بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





KEMBARA BORNEO : Kuching - Pontianak


MUKADDIMAH

Terbit dari keinginan yang kuat untuk lihat seperti apa sempadan darat antara Malaysia dan Indonesia, saya beranikan diri terbang ke Borneo secara solo. Jika sebelum ini saya hanya lihat Indonesia dari jalan laut dan udara,  tinggal ini saja jalan yang belum saya tempuh. Sebenarnya sudah ada catatan perjalanan seperti ini dalam internet, cuma rata-rata tulisan itu datangnya dari warga seberang. Semoga catatan saya ini mampu jadi pengimbang dan dapat dirujuk oleh pengembara Malaysia yang berhajat melakukan perjalanan serupa. Alhamdulillah misi kembara solo saya ini berjaya.

Saksikan gambar di sekitar Kuching dan Pontianak disini.

ABSTRAK
Kalau kita lihat gabungan warna pada foto zaman dulu, dan kita bandingkan dengan foto berwarna zaman sekarang, pasti mudah kita bezakan kualiti kedua-duanya. Begitulah pada pandangan saya warna-warna yang membezakan kedua-dua bandar (Indonesia: kota) berjiran di pulau Borneo ini. Meski terletak dalam satu pulau yang sama, perbezaan itu begitu ketara. Tanpa niat memperkecilkan sesiapa, itulah yang saya rasa. Tidak ada unsur nasionalisme atau assabiyah apapun, melainkan ia jujur datang dari pandangan mata saya sendiri. Selamat membaca.


KEMBARA BERMULA
Saya mulakan perjalanan ini dari Kuching ketika skaud bolasepak Malaysia, Harimau Malaya, baru malam tadi raikan kemenangan pusingan pertama perlawanan akhir bolasepak Piala AFF Suzuki ke atas Garuda (hasilnya 3:0, tentu semua sudah tahu). Kini saya bakal meredah sempadan mereka dan lihat sendiri suasana di salah satu sudut terhujung sarang Garuda itu. Hal ini saja cukup mendebarkan jantung, takut dendam mereka terbawa-bawa. Tapi apapun yang terjadi, misi kembara saya tetap harus berjalan.

Dari Kuching, perjalanan saya lanjutkan naik bas Tebakang Ekspress jam 8.30 pagi. Ini ialah perjalanan membelah daratan utara menuju daratan barat Pulau Borneo. Jika di bandar Kuching saya jarang nampak kucing, di Pontianak juga saya yakin tak ada pontianak. Itulah kata-kata semangat yang saya tanamkan dalam hati di sepanjang perjalanan ini. Alhamdulillah, ternyata memang tak ada hantu jenis itu bergentayangan di ruang udara bandar Pontianak. Yang ada hanya 'kupu-kupu malam' berkeliaran dahagakan belai.

Pada waktu saya nyatakan keinginan melawat Pontianak kepada rakan sepejabat, tak ada seorang pun yang bersuara. Bukan bererti mereka tak setuju, sebenarnya mereka tak tahu di mana letaknya kota itu. Malah mendengar nama Pontianak pun ramai yang belum pernah. Info buat mereka, Pontianak ialah ibu kota provinsi Kalimantan Barat. Jaraknya sejauh 400km dari bandar Kuching, ibu negeri Sarawak. Dari segi hierarki, kedua bandar ini berdiri pada satu fungsi yang sama. Bezanya cuma satu di Malaysia dan satu lagi di Indonesia.

KEMUDAHSAMPAIAN
Purata perjalanan dari Kuching ke Pontianak mengambil masa selama 8 hingga 10 jam. Tergantung cuaca. Ada dua jalan alternatif yang biasa digunakan. Alternatif pertama melalui Kuching - Serian - Tebedu/Entikong - Sosok-  Ngabang - Sungaipinyuh - Pontianak dan alternatif kedua; melalui Kuching - Serian - Tebedu/Entikong - Sosok - Tayan - Ambawang - Pontianak.

