بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





DILEMA BAHASA MELAYU - Antara Keegoan dan Kemandulan Minda

Baru-baru ini, seorang ahli parlimen kerajaan telah mengkritik Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) sebagai mandul minda kerana gagal memperkasa Bahasa Melayu. Menurut ahli parlimen itu, pengurusan DBP saat ini lebih cenderung meMelayukan istilah Inggeris daripada mencipta/meneroka istilah lain yang sedia ada dalam dialek-dialek rumpun Melayu.

Sambil memberi beberapa contoh, ahli parlimen tersebut menegaskan, cendekiawan DBP zaman dahulu lebih kreatif dan inovatif dalam memperkasa Bahasa Melayu.  Mereka sanggup menjelajah ke ceruk-ceruk terpencil di seluruh pelusuk Nusantara hinggalah beberapa perkataan dari suku-suku Melayu tertentu berjaya disebarluas dan dimartabatkan. 

Beliau menegaskan, beberapa istilah Inggeris yang telah diMelayukan DBP seperti  konsultansi, bajet dan kompleks sebenarnya telah wujud ertinya dalam Bahasa Melayu tapi sengaja mereka gunakan ekoran masalah kemandulan minda yang dihadapi badan itu. Beliau berpendapat,  terasa janggal bila menlafazkan kata 'kekompleksan'  (ke+kompleks+an) sedangkan kata 'kerumitan' telah sedia wujud dan dapat memberikan maksud yang sama.

Kata saya : Sebenarnya kedua-dua pihak DBP dan Kerajaan sama-sama bermasalah. Selama melanggan beberapa majalah terbitan DBP sejak lima tahun lalu, saya secara peribadi melihat DBP bukan sekadar tidak kreatif malah semakin selalu merumitkan keadaan.  Bahasa yang mudah menjadi sukar.  Jarang dicipta istilah baru yang berunsur Melayu.  DBP sebaliknya lebih suka memakai istilah Inggeris yang diMelayukan, DBP juga sering terkongkong dalam hukum bahasa yang mereka cipta.  Mereka kononnya berusaha memperkasa bahasa tapi sebenarnya mereka berfikir dalam bahasa Inggeris. DBP juga seolah-oleh melihat istilah baru yang keluar dari mulut pemerintah sebagai sesuatu yang wajib diikut. Dulu, tidak pernah wujud istilah bajet, glokal dan gurusuper digunakan dalam bahasa Melayu. Sekarang istilah itu dengan mudah mereka terima.

Secara peribadi juga,  saya merasakan tidak semua masalah itu boleh dituding kepada DBP, kerajaan juga sebenarnya turut berperanan menjadikan DBP semakin mandul.  Contoh mudah, lihatlah betapa banyak bahan rujukan berbahasa Inggeris (dan Cina) dalam pasaran Malaysia  saat ini.  Semuanya dibenarkan masuk tanpa kawalan dan tidak diterjemahkan sebagaimana yang seharusnya dilakukan oleh Institut Terjemahan Negara. Kerana itu, istilah-istilah baru yang dicipta DBP sekadar tersimpan dalam kamus. Umum tidak akan tahu kewujudannya.  Mereka telah terlebih mudah mendapatkan bahan berbahasa Inggeris kerana kebanjiran sumber ilmu dalam bahasa itu di negara ini.  Selain itu, keputusan kerajaan untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris juga turut membunuh kreativiti DBP.  Percayalah, selepas ini generasi Malaysia tidak akan kenal apa erti sebatian, kemasan, kebarangkalian dan lain-lain.  

Alumni-FAB

Kata orang, zaman belajar adalah zaman paling indah untuk dikenang. Mungkin betul... semalam, bersamaan cuti Deepavali telah berlangsung satu majlis pemilihan jawatankuasa ALUMNI FAKULTI ALAM BINA di tempat kami belajar dulu. Masing-masing sudah lama tak jumpa, dan bila bersua terbayanglah kisah lama sewaktu mengGILA bersama-sama. Terkenang pahit manis bergelar pelajar yang penuh sulit untuk lulus periksa. terbuka cerita lama sewaktu 'melancong/melencong' ke Langkawi dulu.. Hmmm.... Segalanya indah
Sayang, hanya segelintir rakan seangkatan yang dapat hadir. Maklum, ada di antara kami yang sudah berkeluarga. Ada juga yang telah terbang jauh ke seluruh pelosok negara. Hanya kami yang tinggal beberapa kerat di ibu kota bagi menyerikan majlis..

Buat kalian, saksikan...











TUNTUTAN WILAYAH - Siapa bijak?

Pandangan peribadi.

