# Bukan cerita saya, ini kisah pengembara Perancis yang terpaksa lalu Surinam secara haram dalam perjalanannya dari Panama menuju Brazil. Pengelamannya sangat mencabar bagi seorang pengembara. diterjemahkann dari catatan asal di sini .
Jadi inilah cerita yang kita tunggu-tunggu. Tajuknya sengaja memancing…
Lokasi Surinam (Amerika Selatan) |
Jadi petang itu saya ke Georgtown, setelah mandi kali pertama sejak 3 hari,
saya terus ke kedutaan. Saya pasti kakitangan awam dalam dunia ini semuanya
sama, ia tak akan buka sampai begitu lewat. Jadi saya bergegas ke sana dan
sampai jam 3.15ptg. Sebaik sampai, saya masih dapat bernafas sebaik nampak
papantanda bertulis pejabat ditutup jam 4.00ptg. Saya masih di pintu gate ketika
itu ketika pengawal di situ bilang Pejabat Visa ditutup jam 3.00ptg. Langsung saya
menyesal kenapa tadi perlu mandi. Mujur pada hela nafas seterusnya dia
bilang pegawai perempuan yang mengurus visa masih belum balik dan
suruh saya cepat kejar kalau-kalau pegawai itu boleh bantu. Saya terus
bergegas… tapi ternyata pegawai itu jenis perempuan itu yang mengerikan… sepatutnya
saya rakam gambar dia dan tampal di papan dart. Bila saya tanyakan dia tentang
visa, perbualan jadi lebih kurang begini:
"kamu lambat, kami dah tutup"
"tapi saya baru sampai, dan langsung ke sini. Tolonglah, saya nak pergi
esok. Saya datang ke Georgtown semata-mata untuk visa"
"sekarang 3.15 dan kami tutup pukul 3.00, awak lambat"
"ya, tapi tolonglah…"
"habis kamu mahu saya buat apa? masuk semula dan uruskan visa kamu
sekarang?"
"kalaulah boleh"
"Tak. Tidak akan, kami dah tutup, kamu datang saja ke sini lagi hari Rabu"
"Rabu? Hari ini hari apa?"
"Hari ini Rabu"
"Habis tu? Rabu depan?
"Ya"
"Tapi kenapa?"
"Sebab kami cuma keluarkan visa hari Isnin, Selasa dan Rabu. Isnin ini
libur Paskah, hari Selasa kami tutup"
"Tapi saya tak boleh tunggu seminggu. Waktu saya email ke kedutaan
dulu, mereka tak cakap pun pasal ni"
"Kami dah tampal notis di dinding dan maklumkan dalam akhbar tempatan.
Kamu patut tahu"
"Mana mungkin saya nampak notis di dinding dan surat khabar? Saya
tinggal di London"
"Saya tak dapat buat apa-apa, datang saja Rabu depan"
" Kalau saya ke sempadan, mungkin tak kalau saya dapat visa di sana?"
"Er, saya tak pasti. Tak… saya tak tahu. Kamu patut datang lagi Rabu
depan"
Keluar dari Albina |
Itu tadi penutup perbualan kami. Tapi keraguan dia jawab soalan terakhir
sangat menyakinkan tentu ada cara yang lain. Suatu jalan yang tak mungkin boleh
ditembusi, membayangkan kemungkinan lain bila di sempadan. Saya masih ada
harapan.
Saya habiskan petang itu dengan fikirkan solusi. Tak mungkin tunggu
seminggu di sini kerana tiket pesawat ke utara Brazil dan lanjutkan ke Rio hari
jumaat sudah saya tempah, mustahil saya boleh keluar dari Guyana masuk Surinam
dan Guiana Perancis untuk sampai ke Brazil dalam 2 hari. Satu lagi masalah lain,
Guyana cuma beri izin tinggal seminggu, pastilah terlebih tempoh kalau saya
terus menunggu.
Sehabis petang yang sangat sibuk itu (termasuk pergi ke
agen pelancongan, layari internet dan Skype ke kampung untuk lepaskan rasa
kecewa) saya sempat bayangkan beberapa pilihan:
1. Cuba ke sempadan dan lihat kalau-kalau mungkin boleh dapat
visa.
2. Terbang ke Belem (utara Brazil) dan gerak ke utara semula ke Guiana
Perancis (makan lebih kurang 2 hari)
3. Datang ke kedutaan lagi hari berikutnya
4. Patah balik dari awal dan habiskan seminggu jelajah Brazil (termasuk 4
hari trip bot ke Amazon) tapi lepaskan Guiana Perancis dan terlepas jumpa kawan
yang sangat saya impikan.
Saya pilih untuk tidur…
Esok sebaik bangun, saya fikir pilihan 3 memang mustahil,
jadi saya buang. Terfikir mungkin saya boleh tanya agen untuk trip Georgtown –
Paramaribo (ibukota Surinam) kalau-kalau saya boleh dapat visa di sempadan daripada
lakukan semua itu satu persatu. Pilihan 1 ini memang jauh dari pelan saya, tapi
itulah yang terdekat buat masa ini. Kalau masih tak berhasil, pilihan 2 adalah
penggantinya, dan saya simpan pilihan 4 sebagai langkah terakhir andai saya
terlepas pesawat.
Saya tinggalkan hotel tanpa keyakinan penuh, tapi dengan sikit harapan. Kemudian
ke agensi pelancongan yang dulu pernah rangkakan perjalanan saya ke Brazil dari
Georgtown dan tanyakan kemungkinan dapat visa di sempadan, tapi lelaki di situ
bilang ia tak mungkin.
Keluar Dari Albina |
Selepas bicara lanjut (termasuk merayu dengan air mata),
saya maklumkan kena tiba di Guiana Perancis hujung minggu ini juga (samaada
hidup atau mati). Lelaki itu simpati lalu bilang " jadi kamu kena ikut jalan
belakang" Saya terperanjat:
"jalan belakang? saya tak faham"
"jalan belakang itu ertinya kamu masuk tanpa visa"
"macam mana?"
"kamu jangan lintas sempadan, tapi ikut jalan belakang"
"OK, menarik, beritahu caranya"
"ada orang akan bawa kamu naik bot. Ia menuju Surinam, kamu akan
dijemput seseorang sebaik sampai di seberang dan akan dibawa ke Paramaribo.
"OK, berapa kosnya?"
"$75 untuk pengangkutan, $100 untuk polis."
"betulkah saya akan sampai ke Paramarobo?"
"ya, kamu pasti dapat ke Paramaribo tanpa periksa pasport, tapi
setelah di Paramaribo, kamu tanggung sendiri"
"OK, bila berangkat?
"Sabtu pagi."
"tak boleh esok?"
"tak, esok Good Friday, pemandu bot tak berkerja pada Good
Friday"
Saya gelihati bila dengar penyeludup pun ada hari libur, tapi lega juga
sebab masih ada pilihan walaupun ia tak ideal dan saya tak pernah tertarik
langgar undang-undang. Saya masih berharap dapat terbang ke Belem, jadi saya tanya
lagi ke agensi pelancongan tadi. Seorang perempuan yang nampak mesra pun bilang, saya
sepatutnya tanyakan hal itu sehari sebelum, kerana penerbangan ke Belem hanya
seminggu sekali dan jatuhnya pada pagi hari ini. Jadi saya terlepas… tapi dia masih
mahu bantu dan sarankan saya terbang hari Sabtu ini dari Boa Vista ke Manaus ke
Belem dan dari Belem ke Macapa, tapi dengan kos US$1200… Err…. tak kot, terima
kasih…
Jadi apa lagi selain jalan belakang?… cuma untuk kepastian,
saya tanyakan satu kompeni bas tentang soalan yang sama. Jawapannya sama
juga, lalu saya balik lagi ke lelaki tadi dan bilang saya nekad teruskan. Namanya
Bobby, dia yang akan jemput saya hari Sabtu ini dan saya harus bayar semuanya
hari itu juga. Itu sajalah caranya, dan demi keselamatan saya, hal ini saya
maklumkan ke beberapa rakan karib (tapi bukan ibubapa) tentang apa yang akan
saya lalui. Ayat terakhir dalam email saya berbunyi "kalau kalian tak
terima berita dari saya sampai Ahad, bererti saya sudah dalam
penjara"
Terpaksa tunggu sehari penuh lagi, dan Sabtu itu saya tunggu betul-betul depan
hotel jam 2.45pg. Ketika masuk pukul 3.30pg, dan ketika saya fikir Bobby mungkin
tak akan sampai, sebuah basmini tiba. Saya tergabungkan ke dalam bermacam-macam
orang, tua, muda, lelaki, perempuan, orang Brazil, orang Guyana… Entah di mana logiknya
mereka mahu rentas negara secara haram. Saya pernah terbaca dalam internet
kalau inilah jalan yang paling pantas untuk ke seberang sana daripada lintas
sempadan, jadi saya bayangkan mereka memang tak perlu visa untuk sekadar
berbelanja atau jumpa kawan sehari dua.
Keluar Dari Albina |
Saya berdebar, tapi rasa letih telah membuat saya tidur 2 atau 3 jam. Pukul
7.00pg, basmini berhenti di kawasan parkir. Bobby turun dan panggil saya:
"Hey kau, sini tempatmu!" Saya capai beg, lompat dan serahkan tambang
yang dah disepakati dulu ke Bobby. "OK, bayar tambang semuanya sampai ke Paramaribo,
sudah itu jangan bayar lagi walau apapun yang terjadi hinggalah tiba
Paramaribo. Di parkir itu, seorang lelaki tukarkan Dollar Guyana terakhir saya ke
duit Surinam, dan iring saya sampai ke teksi. Saya dibawa dengan teksi ke suatu
lokasi sejauh 5 minit di depan, sebelum berhenti di sebuah rumah. Lepas itu seorang
lelaki lain ambil beg saya dan arahkan saya ikut dia. Kami lintas halaman rumah
itu ke belakang.Nampak sungai yang penuh dengan bot-bot yang siap menunggu di
situ. Kami berjalan cepat dan beg saya dicampak kemas ke dalam bot yang siaga
berlepas. Semuanya sangat pantas (ambil masa 10 minit saja dari mula turun bas
hinggalah naik bot) dan sangat teratur. Saya kagum dan berfikir kenderaan yang lalu
jalur sah perlu ambil pelajaran dari sini.
Menyeberangi sungai itu hanya kira-kira 15 minit. Di tebing
sebelah sana sudah ramai yang menunggu dan jemput siapapun yang keluar dari bot
(atau terpaksa redah sungai separas betis). Saya patut bersyukur kerana sempat
gelintar internet, jadi dari awal saya dah tangalkan kasut dan singsing kaki seluar,
tapi tak berpeluang cecah air sebab ada seorang lelaki yang sangat cepat tarik saya dan
beg saya naik ke tebing. Saya yakin ini semua memang sebahagian khidmat Bobby, tapi
rupanya masih ada duit kopi. Saya enggan beri apa-apa kerana kebetulan ada teksi
berhenti di depan. Tapi lelaki itu menjerit "Aku akan cari kau bila kau
balik nanti!". Padahal saya tak merancang akan balik…
Dalam teksi, saya sempat bilang lebih 10 kali ke pemandu
itu kalau tambang dia sudah saya bayar. Saya yakin dia tak tipu saya, malangnya
saya silap… selepas bergerak beberapa minit, dia bilang saya tetap kena bayar. Malas
berbantah terlalu lama sebab saya sendiri tak tahu ke mana tujuan saya (yang
saya tahu ia sebuah stesen minyak) dan saya pun takut kalau dia turunkan saya
di tepi jalan. Saya tanya berapa dia mahu, dia minta 150 dollar Surinam (75USD)
kerana laluannya jauh. Saya sempat cakap pada diri saya sendiri "aku patut
ketawakan kau" tapi dia tak tahu. Sebaliknya saya terus tawar menawar sampai
merah muka hingga dia turunkan harga 75S$. Tapi saya tetap tak mahu bayar. Sekarang
barulah saya faham kenapa Bobby bilang jangan bayar apa-apa lagi walau apapun
yang terjadi. Ketika berbual dengan pemandu itu, saya nyatakan bahawa Bobby
pernah bilang jangan bayar ke sesiapa, tapi kalau dia tetap minta, suruh dia
tunggu atau telefon Bobby bila sampai di stesen minyak. Dia jawab Bobby takkan
datang jemput saya sampai pukul 1.00ptg atau 2.00ptg, dan dia pun tak sanggup
tunggu lama-lama (waktu itu jam 8.00pg), jadi saya cakap mungkin dia patut
datang lagi… akhirnya saya sampai ke stesen minyak itu.
Sebaik keluarkan bagasi, saya bilang tak akan bayar apapun
jadi dia patut tanyakan Bobby kalau dia mahu sesuatu. Dia terus pergi tanpa
buat kecoh. Saya rasa saya betul, saya tahu dia sekadar cuba nasib.
Keluar Dari Albina |
Lepas dari semua ini, saya tahu saya ada masa 6 jam buat tunggu
kenderaan seterusnya. Saya tak rasa telah biadap sikit pun, sekarang saya faham
kenapa perlu ambil masa sehari penuh untuk mencapai Parbo (pangilan ramai untuk
Paramaribo) . Nasib baik ada pangkin dan meja buat saya jamah makanan dan baca
buku untuk hiburkan diri... bas akhirnya
tiba dan sesetengah penumpang pandang saya penuh lucu bila saya naik semula.
