بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Catatan setahun sepanjang 2009

Tahun 2009 baru saja melabuhkan tirai. Saya percaya ramai antara kita yang punya cerita terpenting yang terjadi sepanjang tahun. Di bawah ini, saya catatkan peristiwa terpenting yang berlaku pada diri saya sendiri sepanjang 2009.

Hayati :-

 

Januari 2009

2009 dimulai dengan penuh rasa gembira. Saat ini, kedua orang tua saya telah selamat menunaikan haji di tanah suci dan selamat kembali ke tanah air. Pun begitu, kepulangan ke tanah air kedua orang tua saya telah mewarnakan sesuatu yang baru dalam kehidupan kami 8 beradik anak-anaknya. Apapun kisahnya, biarlah saya simpan dalam hati buat panduan menjaga hubungan persaudaran sedarah daging pada masa depan.

 

Februari 2009

Februari merupakan bulan pertama langkah perjalanan saya. Biarpun tidak jauh,  ia tetap membekas dalam hati kerana watak yang terlibat mengiringi saya merupakan dua sahabat terdakat . Terima kasih buat Najib dan Syahrir atas kesempatan kalian dalam acara memperkukuhkan ukhuwah persahabatan di Bukit Merah, Krian, Perak.

 

Mac 2009

Saya menerima kedatangan Arifien, teman Multiply dari Jakarta bersama sahabatnya Maulana. Kehadiran mereka menambah lagi koleksi kenalan internasional saya. Maaf atas layanan saya yang terlalu kurang buat kalian.

 

April 2009

Saya terima lagi kunjungan 2 kumpulan tamu dari Jakarta sepanjang bulan ini. Buat Adelina, Muthia, Maria Handayani, Adi Nugroho, Candy dan Ferna, kunjungan kalian sangat dialu-alukan. Semoga kita bertemu lagi di lain masa.  

 

Mei 2009

Langkah kedua perjalanan saya bermula. Kali ini perjalanannya lebih dekat lagi biarpun sebenarnya di seberang laut. Terima kasih buat Salbiah, Koosam dan Yanie atas layanan anda sepanjang saya di Singapura. Buat Sal, terima kasih atas hadiah hari jadi yang tak ternilaikan. Tak lupa juga buat buat sahabat saya, Syahrir kerana sudi memenuhi undangan untuk sama-sama ke pulau singa. 

 

Jun 2009

Langkah perjalanan diteruskan. Kali ini saya ke Kudus (Jawa Tengah) dan Malang (Jawa Timur), Indonesia. Sedikit sebanyak kunjungan saya mampu mengembalikan jiwa kejawaan yang kian terhakis dalam diri ini. Bangga rasanya dapat menjejakkan kaki ke tanah leluhur datuk nenek saya. Alhamdullillah misi usai bersama seribu kenangan yang mengesankan. Buat keluarga Agos, terima kasih atas layanan tak terhingga sepanjang saya di Kudus. Khas buat Bambang Priantono, ternyata persahabatan kita tak terkalahkan oleh sekian banyaknya hal negatif yang mendatang. Terima kasih atas layananmu sepanjang saya di Malang. Om Cik sangat terhutang budi.  Tak lupa dalam bulan ini juga, sahabat saya Najib selamat diijabkabulkan dengan pasangannya. Tahniah untuk itu.    

 

Julai 2009

Langkah perjalanan saya terus melebar ke utara, ke mantan sebuah pulau Melayu yang kini hilang melayunnya. Pulau Phuket, Thailand terlalu hebat untuk digambarkan. Keindahan ini dapat saya kongsikan bersama teman-teman multiply dari Indonesia, Terima kasih buat Maulana, Arifin dan Andik atas kesempatan itu.

 

Ogos 2009

Buat pertama kalinya saya saksikan sendiri sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Indonesia di ibukotanya, Jakarta. Terima kasih buat dua watak utama yang terlibat; Maulana dan Karim. Terima kasih juga buat watak-watak lain; Alam, Arifien, Adi Nugroho, Candy dan Sri Andalas (Awang) kerana sudi meluangkan masa buat saya selama di sana.

 

September 2009

Perubahan besar dalam kerjaya saya telah berlaku. Saya ditukarkan jawatan ke jabatan lain yang terlalu asing. Akan saya sambut cabaran itu.

