudah sampai di pelabuhan, Semua penumpang wajah Eropah yang juga mahu ke Myanmar sudah dibebaskan. "No Worry", kata pemandu bas mini itu. "Untuk kalian, saya ada jalan lain yang lebih mudah kalau nak ke Myanmar" Jelas pemandu bas mini yang gemuk pendek itu. "tapi bukan di pelabuhan ini". Tambah pemandu itu dalam bahasa Inggerisnya yang patah-patah. 

Kini tinggal kami berdua saja dalam kenderaan dia. Entah rancangan jahat apa yang hendak diatur si pemandu yang banyak mulut ini. Mungkin pelancong berwajah Melayu memang menaikkan nafsu untuk ditipu. Bayangan berita-berita warga Malaysia diculik dan kemudiannya dipaksa mengemis tiba-tiba begitu menakutkan. Tentu itu bukan penghujung yang indah buat kami. Mujurlah perbualan si gemuk pendek yang begitu mesra itu menghilangkan debar. Lucky namanya. Cara dia perkenalkan diri beri kami keyakinan. Kami malah diajak minum di sebuah warung berdekatan bersama selingan ceritanya yang menghiburkan. Semua ceritanya tentang perempuan, pelacur, alam kelamin dan segala sesuatu yang terkait dengan seks. Menurut dia, kalau kami tinggal lama di Ranong, dia boleh bawa kami jalan-jalan ke 'kebun kupu-kupu' yang cantik. Malah sempat juga dia beri tips kalau ingin "pump-up" dengan kupu-kupu yang jinak itu. Begitulah istilah dia sambil tunjuk isyarat tangan bagi menerjemahkan pelakuan intim lelaki dan perempuan. Pertama kali saya dengar istilah itu.

Salah satu kaunter Imigresen di Ranong
Jam 8.00pagi, Lucky hantar kami ke sebuah pelabuhan yang lebih kecil. Ada pejabat Imigresen yang dijaga seorang pegawai. Suasananya sudah mulai sibuk dengan bilangan tenaga kerja Myanmar yang berebut-rebut 'balik kampung'. Sebaik passport dicop, kami dibawa dengan segera ke sebuah perahu. Sangat ringkas, tak seperti pemeriksaan imigersen yang biasa, segala kesenangan ini diuruskan Lucky. Baru kami sedar, pelabuhan ini biasanya melayan urusan keluar masuk warga Thailand dan Myanmar saja. Kami hanya bayar 100 Baht (RM10) untuk tambang perjalanan ini. tidak termasuk upah 10 Dollar kepada Lucky.

Ada penumpang wanita warga Kemboja yang ikut perahu kami. Dia hanya dia tanpa bersuara apa-apa. Dia tak tahu berbahasa Inggeris walau sepatah pun. Kami hanya teka saja apa tujuan dia ke Myanmar berdasarkan isyarat tangan. Dan dia hanya iyakan apa saja terjemahan kami. "Anda kerja di Myanmar?" "iya" angguknya. "Anda masih bujang?", Iya juga, jawabnya. "Anda sudah punya anak?" Iya lagi katanya. "Anda seorang pelacur di Kawthaung?" tetap iya, katanya. Pendek kata, apa saja yang kami tanyakan, dia akan angguk. Kesian dia, hanya jadi bahan tawa kami berdua. Namun dia tetap ramah membantu. Sanggup jadi jurupandu buat kami yang baru pertama kali datang ke negara junta ini.

tanpa disangka kami akan lakukan perjalanan ini
berlepas meninggalkan Ranong
Panduan untuk sesiapa yang ingin lakukan kembara serupa seperti kami, pastikan anda buat salinan fotokopi muka pertama passport anda terlebih dulu dan sediakan wang 10 Dollar untuk visa kedatangan. Diingatkan, hanya Myanmar satu-satunya negara ASEAN yang mengenakan visa buat warga Malaysia.

Kawthaung dilihat dari Ranong
Masuk wilayah Myanmar, perahu yang kami naiki berlabuh di sebuah pulau bernama Mwi Taw. Pulau ini menempatkan pos tentera Myanmar yang mengawasi perjalanan keluar-masuk di muara Sungai Kra. Pasport kami diserah untuk pemeriksaan tentera. Wajah kami turut diamati. Dan kami dilarang merakamkan gambar. Bila segalanya lancar, barulah kami dibenarkan berlabuh ke tanah besar.

Tiba di Kawthaung, perahu kami tak berlabuh di jeti. Terpaksalah kami bertiga panjat tebing yang dipasang pagar setinggi pinggang. Banyak tentera Myanmar memerhatikan. Tapi kami bebas. Begitulah longgarnya kawalan sempadan negara ini. Kalau kami berniat mahu jadi pendatang gelap ke Myanmar, tentu tak ada siapa yang akan tahu. Cuma sebaik melihat Kawthaung, mungkin kami harus fikir dua kali niat yang luar biasa ini. Hidup di Kawthaung seperti tinggal di zaman pra-merdeka. Siapa yang sanggup? penduduk Kawthaung sendiri saban hari memandang masa depan di seberang sungai sebelah sana.

Kami hanya diturunkan di sini.
Tunggu perahu untuk ke Ranong
Visa saat kedatangan ini berharga USD10
Atas keinginan yang kuat untuk lihat pasport kami bercop "MYANMAR" kami cari juga pejabat Imigresen. Mujur wanita Kemboja yang tadi bersama kami mahu membantu. Visa kedatangan pun diberi dan pasport kami disimpan hinggalah kami keluar dari Myanmar.

Aturan yang perlu dipatuhi juga dinyatakan di situ. Kami dilarang mengemudi sebarang kenderaan, kami tidak dibenar pergi sejauh 5km dari Kawthaung dan kami tidak dibenarkan tinggal lebih dari 5 hari. Begitulah aturan Myanmar untuk semua warga asing seluruh dunia kecuali warga Thailand yang diberi kelonggaran tinggal jauh lebih lama meski masih harus dengan visa.

Suasana bandar Kawthaung
Menjejakkan kaki ke Kawthaung terasanya seperti berada di negara asing yang sangat jauh. Padahal jaraknya tak sampai 5km dari sempadan Thailand. Kalau tadi wajah penduduk di Ranong mirip Melayu Kecinaan, penduduk Kawthaung pula berwajah Melayu Keindiaan. Kulit mereka lebih gelap dan raut wajah mirip penduduk Asia Selatan. Warganya rata-rata pakai sarong dan kunyah sirih sebagai pemanis mulut. Baik lelaki, baik perempuan. Jalan sekitar Kawthaung jadi merah hasil ludahan mereka.

Di bandar kecil ini tak banyak kenderaan lalu lalang. Tak sesak dan hampir tak terlihat kereta. Suasananya kelihatan kusam, warna bangunan tidak menarik. Catnya pudar. Lanskap juga nampak layu. Sangat kontra banding Ranong yang aktif dan hidup. Melihat kedaifan di beberapa negara Asia Tenggara, dari semua pengalaman perjalanan saya, sekilas terasa beruntung jadi warga Malaysia. Infra kita terlalu sempurna untuk ditandingi.

Inilah hotel penginapan kami
"Orang Malaysia ka? Orang Malaysia ka?" itu kejutan pertama yang kami terima. Tak pasti bagaimana mereka tahu kami orang Malaysia. Dan dari setiap soalan itu, mereka tanyakan semuanya dalam Bahasa Melayu. Setiap kali orang bertanya, seketika itu juga kami dikerumuni tukang-tukang sapu bermotor yang menawarkan jasa. Kami langgan dua darinya dan minta mereka bawakan kami ke mana-mana hotel pilihan. Kami pilih Hotel Garden.

Selera Myanmar sama seperti di Malaysia
Ketika hari masih pagi, kami ambil kesempatan untuk sarapan di sebuah warung tak jauh dari hotel itu. Dapat kejutan lagi di warung ini. Kami ditanyakan "mahu makan apa?" pun dalam bahasa Melayu, padahal mereka sesama sendiri bertutur dalam bahasa Myanmar. Tak terfikir bagaimana mereka tahu kami orang Melayu. Aneh memang. Tambah aneh lagi, menu makanan yang ada di sini sama pula seperti menu makanan di Malaysia. Ada roti canai, ada teh tarik, ada nasi beryani dan juga ada kari. Sekali lagi, sekelip mata kami dikerumuni. Ramai yang mengaku-ngaku "saya pernah kerja di Malaysia".

Masih ada jejak warisan Melayu dapat dilihat di sini. Saya sempat upah dua orang penunggang motorsikal untuk dibawa melawat ke tempat menarik. Kami ke sebuah pulau yang dapat dihubungi melalui jambatan batu kerikil. Dalam perjalanan ke sana, kami terserempak satu papantanda tapak kuburan Islam lama yang menggunakan huruf jawi.  Dan bila ditanyakan tentang nama pulau ini, mereka jawab pulau ini bernama Pulau Tuntung. Kata mereka, pada tahun 70an dulu, ramai penduduk Melayu Pulau Tuntung berpindah ke Malaysia bila ditawarkan kerakyatan. Sebahagian yang lain pindah ke Dua Batu, 20km ke utara.

Salah satu kesan tinggalan Bangsa Melayu
Tapi Pulau Tuntung kini sudah dihuni transmigran beretnik Burma beragama Buddha. "seluruh pulau-pulau yang ada di depan kita ini asalnya Tanah Melayu." Kata penunggang motorsikal yang kami upah tadi, sambil menunjukkan pulau-pulau yang bertaburan di depan kami. Dia sebutkan satu persatu nama pulau-pulau dalam Bahasa Melayu. "Ini Pulau Tuntung, di sana Pulau Ular (Mwi Taw), seberang sana Rundung (Ranong), di situ Pulau Papan, sebelah sini Pulau Rhu, tak jauh di seberang sana Kampung Tengah" Begitu katanya. Saya hanya dengar dengan penuh sayu dan hiba melihat Tanah Melayu kini jadi milik bangsa lain.

Bandar Kawthaung dapat saya katakan penghuninya terdiri dari 3 bangsa utama. Etnik India, Melayu dan transmigran Burma. Saya dengar (dan saya lihat), atas nama persamaan agama, keturunan India Muslim dan orang Melayu lokal sering berkahwin campur. Manakala Keturunan India bukan islam berkahwin dengan transmigran Burma. Perkahwinan ini telah hasilkan satu generasi Kawthaung yang baru. Wajah-wajah campuran separa gelap inilah yang saya temui di segenap pelosok bandar ini. Tapi ada juga kelompok kecil etnik Cina. Kini semua mereka sudah saling berinteraksi dalam satu bahasa yang sama – bahasa Burma. Tapi rata-rata penduduk boleh bertutur dalam dua bahasa yang lain, sama ada bahasa Burma + Thai atau Burma + Melayu.

Anak-anak etnik Burma ini fasih bahasa Melayu
Khusus penutur bahasa Burma + Melayu, penuturnya sudah tentu dari keturunan Melayu yang berdialek Kedah/Perlis dan lain-lain penganut Islam yang rata-rata pernah kerja di Malaysia. Terbiasa mendengar bahasa Melayu, ramai penduduk Myanmar dari etnik lain juga tertarik mempelajarinya. Saya sendiri temui ramai kanak-kanak etnik Burma yang faham dan mampu tuturkan beberapa kosakata. Saya juga belajar beberapa kalimat biasa bahasa Myanmar dari mereka. Ternyata proses Burmanisasi kepada penduduk bukan Bamar tidak sekejam proses Tainisasi di Thailand.

Biarpun Melayu Myanmar kini lebih selesa berbahasa Bamar, bahasa Melayu tidak dilupakan. Mereka menggunakan sepenuhnya kewujudan Malaysia untuk memperkukuh identiti keMelayuan. Sama seperti pengalaman saya melihat penduduk Cham di Vietnam dulu.