Saat ini, Malaysia dan Singapura sedang dalam proses perbicaraan berhubung tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih (Singapura: Pedra Branca). Bagaimana keputusannya? Kita tunggu sehingga ia diputuskan  sebelum bulan Jun tahun depan. Kedua-dua Negara sudah bersetuju menerima sebarang keputusan dan apa yang bakal diputuskan akan mengikat kedua-dua pihak 

Sedikit info, Pulau tersebut terletak sejauh 12.5km diluar pantai Johor dan 64km dari Singapura.  Saat ini, Pulau Batu Putih sedang ‘diperintah’ oleh Singapura kerana mewarisi kawalan yang pernah dilakukan penjajah British sejak 1844.  Malaysia mendakwa, pulau tersebut selamanya menjadi milik kesultanan Johor.  Kerajaan British (Singapura) hanya dibenarkan membina dan menjaga rumah api (marcu suar) saja.

Mungkin sekiranya faktor Pemilikan Efektif diambil kira dalam menentukan siapa pemilik sebenar, saya beranggapan Singapura tidak ada halangan untuk memenanginya. Ini berdasarkan penjagaan mereka sepanjang 150 tahun yang lalu semenjak negara itu dibawah kuasa British lagi. Tuntutun Malaysia bermula selepas peta terbaru Malaysia dikeluarkan pada tahun 1979.

Bagaimanapu faktor sama yang telah memenangkan Malaysia dalam kes tuntutan Pulau Sipadan dan Ligitan mungkin tidak boleh diterima sebagai bukti sahih pemilikan Singapura. Malaysia mendakwa, Singapura hanya diberi kuasa mengawal rumah apa, bukan menguasai kedaulatan pulau tersebut. Pulau Batu Putih bersama beberapa pulau lain telah diserahkan oleh Sultan Johor kepada British untuk pembinaan rumah api sejak 1840-an lagi. Bukti pemilikan Sultan Johor terhadap pulau itu sangat nyata berdasarkan keizinan itu.  

Pada tahun 2002, Pulau Sipadan dan Ligitan disahkan milik Malaysia berdasarkan faktor Pemilikan Efektif setelah kedua-dua bukti pemilikan yang didakwa Malaysia dan Indonesia ditolak mahkamah.  Malaysia mendakwa pulau-pulau tersebut merupakan sebahagian dari wilayah Sabah yang ketika itu berada di bawah kuasa kesultanan Sulu. Sabah kemudiannya dipajakkan oleh Sultan Sulu kepada British. Sementara Indonesia mendakwa pulau-pulau tersebut termasuk dalam wilayah Kesultanan Bulungan yang kini menjadi Provensi Kalimantan Timur, Indonesia. Kedua-dua bukti yang dikemukan Malaysia dan Indonesia tidak jelas dan tidak diterima dalam penentuan kes itu. 

Sementara itu, Malaysia juga terlibat dalam perebutan hakmilik terhadap sebahagian dari Kepulauan Spratly.  Kepulauan yang terdiri dari struktur tanah, terumbu karang dan beting pasir turut dituntut secara keseluruhan oleh China, Vietnam dan Taiwan dan secara sebahagian bersama Filipina. Sementara Brunei mendakwa satu dari terumbu karang di situ termasuk dalam wilayahnya. Bagaimanapun Brunei tidak membuat tuntutan secara rasmi.

Ketika ini, kesemua negara yang menuntut sedang berusaha mengukuhkan bukti pemilikan masing-masing mengikut cara yang dirasakan paling efektif. Antaranya seperti membina rumah api, membina kem tentera atau meletakkan beberapa orang tentera dan membina jeti pendaratan ikan. Malaysia bagaimanapun turut membina resort dan menjadikan beberapa struktur yang telah diduduki sebagai kawasan pelancongan. 


Nampaknya masing-masing negara punya cara. Entah cara mana yang lebih efektif dan paling berkesan.

Penemuan Prasasti Perjelas Sejarah Filipina

Ini satu prasasti yang telah temui di satu kawasan dekat Pulau Luzon, Filipina.  Perhatikan, tulisannya sama seperi aksara Jawa kuno. Penemuan Ini membuktikan hubungan erat yang pernah wujud di banyak kawasan seluruh Nusantara.  Prasasti ini menggunakan bahasa Sanskrit, Melayu Tua, Tagalog dan Jawa kuno yang bercampur aduk
Ikuti cerita lanjut di pautan ini:  http://www.bibingka.com/dahon/lci/lci.htm

Organisasi Bahasa Melayu di Filipina

http://blueboard.rimlife.com/malay/
Ini sebahagian usaha oleh rakyat Filipina untuk mempelajari bahasa Melayu yang mereka sifatkan sebagai yang bahasa lebih sesuai digunakan oleh masyarakat berbilang etnik di negara itu selain Tagalog. Mereka juga mendakwa Bahasa Melayu pernah digunakan di Wilayah mereka pada abad ke-9.

Hairan, sedang negara lain cuba mendalami bahasa Melayu, ada negara yang berbahasa Melayu tidak yakin akan kemampuan bahasa itu.