Hari ini genaplah Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-56. 31 Ogos telah dipilih sebagai tarikh rasmi meski sebenarnya terdapat lagi tarikh berasingan mewakili dua lagi wilayah lain dalam negara ini. Bilapun itu tarikhnya, marilah kita bersatu menjunjung tarikh yang telah kita sepakati.
Saya tak berniat
permasalahkan tarikh mana yang wajar kita istihar. Banyak lagi negara lain yang
miliki tarikh beza untuk tiap wilayah merdeka dalam negaranya. Lihat saja
Indonesia, ketika pengistharan kemerdekaan berlangsung pada tahun 1945, hanya sebahagian
Pulau Jawa saja yang bebas dari Belanda. Ketika itu Sumatera masih
bergelut, malah wilayah terakhir di sana pun hanya bersatu dibawah republik itu baru
tahun 1961. Jadi buat semua warga Malaysia, apapun tarikhnya, perbezaan itu tak
wajar dipermasalahkan kerana itu bukan suatu yang luar biasa. Malah bukanlah hal penting buat penentu pembangunan negara.
Pada tulisan kali
ini, saya hanya mahu sentuh tentang penyatuan kita sebagai sebuah negara-bangsa, dan kelangsungan pentadbiran yang baik agar tiap wilayah di
Malaysia dapat miliki tingkat kemajuan dan kemakmuran yang sama rata.
Mungkin
sebahagian idea saya dalam artikel ini mengundang marah beberapa kalangan. Tapi
percayalah, saya lontarkan pandangan ini semata-mata kerana saya cinta
Malaysia. Saya ingin lihat negara yang kita sayangi ini jadi negara yang terus membaik dari semasa ke semasa.
Sepanjang tahun
ini saja sudah berkali-kali kita berdepan masalah berbau SARA (Suku-Ras dan
Agama). Hairan bukan, sudah 56 tahun merdeka pun masalah ini tak pernah tuntas.
Kalau di negara lain masalah berbau SARA mulai pudar, di negara kita apinya
kian marak. Makin menyubur setahun ke setahun. Apa sebabnya? Barangkali ada bahagian
yang salah di mana-mana tanpa kita sedari.
Selama ini,
setiap masalah berbau SARA hanya kita tangani seperti menampal bumbung bocor. Percayalah
bila sudah banyak kesan bocor, ia akan runtuh dengan sendiri. Jadi dari terus
menampal, kenapa tak gantikan saja bumbung bocor itu dengan bumbung yang baru?
Di negara ini, rasa saling curiga antara kaum sudah jadi lumrah. Sekecil manapun rasa itu, ia tetap
ada. Inilah kesan amalan pecah dan perintah yang pernah diterapkan sejak zaman
penjajah. Malang sekali, amalan itulah
yang kita bawa sampai ke hari ini. Kini 'amalan songsang’ yang kita anuti itu sudah
berhasil menjadikan negara kita kelihatan ‘unik’. Sebuah negara membangun paling jaya tapi sulit
dikenal kerana tak punya jati diri. Negara yang tak jelas apakah bahasanya kerana tiap
bahasa yang ada dilayan sama rata. Tak jelas berasaskan ras apa kerana tiap ras
menonjolkan identiti mereka sendiri-sendiri. Jika semangat nasionalisme dinilai dari kemampuan berbahasa Malaysia, bayangkan berapa ramai yang akan gagal dalam ujian itu. Jika bahasa dikatakan melambangkan
bangsa, maka hingga ke hari ini masih tak wujud sesuatu yang dinamakan Bangsa Malaysia.
Terasa sia-sia semua slogan yang kita
reka selama ini.
"Satu
bangsa, satu bahasa" - jauh panggang
dari api. "1 Malaysia" – kita dah pun terpecah kepada beberapa
Malaysia.
Pada pandangan
saya, biar beza agama, bangsa Malaysia hanya harus ada satu. Saya yakin siapapun
yang punya rasa nasionalisme, pasti miliki keinginan sejauh itu. Sayangnya negarawan kita masih terkial-kial
cari formula perpaduan terbaik buat merealisasikan impiannya. Hasilnya tak satupun yang capai matlamat. 'Bangsa
Malaysia' malah makin terpecah-pecah.
Mungkin saya ada
formula baru yang boleh kita pakai. Tapi perlu ada kompromi dari tiap wakil
kaum supaya setuju korbankan hal-hal yang selama ini mereka pertahankan. Maaf kalau
saya salah, saya berpendapat ciri perkauman yang telah kita tekankan keterlaluan selama
inilah yang menggagalkan usaha itu, malah sangat membantu menyuburkan polarisasi. Jika Melayu dengan Keistimewaan
Melayunya, percayalah Cina dan India akan turut pertahankan sampai mati apapun
yang selama ini mereka miliki.