Alternatif pertama menempuh jarak panjang yang keadaan jalannya sudah lebih baik,  sedangkan alternatif kedua melalui jalan lebih singkat yang keadaannya sangat tak sempurna. Setakat catatan ini dibuat, masih ada jalan tanah merah di sepertiga laluan itu. Jangan hairan kalau kembara anda mungkin bermalam di tengah hutan jika laluan tenggelam banjir. Selain membelah gunung dan lembah, ruas jalan yang belum siap tentu menambah gerun. Berbanggalah kita sebagai warga Malaysia, jalan di sebelah Sarawak cukup sempurna, lebar, mulus dan teratur.

Ada banyak syarikat bas yang sediakan khidmat perjalanan antara bandar-bandar ini, baik dari pengusaha Indonesia atau dari pengusaha Malaysia sendiri. Di Kuching, tiket bas boleh dibeli di Terminal Bas bandar Kuching, Batu 3. Sayang sedikit tidak ada terminal bas khusus di Pontianak. Mahu atau tidak, terpaksa pesan tiket secara langsung dari pengusaha bas itu sendiri di pejabat operasi masing-masing. Rata-rata pengusaha bas membuka pejabatnya di Jalan Diponegoro dan Jalan Sisingamangaraja. Mujur jalan-jalan ini terletak bersebelahan. Jadi tidak sulit mencarinya.

Ketika perjalanan masih di sekitar bandar Kuching, dapat  kita lihat pemandangan bandar dengan pembangunan yang megah serta jalanraya tiga lorong yang padat dengan trafik hilir-mudik. Melepasi bandar Serian, jalanraya jadi satu lorong sehala seperti kebanyakan jalanraya di Semenanjung. Di sini suasana kampung dan kebun menyambut anda. Rumah-rumah penduduk hanya sesekali terlihat, itupun agak jauh ke dalam. Menghampiri Tebedu, perjalanan ini membelah hutan hujan yang masih perawan. Suasana jadi redup sekaligus bagai mengucap selamat jalan kepada pemandu yang akan meninggalkan Malaysia. Pintu Imigresen sebelah Malaysia terletak tak jauh dari situ. Di sebelah sini, urusan imigresen berlangsung tenteram, mudah dan lancar.

Melangkah 30 meter ke depan terletak imgresen (Imigrasi) Indonesia. Hanya jalan kaki saja untuk masuk ke kawasan Entikong, Kalimantan Barat, Indonesia. Suasana yang tadinya tenteram tiba-tiba jadi serabut. Banyak manusia berebut-rebut tawarkan jasa. Riuh-rendah suara mereka merayu pelanggan. Ada yang ambil upah bawa bagasi, ada yang menjual rupiah, ada yang menjaja kad sim operator lokal dan ada yang tawarkan jasa mengisi borang kedatangan. Nasihat saya, tak payah layan kehendak mereka bagi menghindar risiko 'kena ketuk'.

Pada pengamatan saya, pekan Entikong sedang rancak berkembang. Aktiviti harian sangat aktif. Tapi urbanisasi berlangsung tak terkawal. Rumah dan kedai dibangun sembrono. Di sesetengah tempat, jalanrayanya tak nampak bahu. Banyak bangunan dibina rapat sampai menyentuh gigi jalan. Terlalu serabut. Itu saja ayat paling sesuai untuk saya gambarkan suasana di sebelah sisi Indonesia. Cuma yang agak aneh, walaupun jalanraya di sini kelihatan sesak, yang memenuhi jalanraya itu justeru bukan kereta sebaliknya ribuan motosikal, warung tolak, puluhan lori pikap dan lain-lain kegiatan harian manusia yang dilakukan di atasnya.

Sedikit melepasi Entikong, jalanraya jadi sunyi. Suasana kembali lengang, dan tenang. Penduduk yang pakai kereta amat jarang. Kenderaan yang guna jalanraya boleh dibilang dengan jari. Kurangnya jumlah trafik membuat jalanraya jadi laman anak-anak bermain, binatang peliharaan berkeliaran, remaja belajar naik motor dan tak kurang yang  mengubah fungsi jalanraya jadi halaman rumah mereka. Mungkin kerana penggunaan yang kurang, kerja merawat pun dilaksanakan ala kadar. Banyak lopak dan becak di mana-mana.