Saya tak perasan awalnya kalau saya satu-satunya penumpang yang ikut jalan
belakang, padahal penumpang lain semuanya jujur "ambil feri dan ikut
sempadan rasmi". Bobby juga tak kelihatan, berganti orang lain yang entah
iya atau tak adalah saudaranya.
Saya duduk di bangku antara terdepan (di ruang yang masih
tinggal). Pemandu bas tanya bila saya akan 'balik'. Saya jawab tidak, dia
kelihatan terperanjat. Perbualan kami lebih kurang begini:
"Tapi kamu mesti kembali"
"Tak, saya akan ke Guiana Perancis"
"Tapi kamu tak cop pasport"
"saya tahu, saya pernah tanyakan ini di Georgtown,
mereka bilang tak mengapa"
"Tak, kamu mesti kembali, ataupun kamu dilarang masuk
Guiana Perancis.
"Tapi saya warga Perancis, tak mungkin mereka
melarang?"
"Ya, tapi kamu masuk dari Guyana, sekali ikut jalan
belakang, kamu terpaksa teruskan ikut jalan belakang sampai tiba semula ke
titik asal"
"Tapi saya tak boleh balik. Apa akan terjadi lepas ini?"
"baiklah kalau memang kamu mahu ikut jalan belakang sampai
Guiana Perancis, cakaplah baik-baik dengan mereka di sempadan"
"bagaimana kalau setelah tiba di sempadan, saya mengaku saja ikut
jalan belakang sebab tak dapat visa dan janji akan kembali?. apakah saya akan
diekstradisi ke mana-mana wilayah Perancis terdekat, Guiana Perancis contohnya?"
"Oh, tak. Jangan buat begitu! kamu akan ditangkap dan
dipenjarakan 2 hari. Kemudian dihantar pulang sama ada ke Guiana Perancis atau
mungkin di Guyana"
"Apakah mudah ikut jalan belakang ke Guiana
Perancis?"
"Ya, sangat mudah, Pergilah ke Albina, bandar di
sempadan, lalu ambil bot kecil, bukan feri.
Saya susah hati takut terpaksa patah balik sebelum sempat masuk
Guiana Perancis lagipun tak mungkin saya boleh lalu Brazil (sebenarnya tak
takut pun kalau tak dibenarkan masuk ke Guiana Perancis). Cuma saya nak
kepastian hingga saya betul-batul sampai seberang sana yang dah tak terlalu
jauh… Sebaik kami habis berbual, bas pun berhenti untuk pemeriksaan polis.
Fikiran pertama saya ialah "sekurang-kurangnya kalau saya ditahan 2 hari di
penjara, ada cerita menarik yang boleh saya kongsikan…"
Semua penumpang diminta turun dari bas. Saya cuba buat hubungan
mata dengan pemandu yang dah turun sebagai isyarat apa yang harus saya lakukan.
Walaupun duduk di depan, saya terpaksa beri laluan untuk orang lain turun dulu.
Dah terbayang kalau hari berikutnya saya bermalam di penjara. Beberapa
perempuan tak dapat keluar (sebab saya halang jalan mereka), jadi seorang dari
polis itu merapat ke tingkap untuk minta dokumen kami. Pemandu tadi ada di
sebelah polis itu. Saya serahkan pasport saya dengan rasa gugup. Polis ambil passport
saya dan kembalikan semula sambil berkata "silakan duduk". Saya pun duduk.
Orang yang lain naik semula. Perjalan dilanjut.
Begitulah cara saya peruntukkan "$100 untuk polis
" Orang lain yang duduk di dekat saya mula ketawa membayangkan betapa
seramnya situasi saya tadi, tapi syukur, saya lepasi halangan ini. Semoga tak
ada kendala yang lain lagi selepas ini...
Dua jam kemudian, bas turunkan saya di stesen bas
Paramaribo. Waktu itu lebih kurang jam 5 atau 6ptg, tapi saya mahu cepat dan segera
sampai ke Albina, walaupun saya yakin memang takkan mampu seberang sempadan
hari yang sama. Di Prabo, saya diserah ke beberapa lelaki yang kemudiannya
melepaskan saya ke seorang pemandu teksi, yang juga secara sambilan hantar
bungkusan KFC. Keretanya penuh dan saya sempitkan lagi dengan 2 perempuan
Surinam yang gemuk yang tak bercakap dalam bahasa apapun selain bahasanya
sendiri yang langsung saya tak faham. Selepas beberapa kali berhenti tengah
bandar untuk serahkan bungkusan (patutlah saiz keretanya sebegitu), kami terus
melaju ke Albina. Perjalanan makan masa 3 jam di jalan tar beralun (pada
kelajuan lokal yang gila). Saya harap perjalanan waktu malam dapat elakkan pemeriksaan.
Lebih sedikit 3 jam kemudian (termasuk mengganti tayar), kami sampai ke Albina
tanpa kawalan keselamatan. Setengah jam sebelum sampai, saya tanyakan pemandu
teksi, apakah mudah masuk ke Guiana Perancis ikut jalan belakang. Dia tanya
kenapa, jadi saya bilang saja tak ada
visa. Dia terjemahkan soalan saya pada penumpang lain sebelum semuanya ketawa,
kemudian bercakap-cakap 5 minit dalam bahasa mereka sendiri. Saya tak tahu apa
yang terjadi, dan tak fikir kalau saya pernah buat lawak, ataukah mungkin mereka teruja dapat satu kenderaan dengan pendatang haram. Akhirnya jawapan mereka pun
keluar: "ya, itu sangat-sangat mudah"
Saya putuskan tinggal semalam di Albina kerana sudah jam 9.30mlm dan lagi
pun saya pasti penginapan di sebelah Perancis jauh lebih mahal. Jadi pemandu
teksi itu (saya suka sikap dia sebenarnya walaupun cara dia memandu macam orang
gila, tapi itu tak terlalu menakutkan kerana ia terkawal) turunkan saya di depan sebuah
hotel di mana pemiliknya minta S$60 satu malam. Saya tahu ia munasabah dan saya
pun dah lelah, jadi saya terima saja. Mulanya saya tak sedar ada kereta polis
di kawasan parkir sampailah dia tunjukkan kawasan sekeliling dan bilang polis sedang
duduk di dapur. "jadi kau tak payah bimbang, kau selamat di sini sebab ada
polis bersama kita malam ini" Kelakar, kadang-kadang suatu yang jujur
mampu buat kita kaku bila sedang di posisi melanggar undang-undang!. Jadi apa yang saya buat malam itu?, saya
cepat-cepat kunci diri dalam bilik dan sembunyi sampai ke pagi…
Paginya saya bangun cepat kerana saya tak dapat jangka
berapa lama waktunya akan sampai Guiana Perancis. Seorang perempuan di hotel
nampak tersengih bila saya bilang saya tak perlu lalu kastam dan tanyakan dia mana
boleh dapat bot kecil. Tapi dia tak tanya apapun selain tunjukkan arah yang
betul. Di tepi tebing, pemandu bot ajak saya masuk ke dalam dengan biaya 5 Euro, yang
sememangnya mahal tapi saya tak ada mood untuk bantah, saya hanya mahu
tinggalkan Surinam secepatnya... Menyeberangi sungai ambil masa 5 minit dan
saya diturunkan betul-betul di depan pos Kawalan Sempadan Perancis seperti
arahan.
Masanya berkata jujur telah tiba bila lelaki dari PAF
(polis sempadan, dia sendiri yang betulkan kerana mulanya saya sangka pegawai
imigresen) tanya saya samaada mahu masuk atau keluar, saya serahkan pasport dan
bilang "mahu masuk, tapi masih ada masalah"
"Apakah itu?"
"Saya tak ada cop keluar dari Surinam dan Guyana"
"Sekurang-kurangnya ia jelas… tapi kenapa?"
"Sebab saya lalu jalan belakang"
"kenapa jadi begitu?"
"saya tak lalu sempadan"
"saya tak lalu sempadan"
Saya habiskan sepenuhnya cerita saya redah jalan belakang
di pejabatnya, termasuklah ceritakan pengalaman perjalanan saya selama ini. Dia
tak hirau langsung bagaimana saya 'dapat lakukan itu', dia cuma yakinkan
saya bahwa takkan ada masalah di imigresen jika masuk Brazil.
Dia mungkin seorang polis sempadan terbaik pernah saya
temui (sebanding dengan polis Kanada dua tahun lalu di Calgary). Dia berikan
saya banyak petua perjalanan di Guiana Perancis dan utara Brazil, ketika
hantarkan saya ke stesen bas (1.5km di depan) dengan kereta polis yang comel.
Sempat juga dia ajak singgah lihat pemandangan di Saint Laurent. Berbanding
tadi, saya kini rasa lega, senang dan bahagia bila sudah di Perancis.