Penduduk Kawthaung banyak bercerita tentang ketidakpuasan hati merkea pada pemerintah junta. Ramai yang tak sabar menanti demokrasi terlaksana. Sekatan demi sekataan telah memaksa penduduk bergantung sepenuhnya kepada Ranong dan Thailand amnya. Ketika kedatangan saya ini, Kawthaung masih tidak dibekalkan liputan telefon selular. Penduduk menggunakan kad sim keluaran selular Thailand untuk berhubung sesama sendiri tanpa caj perayauan. Dari mereka, baru saya tahu operator selular mula diperkenalkan ke seluruh Myanmar mulai tahun 2007, kira-kira lapan tahun yang lalu. Dan liputannya masih terhad. Selain itu, sistem kad kredit juga baru saja diperkenalkan. Itupun baru tiba di Yangoon dan Mandalay. Kalau sesiapa ingin ke Kawthaung, pastikan anda bawa wang tunai yang cukup. Selain tidak terima kad kredit, mesin ATM juga tak tersedia.

Sayang sekali luas kembaraan kami dibataskan oleh pemerintah Myanmar. Kalau bukan kerana sekatan, kamu mahu jelajah Myanmar lebih jauh lagi. Tapi kerana batasan luas yang dikenakan, dan kemudahan pengangkutan yang begitu sulit, ia sangat menghalang untuk kami teroka negara yang eksotik ini. Duit kami pun semakin menipis tanpa dapat keluarkan wang tambahan. Tidak ada mesin ATM di mana-mana seluruh Kawthaung. Kad kredit pun tidak diterima di mana-mana, melihatnya pun mereka belum pernah. Nasihat saya kepada para pengembara yang rancang perjalanan serupa, pastikan anda rangkakan perjalanan dengan rapi sebelum ke sini. Baik fizikal dan material.

BANGKOK - Megah, Beraneka warna

bergambar kenangan di pinggir Menam Chao Praya
Saya mengembara lagi. Kali ini lebih lama, lebih banyak lokasi dan pastinya lebih mencabar. Semoga catatan ini mampu jadi rujukan kepada pengembara lain yang berhasrat lakukan perjalanan serupa. Mengembara ke enam lokasi di dua negara berbeza.  Bermula dari Bangkok, turun ke Ranong, masuk ke Kawthaung (Myanmar), turun lagi ke Suratthani, berhibur di Koh Samui, ke selatan lagi menuju Hadyai sebelum balik semula ke Malaysia. Semuanya dengan kenderaan awam di darat dan laut. Lebih banyak gambar di sini.

Bersama seorang rakan sepejabat, saya mulakan perjalanan sepanjang ini dari Kuala Lumpur pada 23 Disember yang lalu. Kenderaan pilihan kami adalah keretapi. Gagal dapatkan tiket ekspress yang disediakan Keretapi Tanah Melayu (KTM), kami tak putus harap. Ada tiket berhenti-henti disediakan State Railway of Thailand (SRT). Cuma sedikit masalah, trennya berlepas dari Butterworth. Kami terpaksa bergegas ke Butterworth secepat mungkin takut terlepas tren.

Ini Keretapi Nasional Thailand
SRT yang mula berlepas dari Butterworth hanya ada dua gerabak. Kelihatan kontot dan lucu. Sebaik melepasi sempadan Thailand/Malaysia di Padang Besar, gerabaknya ditambah lagi. Ketika berhenti di Hadyai, tempat duduk penumpang diubah jadi katil, dapatlah berehat dan melelapkan mata setelah sejak semalam berjaga. Memasuki Thailand, saya perhatikan di setiap hentian ada ramai penjaja jalanan yang masuk dan menjual pelbagai juadah dalam tren. Cuma belum nampak walau seorang pun penumpang muslim yang membelinya kerana status halal kurang terjamin. Jadi saya hanya beli sesikat pisang.

nyenyak....
Dalam satu gerabak yang sama, ada sepasang suami isteri yang juga akan mengembara. Cuma cabaran yang mereka lalui lebih getir. Tanpa tiket awal, mereka nekad menakluk Chiang Mai. Katanya, mereka hanya ikut kaki melangkah. Naik saja kenderaan yang ada asalkan dapat sampai ke destinasi. Pasangan suami isteri ini kelihatan sangat berpengalaman. Kami banyak dapatkan tips pengembaraan dari mereka.

Kami juga sempat kenal dengan seorang lelaki Melayu yang akan ke Chiang Rai. Menurutnya, dia mahu lihat isterinya yang sejak melahirkan anak tujuh bulan lalu masih belum pulang ke pangkuan. Rupanya lelaki itu mengahwini perempuan warga Thailand yang berasal dari Chiang Rai. 'Oh', macam-macam tujuan orang berjalan. Saya senang kenal mereka. Cuma sedikit bengang bila lihat kerenah segerombolan penumpang  Cina yang kerap buat bising mahukan keselesaan mereka dipenuhi. (sebenarnya di mana-manapun saya sering tak senang dengan Cina). Mujur Cina-cina ini turun di stesen Hua Hin, 3 jam perjalanan sebelum sampai Bangkok.  Para penumpang lain turun di Stasen Bangkok seperti kami, malangnya kami tak bertemu mereka lagi selepas itu.

nikmati pagi dalam SRT, selamat pagi Hua Hin
Di stesen Bangkok, kami bergegas cari kedai makanan Islam. Sudah hampir 24jam kami tak menjamah nasi. Mujur ada kedai makanan islam di sini. Malah ia lengkap dengan surau yang didepannya tertulis perkataan "SEMBAHYANG". Jemaahnya pun berwajah Melayu, saya pasti mereka pendatang dari selatan. Sebaik makan, kami langsung beli tiga peta untuk digunakan sepanjang kembara ini - peta Bangkok, Peta Selatan Thailand dan peta Koh Samui.
Selamat sampai di Stesen Hualamphong

Jika tersalah arah, kembalilah ke sini
Pandangan pertama tentang Bangkok, kota ini seolah-olah cerminan wajah Jakarta. Tidak sulit lihat rumah-rumah penduduk kelas rendah di mana-mana lokasi termasuklah di kolong jambatan. Jika di atas tanah, rumahnya rapat-rapat sampai lebarnya hanya muat sebuah motor. Dan semua kenderaan yang dapat ditemui di Jakarta, dapat saya temui di sini. Ada bajaj yang saingannya Tut-tut. Ada angkot saingannya minibus, ada transJakarta saingan BRT. Malah di Bangkok juga ada ojek yang dipanggil Motorsiat Ban Rang. Cuma Bangkok lebih besar dan maju kerana ada MRT dan Subway. Tapi saya kira pelancong asing yang melawat Bangkok jauh lebih sedikit berbanding Kuala Lumpur. Dari sekian banyak lokasi yang saya lewati, hanya Silom dan Patpong saja yang jadi tumpuan. Itu pun masih kalah dibanding Bukit Bintang.

Singgahlah ke Restoran Malaysia di Lorong Narathiwat 4
Bagi pelancong yang inginkan makanan yang sahih halal, saya sarankan ke Sai Tai. Inilah lokasi tumpuan warga selatan kerana lokasi ini menempatkan stesen bas ekspress, dari atau ke semua wilayah selatan. Jika berdekatan Silom, jangan khuatir kerana ada sebuah restoran Malaysia dibuka disini. Namanya Restoran Cili Padi. Semua pekerjanya boleh berbahasa Melayu – rata-rata dari Patani. Kami sempat singgah solat dan tumpang berehat di bilik sewa mereka. Biarpun mereka warga Thailnd, mereka layan warga Malaysia bagai saudara sendiri. Begitu terasa betapa kuatnya ukhwuah Melayu Malaysia dan Melayu Thailand.

keturunan India di sini hanya mampu berbahasa Thai
Selama di Bangkok barulah saya sedar kalau Thailand juga negara berbilang ras. Malah mereka bangga dengan keragaman ini. Tapi yang paling menonjol, mereka lebih banyak beri tumpuan kepada etnik Melayu Islam. Iklan-iklan berimej Melayu Islam sering menghiasi media. Malah, ada Bank Islam ditubuhkan untuk tujuan kemajuan iktisas masyarakat muslim – iklannya juga menampilkan imej Melayu. Saya berpandangan, hal ini dilakukan bagi memujuk masyarakat Melayu Patani supaya kekal taat kepada negara. Berubah total persepsi saya pada Thailand.

Kalau pergi ke daerah Phahurat, jangan terkejut kalau anda tiba-tiba terasa seperti di Mumbai atau Delhi. Phahurat adalah kawasan mukiman masyarakat keturunan India. Mereka rata-rata berniaga kain dan makanan. Usah cuba bandingkan daerah ini dengan Brickfield di Kuala Lumpur. Keturunan India di Phahurat jauh lebih ramai. Mereka beragama hindu dan sikh (ini terlihat dari kewujudan beberapa kuil dan gurdwara). Kagum saya bagaimana mereka boleh berbahasa Thai seluruhnya, tapi tetap dengan kebudayaan India.

Suatu sudut di kota Bangkok
Thailand seperti juga Malaysia, sedang berhadapan masalah kebanjiran pendatang asing (saya percaya masalah di Malaysia jauh lebih kronik). Selama di sini, setiap kaki melangkah saya sering temui warga Myanmar. Ramainya mereka sama seperti kita lihat warga Indonesia di Malaysia. Beberapa pendatang Myanmar mengaku ada rakannya sedang berkerja di Malaysia. Saya juga sempat bertemu pekerja bawahan warga Nepal dan India di sini. Seperti pandangan majoriti warga Malaysia yang sampai benci lihat pendatang dari negara sebelah, warga Thailand juga sampai benci lihat pendatang Myanmar.

Malaysia bukanlah asing di Thailand. Melihat wajah dan bahasa kami, mereka dengan mudah dapat meneka. Malah kami sering terima sapaan salam dari warga muslim. Ternyata sangat banyak perkara berbau Malaysia yang sempat buat kami bangga. Mobil Proton mudah ditemui. Sama banyaknya dengan kios pam minyak Petronas. Bila kehabisan wang, anda dapat ke ATM CIMB Thai tanpa caj antarabangsa. Cuma yang sulit di sini, warga Thai sangat sedikit yang dapat berbahasa Inggeris. Jadi kami kena hafal beberapa ayat Thai untuk memudahkan urusan. Tak sangka banyak juga kata-kata Thai yang sama dengan bahasa Melayu. kata 'Ini' dan 'Sini' contohnya.

Wat ini terletak di sungai Chao Praya
ini batik Thailand, ada yang berani bakar bendera?
Tak sempurna ke Bangkok kalau tak menyusuri Sungai Chao Praya atau Meanam Chao Phhya dalam sebutan Thailand. Sedikit panduan, jangan ikut pakej pelancongan kerana anda boleh mengupah pengendali bot kecil yang biayanya jauh lebih murah. Malah jauh lebih mencabar. Jika suka berbelanja, singgahlah ke pasar Chathuchak. Ramai penjual makanan eksotik ada di sini. Di pasar ini, ada sebuah kedai yang menjual batik Thailand. Motif batiknya tak ubah seperti batik Malaysia yang banyak unsur flora. Saya tak tahu apa perasaan masyarakat di salah sebuah negara tetangga bila mereka tahu Thailand juga produksi batik. Kalau sampai ketahuan, jangan-jangan bendera Thailand juga mahu dibakar. Saya sempat beli satu batik Thailand buat kenangan dan tanda kalau batik juga boleh ditemui sejauh Bangkok.

BANGKOK - Megah, beraneka warna

Baca catatan perjalananya saya di sini

Gambar kenangan sekitar Butterworth dan Bangkok ketika kembara terpanjang saya ke 6 lokasi melintasi 3 negara berbeza. Saksikan.

persediaan wajib