Saya fikir, perjalanan ke Pontianak bukanlah pilihan bagi warga Malaysia. Ketika perjalanan ini saya lakukan, hanya sayalah satu-satunya penumpang Malaysia dari semua 37 tempat duduk dalam bas yang tak tersisa. Begitu ramainya penumpang Indonesia telah meyakinkan saya bahawa arus keluar-masuk sempadan kedua negara ini tidak seimbang. Ramainya warga Indonesia masuk Malaysia tak sebanding dengan bilangan warga Malaysia masuk Indonesia. Malah menurut info dari pemandu bas yang saya naiki, warga Malaysia jarang jadi supir untuk kemudi bas di laluan ini. Tambahnya, bas ekspres dari Malaysia sendiri menggaji supir Indonesia yang lebih tahan banting “Supir Malaysia tak ada yang berani" begitulah pandangan ikhlas dari pemandu bas yang saya naiki itu. Kata-kata supir keturunan Melayu Pontianak itu barangkali membenarkan telahan saya. Perjalanan darat menuju Pontianak, bukanlah satu pilihan buat warga Malaysia. Mungkin juga Pontianak bukan lokasi menggiurkan untuk dikunjungi.

Melewati pekan Sosok, jalanraya tambah bahaya. Jangan hairan kalau anda lalui jalan yang belum berturap. Siapkan saja diri anda untuk bermalam di tepi jalan jika bas yang anda naiki terbenam lumpur.bjika hujan. Nasib anda mungkin lebih baik kalau bas yang anda naik sanggup tempuh alternatif kedua yang lebih jauh. Kepada anda yang takutkan cabaran, ada cara lain yang sesuai dipilih!. Terdapat penerbangan harian jurusan Kuching - Pontianak - Kuching disediakan oleh Penerbangan Malaysia (MasWings) dan Batavia Air.

SEJARAH PONTIANAK
Pontianak mendapat namanya dari kisah perjalanan Sharif Abdul Rahman, seorang bangsawan keturunan raja-raja Brunei berdarah campuran Melayu, Jawa dan Bugis yang mencari tempat baru untuk membuka negeri menggantikan Mempawah (juga di Kalimantan). Semasa berperahu melewati Sungai Kapuas, baginda dan pengikut singgah di satu tempat yang bernama Pulau Batu Layang. Ketika di pulau itu, rombongan baginda diganggu dengan sejenis hantu yang dipanggil pontianak. Bagaimanapun, gangguan jutaan pontianak itu tidak sedikitpun menggugat perasaan baginda, malah terbit pula rasa cinta pada lokasi baru itu. Gangguan pontianak berjaya akhiri lalu baginda menamai tempat itu dengan nama Pontianak. Baginda dinobatkan sebagai Sultan Pontianak pertama tahun 1778. Begitulah sejarahnya menurut info yang saya baca.

BAHASA MELAYU PONTIANAK
Menurut laman http://www.thefullwiki.org/Borneo, dari segenap Pulau Borneo yang merangkumi Kalimantan, Malaysia Timur dan Brunei, bandar Pontianak menduduki hierarki keempat terbesar. Penduduk Pontianak terdiri dari etnik Dayak, Melayu dan Cina. Sama halnya seperti penduduk di Kuching. Bahasa utama yang dituturkan di bandar Pontianak ialah bahasa Melayu. Dialeknya juga sama seperti bahasa Melayu Sarawak (tapi dengan sedikit kelainan). Kata-kata seperti aok (ya), sik/indak (tidak), agi (lagi), kamik (saya) dan kitak (kamu) sangat biasa kedengaran. Cuma yang membezakan kedua dialek ini, setiap kata yang berakhir dengan akhiran a akan berbunyi ə (e-pepet), sama seperti dialek Melayu Johor-Riau. Contohnya, tiga jadi tigə. Ini kontra dengan dialek Sarawak yang akhiran a-nya tetap berakhir dengan sebutan baku. Jadi kepada pengunjung dari Semenanjung yang berhajat di datang ke mari, jangan langsung bicara mengikut gaya orang Indonesia kerana gaya tutur penduduk di sini lebih dekat dengan gaya kita. Saya masih ingat sewaktu bertanyakan arah jalan kepada seorang remaja di Pontianak. “Abang masuk simpang tigə pertamə, belok kiri”  begitu jawabnya dalam dialek yang sangat Melayu sampai terlupa saya ada di Indonesia.

MUKABUMI PONTIANAK
Sedikit tentang mukabumi Pontianak, bandar ini terletak di tebing Sungai Kapuas. bandarnya terbangun di kawasan paya gambut. Satu hal biasa yang ada di kawasan paya gambut, air sungai atau air paritnya berwarna hitam. Jika terendam banjir, ia payah surut. Banyak parit yang dibina bagi membolehkan datarannya kekal kering. Untuk melihat gambaran lebih jelas seperti apa bentuk mukabumi Pontianak, lihatlah pemandangan jalanraya sekitar Muar menghala ke Pontian, sepanjang jalan masuk ke kampung-kampung, ada saja paritnya. Ia persis sama. Masih saya ingat ketika di kecamatan Siantan, tak jauh dari bandar Pontianak ada kampung yang namanya Desa Parit Makmur. Saya jadi teringat akan salah satu kampung di daerah Batu Pahat yang namanya pun Kampung Parit Makmur. Hanya kata 'desa' dan 'kampung' saja yang bertukar.

ADA APA DI PONTIANAK
Apa yang ada di Pontianak? Tentunya persoalan itu jadi soalan paling popular kepada orang Malaysia. Mungkin juga buat orang Indonesia sendiri. Tata letak bandar Pontianak berada tepat di atas garis khatulistiwa. Mengabadikan keunikan itu, telah dibina tugu peringatan yang menandakan kedudukannya. Untuk melihat tugu itu dengan biaya yang paling murah dari bandar Pontianak, anda haruslah menyeberang Sungai Kapuas naik feri dengan tambang sebanyak Rp1,400. Mahu lebih murah lagi, ada banyak sampan kayuh yang menawarkan jasa penyeberangan dengan biaya Rp1,000 seorang. Cara ini dijamin lebih mencabar. Sesudah sampai di seberang, naiklah Angkutan Kota (sejenis van yang dijadikan pengangkutan awam) yang lebih mesra dipanggil oplet di kalangan masyarakat Pontianak. Biaya naik Angkutan Kota ke Tugu Khatulistiwa adalah Rp2,000. Sebagai tanda sudah sampai di Pontianak, abadikanlah kenangan anda di tugu ini. Dijamin gempak.

Satu lagi objek yang dicanangkan pemerintah bandar Pontianak kepada pengunjung luar adalah Istana Khadariah. Letaknya di Kampung Bugis, Tanjung Hulu, Kira-kira 2km dari bandar Pontianak. Caranya juga sama, harus menyeberang Sungai Kapuas untuk sampai di Siantan. Dari situ, tanyakan Angkutan Kota untuk jurusan Tanjung Hulu. Sayang sekali, Istana Khadariah telah terabaikan. Saya hairan bagaimana banyak rumah-rumah kampung yang kumuh dan menyakitkan mata dibiar tumbuh marak di sekitar istana. Kesannya, tidak nampak prestij langsung bahawa objek itu sebenarnya sebuah istana. Apalagi bila melihat bangunannya usang, tidak dirawat dan di sekelilingnya adalah rumah-rumah kampung ala penempatan setinggan. Sayang sekali.

Soal makanan, tak usah khuatir kalau anda menginginkan makanan Melayu, banyak restoran masakan Minang di sekitar Pontianak. Juga jangan lupa merasai Bubur Pedas dan minuman air daun lidah buaya yang popular di sini. Selebihnya, apa yang ada di Pontianak saya kira ada juga di Malaysia. Buat para pencinta aktiviti membeli belah, jangan lupa ke Jalan Pattimura. Di sana tersedia aneka jenis cenderamata untuk dibawa pulang sebagai ole-ole. Pilihlah satu, cuma jangan hairan kalau motifnya banyak yang sama seperti di Kuching. Ternyata kedua-duanya bersaudara.

49 ulasan:

  1. Jauh & mencabar tu bro ... boleh digelar Indiana Jones Malaysia ...

    BalasPadam
  2. Kuching - Pontianak hanya 400km je bang, sama jaraknya dari JB ke KL. Takdelah jauh sangat. Cuma lama masa yang diambil saja yang membuat ia kelihatan jauh.

    BalasPadam
  3. saya pernah di tawar tukar ke satu kawasan kelapa sawit yg baru dibuka tahun 1999 dulu iaitu Sangau , Pontianak ... saya tolak tawaran tu , coz perang antara dayak tempatan & Madura sedang berlangsung ! sampai main sembelih kepala musuh ... hahahaa tak sanggup weh !

    BalasPadam
  4. Sanggau masih di Kalimantan Barat, bang. Tak terkesan dari perang Madura - Dayak/Melayu yang berlaku tahun 1999 dulu. Perang itu berlaku di Sampit, Kalimantan Tengah. Jauh tu jaraknya. Andai abang ada di Sanggau saat ini. Tentu ramai orang-orang Malaysia lawat abang di sana.

    BalasPadam
  5. cuma terima maklumat dari member yg dah kesana ... mungkin juga tempiasnya sampai ke kawasan Sangau , maklumlah rasa benci dayak tempatan pada Madura memang meluap ketika tu . yg lucunya kata member tu , setiap org luar yg masuk ke sana dikehendaki oleh tok batin nya utk menjalani satu " ritual " .... ada pawang yg menurun utk mengesahkan kita nie puak Madura atau tak , kalau dia ' sense ' Madura terus Zass..zass.. hilang nyawa ...

    kalau melanggar adat setempat tu , memang sah la akan dikenakan hukum adat ! tu semua nya kita kena terima dan tiada hak menentang kerana kita ada di wilayah adat mereka . Tu lah cerita yg disampaikan .

    BalasPadam
  6. Dari cerita yang saya dengar, pendatang Madura yang tak sempat pulang ke Madura, lari ke Pontianak.

    BalasPadam
  7. hubungan dayak tempatan dan Madura tahun 1999 memang selalu tegang ilzaf , dari yg saya dengar ... bukan sebab puak Madura nie jahat tapi sebab kejayaan mereka di rantau org . Jadi timbul irihati akan kejayaan mereka menguasai bidang ekonomi di Kalimantan .

    BalasPadam
  8. istananya dah di angkat sebagai objek wisata ?

    BalasPadam
  9. Replika Istana Khadariah sudahpun dijual di kedai-kedai cenderamata di sekitar bandar Pontianak. Ertinya mereka akui kalau istana ini adalah ikon Pontianak selain tugu Khatulistiwa. Malah dalam laman wisata Pontianak juga ada dinyatakan Istana ini. Sayang tak dijaga dengan sempurna. Itulah yang sangat disayangkan...

    BalasPadam
  10. sayang sekali .. mungkin juga kerana istana yg baru dah dibina , jadi istana asal dibiarkan saja ..agak saya la !

    BalasPadam
  11. Eh, Balikpapan itu besar banget lho
    Kota Minyak dan malah lebih besar dari Banjarmasin

    BalasPadam
  12. Saya pernah cakap ini sebelumnya di posting saya Fazly...Bila ke Palembang??? Tahun ini sea games di Palembang...

    BalasPadam
  13. Ya, saya masih ingat pesan karim dalam posting sebelum ini.

    Palembang? mau sangat. Kemarin sebelum beli tiket ke Ponti ini, saya masih terfikir2 juga untuk ke lokasi lain. Saya pernah sms karin kalau Palembang juga jadi lokasi pilihan saya. Sayangnya Karim tak reply. huhu....

