بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





ASAL-USUL MELAYU - Menurut Hikayat Patani

Penafian terhadap teori barat tentang Melayu kononnya dari berasal Yunan sebenarnya pernah tercatat dalam catatan Melayu sendiri. Hal ini mungkin tidak disedari orang Melayu dewasa ini hingga mereka menerima saja pandangan sarjana barat itu sebagai idea yang paling terpercaya.

Catatan saya ini merupakan suntingan dari Hikayat Patani (yang kini telah diolah dan ditulis semula menggunakan tajuk Sejarah Kerajaan Melayu Patani) dan sebahagiannya hasil ulasan saya berpandukan beberapa naskah buku-buku lama.

Hikayat Patani, dengan tanpa niat melawan idea Barat, pernah menggambarkan bahawa bangsa Melayu memang lahir di Nusantara. Bukannya berasal dari Yunan sebagaimana didakwa. Menurut hikayat itu, pada asalnya tanah semenanjung yang bermula dari Segenting Kra (Thailand sekarang), terawal dihuni oleh suku Sakai dan Semang.  Mereka berjiran dengan bangsa Siam yang menghuni bahagian utara (bangsa Siam bukanlah bangsa Siam-Thai seperti yang ada pada hari ini). Ketiga-tiga suku dari stok Austroasiatik yang mendiami tanah semenanjung ini bukanlah bangsa pelaut. Mereka lebih suka membina petempatan yang jauh di tengah daratan sesuai dengan sifatnya yang tidak maritim. Sampai ke hari ini, saki-baki suku Sakai dan Semang yang ada di Malaysia masih mendiami bahagian tengah Semenanjung. 

Hikayat Patani juga menceritakan tentang suku-suku terawal di Pulau Perca (Sumatera). Menurut hikayat itu, Pulau Perca dihuni oleh suku-suku Jakun dari stok Melayu Proto. Sesuai dengan kehidupan mereka yang mendiami pulau, suku-suku ini lebih maritim dan tidak takut berhubungan dengan air.

Tambah hikayat itu, penghijrahan orang-orang Hindu dari India yang lebih bertamadun mula berlaku di kawasan Nusantara  sejak sekian lama sebelum kelahiran Nabi Isa  s.a.w.  Penghijrahan mereka ke Nusantara menyebabkan banyak terjadi perkahwinan campur. 

Generasi baru hasil perkahwinan campur antara Hindu dan pribumi Semenanjung telah berhasil membuka negeri dan berkerajaan di beberapa tempat hingga lahirlah beberapa nama seperti Tambarlinggam, Garahi, Takula dan Langkasuka. 

Sementara itu, bangsa Siam  (yang turut  menerima pengaruh hindu) juga merupakan kerajaan yang kuat di wilayahnya. Kekuatan itu telah mendorong mereka beransur-ansur meluaskan kuasa ke selatan hingga akhirnya menenggelamkan dominasi generasi Hindu+pribumi Semenanjung.  Keberhasilan bangsa Siam ini terbukti dengan penubuhan beberapa kerajaan seperti Gangganegara di Beruas, Perak dan Genggaayu (Klangkyu) di Kota Tinggi, Johor. Kekuasaan Siam di Tanah Melayu telah berlangsung hingga abad ke lapan Masihi.

Di Pulau Perca, Generasi Hindu-Lokal di sana juga membuka beberapa buah kerajaan. Antaranya Kerajaan Melayu dan Srivijaya. Generasi baru hasil perkahwinan campur inilah yang dikenali sebagai orang-orang 'Melayu' yang sebenarnya bermaksud 'orang yang mulia'.  Di Semenanjung, orang-orang 'Melayu'  mula datang beransur-ansur dari Sumatera dan membuka petempatan di pinggir pantai. Mereka juga turut berhubung dengan orang-orang Siam yang membuka petempatan di daratan tengah Semenanjung. 

Ketika kekuasan Siam di Indochina mula melamah kerana asakan bangsa Thai yang datang dari Yunan, kekuatan Siam di Semenanjung turut terjejas. Hal ini mendorong orang-orang 'Melayu'  yang datang dari Srivijaya menakluk kerajaan-kerajaan yang pernah dikuasai orang-orang Siam itu. Kerajaan-kerajaan Siam di Sememnanjung yang di takluk Srivijaya itu tersebar hingga ke Nakorn Pathum di barat Bangkok ketika ini. Kedatangan orang-orang 'Melayu'  semakin berterusan hingga mengubah nama tanah semenanjung kepada nama Semenanjung Melayu.
 
Bagaimanapun Kekuasaan Sriwijaya tidak kekal lama  akibat penaklukan kuasa Majapahit dari Jawa. Hal ini menyebabkan Orang-orang 'Melayu' di Semenanjung terpisah dua. Bahagian utara ditakluk Thai hasil kejayaan kempen perluasan kuasa mereka setelah berjaya mengalahkan Siam. Manakala bahagian selatan dibawah takluk Majapahit. 

Menurut hikayat ini, Melayu hanyalah sekumpulan generasi manusia yang lahir hasil perkahwinan campur antara Hindu India dengan orang-orang Jakun di Sumatera. Melayu mendapat namanya dari kata 'melayu' yang bermaksud orang yang mulia. Catatan ini hanya sedikit penafian tentang teori asal-usul Melayu dari Yunan oleh Sarjana Barat. Saya percaya banyak lagi bukti lain yang masih belum dibongkar.

4 ulasan:

  1. Bagus, terima kasih

    BalasPadam
  2. Yea.. masih byk lg bukti asal usul melayu yg masih di bongkar.... teruskan usahamu.....

    BalasPadam
  3. Maksud melayu itu adalah berpindah atau brhijrah...bkan yg mulia...

    BalasPadam
  4. Haha nama siam sendiri masih baru .. Abad ke 13 .. Mana dtg abad ke8

    BalasPadam