بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Catatan 3 - Islam dan Peninggalan Sejarah Manila

INTRAMUROS mungkin tugu peninggalan Sepanyol paling nostalgia di Filipina. Tak lengkap kalau bercerita tentang sejarah negara ini tanpa lihat bukti nyata yang masih wujud hingga hari ini. Usianya muda sedikit dari kota A-Famosa di Melaka, namun fungsi dan ciri binaannya sama - kota pentadbiran penjajah di tanah yang mereka jarah. Intramuros berdiri di tebing paling tinggi di muara Sungai Pasig, sungai yang jadi nadi pembangunan Manila sejak awalnya dari sebuah kampung hingga sekarang merupakan sebuah metropolis seperti yang kita lihat pada hari ini. Lokasi bersejarah Intramuros terletak dalam jarak 1 jam berjalan kaki dari hotel penginapan saya. 

Beza Intramuros dibanding A-Famosa ialah bentengnya masih kekal di kiri, kanan dan belakang. Hanya dalaman sudah musnah berganti bangunan baru yang diisi ruang niaga, pejabat, dan kolej pengajian. Sebaik melangkah masuk, tak terasa saya sudah berada di dalam kepungan tembok setinggi 15 kaki. Apalagi bila lihat kegiatan harian menusia di dalamnya yang sama seperti di mana-mana. Bau pesing najis dan kencing manusia terhidu hingga menusuk hidung dari sudut-sudut belakang, sama persis seperti di banyak lokasi lain sepelosok Manila. Mungkin kerana keadaannya begini, kesan syahdu ketika mengenang jasa perwira Filipina melawan panjajah Sepanyol, tak terasa sampai ke hati. Atau mungkin memang negara ini tak anggap Sepanyol itu penjajah, sebaliknya 'juru penyelamat' kerana mengkristiankan hampir seluruh warganya, maka Intromuros dihias supaya jauh dari kesan itu. Gereja tua peninggalan Sepanyol yang 'diimarahkan' dengan baik oleh penganut Kristiasn di ruang dalam Intramuros, mungkin membuktikan dakwaan saya.



Ruang dalam Intramuros masih utuh
Di tengah metropolis Manila
Gereja di dalam Intramuros
Tak jauh dari Intramuros, ada sebuah lagi bangunan tua peninggalan sang 'juru-penyelamat' negara ini yang dipanggil Fort Santiago. Ia sebetulnya penjara yang dibangun di atas tapak Istana Raja Sulayman III, iaitu sultan terakhir kesultanan Islam Manila sebelum dijatuhkan Sepanyol. Saya tak lihat ada usaha dari kerajaan Filipina untuk kenang kegemilangan Raja Sulayman itu. Tak ada penerangan apapun mengenainya tertulis di papan kenyataan melainkan nama tokoh-tokoh Sepanyol dan tokoh kristian tempatan yang memberontak. Sedih bukan? Saya sendiri baru tahu hal ini dari Ahmad Sampang, rakan blogger Islam Filipina yang baru saya kenal. Nama sebenar Raja Sulayman ialah Sultan Sulaiman Bolkiah. Seperti ada bau-bacang dengan Brunei bukan?

Nadi Pembangunan Manila - Sungai Pasig (Pasig Ilog) 
Tapak Kesultanan Islam Manila
Kini jadi Fort Santiago
Dari Intramuros, saya ke Quiapo, sebuah lokasi petempatan masyarakat muslim terbesar di Manila. Perjalanan dengan bas ke Quiapo membelah Sungai Pasig yang saya lihat tadi. Tambang ke sana hanya 10 piso sehala.

Pupunta mo sa simbahan?
Ada pasar ditempatkan 'berlambak-lambak' di sini. Begitu meriah dan bisingnya pasar ini. Tambah bising lagi oleh suara 'khutbah Ahad' dari gereja terdekat. Baru saya sedar, 'khutbah' dari gereja sekitar Manila disiarkan langsung ke 'kariah' tempatan menerusi skrin gergasi yang dipasang di sudut-sudut strategik. Berpusu-pusu orang berdatangan, baik yang ingin berbelanja mahupun yang ingin melangok kusyuk di dekat skrin gergasi. "Pupunta mo sa simbahan?". (Awak pergi ke gereja?) Seorang wanita tua dengan yakinnya bertanya. "Hindi" jawab saya separa yakin. Itu saja perkataan yang saya ingat benar dalam pemahaman bahasa Tagalog saya yang amat lemah. "saya ini orang Islam, Makcik", ingin saja saya balas pertanyaan perempuan tua itu dalam bahasa Melayu. Perempuan tua itu sebenarnya tanyakan saya kalau-kalau mahu ke gereja. Dia mahu dipimpin untuk ke sana.

