|
Pulau Karimun dilihat dari jeti Kukup |
Sejak kecil, setiap kali ke Pekan Kukup, saya sering lihat pulau comel ini di seberang sana. Sejak itu saya sering berangan-angan akan ke sana satu hari nanti, jelajah segenap pulau dan teroka apa jua yang ada. Tidak pernah saya sangka kalau pulau di depan mata yang jaraknya hanya sekangkang kera itu sebenarnya milik 'orang'. Entah apalah gerangan sejarah yang terjadi sampai semua pulau di sebelah selatan kita, bukan dalam genggaman.
Lagi gambar di sini
Menurut orang tua-tua di Kukup, kokok ayam di pulau comel itu dapat didengar sampai sini. Begitulah gambaran dekatnya pulau itu dari tanah besar Johor. Itulah Pulau Karimun, salah satu pulau dalam gugusan Kepulauan Riau yang sekarang dikuasai negara sebelah, negara yang sering tidak senang dengan jirannya yang baik ini.
Di Kukup, sangat banyak feri yang menawarkan jasa bawa penumpang pergi dan balik ke sana. Paling tepat, ke bandar utama di pulau itu, Tanjung Balai. Cuma seperti di mana-mana pintu keluar-masuk Malaysia, warga negara sebelahlah yang sentiasa jadi penumpang teramai. Warga kita jarang tertarik belayar ke seberang waima orang Kukup sekalipun. Keadaan sebaliknya berlaku. Berpusu-pusu orang Karimun datang ke mari. Di dalam feri, setiap kali menyapa setiap kali itulah saya temui warga sebelah yang mengaku sering keluar-masuk ke 'tanah besar'.
Saya menginap di Hotel Wisma Indah, di pusat bandar Tanjung Balai. Harga semalam hanya Rp60,000. Hampir penuh segenap ruang ditampal iklan aneka jenis kondom. Terdapat juga kata-kata nasihat agar hindari seks bersama insan tidak dikenali di hotel ini. Saya sendiri tergamam bila ditawar pakej pergi-balik ke beberapa kebun 'kupu-kupu' di sekitar Karimun. "Kalau suka ambil satu, kalau tidak, hanya 'minum-minum' pun tak apa". Begitu kata Julio, pekerja hotel yang tawarkan saya pakej itu. Tapi maaf, saya tidak tertarik. Kunjungan saya ini kunjungan kembara. Cari kenikmatan sesaat bukan maksud utama.
"Biasanya orang Malaysia dan Singapur yang ke sini, kan hanya mau 'itu'", begitu sambung Julio. Agak hairan dia bila dengar tujuan sebenar saya datang ke Karimun. Untuk tidak menghampakan, saya pakai juga khidmat Julio buat memandu arah jalan-jalan keliling pulau.
Seperti jenis tanih di barat Johor yang banyak tanah gambut, begitu jugalah jenis tanih di Pulau Karimun. Secara peribadi (sekali lagi) saya menganggap pulau-pulau yang banyak bertaburan di selatan Johor ini sebetulnya pecahan dari tanah besar Semenanjung, berbanding dianggap serpihan dari Sumatera. Maka saya berani tuduh perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 yang lalu itu sebenarnya tidak sah jika prinsipnya bersandarkan bentuk alam. Apa boleh saya buat.
Orang Karimun masih bertutur dialek asli Johor-Riau. Tapi komunikasi gaya Indonesia semakin bercambah. Terutama di kalangan generasi muda. Nampaknya seperti sukar kekalkan identiti Johor-Riau di pulau-pulau tumpuan utama di kepulauan ini. Tabik hormat yang sangat tinggi harus saya berikan kepada penduduk Lingga kerana gigih kekalkan identiti kerajaan Melayu lama yang hilang. Tiba-tiba terasa rindu pula dengan suasana di Daik.
Kebetulan, musim buah yang kini melanda Semenanjung turut sama melanda Karimun. Saya sempat nikmati durian Karimun yang rata-rata durian kampung. Risanya sama. Cuma tak terlihat baka-baka baru jenama Malaysia di sana. Tak ada raja kunyit, tak ada juara johor dan tak ada udang merah. Saya harap biarlah tak akan dibawa ke sana bakanya sampai bila-bila. Takut nanti kalau berkembang, kita pula yang dituduh mencuri.
Sepanjang di Karimun, telinga saya tak terlepas dari dengar berita-berita busuk dari media negara jiran yang satu ini. Dan mata ini tak terlepas terbaca berita dari surat kabar sana tentang aksi demo ala beruk kena belacan oleh warga mereka di Betawi. Semua ini gara-gara hasil dari persidangan tahunan Persatuan Mandailing Malaysia yang berlangsung beberapa hari sebelum itu. Provokasi mereka sampai disiar langsung dalam forum di TV. Pandangan saya hanya satu, masih terlalu ramai manusia-manusia kurang ilmu di situ.
Kasihan kau Karimun (dan Kepulauan Riau), sudah nasibmu dijaga si capik dari Majapahit yang suka memekik. Kami hanya mampu melihat.
Saya tinggalkan Karimun dengan bengkak hati bersama dapatan yang kurang menarik. Namun tetap jadi perencah buat menambahkan risa dalam catatan perjalanan saya.