بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Tamu dari Jakarta




Malam Rabu; 25hb Mac yang lalu, saya menerima kunjungan 2 orang tetamu dari Jakarta. Tetamu ini juga adalah rakan di Multiply. Merupakan yang ke-3 dari Indonesia sesudah Bambang Priantono (Nono) dan Karim. Ternyata Multiply benar-benar menyatukan rakan dari banyak negara. Terima kasih Multiply.

Secara jujur, saya sedikit gusar menerima kunjungan tetamu ini kali ini. Maklum, pengunjung yang bakal datang ke mari belum pernah saya kenal secara jelas. Seingat saya, kami saling lokek menghantar komen, jauh sekali berbalas pesanan secara maya. Malah, dia telah saya kelaskan sebagai satu dari puluhan kontak-kontak saya yang tidak aktif. Bagaimana gerangan orangnya juga belum dapat saya bayangkan. Cuma sesuai dengan hukum bermasyarakat; tetamu harus dihormati, jadi saya tetap sambut kedatangannya dengan tangan terbuka dan lapang dada.

Ternyata tamu kali ini, Arifien (Ipin) dan Achmad Maulana (Mat) juga sangat bersabahat. Tak kalah riuh berbanding Nono dan Karim. Alhamdullillah, hingga kini saya sering ditemukan dengan sahabat-sahabat yang baik. Senang rasanya punya ramai kenalan. Syukurlah kepada Tuhan.

Saksikan telatah mereka di sini.

Melayu Malaysia Telah Sakit

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Di atas adalah gambar-gambar untuk beberapa buah risalah yang telah saya kutip semasa berlangsung pameran pelancongan Matta Fair di PWTC minggu lepas. 

 

Apa agaknya yang ingin saya komen kali ini?

 

Perhatikan:

Gambar 1 hingga 3 di atas merupakan risalah yang dikeluarkan oleh syarikat pelancongan milik bukan bumiputra (barangkali milik pengusaha keturunan Cina berdasarkan bahasa yang digunakan). Manakala gambar ke-4 adalah risalah dari syarikat pelancongan milik bumiputra Melayu.

 

Contoh ini menceritakan apa sebenarnya yang sedang berlaku pada nasib bahasa Melayu di Malaysia. Tidak ada satupun keterangan berbahasa Melayu dalam risalah ke-4 itu. Jelas bukan, Syarikat milik orang Melayu sendirilah sebenarnya yang secara senyap telah mengetepikan bahasa Melayu,  Tetapi tidak bagi pengusaha Cina, mereka dengan bangganya menyediakan penerangan dalam bahasa mereka selain bahasa Inggeris.

 

Ini hanya contoh kecil bagi membayangkan betapa seriusnya penyakit rendah diri yang dialami sebilangan besar orang Melayu di Malaysia. Keadaan seperti ini telah berlaku dengan sangat luas di banyak bidang.

 

Di sisi yang lain, berkat usaha para pengusaha Cina yang lebih percaya diri, yakin dan hormat atas keberadaan bangsanya, bahasa Cina kini sangat dominan dan dapat dilihat di setiap ceruk di seluruh pelusuk negara.  Sekaligus menenggelamkan penampilan bahasa Melayu, sebuah bahasa yang diangkat menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tunggal negara - bahasa yang kini melukut di tepi gantang.  Jadi salah siapa?

 

Saat ini penutur aslinya mula menghadapi krisis keyakinan yang maha kronik. Mereka melihat sesuatu yang menjadi milik bangsa lain lebih indah, berdaya maju, moden dan penuh gaya.  Mereka rasa tertinggal kalau tidak bercakap Inggeris. Mereka terasa bodoh bila berbahasa Melayu. Jadi mereka gadaikan apa yang mereka warisi selama ini.

 

Apa sudah jadi, Melayu Malaysia kini telah sakit.

Perhimpunan Mansuh PPSMI

Demi cintaku pada Bahasa Melayu.

Ini salah satu aktiviti kami para pencinta bahasa demi menuntut dikembalikan kedaulatan bahasa Melayu di persada selayaknya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tunggal negara. Biarpun badan berkeringat, mata berair dan gatal-gatal muka kerana terdedah semburan gas pemedih dan basah badan disiram cecair kimia oleh Polis Diraja Malaysia, namun ia tetap tidak melemahkan semangat kami demi menuntut kembali hak-hak dan maruah yang telah dicabul.

Sayangnya perarakan ke Istana bagi menuntut campur tangan Yang Dipertuan Agung telah gagal setelah konvoi kami disekat sejauh 100 meter sebelum sampai ke lokasi. Pun begitu kami takkan berputus harap. Lihatlah aksi-aksi berani kami ini.

Saksikan:-