sebahagian pasar lambak di Quiapo
Para jemaah jalanan yang mendengar 'khutbah' melalui skrin dari gereja, hanya memaku diri di mana-mana, waima ketika sedang berbelanja - kemudian ikut menyanyi bila rahib mula menyanyi. Penduduk Islam yang jadi majoriti di sini relakan saja ibadah Kristian berlangsung di situ tanpa terkesan apa-apa. Satu toleransi agama yang baik dapat saya lihat. Kalau di Malaysia, bunyi azan saja sudah dituduh bising oleh penganut bukan Islam.  

Selamat Datang - Muslim Town
Peniaga Muslim
berjalan-kaki di celah-celah ribuan pengunjung pasar dan jemaah jalanan, membawa saya ke Masjid Emas, atau Moskeng Ginto dalam bahasa setempat. Dinding dan kubah masjid ini berwarna kuning emas dan tiang hijau. Letaknya dalam kawasan yang sempit dan kumuh. Berhimpit-himpitan antara rumah dengan rumah. Sekumpulan anak-anak kecil usia sekolah rendah yang berkaki ayam, main-main dalam masjid dan mengotorkan lantai. Ruang belakang telah becak kerana rumah-rumah jiran yang berkongsi satu lantai yang sama sudah mentransformasikan ia jadi pelantar cuci pinggan. Nampaknya masjid ini sudah terlebih diimarahkan melangkaui urusan agama.  

Moskeng Ginto aka Masjid Emas
Senibinanya
Kebetulan sudah masuk waktu Zohor. Alhamdulillah saya sempat berjemaah bersama penduduk. Sekali lagi, beberapa penduduk Muslim di sini boleh bertutur 'bahasa Malayu' slang Sabah. "Sebahagian besar kami keturunan Marawi, dari pulau besar Mindanao" Kata seorang jemaah yang saya temui. Kini penduduk muslim sudah menetap kekal di Quiapo, Manila. Tapi bahasa sehari-hari tetap bahasa Maranao, bukan bahasa Tagalog atau Tausug. Sekali lagi saya tak mengerti apa-apa kerana di telinga saya ketiga-tiga bahasa ini kedengaran sama. 

AirAsia Indonesia terhempas?
Selesai sembahyang zohor, saya sempat singgah makan tengahari di warong terdekat. Lagi-lagi menunya tak jauh beza dengan masakan Melayu. Sedang leka makan, terdengar berita bahasa Inggeris di TV tempatan tentang pesawat AirAsia Indonesia yang hilang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura. Allahuakbar! Mengucap panjang saya, tiba-tiba jadi takut. Tiba-tiba saya bimbangkan perjalanan saya yang masih panjang dan harus naiki dua lagi pesawat, satu bot dan bas. Semoga Allah selamatkan perjalanan. Amin.

Dari Quiapo, saya teruskan perjalanan ke Quezon City. Menunaikan janji saya pada Ahmad Sampang untuk temui dia di kampus utama Unibersidad Ng Pilipinas (UP) di sana. Alhamdulillah perjalanan seorang diri ke suatu lagi tempat yang tak pernah saya kenal berjalan lancar. "Dari Quiapo ada bas langsung yang masuk ke dalam kampus UP dan betul-betul henti di depan perpustakaan" begitu pesan Ahmad Sampang. Kampus UP, tak banyak beza dengan mana-mana kampus universiti di Malaysia, cuma mungkin penyelenggaraan dan kebersihan universiti di Malaysia jauh lebih baik.


dalam kampus Universiti Filipina
pelajar dan aktivitinya
UP = Unibersidad Ng Pilipinas

Terbaik di Filipina
Intramuros, Quiapo dan Unibersidad Ng Pilipinas melengkapkan kunjungan saya ke Manila buat pertama kali. Meski singkat kerana keterbatasan yang tak dapat saya elak, tetap mampu buat saya bangga. Sekali lagi saya berani cabar diri dalam situasi yang amat mencabar. Manila jadi titik pertama negara Filipina yang saya jejak. InsyaAllah semoga ada kesempatan lain untuk benar-benar menjelajah - mengenal cara hidup dan budaya masyarakatnya. InsyaAllah  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan