بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Belajar Dalam Bahasa Inggeris: 100,000 Murid Bakal Tecicir

Saya dapat fakta ini dari satu surat pembaca dalam Berita Harian 1 Disember 2008. Sumbernya dari mana, tidak pula dinyatakan. Andai ini benar, sahihlah telahan ramai pencinta Bahasa Melayu selama ini. Dan andai ini benar, tentunya ia satu fakta yang bakal digelapkan kerajaan bagi menutup malu atas keterlanjurannya selama ini yang telah tergamak menginggeriskan pendidikan di Malaysia.

Penulis (Adi Putera) menyebut dalam suratnya bahawa kira-kira 100,000 murid tahun satu (setelah enam tahun program PPSMI dijalankan) didapati tidak mampu menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Jumlah ini mewakili 23% dari keseluruhan murid tahun satu di seluruh negara.

Bayangkan betapa besarnya jumlah jiwa yang harus dikorbankan demi memenuhi kehendak sebilangan pemimpin Melayu yang berangan menjadi Mat Saleh.

Baru-baru ini pun Menteri Pelajaran telah berjaya mengaburi mata rakyat Malaysia dengan memanipulasi angka kononnya pencapaian UPSR untuk dua subjek yang diajar dalam bahasa Inggeris naik mendadak berbanding tahun sebelumnya. "Memeranjatkan!!" katanya bangga sambil berniat menutup mulut para pencinta bahasa. Menurutnya lagi, jumlah murid yang memilih menjawab dalam bahasa Inggeris meningkat ratusan kali ganda.

Rupanya rakyat terbodohkan bila fakta sebenar hanya 30% pelajar menjawab dalam bahasa Inggeris sedangkan 100% waktu belajar mereka telah dilakukan dalam bahasa itu selama enam tahun.  Hairan bukan? sudah enam tahun belajar dalam bahasa Inggeris, hanya 30% pelajar yang mampu menjawab peperiksaan dalam bahasa itu. Tapi itulah angka yang cukup dibanggakan dan ia dibandingkan dengan peratusan pelajar tahun-tahun sudah yang belajar dalam Bahasa Melayu. Adilkah membandingkan buah epal dengan rambutan?

Kata saya: Belajarlah mengenal jati diri wahai pemimpinku. Kreativiti datang dari akal, akal datang dari daya fikir, daya fikir terlintas dalam bahasa ibu dan dibajai dengan ilmu. 

Saya tidak berfikir dalam bahasa Inggeris sewaktu kali pertama belajar melukis pokok. 

Percayalah, Enjin diesel belum pernah boleh berfungsi dengan minyak petrol.

6 ulasan:

  1. sal suka dengan pepatah kata faz. Enjin diesel belum pernah boleh berfungsi dengan minyak petrol. NAMPAK SAH MEREKA TU PEMBOHONG BESAR ya faz..
    inilah kadang kadang sal terkedu dengan kata2 saudara sal disana. kalau dilakukan sejak mula, mungkin tidak jadi hal faz. tapi ini secara tiba tiba. itulah yang buat pelajar *terencat* dengan kejutan. padahal mereka ni cerdik tp mereka yang ( sperti kata faz yang berangan nak jadi mat salleh) itulah punca utama kelemahan pelajar pelajar kecil kita. kasihan mereka faz. mereka lebih stress dari kita yang bekerja...

    BalasPadam
  2. Saya sendiri selalu berbahasa inggeris... bukan kerana berangan nak jadi Mat Saleh bukan juga lupa jati diri tetapi ia suatu keperluan.......tapi artikel di atas memang kejutan buat saya

    BalasPadam
  3. Kita sebenarnya selalu tersilap tafsir erti 'KEPERLUAN'.

    Saya suka berkongsi cerita di syarikat tempat saya berkerja. Untuk pengetahuan Yuli (Yuliaamisha), saya bertugas di sebuah syarikat pemaju perumahan 100% milik Bumiputra. Biarpun 99% kakitangan syarikat berbangsa Melayu, malangnya bahasa Inggeris (BI) adalah satu bahasa utama di sana. Segala memo antara staf, surat perlantikan, laporan, kursus dan segala sesuatu semuanya dalam BI. Dalam hal ini, adakah BI dikira satu keperluan jika semua kakitangannya berbangsa Melayu? Adakah tidak ada seorang pun yang faham jika Bahasa Melayu digunakan?

    Dalam hal perjalanan syarikat, Kami berurusan dengan berbagai perunding luar termasuk, arkitak, perunding ukur (bahan, tanah, bangunan), perancang bandar, agensi pengiklanan, pengamal media dan lain-lain termasuk agensi kerajaan. kesemua ini adalah syarikat tempatan yang memang menjadi polisi kami mengambil syarikat bumiputra. Adakah ketika ini BI masih merupakan satu keperluan jika urusan dengan pihak luar pun masih lagi dalam lingkungan rakyat Malaysia - bangsa melayu lagi? Kami tidak pun berurusan dengan perunding luar nagara.

    Produk syarikat kami iaitu hartanah (kediaman, komersil, dan lain-lain harta) pula dijual kepada berbagai keturunan. Majoriti berbangsa Cina dan sedikit keturunan Melayu dan India. Kesemua mereka 99.9% adalah RAKYAT MALAYSIA. Hanya sedikit warga asing yang berminat tetapi dikenakan pelbagai aturan oleh kerajaan. Dalam situasi ini, adakah BI masih dikira satu keperluan.

    Cuba bertanya berapa banyak syarikat lain di Malaysia terlibat dalam urusan antarabangsa?

    Saya tidak kata BI bukan keperluan, tapi biarlah berpada-pada. Jangan biarkan bahasa Melayu jadi bahasa suku kaum saja.

    BalasPadam
  4. Kenyataan Fazli di atas adalah benar dan pun berlaku di tempat saya... jadi apa tindakan Fazli? ( juga terpaksa akur kan?)

    hmmmm.... syarikat saya bekerja ada berbagai bangsa.. melayu, cina, india, serani dan sedikit "orang putih"... memang kami tidak berurusan dengan syarikat dari luar negara... tapi pihak atasan telah menjadikan BI sebagai bahasa perantaraan dan segala urusan pejabat dan saya cuma akur...

    Tetapi jika setiap kali urusan melibatkan badan kerajaan sayalah yang kena menulis surat berbahasa Melayu... Bos hanya bagi draft berbahasa inggeris dan saya alih bahasakannya kepada bahasa melayu... nampaknya agak jelas bahasa melayu telah di pinggirkan dan di gunakan untuk sebab- sebab tertentu sahaja..

    mungkinkah suatu hari nanti bahasa melayu akan jadi bahasa etnik sahaja pada masa akan datang?

    BalasPadam