 

Oktober 2009

Aidilfitri dirai. Hikmahnya besar buat kami 8 beradik . Saya percaya pada pepatah “air dicincang tak akan putus”.  Semoga apa yang berlaku jadi penduan dalam menjaga hubungan sedarah ini.

 

November 2009

Batam menjadi lokasi perjalananku seterusnya. Terima kasih buat Agus di Sikupang yang sudi menerima saya sebagai tamunya selama di pulau duit itu. Sayangnya Batam sudah tidak asli.  

 

Disember 2009

Hujung tahun datang lagi. Sebagaimana tahun-tahun sudah, masih ada lagi hal penting yang belum mampu saya lakukan. Biarpun terdetik rasa sesal, kedatangan hal-hal lain secara mendadak ternyata memberikan sedikit rasa manis untuk dikenang. Ini termasuklah hal kedatangan teman dari Jakarta buat ke sekian kalinya. Buat Karim, terima kasih sudi datang lagi melihat saya di sini. Buat Alam, kehadiran mu mengeratkan ukhuwah antara kita. Terima kasih atas kenangan manis yang kamu sajikan. Dan kunjungan kita ke Langkawi ternyata menjadi pelengkap siri perjalanan saya sepanjang tahun ini. Ternyata tahun 2009 memberikan catatan terbanyak dalam diari perjalanan saya.

Satu ketika di Pulau Lagenda

Ini foto-foto kenangan saya sewaktu melancong ke Langkawi bersama teman-teman dari Indonesia dan Filipina dalam rangka melayani kedatangan mereka ke Malaysia.

'Candaan Lebay' mereka masih segar dalam ingatan, dan sekarang jadi manis untuk dikenang. Terima kasih atas kesempatan mengenal kalian.

Lihat...

Di Pantai Chenang
 
Jadi tumpuan

berlabuh kapal persiaran

gayat
bertaburan pulau-pulau kecil
 
jambatan di udara
Tingginya...

Ini saya


rombongan kami

Ini Karim

Lihat sana, nampak Thailand.

senja

di puncak Macincang

mendaki

Indonesia - Filipina - Malaysia

Alamiah Langkawi bersama Alam

'fotokan aku'.

'ang pangalan ako ay Neol'
 

SOSIOLINGUISTIK THAI DAN LAO

Ini adalah sambungan siri pertama berjudul Bahasa Thai dan Lao. Perlu diingat, artikel ini adalah teks terjemahan daripada teks asal berbahasa Inggeris yang sengaja saya terjamah bertujuan untuk memperbanyakkan lagi kajian ilmu kebahasaan dalam bahasa Melayu.
 
Thai dan Lao hanyalah dua dari sekian banyak bahasa-bahasa rumpun Tai dalam wilayah yang merangkumi empat buah negara; Thailand, Laos, Myanmar dan Vietnam. Semua bahasa dalam rumpun ini miliki kosa kata, tata bahasa, dan stuktur nada yang serupa. Pun begitu, Bahasa Thai dan Laolah yang paling banyak dikaji berbanding bahasa-bahasa lain. Terdapat juga sedikit buku-buku atau kertas kerja tentang bahasa Shan, Thai Dam, Phuan, dan lain-lain bahasa rumpun Tai.

Thai dan Lao menjadi bahasa yang dominan di negara masing-masing atas alasan yang sama dengan mana-mana bahasa yang dominan: Etnik yang menuturkan bahasa ini mendominasi politik, lalu bahasa mereka dianggap standard. Bahasa lain selainnya tetap dituturkan tapi dianggap bahasa setempat atau bahasa kampung dan kurang diperhatikan oleh etnik dominan.

Sedikit sejarah tentang Thai dan Lao. Orang Thai Tengah, merupakan etnik dominan di sepanjang lembangan sungai Chao Phra Ya di bahagian selatan manakala etnik Lao mendominasi lembangan sungai Mekong di utara. Bahasa-bahasa lain samaada dalam rumpun Tai atau tidak, hanya dianggap bahasa minoriti atau ‘dialek daerah’ seperti yang disebutkan di Thailand sekarang.

Sejarah ringkas suku Isan: Bahagian Timur Laut Thailand dihuni etnik Lao. Bahasa pertuturan mereka juga adalah bahasa Lao. Namun secara rasmi, mereka menyebut diri mereka sebagai Isan atau Thai-Isan. Perubahan istilah dari ‘Lao’ ke ‘Isan’  bermula pada tahun 70an ketika negara Laos menganut fahaman komunis. Tentera Thai waktu itu bermati-matian mengawal kawasan sebelah mereka. Bimbang penduduk Timur Laut akan simpati pada Komunis Laos kerana persamaan etnik, Kerajaan Thailand memulakan kempen mengubah identiti mereka dengan cara menukar istilah ‘Lao’ menjadi ‘Isan’. Kempen itu dilihat berjaya kerana ada penduduk Timur Laut yang tak tahu bahawa bahasa mereka sama seperti bahasa yang dituturkan di Laos ketika ini. (ada juga orang Isan yang tatap menganggap diri dan bahasa mereka sebagai ‘Lao’)

Di Mana Penutur Lao / Isan? – Di Thailand, hampir semua suku Isan adalah kelompok dwibahasa Lao/Isan dan Thai. Mereka gunakan bahasa Thai di sekolah, pejabat kerajaan dan kawasan perniagaan di bandar-bandar di seluruh kawasan suku Isan, bahkan di mana-mana saja di Thailand. Tapi tetap berbahasa Lao atau campuran Lao dan Thai di rumah.  Tak semua orang Timur Laut boleh berbahasa Lao dengan baik. Sebenarnya bahasa atau bahasa pertuturan manusia bergantung pada latar belakang keluarga: Mereka yang secara tradisi lahir dalam keluarga Lao/Isan biasanya boleh berturut bahasa itu dengan fasih. Sebaliknya keluarga Thai yang berpindah ke wilayah Isan dari kawasan tengah, tetap berbahasa Thai. Mereka hanya mampu berbahasa Lao/Isan jika menjalinkan hubungan rapat dengan suku Isan dan merasa perlu atau terdesak mendalami bahasa itu.

Sebilangan orang Thai Tengah yang tinggal di luar wilayah Isan boleh memahami bahasa Lao/Isan atau sekurang-kurangnya tahu sesetengah kata dan frasa dalam bahasa itu. Biasanya, mereka ini pernah tinggal di Isan atau Laos atau berkahwin dengan suku Isan atau Laos atau mungkin pernah berkerja atau bersekolah sama-sama dengan suku Isan dan ada kesungguhan mendalami bahasa itu.

Siapa bertutur bahasa Thai di Laos? Di Laos, mereka yang tinggal dekat sempadan Thailand boleh mamahami bahasa Thai walaupun tutur mereka kurang lancar. Ini kerana, pemahaman mereka bergantung kepada siaran TV dan radio Thailand semata-mata. Semakin menjauhi sempadan, pemahaman bahasa Thai semakin kurang. Pemancar yang baik mungkin perlu dipasang untuk menangkap siaran Thailand di sana. Etnik Lao mampu menikmati siaran TV dan muzik Thailand kerana kedekatan budaya. Mereka yang bertutur bahasa Thai mungkin pernah belajar dan kerja di Thailand, berkahwin dengan orang Thai, berasal dari keluarga Lao-Thai atau sering ke Thailand atas urusan bisnes. 

Sikap: Sebelum kegiatan ekonomi dan pendidikan memuncak menjelang tahun 80an, suku Isan dicap kekampungan oleh orang-orang Thai Tengah, tapi sejak meningkatnya hubungan dan pembangunan menyeluruh seluruh Thailand, majoriti warga Thai kini lebih terbuka dalam hubungan sesama etnik. Saat ini, jarang orang Thai Tengah memendang rendah kepada orang Isan walhal perkara ini terjadi terang-terangan sebelumnya. Rasa hormat akan bahasa dan budaya Isan/Lao (juga terhadap bahasa dan budaya penduduk Utara dan Selatan) telah meningkat bertahap menerusi promosi aktif terhadap budaya masyarakat lain selain masyarakat Thai Tengah yang dilakukan kerajaan dan Universiti-universiti.

Masa depan suku Lao: Setelah Negara Laos membuka hubungan dengan dunia bukan komunis pada 1990, wujud kebimbangan akan hilangnya bahasa Lao memandangkan pengaruh Thailand terhadap ekonomi dan budaya di Laos terlihat aktif. Sebenarnya ini tidak berlaku kerana China lebih besar pengaruh ekonominya di Laos berbanding Thailand.  Buat masa ini, bahasa Lao masih dikatakan kekal kukuh di Loas atas beberapa sebab:  

1. Kerajaan Laos melarang bahasa Thai diguna dalam media dan di sekolah-sekolah.

2. Akhbar, buku dan rancangan TV dan Radio dalam bahasa Lao tersebarkan seluruh Negara.

3. Orang Laos menganggap mereka berbeza dengan Orang Thai. Identiti mereka terserlah melalui budaya dan bahasa. Mereka bangga melestarikannya.

Secara praktis, kedua bahasa-bahasa ini sangat rapat kaitannya hingga ramai orang Laos mangambil kosa kata Thai dengan mudah, terutama slanga, kata-kata popular dan bidalan yang sesuai dangan konsep moden. Masa berganti masa, kian lama kian sulit bila semakin ramai warga Laos menyebut ‘mai’ berbanding ‘baw.

Tidak sedikit orang Isan yang sanggup lestarikan bahasanya. Memang ada kemungkinan orang Isan akan terasimilasi dengan orang Thai Tengah akibat aktiviti pergerakan manusia dan perkahwinan campur. Masa itu mungkin tiba bila suku Isan ‘terbandarkan’ oleh mesin-mesin tanpa pedulikan sawah padi; setelah tiada lagi pakamas dan pesta biara di kampung-kampung, ingatan terhadap budaya yang hanya terpelihara dalam lagu-lagu lama dan siaran media dari dari Laos saja. Suatu yang positif, Universiti Isan saat ini sedang giat mempromosi kajian bahasa dan budaya Isan. Terdapat program pertukaran budaya dengan negara Laos termasuk ramai pelancong Thai yang melawat Laos. Satu masa nanti, Laos mungkin memainkan peranan aktif dalam menjaga kelangsungan budaya di Isan. 

(Ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pengalaman beliau sewaktu tinggal di Thailand dan Laos.  Penulis artikal ini bernama J. Higbie - seorang Pengkaji Bahasa)

Bahasa Thai dan Lao (Bahagian I)

Saya mula tertarik mencari perbezaan kedua bahasa ini setelah mengingat satu kejadian sewaktu kunjungan saya ke Phuket tempoh hari. Waktu itu, saya ke sana bersama beberapa rakan dari Indonesia untuk tujuan melancong. Sebaik mendengar perbualan saya dengan seorang rakan dari Indoensia, pemandu teksi yang membawa kami ke pantai Patong bertanya; "Oh, Malaysia and Indonesia same language, ah?" begitulah soalnya dalam bahasa Inggeris yang gagap. Dia terlihat kagum mendengar perbualan dua manusia dari dua negara berbeza yang boleh saling memahami. "Yes, same language but difference dialect" Jawab saya. Pemandu teksi itu mulai faham lalu memberitahu bahawa bahasa pertuturannya yakni bahasa Thai juga sama dan saling dimengertikan dengan bahasa yang digunakan di Laos.

Bagaimanakah bentuk persamaan dan perbezaan kedua bahasa itu? Ada sesiapa yang tahu? Persoalan ini menarik minat saya untuk mengkaji berbagai persoalan antaranya tentang sejauh mana persaman kedua bahasa itu, apa faktor yang mewujudkan persamaan dan perbezaannya dan sejauh mana kedekatannya.

Di sini, saya senang hati berkongsi sedikit maklumat ini kepada siapa yang berminat, terutama kepada anda yang ada hajat mengunjungi Laos sempena Sukan Sea Ke-25 kali ini. Sekurang-kurangnya selagi anda belum mampu mencari jawapannya sendiri. Silakan:- 

 

Perbezaan Bahasa Di Laos Dan Thai

Bahasa Thai dan Lao termasuk dalam keluarga-bahasa Tai. Kedua-duanya punyai pertalian yang sangat rapat. Perbezaan kedua bahasa ini dapat dibandingkan di sini. 

 

Kosa kata: Boleh dikatakan 70 peratus kata-kata dalam bahasa Thai dan Lao adalah sama (pengiraan rinci belum dibuat) pun begitu, banyak kata-kata biasa yang berbeza. Sama ada dari segi sebutan, kata penafian, kata tanya, mahupun kosa katanya seperti berjalan, kecil, lari, lihat, buku dan botol. Bagi sesetengah kata yang serupa, penggunaannya pula berbeza. Contohnya, heuan bererti ‘rumah’ dalam bahasa Lao. Juga bermaksud ‘rumah’ dalam bahasa Thai tapi pemakaiannya terhad dalam bentuk yang lebih formal. Kata-kata tingkat tinggi pada bahasa Thai dan Lao pada asasnya serupa kerana masing-masing meminjam istilah Sanskrit dan Pali.

Struktur Ayat: Tatabahasa bagi kedua bahasa ini hampir mirip, jadi struktur untuk kata lawan, kata kerja dan kata hubung umumnya tak berbeza. Cuma terdapat perbezaan kecil terutama dalam pembentukan kata tanya: “Sudahkah anda…?” menjadireu yang?” Dalam bahasa Thai. Sebaliknya berbunyi “laeo baw?” dalam bahasa Lao. Soalan pasif seperti “Kau tak pergi?” menjadi “Mai pai reuh?” (Thailand) dan “Baw pai baw?” (Lao). (baw dalam bahasa Lao sama dengan mai dalam bahasa Thai)

Sebutan: Bahasa Lao miliki bunyi – ny- yang tak terdapat dalam bahasa Thai. ‘Belum’ bererti nyang dalam bahasa Lao tapi menjadi yang dalam bahasa Thai. ‘Perempuan’ ialah phoo nying dalam bahasa Lao sebaliknya phoo ying dalam bahasa Thai. Lenggok bahasa berubah mengikut wilayah tapi keduanya memakai sistem yang sama.

Saling tak memahami: Walaupun sangat mirip. tak bererti anda faham bahasa Lao kalau anda bertutur dalam bahasa Thai semata-mata, begitulah sebaliknya. Kita mungkin banyak dengar perkataan yang kita tahu dan faham beberapa ayat yang lengkap, namun ia masih berbeza, terutama dalam kosa kata asas yang menjadikan kedua-dua bahasa ini saling tak difahami. Hanya kerana ada kata-kata tingkat tinggi yang sama, mudah bagi penutur Thai memahami bahasa Lao Tinggi berbanding Lao-Pasar  (begitu juga sebaliknya).

Gaya tutur: Pertuturan orang Laos lebih menjurus maksud tanpa ada unsur santun (ka/krap) sebagaimana yang sering kita dengar dalam bahasa Thai. Juga jarang ada kata hurai seperti kebiasaan orang Thai bercakap.
Bahasa Lao kelihatan lebih formal. Orang Laos lebih cenderung bercakap dalam ayat lengkap termasuk untuk kata ganti ‘saya’ dan ‘awak’. Ini kontra dengan bahasa Thai kerana dalam perbualan tak formal, terlalu banyak kependekan yang ringkas, terkesan menarik dan kata ganti diri yang diabai. (Kata-kata dalam kedua bahasa Thai dan Lao boleh digugurkan mengikut ayat, semakin lengkap sesuatu ayat, semakin formal bunyinya.)

Tulisan: Lao dan Thai miliki abjad yang serupa dan kebanyakan hurufnya sama. Ayat-ayatnya ditulis dengan kaedah yang sama: dari kiri ke kanan tanpa jarak antara satu kata dengan satu kata yang lain. Tulisan Thai lebih dekat hubungannya dengan Sanskrit/Pali dan miliki lebih banyak konsonan dari Lao (contohnya, ada empat huruf untuk bunyi ‘s’). Manakala Lao meminda abjad mengikut fonetik supaya mudah dibaca oleh golongan etnik bukan-Lao.  Terdapat banyak lebihan konsonan dibuang dan kaedah ejaan dipermudah (hanya ada dua huruf untuk bunyi ‘s’). Sesiapa yang mampu baca tulisan Thai boleh belajar membaca tulisan Lao hanya dalam berapa jam. Tapi pembaca tulisan Lao perlu belajar 20 konsonan baru termasuk kaedah ejaan yang rumit untuk menguasai tulisan Thai.

# maklumat ini telah saya terjemahkan dari teks asal berbahasa Inggeris yang saya sunting dari laman web seorang pengkaji bahasa yang membuat kaji-banding antara kedua bahasa ini.