بسم الله الرحمن الرحيم
Selamat Datang
Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.
Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.
Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.
Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.
Sekian. Selamat memabaca
KRABI - Persona Melayu yang hilang
Nama Krabi baru muncul sebagai destinasi
pelancongan popular di selatan Thailand. Cair dengan sekian banyak promosi
tentang Krabi, saya bersama seorang rakan sepejabat pun teringin 'nikmati' keindahan
yang dapat ditawarkan daerah itu, sebuah persona di wilayah Melayu yang hilang.
Tak tahu apa sebabnya, saya rasa kunjungan ke Krabi tak ubah seperti kunjungan
ke lokasi pelancongan dalam negara. Pelancong Malaysia sangat dominan, baik di
hotel atau restoran muslim, malah di segenap pelosok jalanraya menuju Ban Ao-Nang,
lokasi taruhan provinsi Krabi untuk memikat seberapa banyak pelancong.
Sepanjang perjalanan ke sana, kenderaan berplat Malaysia jadi raja jalanan.
|
tugu terakhir sebelum meninggalkan Malaysia |
Ketika ramai warga Malaysia
berkenderaan sendiri, saya pilih datang sana naiki bas. Bagaimanapun sampai
hari ni belum ada bas yang sediakan khidmat perjalanan langsung dari Kuala
Lumpur ke Krabi. Jadi kami harus turun di Hatyai. Tambang
perjalanan ialah RM45 sehala. Di Hatyai 'rombongan Malaysia' perlu sambung perjalanan
naik van dengan tambahan tambang BHT350. (satu lagi persamaan antara Thailand
dengan Indonesia ialah khidmat perjalanan jarak jauh dengan Van yang di
Indonesia disebut travel).
|
Pintu Imigresen Bukit Kayu Hitam |
Perjalanan Kuala Lumpur – Krabi ambil masa 12jam. Dekat bukan? Cuma
perlu diingat masanya mungkin lebih lama tergantung urusan Imigresen dan masa
menunggu di Hatyai. Tak susah dapatkan pengangkutan ke Krabi. Ada banyak agensi
pelancongan yang tawarkan khidmat bawa pengunjung.
|
Kami di sini |
Laluan darat ke Krabi membelah beberapa provinsi lain di selatan. Sehabis
Songkhla, perjalanan masuk ke provinsi Patthalung sebelum rentas pergunungan menuju
Provinsi Trang di sebelah barat. Saya terfikirkan suatu di sepanjang perjalanan
ini - tentang betapa orang Melayu dirugikan bila terlepas separuh wilayahnya di
sebelah utara. Kini istilah Semenanjung Melayu yang pernah terpakai satu masa
dulu sudah hilang. Semenanjung tu sekarang terpecah tiga, dua darinya berpindah
milik ke bangsa Bamar dan Tai.
Empat jam perjalanan, kami sampai di bandar Krabi. Van berhenti di
sebuah agen jualan tiket kerana ada penumpang turun di situ. Sempat juga saya amati
bandar Krabi. Beberapa penduduk dilihat boleh berbahasa Melayu, malah ada papantanda
niaga ditulis dalam bahasa tercinta itu.
|
Bahasa Melayu. 'jiran sebelah, jangan fikir ini bahasa anda' |
Beberapa penumpang yang masih tersisa melanjut perjalanan ke Ao-Nang,
termasuk kami berdua. Kesan pertama, Ao-Nang saya lihat hanya pekan kecil,
kalah jauh berbanding bandar Patong di Phuket. Barangkali ia hanya sebuah
kampung yang baru nak berkembang. Malah pantainya sendiri tak lebih cantik dari
Port Dickson. Jadi saya berhipotisis, pemasaranlah yang membuat Ao-Nang begitu
popular dan bertahap membangun hingga jadi seperti hari ni. Paling menonjol,
tempat penginapan bercambah bagai cendawan. Juga tersedia beberapa bank tempatan
Thailand dan CIMB Thai, termasuk khidmat menukar wang yang memadai.
|
Masjid Ao-Nang |
Kami inap di Hotel Good Will berdekatan masjid. Sengaja pilih hotel tu
kerana kami fikir mungkin lebih mudah dapatkan makanan halal bila tinggal dekat
dengan suatu yang berbau Islam. Rupanya kami salah, di manapun sepanjang jalan
di pekan Ao-Nang kami mudah temui restoran halal. Malah pelayannya pun mampu
berbahasa Melayu. Dan di semua restoran itu, 99% pengunjungnya dari Malaysia.
|
Aneka Restoran Muslim |
Pakej pelancongan yang ditawarkan di Ao-Nang tak jauh beza dari pakej
lain yang ada di berbagai lokasi tumpuan pelancong di Thailand. Ada pakej redah
hutan (jungle tracking), tunggang gajah, pacuan 4 roda, kayak, jelajah pulau
dan snorkling. Saya tak minat ikuti semua pakej tu sebab saya pernah laluinya
di Koh Samui dan Phuket dulu. Cuma saya terpaksa sekali lagi ambil pakej
jelajah pulau dan snorkling kerana harus menemani rakan. Laluannya juga sama
seperti pakej serupa yang pernah saya ambil di Phuket dulu. Ke Phi-Phi Lay, Phi
Phi Don, Pulau Ayam, mendarat di Pileh Bay mandi manda dan snorkling.
|
Snorkling di Pileh Bay, Koh Phi-Phi |
Sekali lagi, tak ada aktiviti baru yang bererti kerana semuanya pernah
saya lalui. Kecuali satu yang mengesankan, saya lebih fokus kepada penerangan
pegawai bertugas tentang pekej yang kami ikuti. Terutama tentang sejarah
pemberian nama di semua lokasi singgah. Phi-Phi dapat nama dari kata Api-api,
Pileh Bay dari nama teluk yang berbentuk bilik dan lain-lain nama mirip Melayu yang
sekali lagi membuat miris rasa hati.
Makin kerap saya ke Thailand, makin bertambah kosakata bahasa Thai
saya. Makin lama makin saya jelas betapa
ciri bahasa-bahasa di Asia saling berkait. Saya dah akrab sebut 'mee' (ada),
'dee' (bagus), 'jep' (sakit), 'sabai'
(sedap), 'dai' (boleh), dan 'nang' (duduk), juga beberapa kosakata yang mirip
Melayu seperti 'ni' (ni), 'tongni' (sini), 'pai' (pergi), dan 'phasa' (bahasa), dan beberapa kosakata berunsur Cina seperti 'maei' (tak), 'leao'
(dah) dan 'au' (mahu) dan sebahagian besar nombor hitungan yang dah lama saya ingat.
Jika dalam bahasa Thai mereka tanyakan "boleh tak?", sebutan
mereka ialah 'dai maei?'. Lihatlah posisi 'maei' di belakang, ia persis
struktur bahasa Melayu dan bahasa Mandarin. Jika dalam bahasa Inggeris kita
guna struktur yang sama, lafalnya bakal jadi "can not?", tentu tak akan
ada siapa akan faham kerana maksudnya dah beza. Dari persamaan yang sekecil ni
saja saya berani simpulkan bahawa bahasa-bahasa manusia di sebelah sini berasal
dari satu induk bahasa yang sama dan barangkali dari satu turunan manusia yang
sama. Mungkin benar kerana kita semua turunan dari salah seorang anak Adam yang
mewariskan generasinya di sebelah sini.
|
nak balik dah!!! |
Tak sedar tiga hari saya di Krabi dah berakhir. Sampailah masanya balik
semula ke Hatyai dan teruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Sekali lagi kenderaan
jarak jauh yang popular di sini ialah van. Tak hanya untuk pelancong, penduduk
tempatan juga gunakan khidmat pengangkutan yang sama. Bersama-sama saya ialah
beberapa orang kampung yang habis bercuti bersama keluarga masing-masing dan ingin
kembali ke Hatyai untuk berkerja, situasi ini sama seperti penduduk luar bandar
di Malaysia yang pulang ke bandar demi mencari peluang hidup yang lebih
baik. Hatyai jadi salah satu kutub pertumbuhan utama Thailand di sebelah
selatan.
Menghala masuk ke Malaysia, berpusu-pusu
warga kita beratur di jalanan untuk kembali ke habitat masing-masing. Jalan
yang sesak dari Sadao sampai sampai Changlun merencatkan rancangan saya untuk
sampai ke Kuala Lumpur tepat waktu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan