بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Catatan 3 - Islam dan Peninggalan Sejarah Manila

INTRAMUROS mungkin tugu peninggalan Sepanyol paling nostalgia di Filipina. Tak lengkap kalau bercerita tentang sejarah negara ini tanpa lihat bukti nyata yang masih wujud hingga hari ini. Usianya muda sedikit dari kota A-Famosa di Melaka, namun fungsi dan ciri binaannya sama - kota pentadbiran penjajah di tanah yang mereka jarah. Intramuros berdiri di tebing paling tinggi di muara Sungai Pasig, sungai yang jadi nadi pembangunan Manila sejak awalnya dari sebuah kampung hingga sekarang merupakan sebuah metropolis seperti yang kita lihat pada hari ini. Lokasi bersejarah Intramuros terletak dalam jarak 1 jam berjalan kaki dari hotel penginapan saya. 

Beza Intramuros dibanding A-Famosa ialah bentengnya masih kekal di kiri, kanan dan belakang. Hanya dalaman sudah musnah berganti bangunan baru yang diisi ruang niaga, pejabat, dan kolej pengajian. Sebaik melangkah masuk, tak terasa saya sudah berada di dalam kepungan tembok setinggi 15 kaki. Apalagi bila lihat kegiatan harian menusia di dalamnya yang sama seperti di mana-mana. Bau pesing najis dan kencing manusia terhidu hingga menusuk hidung dari sudut-sudut belakang, sama persis seperti di banyak lokasi lain sepelosok Manila. Mungkin kerana keadaannya begini, kesan syahdu ketika mengenang jasa perwira Filipina melawan panjajah Sepanyol, tak terasa sampai ke hati. Atau mungkin memang negara ini tak anggap Sepanyol itu penjajah, sebaliknya 'juru penyelamat' kerana mengkristiankan hampir seluruh warganya, maka Intromuros dihias supaya jauh dari kesan itu. Gereja tua peninggalan Sepanyol yang 'diimarahkan' dengan baik oleh penganut Kristiasn di ruang dalam Intramuros, mungkin membuktikan dakwaan saya.



Ruang dalam Intramuros masih utuh
Di tengah metropolis Manila
Gereja di dalam Intramuros
Tak jauh dari Intramuros, ada sebuah lagi bangunan tua peninggalan sang 'juru-penyelamat' negara ini yang dipanggil Fort Santiago. Ia sebetulnya penjara yang dibangun di atas tapak Istana Raja Sulayman III, iaitu sultan terakhir kesultanan Islam Manila sebelum dijatuhkan Sepanyol. Saya tak lihat ada usaha dari kerajaan Filipina untuk kenang kegemilangan Raja Sulayman itu. Tak ada penerangan apapun mengenainya tertulis di papan kenyataan melainkan nama tokoh-tokoh Sepanyol dan tokoh kristian tempatan yang memberontak. Sedih bukan? Saya sendiri baru tahu hal ini dari Ahmad Sampang, rakan blogger Islam Filipina yang baru saya kenal. Nama sebenar Raja Sulayman ialah Sultan Sulaiman Bolkiah. Seperti ada bau-bacang dengan Brunei bukan?

Nadi Pembangunan Manila - Sungai Pasig (Pasig Ilog) 
Tapak Kesultanan Islam Manila
Kini jadi Fort Santiago
Dari Intramuros, saya ke Quiapo, sebuah lokasi petempatan masyarakat muslim terbesar di Manila. Perjalanan dengan bas ke Quiapo membelah Sungai Pasig yang saya lihat tadi. Tambang ke sana hanya 10 piso sehala.

Pupunta mo sa simbahan?
Ada pasar ditempatkan 'berlambak-lambak' di sini. Begitu meriah dan bisingnya pasar ini. Tambah bising lagi oleh suara 'khutbah Ahad' dari gereja terdekat. Baru saya sedar, 'khutbah' dari gereja sekitar Manila disiarkan langsung ke 'kariah' tempatan menerusi skrin gergasi yang dipasang di sudut-sudut strategik. Berpusu-pusu orang berdatangan, baik yang ingin berbelanja mahupun yang ingin melangok kusyuk di dekat skrin gergasi. "Pupunta mo sa simbahan?". (Awak pergi ke gereja?) Seorang wanita tua dengan yakinnya bertanya. "Hindi" jawab saya separa yakin. Itu saja perkataan yang saya ingat benar dalam pemahaman bahasa Tagalog saya yang amat lemah. "saya ini orang Islam, Makcik", ingin saja saya balas pertanyaan perempuan tua itu dalam bahasa Melayu. Perempuan tua itu sebenarnya tanyakan saya kalau-kalau mahu ke gereja. Dia mahu dipimpin untuk ke sana.

sebahagian pasar lambak di Quiapo
Para jemaah jalanan yang mendengar 'khutbah' melalui skrin dari gereja, hanya memaku diri di mana-mana, waima ketika sedang berbelanja - kemudian ikut menyanyi bila rahib mula menyanyi. Penduduk Islam yang jadi majoriti di sini relakan saja ibadah Kristian berlangsung di situ tanpa terkesan apa-apa. Satu toleransi agama yang baik dapat saya lihat. Kalau di Malaysia, bunyi azan saja sudah dituduh bising oleh penganut bukan Islam.  

Selamat Datang - Muslim Town
Peniaga Muslim
berjalan-kaki di celah-celah ribuan pengunjung pasar dan jemaah jalanan, membawa saya ke Masjid Emas, atau Moskeng Ginto dalam bahasa setempat. Dinding dan kubah masjid ini berwarna kuning emas dan tiang hijau. Letaknya dalam kawasan yang sempit dan kumuh. Berhimpit-himpitan antara rumah dengan rumah. Sekumpulan anak-anak kecil usia sekolah rendah yang berkaki ayam, main-main dalam masjid dan mengotorkan lantai. Ruang belakang telah becak kerana rumah-rumah jiran yang berkongsi satu lantai yang sama sudah mentransformasikan ia jadi pelantar cuci pinggan. Nampaknya masjid ini sudah terlebih diimarahkan melangkaui urusan agama.  

Moskeng Ginto aka Masjid Emas
Senibinanya
Kebetulan sudah masuk waktu Zohor. Alhamdulillah saya sempat berjemaah bersama penduduk. Sekali lagi, beberapa penduduk Muslim di sini boleh bertutur 'bahasa Malayu' slang Sabah. "Sebahagian besar kami keturunan Marawi, dari pulau besar Mindanao" Kata seorang jemaah yang saya temui. Kini penduduk muslim sudah menetap kekal di Quiapo, Manila. Tapi bahasa sehari-hari tetap bahasa Maranao, bukan bahasa Tagalog atau Tausug. Sekali lagi saya tak mengerti apa-apa kerana di telinga saya ketiga-tiga bahasa ini kedengaran sama. 

AirAsia Indonesia terhempas?
Selesai sembahyang zohor, saya sempat singgah makan tengahari di warong terdekat. Lagi-lagi menunya tak jauh beza dengan masakan Melayu. Sedang leka makan, terdengar berita bahasa Inggeris di TV tempatan tentang pesawat AirAsia Indonesia yang hilang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura. Allahuakbar! Mengucap panjang saya, tiba-tiba jadi takut. Tiba-tiba saya bimbangkan perjalanan saya yang masih panjang dan harus naiki dua lagi pesawat, satu bot dan bas. Semoga Allah selamatkan perjalanan. Amin.

Dari Quiapo, saya teruskan perjalanan ke Quezon City. Menunaikan janji saya pada Ahmad Sampang untuk temui dia di kampus utama Unibersidad Ng Pilipinas (UP) di sana. Alhamdulillah perjalanan seorang diri ke suatu lagi tempat yang tak pernah saya kenal berjalan lancar. "Dari Quiapo ada bas langsung yang masuk ke dalam kampus UP dan betul-betul henti di depan perpustakaan" begitu pesan Ahmad Sampang. Kampus UP, tak banyak beza dengan mana-mana kampus universiti di Malaysia, cuma mungkin penyelenggaraan dan kebersihan universiti di Malaysia jauh lebih baik.


dalam kampus Universiti Filipina
pelajar dan aktivitinya
UP = Unibersidad Ng Pilipinas

Terbaik di Filipina
Intramuros, Quiapo dan Unibersidad Ng Pilipinas melengkapkan kunjungan saya ke Manila buat pertama kali. Meski singkat kerana keterbatasan yang tak dapat saya elak, tetap mampu buat saya bangga. Sekali lagi saya berani cabar diri dalam situasi yang amat mencabar. Manila jadi titik pertama negara Filipina yang saya jejak. InsyaAllah semoga ada kesempatan lain untuk benar-benar menjelajah - mengenal cara hidup dan budaya masyarakatnya. InsyaAllah  

Catatan 2 - Makati Manila - Sebuah Tamadun Baru

Susah nak faham sebutan bahasa Inggeris orang Filipina. Puas saya sebut cafe, mereka tetap fikirkan cofee. "HARD ROCK CAFE" kata saya, "Starbuck Cofee" sangka dia. Akirnya saya taip perkataan H.a.r.d  R.o.c.k  C.a.f.e dalam bimbit, baru dia faham. Sebetun cafe mengikut lidah mereka jadi caRfe. 

Saya sebenarnya dalam rangka cari cenderamata di kedai itu. Buat hadiah untuk rakan sepejabat. Saya naik teksi saja kerana belum yakin meredah dalam keadaan 'buta'. Teksi ditempah langsung bawa saya ke lokasi yang diminta. Hari ini, saya jelajah Makati.

Makati - sisi lain dari Metro Manila
Makati terletak di jantung bandar Manila. Jaraknya kira-kira 30 minit naik teksi dari Ermita. Ikut jadual asal, saya patutnya sudah tiba di Tagaytay. Tapi tahap kesihatan memaksa. Ada hikmahnya juga berkeadaan begini, sekurang-kurangnya saya dapat lihat sisi lain dari Metro Manila yang baru saya kenal. Semoga ada hari yang lain ke lokasi yang saya ingini.

Bersih dan Tertib
Masuk kawasan Makati seperti melangkah ke negara asing. Suasana berubah total. Baru tadi melepasi tamadun masa lalu, kini saya masuk ke tamadun masa depan yang baru lagi moden. Makati dipadati bangunan tinggi mencakar langit. Semuanya terkesan eligen. Tak ada kedai kumuh, sampah dan bau hancing seperti di Ermita. Supir teksi yang bawa saya tadi ada bilang, tarif hotel di sini mencecah 10000 piso semalam. Penghuninya orang asing semua.

di pusat Makati City
Makati memang dirancang jadi daerah perniagaan utama di ibu negara Filipina. Hebatnya Makati tenggelamkan kejiranan lain yang lebih dulu tumbuh. Makati ialah kawasan baru dalam provinsi khusus Metro Manila - kependekan dari Metropolis Manila. Bayangkan saja betapa luasnya bandar Manila ini. Metro Manila sebuah rangkuman kota-kota kecil termasuk bandar lama Ermita, Pasay, Quaipo dan lain-lain. Saya cuba bandingkan Kuala Lumpur (KL) dengan bandar ini. Tapi jawapannya sudah saya tahu, Kuala Lumpur hanya sebiji dari setangkai rambutan. Sebaran bisnes bandar Manila terlalu jauh. Mungkin sebaran bisnes di KL akan jadi seperti Metro Manila bila perkembangannya tak nampak sempadan sampai Putrajaya. Mungkin Metro Manila boleh disamakan seperti Lembah Klang di Malaysia atau Jabodetabek di Indonesia.

barisan jeepney menunggu penumpang
Dari satu mall ke satu mall, dari satu jeepney ke satu jeepney, saya terfikir pula Mall of Asia (MOA), sebuah mall yang didakwa terbesar di Asia Tenggara dan ketiga besar di dunia. Dari google, baru saya tahu MOA ada di Pasay. Tapi di mana Pasay?. "Yu go 'mrt'. Stop Taff Avanue stesen" begitu menurut warga lokal Manila yang saya temui. Rupanya masih ada sebahagian orang Filipina yang tak fasih bahasa Inggeris.. Berlawanan dengan sangkaan saya selama ini.

luar stesen MRT Ayala
MRT yang saya sangka sama seperti MRT di Bangkok atau Singapura, rupanya hanya keretapi komuter. Malah jauh lebih usang dari KTM Komuter di Malaysia. MRT Manila hanya akronim dari kepanjangan Metro Rail Transit, bukan Mass Rapid Transit seperti yang sudah dikenal orang. Lega sikit, sekurang-kurangnya ada sisi kalah pada metropolis Manila ini berbanding KL.

Saya naik MRT dari Stesen Ayala, tak jauh dari SM Makati Mall, setentang dengan Hard Rock Cafe. 
Melangkah masuk ke stesen MRT, setiap penumpang kena tahan untuk pemeriksaan badan dan barang. Kalut juga pada mulanya. Sebaik turun di Taff Avanue, saya masih tak lihat Mall of Asia. Rupanya mall itu masih setengah jam jalan kaki dari sini. Kalau malas berjalan, boleh naik jeepney dengan tambang 7.50 piso. Jepneey memang ada di mana-mana.
  
Ruang dalam Stesen Ayala
sistem tiket masih pakai kad
'MRT' mereka sebetulnya hanya keretapi komuter
Mall off Asia gah berdiri di pesisir Teluk Manila. Kelebihan ini diguna sebaik mungkin untuk tarik pengunjung. Eleman pelancongan laut dan belanja dipadu jadi satu. Di luar bangunan MOA ada legaran siarkaki yang panjang, lengkap dengan alat permainan luar ala fun-fair. Tapi saya tak tertarik pada semua itu. Saya mau bersiar sepanjang pesisir tebing sambil hirup udara laut. 

Saya terpandang iklan Pakej 2jam keliling Teluk Manila yang menggiurkan, lalu beranikan diri naik seorang diri. Penumpang lain terdiri orang bercinta yang datang bawa pasangan masing-masing. Apapun, Manila memang lebih cantik dipandang dari laut.
  
Mall terbesar seAsia Tenggara
'Melancong' tak sampai separuh bandar Manila dah habis separuh hari. Manila sudah senja, sebentar lagi masuk maghrib, padahal jarum jam baru pukul 5 petang. Saya tak punya banyak waktu selain harus kembali ke hotel. Sebakul ubat yang tertinggal di hotel perlu dihabiskan. 

Cari jalan pulang ke Ermita masih satu cabaran yang harus saya tempuh. Apalagi ketika bimbit sudah habis bateri.

ruang legar Mall of Asia
Manila lebih cantik dilihat dari laut
Mall of Asia menghadap Teluk Manila
Rizal Memorial Park satu-satunya lokasi yang mudah dikenal orang ketika saya tanyakan arah untuk pulang ke Ermita. Dalam payah berkomunikasi, mujur masih ada orang baik yang sudi tunjukkan arah. Saya ke Stesen LRT EDSA yang bersambung dalam jarak 50 meter dari stesen MRT Taff Avanue tadi. "Untuk ke Rizal Park, anda harus turun di United Nation" begitu menurut info dari penjual tiket. Tambang ke sana 15 piso.

LRT Manila lebih moden dari 'MRT'
Tidak seperti MRT yang sebenarnya bukan MRT, LRT Manila memang betul-betul LRT mengikut ertinya yang sebenar - Light Rapid Transit. Inilah angkutan berasas tren yang paling canggih di bandar Manila. Stesennya lebih baru dan gerabak yang lebih bersih. Turun di Stesen United Nation, penumpang hanya jalan kaki untuk sampai ke Rizal Memorial Park. Satu jam lagi sampailah saya ke Hotel San Dego.

Rizal Memorial Park sudah dekat dengan Hotel San Dego
(Bersambung)

Catatan 1 - Maligayang Pagdating Sa Manila


Perjalanan ke Manila, Kota Kinabalu dan Brunei ialah perjalanan paling risiko dalam sejarah petualangan saya. Lokasinya tidaklah mencabar, tapi kesihatan saya yang sebenarnya bermasalah. Baru semalam keluar wad, hari ini saya terbang. Tawakal saja lakukan perjalanan yang sudah lama saya rangka. Padahal bekas bedah pada tubuh saya masih mentah dan merah. Malah saya masih rasa ngilu bila banyak berjalan. Nasihat saya kepada rakan pengembara, jangan tiru perbuatan gila saya ini.

Hujan di KLIA2 bagaikan petanda bahawa Yang Maha Kuasa tidak izinkan saya pergi. Padahal pesawat AirAsia menuju Manila sudah lama siaga. Kesihatan saya pagi ini memang tak enak rasa, Bekas bedah kembali sakit. Kaki saya pun terasa berat nak melangkah. Hanya semangat dan doa yang terkumat-kamit keluar perlahan dari celah bibir saya. "Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, semoga selamat perjalanan ini, dan dipermudahkan hasrat saya mengunjungi dua titik terakhir dari sepuluh negara Asean. Ameen"

Empat jam terbang, pesawat mendarat selamat di Terminal 4, Landasan Udara (Landara) Antarabangsa Ninoy Aquino. Terminal ini kecil. Bangunannya berdinding papan. Hanya ada dua kaunter imigrasen untuk melayan 200 orang yang baru mendarat. Erti dari semua ini, sebenarnya penerbangan AirAsia dari dan ke Kuala Lumpur hanya penerbangan pelengkap. Beza jauh dengan layanan terhadap Kota Kinabalu yang dioperasikan di terminal utama, Kenapa? Mungkinkah kerana hubungan Filipina - Sabah jauh lebih dekat dari apa yang kita sangka?

suasana lorong belakang di Ermita 
Setiap kali mengembara solo ke negara orang, prinsip saya masih sama, redah dan berserah. Berkenalan dengan seorang lelaki Malaysia yang sudah tujuh tahun ulang-alik KL-Manila, sangat membantu dapatkan info di tengah ibukota negara asing yang belum pernah saya kenal ini. Kebetulan kami satu pesawat.

"Ermita tempat terbaik yang patut kau tuju", kata lelaki tadi sebaik saya nyatakan beberapa tempat wajib singah sepanjang kembara singkat saya ini, "Lebih penting lagi, ada restoran halal di sana". Saya setuju ke Ermita naik teksi tanpa meter dengan caj 250 piso sekepala. (Lebih kurang RM21). 

Mabini Street ialah nama jalan tempat saya turun. Hiruk-pikuk Manila sudah dapat saya lihat. Tapi saya lebih ghairah cari hotel dari lihat yang lain-lain. Rata-rata tarif hotal di sini di luar jangkaan saya, Lebih mahal dari Bangkok, atau KL. Mujur saya temui satu hotel bertarif 750 piso (RM60) semalam yang ditawarkan seorang wanita muslim. Namanya Salmah, boleh berbahasa Melayu dialek Sabah dan pernah kerja di Sandakan selama 5 tahun. 

Hotel San Dego, ada di sini.
Hotel cadangan Kak Salmah, menyeramkan. Ruang bawahnya ialah kelab snooker yang ramai pengunjung mabuk. Suasananya kusam. Bau hancing menyengat menusuk hidung. Melihat keadaannya, saya rasa mungkin hantu saja yang berani tinggal di sini. Atas alasan keselamatan, saya cari sendiri hotel lain yang lebih semenggah - Sebenarnya ada Hotel San Dego, tak jauh dari hotel hantu itu.

Tampak Depan Hotel San Dego
Tarif Hotel San Dego mencecah angka 1000 piso semalam. Keadaannya baik sikit dari hotel tadi. Cuma ia belum mampu sedia lift, pemanas air, almari dan TV. Menuju ke bilik hotel, segerombolan tikus telah mengiringi saya. Hanya berserah. Kalau tinggal di Makati atau Quezon City, barangkali saya harus kerja dulu sebelum cukup duit buat terbang ke Brunei nanti. Tarif di sana pasti lebih mahal lagi.

Selesai daftar hotel, saya teringat seorang kawan blogger warga Filipina yang tinggal di Manila. Alhamdulillah, dia jawab mesej saya. Kebetulan tempat tinggal dia tak jauh dari hotel ini. Namanya Ahmad Sampang ibni Hajiri. Belia Tausug (Sabah: Suluk) dari Jolo (baca: Holo), Kepulauan Sulu. Ingat Sulu, teringat saya akan kisah Sultan Kiram dan peristiwa Lahad Datu. Saya buang jauh-jauh fikiran jahat yang tiba-tiba menjelma. Saya hanya yakin kalau saya baik dengan orang, orang akan balas kebaikan saya. Mudah-mudahan.

Ahmad Sampang masih belajar kedoktoran di Unibersidad Ng Pilipinas (UP). Untunglah untuk saya yang masih belum sepenuhnya sembuh. Sekurang-kurangnya kalau ada komplikasi, ada orang untuk dirujuk.

Suasana dalam Jeepney waktu malam
Sayang sekali Ahmad Sampang terikat dengan aktiviti kuliah. Kami hanya bertemu singkat di Rizal Memorial Park. Lokasinya berjarak 1 jam jalan kaki dari penginapan saya. Tapi saya pilih naik jeepney. Tarifnya 7 piso 50 sen seorang. Memandangkan tak ada lagi nilai 50 sen dalam matawang Filipina, tambang digenapkan 8 piso. Cuma bila berdua, tarif lama masih dipakai. Malam ini Rizal Memorial Park padat pengunjung, baru saya sedar hari ini hari Krismas, 25 Disember 2014. Mungkin cara penduduk Manila sambut hari besar memang begini, beriadah bersama keluarga di taman-taman hiburan. Beza jauh dengan penduduk Muslim Malaysia sambut Aidilfitri, Kuala Lumpur, pasti dah lengang – semua orang pulang kampung.

Rizal Memorial Park bagaikan pesta

Kebanggaan Manila dan Filipina
Segenap ruang Rizal Memorial Park padat pengunjung. Tak ada ruang sisa untuk kami duduk santai dan sembang panjang. Ramai orang datang berkumpulan, bentang tikar dan hidang bekalan. Tak ada ruang langsung meski untuk merakam foto. Akhirnya Ahmad Sampang usulkan sebuah restoran masakan Sulu di Jalan Mebini. Restoran Dulang namanya. Kata dia, dulang dalam bahasa Sug (Bahasa Suluk) juga bererti dulang dalam bahasa Melayu.

Ini bukan Restoran Dulang, cuma ada orang Filipina berdialek Sarawak di sini.
Lagi-lagi orang di sini menyebut Malayu! Malayu! Malayu!. Saya cuma yakin mereka sedang perkatakan tentang saya. Teguran salah seorang pelayan disitu dalam Bahasa Melayu membenarkan telahan saya. "kitak orang Malaysia ka?"

(bersambung)