Jika semua kaum
miliki aspirasi seperti itu, bagaimana mahu bersatu? Ketika ini pun
nasionalisme kita sudah terpecah tiga, padahal kita berkongsi satu negara yang
sama.
Jadi, apakah
Melayu dan Bumiputra harus korbankan hak istimewa yang mereka pertahankan
selama ini? kalau tanya saya, jawabnya ya jika itu perlu. Semua kaum harus
dilayan sama rata.
Apakah Cina dan
India harus rela mansuhkan sekolah jenis kebangsaan yang mereka pertahankan selama
ini? Jawapan saya juga ya. Itu perlu. Tak ada satu kaum pun yang bertaraf lebih
istimewa dari kaum yang lain sampai ada sekolah khusus untuk mereka.
Tapi saya
percaya ia takkan dapat dicapai dengan cara drastik. Malah bakal memperburukkan
keadaan jika ia dilakukan tanpa perancangan. Jadi bagaimana jalannya untuk
mencapai cita-cita itu? Menurut pandangan saya, kita harus tetapkan satu
tarikh. Misalkan kita ambil tahun 2015. Ertinya semua anak-anak Malaysia yang
lahir mulai tarikh itu, dan tahun-tahun selepasnya bakal milik hak dan keistimewaan
yang sama rata, tak kira apapun rasnya.
Mulai tarikh
yang sama juga, semua sekolah berasaskan kaum harus termansuh tanpa kecuali.
Yang wajib ada hanya satu sekolah untuk semua. Satu sekolah yang mengajarkan
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Nasional, bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan
bahasa-bahasa kaum lain seperti Mandarin, Tamil, Arab, Kantonis, Iban, Kadazan,
Thai, Hokkien atau lain-lain sebagai pilihan bahasa ketiga. Tak kira itu sekolah
kerajaan atau sekolah persendirian.
Penetapan tarikh
ini bererti sistem baru yang kita guna ini hanya akan matang mulai tahun 2039 ketika
generasi pertama selepas perlaksanaannya mencapai usia 21 tahun – usia layak
mengundi. Bererti generasi terdulu yang lahir sebelum 2015 masih terikat dengan
sistem lama selama-lamanya.
Jadi apakah Cina
dan India yang lahir mulai tahun 2015 boleh jadi Perdana Menteri satu hari
nanti? Jawab saya boleh, kerana pada ketika itu tak ada lagi istilah aku Melayu,
kau Cina dan dia India. Yang ada hanya satu bangsa Malaysia yang padu. Bagaimanapun ia tetap terikat pada
perlembagaan yang telah disepakati: Ketua Negara harus beragama Islam, sistem
Raja berperlembagaan dipertahankan dan Bahasa Melayu diakui satu-satunya bahasa
rasmi.
Keluar dari persoalan bangsa, saya juga berharap pentadbiran Malaysia diperkemaskan. Mengingat geografi
Malaysia terdiri dari bahagian timur dan barat yang ketika ini miliki tingkat
pembangunan yang tidak seragam.
Saya impikan
semoga satu hari nanti Sabah dan Sarawak dapat dibahagikan kepada beberapa unit
yang lebih kecil bertaraf negeri. Ini juga sesuai seperti dalam Perjanjian Pembentukan
Malaysia 1963 yang menyebut Sabah dan Sarawak sebagai 'negara' dalam Persekutuan
Malaysia yang baru. Perjanjian ini secara tersirat bermaksud pembentukan
Malaysia ialah penggabungan antara Negara Malaya, Negara Sabah dan Negara Sarawak
(dan Singapura yang dikeluarkan kemudiannya).
Penggabungan negara-negara
ini membentuk sebuah negara baru yang diberi nama Malaysia. Sejurus pembentukan ini, secara tersirat juga
bererti Malaya, Sabah dan Sarawak yang sebelumnya bertaraf negara, berubah hierarki
menjadi Wilayah yang di dalamnya bergabung beberapa negeri.
Cadangan ini
juga sesuai jika dilihat dari aspek sejarah. Ketika penjajahan British di Tanah
Melayu, pentadbiran dipecahkan ke beberapa unit-unit yang lebih kecil melalui beberapa
residen yang dilantik mengetuai negeri-negeri (dalam bahasa halus mereka
menyebut residen sebagai penasihat Sultan). Hal yang sama juga berlaku di Sarawak samaada
ketika pemerintahan Rajah Brooke atau Kerajaan British dan di Sabah ketika
dibawah Syarikat British Borneo. Mereka juga membahagikan pentadbiran di sana melalui
unit-unit yang lebih kecil yang dipanggil residensi dimana setiap satu diketuai seorang residen.
Jika hal ini
jadi kenyataan, bererti Persekutuan Malaysia itu nanti bakal terdiri dari: 1) Wilayah
Semenanjung yang mengandungi 11 buah negeri , 2) Wilayah Sabah yang terdiri dari
lima buah negeri (merujuk lima bahagian yang terdapat di Sabah ketika ini), 3) Wilayah
Sarawak yang mengandungi tujuh buah negeri (merujuk bahagian-bahagian teawal yang
wujud ketika Sarawak mula bergabung membentuk persekutuan Malaysia), dan 4)
Tiga Wilayah Persekutuan yang diperintah langsung oleh Kerajaan Pusat.
Kenapa
pembahagian unit-unit yang lebih kecil di Sabah dan Sarawak ini harus terjadi?
Sabah
dan Sarawak ini bila digabung, luasnya jadi jauh lebih besar dari Semenanjung.
Sayangnya ketika ini Sabah dan Sarawak hanya dapat dua bahagian dari peruntukan
yang disalur oleh pusat. Jumlah ini tak
sepadan berbanding luas Semenanjung yang jauh lebih kecil tapi mendapat 11
bahagian.
Sabah dan Sarawak juga masing-masing hanya dapat 5% setiap satu untuk royalti hasil
minyak untuk diguna bagi membangun kawasan yang begitu luas. Padahal di Semenanjung setiap
negeri pengeluar Minyak dapat royalti yang sama banyak untuk diagih ke kawasan
yang jauh lebih kecil.
Terakhir, cuba
bayangkan seorang guru di pedalaman Gua Musang di Kelantan yang harus hadiri
mesyuarat pendidikan peringkat negeri. Dia hanya perlu ke Kota Bharu yang
jaraknya lebih kurang 100KM. Bayangkan pula seorang guru di pedalaman Bario, di sana dia perlu terbang sejauh hampir 1000KM ke Kuching semata-mata
mahu hadiri mesyuarat peringkat yang sama.
Inilah dua perkara pokok tentang idea saya. Hanya sekadar berkongsi pandangan dan sama-sama ingin menyumbang ke arah Malaysia yang lebih baik. Salam dari saya,
selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-56.
harusnya semua ras dan agama sama dihadapan kerajaan. tak da istimewa satu dari yang lain
BalasPadamTerima kasih atas komentarnya Baharawija. Tapi anda mungkin orang Indonesia yang kurang tahu tentang situasi di Malaysia. Di Malaysia, keistimewaan itu dirasai semua tak kira ras dan agama, cuma apakah keistimewaan yang diberi itu yang beza. Cuma apa yang sering digmbarkan tentang Malaysia oleh 'orang luar' itu seringkali tak benar. Malaysia selalu digambarkan seolah-olah beri layanan baik kepada Melayu/bumiputra saja, padahal tidak. Tak ada negara manapun di dunia selain Malaysia yang sediakan sekolah khusus untuk ras lain selain pribumi dengan memakai bahasa mereka sendiri - mengorbankan bahasa nasional kerana semata-mata mahu jaga hak minoriti kecil. Dalam artikel ini, saya seru pemerintah kami agar mulai kebijakan baru dengan tidak beri apapun keistimewaan tertentu mengikut ras dan suku.
BalasPadamhehehe, saya memang orang Indonesia. Dan saya memang kurang paham dengan situasi di Malaysia. Hanya saja menurut hemat saya, alangkah baiknya bila suatu negara (BM:kerajaan), memberikan hak yang sama kepada setiak rakyatnya tanpa melihat puak dan suku. Jadi agama apapun dan puak apapun boleh lah jadi kepala negara (untuk di indonesia sih, yang bukan negara Islam).Tapi Malaysia sebagai negara Islam tentunya berbeda. Karena menurut saya, sebuah negara akan tetap berdiri bila rakyatnya memiliki ikatan yang kuat satu dengan yang lain.Ikatan yang dapat menghapuskan perbedaan yang mereka punya. Salam
BalasPadamSekali lagi komentar anda menampakkan ketidakfahaman anda tentang Malaysia dan sejarah berdirinya negara ini. Anda sendiri sudah jelas kalau Malaysia adalah negara Islam, maka tentunya hanya Islam yang pantas memerintah negara ini. Pun begitu, sebagai negara yang multi-ras seperti Malaysia, tiap ras miliki kekuatan tersendiri yang cuba dipertahankan. Malah toleransi kami lebih baik, ras bukan pribumi miliki keizinan untuk memimpin partai politik, jadi gurbenor provinsi, punya suara di dewan negara (DPR-RI, Kalau di Indonesia) dan menjabat jawatan menteri dalam kabenit negara. Malah boleh mendirikan sekolah khusus untuk bahasa masing-masing, serta bebas menamai anak dengan nama marga keturunan nenek moyang meski jauh jutaan kilometer dari tanah leluhurnya. Sudahlah, usah lanjutkan komentar anda dengan hal2 lain yang nantinya pasti menampakkan ketidakmauan anda menerima pandangan. Fikirkan saja tentang negara anda yang menurut saya jauh lebih banyak cacatnya. Catatan ini bukan untuk anda kerana anda bukan warga Malaysia.
Padam