Ini satu isu yang sangat menarik untuk diulas. Apalagi kerana ia bersangkutan dengan kerjaya saya di bidang pembangunan perumahan. Pada mereka yang kurang faham, biar saya jelaskan apa sebenarnya yang berlaku di sebalik isu ini.
Di Malaysia, sebarang projek pembangunan hartanah kediaman yang dijalankan dalam skala besar, telah disyarat oleh kerajaan supaya sekurang-kurangnya 30% mestilah dijual kepada pembeli Bumiputera. Diulangi, sekurang-kurangnya 30% untuk bumiputera (kecuali untuk beberapa projek di beberapa majlis tempatan seperti di Shah Alam dan Putrajaya). Manakala sebahagian besar bakinya (70%) boleh dijual kepada lain-lain kaum termasuklah warga asing.
Sebelum pergi lebih jauh, ada baiknya kita kaji bagaimana peratusan populasi kaum di Malaysia ketika ini. Tiga kaum utama yang mendiami negara ini ialah Bumiputera (65%) dan bukan bumiputera mengikut pecahan seperti Cina (25%), India (7%) dan bakinya dihuni lain-lain kaum. Secara logik, segala sesuatu yang perlu dikuotakan di Malaysia seharusnya mengikut nisbah populasi kaum di negara ini iaitu 65% Bumiputera dan 35% Bukan Bumiputera. Itulah yang lebih adil.
Bagaimanapun ketidakseragaman kuota telah banyak berlaku terutama dalam hal pemilikan harta. Bumiputera yang mewakili kaum terbesar diperuntukkan kuota yang sedikit manakala bukan bumiputera yang merupakan kaum minoriti dipeuntukkan kuota sehingga jauh lebih besar. Ketidakseragaman ini telah dibangkitkan Menteri Besar Kedah setelah Pas mengambil alih pemerintahan negeri itu.
Beberapa hari yang lalu, Menteri Besar (MB) Kedah secara tegas telah mempertikaikan kuota tersebut sekurang-kurangnya di negeri Kedah memandangkan bumiputera negeri itu melebihi 70%. Untuk itu beliau mencadangkan kuota bumiputera ditingkatkan kepada 50% kerana menurutnya amalan biasa mengikut kuota lama hanya mengundang lebih ketidakseimbangan kaum di kawasan-kawasan pertumbuhan. Ini seterusnya mewujudkan perpecahan dan tentunya mendatangkan kesan yang buruk di masa akan datang. Ia juga seolah-olah meniru amalan pecah dan perintah yang diterapkan penjajah – Cina di Bandar, Melayu di kampung dan India di ladang.
Hakikat sebenar dan mungkin ramai yang tidak tahu ialah; Sejauh mana kemampuan bumiputera untuk memenuhi kuota yang ditetapkan biarpun kuota itu hanya sekecil 30%?
Pengalaman saya selama bekerja di syarikat perumahan sehingga kini sangat menyedarkan betapa benarnya keadaan ini. Setiap kali ada projek perumahan baru dijual, setiap kali itu, ratusan pembeli akan datang dan ada kalanya sampai bergaduh sebelum rumah idaman dapat mereka miliki. Sayangnya, mereka yang berebut hartanah ini bukanlah pembeli bumiputera. Malah lebih teruk, tidak sampai pun 10% kuota bumiputera dapat dijual. Bagi kebanyakan pemaju, menanti pembeli bumiputera membeli produk mereka bagaikan menanti kucing bertanduk. Atas alasan ini, banyak pemaju mula melepaskan kuota bumiputera kepada bangsa lain.
Persoalannya: Bagaimana MB Kedah boleh meminta ditambahkan kuota Bumiputera jika keadaannya begini? Tentunya lebih banyak kuota bumiputera tidak akan terjual bukan?
Inilah kemelutnya. Bagi pihak MB Kedah sebagai pemerintah, memang sudah tugasnya menyediakan kediaman untuk seluruh warga. Dan kerana itu, beliau merasakan perlu kuota itu ditambah lebih-lebih lagi ketika kuota yang sedia ada tidak mencerminkan keadaan sebenar di negara ini. Dan bagi pihak pemaju, kesukaran memenuhkan kuota sedia ada menyebabkan mereka serta-merta membantah cadangan MB tersebut.
Jadi apa kata saya sebagai insan kerdil yang terlibat langsung dalam bidang ini?
Saya lebih merasakan pembangunan hartanah di Malaysia lebih banyak merugikan Bumiputera. Apa tidaknya, pembangunan di Malaysia pada saya banyak melibatkan pengambilan/penukaran kegunaan tanah dan dalam hal ini, tanah kampung/pertanian milik bumiputera yang lebih banyak terlibat. Malah kubur Islam sendiri lebih banyak dipindahkan kerananya. Jarang kita dengar kuburan satu kaum terkaya di Malaysia diperlakukan sebegitu untuk alasan serupa. Tidak sekadar itu, mereka kini dibenarkan membangun perkuburan menjadi bagaikan pusat pelancongan atas nama taman peringatan. Seperkara lagi, Tanah Rizab Melayu yang sememangnya termaktub dalam perlembagaan sebagai pemilikan orang Melayu juga sewenang-wenangnya diambil kerajaan dan statusnya ditukar menjadi rizab antarabangsa konon untuk kemajuan. Agak sedih, Rizab Melayu yang telah diambil itu telah digantikan dengan satu kawasan lain yang jauh terperuk ke hulu dan terpencil dari sebarang kemajuan. Malah mungkin ada yang tidak diganti langsung.
Satu contoh yang pernah terjadi, Kampung Sungai Kiah (bukan nama kampung sebenar) yang terletak dipinggiri Kuala Lumpur merupakan satu kawasan penempatan yang telah di diami masyarakat Melayu puluhan tahun dahulu. Kini kawasan itu telah dipindah milik kepada satu syarikat pemaju untuk dibangunkan tanpa disedari penduduk kampung. Sedangkan tanah yang mereka diami itu telah disahkan tanah kerajaan dan cubaan memohon mendapatkan geran hak milik ke atasnya pernah dilakukan beberapa kali malangnya tidak pernah dilayan serius oleh pihak berwajib. Tahu-tahu tanah yang telah mereka dirikan rumah, mereka usahakan dengan tanaman dan ternakan, mereka mohon bekalan api dan air dan mereka jaga bagaikan kampung sendiri biarpun tidak sempurna, rupa-rupanya telah diberi milik kepada pihak lain hanya kerana pihak itu punya RM.
Isu sama kini berlaku di Kampung Baru Plentong Tengah di Johor Bahru.
Suka tidak suka, mereka terpaksa berpindah kerana status mereka kini sudah jadi penceroboh. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa melihat tanah yang pernah mereka teroka, tanah yang mereka duduki 100% kini tidak dapat dipertahankan. Sedikit demi sedikit hak mereka terpaksa dikongsi bersama kaum lain yang asalnya mendatang. Mengikut ketetapan pemerintah, mereka diperuntukkan sekurang-kurangnya 30% saja dari keseluruhan tanah yang pernah diduduki itu. Kalau mereka mahukan lebih, jarang ada pemaju yang sudi berikan hak itu kepada mereka dengan harga diskaun Bumiputra. Lebih baik pemaju berikan kepada kaum lain yang sanggup membayar penuh.
Dan satu lagi ketetapan kerajaan yang asalnya bermaksud membantu golongan berpendapatan rendah ada kalanya turut dimanipulasikan pemaju. Ketetapan itu ialah 10% Rumah Kos Rendah (luasbina 650kaki persegi) mesti disediakan pemaju di setiap projek pembangunan yang mereka bangunkan. Ketetapan ini telah digunakan sebaik mungkin supaya mereka dapat memenuhkan sekurang-kurangnya 10% dari 30% kuota bumiputera yang ditetapkan kerajaan. Hasil kebijaksanaan itu, pemaju kini hanya bertanggungjawab mencari 20% baki kuota Bumiputera untuk mencukupkan syarat kuota yang ditetapkan dan baki kuota itu diperuntukkan kepada 90% unit kediaman lain yang berkos lebih tinggi.
Malangnya tidak ramai bumiputera yang berkemampuan memiliki 90% unit kediaman lain yang berharga lebih tinggi yang dibina pemaju. Di sinilah bermula permainan tarik tali antara pemaju dengan pemerintah - Pemerintah mahukan kuota, dan pemaju mendakwa kuota tidak dapat dipenuhkan atas alasan kesukaran mendapatkan pembeli bumiputra. Hakikat bahawa mereka membina kediaman dengan harga di luar kemampuan bumiputera tidak disebut. Dan mereka pula pada masa-masa tertentu mendesak kerajaan menaikkan paras harga biarpun harga sedia ada sendiri sudah sukar dimiliki bumiputera. Jadi untuk siapa rumah-rumah itu?
Ketika kenaikan harga minyak yang mendadak baru-baru ini, Persatuan pemaju perumahan Malaysia (Rehda) menuntut kerajaan sekali lagi menimbangkan kenaikan harga ekoran kenaikan bahan binaan yang turut meningkat. Anehnya ketika kerajaan menurunkan harga minyak, harga barang yang didakwa meningkat itu tidak pula berkurangan. Jadi jika begini keadaannya, bagaimana kuota bumiputera dapat dipenuhkan? Saya percaya, Rehda lebih suka jika kerajaan hapuskan saja kuota bumiputera itu.
Dan dalam kemelut yang tidak tahu puncanya ini, MB Kedah keluar dengan ideanya yang sukar difahami sesetengah pihak. Saya berterima kasih dengan idea bernas MB itu. Ia sekurang-kurangnya menuntut agar pemerintah pusat berfikir tentang apakah punca sebenar di sebalik semua ini. Selama ini di setiap permintaan Rehda diterima, maka sekali ini cubalah tidak dilayan permintaan itu sebaliknya biarlah diberi tekanan agar mereka berfikir bahawa tidak semudah itu mendapat paha sesudah dihadiahkan betis kepada mereka.
Diharap idea MB kedah ini berjaya merungkai apa sebenarnya yang berlaku disebalik permasalahan ini.