    Jadi nanti ajalah ke palembang. kalau ada rezeki, boleh lihat sukan sea di sana.

    BalasPadam
  14. Balikpapan? nanti aja aku lihat sendiri. Kota yang jadi tumpuan, tentunya kota yang dikenali ramai. Di Kalimantan, hanya ada satu pesawat saja dari KL. Lokasinya adalah Banjarmasin. Makanya orang lebih kenal Banjarmasin dari Balikpapan.

    BalasPadam
  15. sms??? bila???saya x pernah terima sms Fazly...masa itu handphone saya mungkin lagi error...banyak kawan saya ckp hantar sms, tapi saya tak dapat terima sms...full inbox kot...tp sekarang Alhamdulillah sdh boleh terima sms lg...

    BalasPadam
  16. wow .. keluasan Sarawak+Sabah+Brunei , hanya separuh dari seluruh keluasan Kalimantan !

    BalasPadam
  17. Tak sampai separuh pak..

    Kalimantan Indonesia mencakup 73% wilayah Borneo

    BalasPadam
  18. wow..........selepas ni apa ya?
    semarang, bandung semarang ..bogor.. ..ada tak conection dengan singapura.
    kecuali .....................Bambang dan fazli yang dapat jawapannya .. jawapan cepumas.....dapat jawap............ternyata korang adalah WOWWWWWWWW...

    BalasPadam
  19. Sal, ayo..ditunggu ni sama hantu penunggu Lawang Sewu

    BalasPadam
  20. Jauh perjalanan luas pandangan : )

    BalasPadam
  21. ku tak mau main hantu hantulah..ku mahu kehidupan sama manusia sesama manusia hahahaha...penunggu ni notti.. mau dijitak aja. hahaha

    BalasPadam
  22. Destinasi seterusnya? Semenanjung sudah, Singapore sudah, Kepri sudah, Sumatera sudah. Jawa sudah, Kalimantan sudah...., Indochina sudah, mana lagi???

    owh Sulawesi belum. ya, Sulawesi, Bali, Maluku, Papua dan Filipana masih belum.

    BalasPadam
  23. En. Jim lagi ada di mana n? Medan, Acheh, Padang, Jayapura?

    BalasPadam
  24. Best nye dapat jalan-jalan ke negara jiran....bila baca catatan tu rasa macam nak pergi sana jer.
    tapi.........

    BalasPadam
  25. Hmm... yang pertama nyer tentulah wang! Tak pe akan dikumpulkan.. satu hari nanti pasti saya akan ke sana. Saya ni tak pernah berjalan ke luar dari Malaysia lagi-lagi kalau jalan sorang2. Tu la Bila baca catatan yang ditulis rasa macam dekat sangat dengan diri saya.

    BalasPadam
  26. Duit boleh dikumpul. Ok, next time, boleh jalan sama2, InsyaAllah.

    BalasPadam
  27. Berapa harga tambang bas kuching-pontianak?

    BalasPadam
  28. Kuching - Pontianak (RM45) Pontianak - Kuching (Rp140,000)

    BalasPadam
  29. saya orang pontianak, yang sekarang berada di johor... terbalas rindu saya kat kota pontianak baca blog nie... thanks....

    BalasPadam
  30. Sama-sama, Ada juga orang Pontianak di Johor, negeri kelahiran saya.

    BalasPadam
  31. alhamdulillah, takdir Allah yang membawa hingga beribu batu jauhnya, 3 hari lepas ada perselisihan Dayak dan FPI (Front pembela Islam) di KOta Pontianak, hingga ada Jalan2 yang terpaksa ditutup untuk menghindari hal2 yang tidak diinginkan, tapi syukur tidak berlaku hal yang lebih buruk lagi.

    BalasPadam
  32. Ada juga kan beritanya di sini? tapi saya sendiri tak tahu apa sebenarnya yang berlaku

    BalasPadam
  33. membandingkan Pontianak sebagai Gambar Fopto Zaman Dulu dan Kuching sebagai Gambar warna Zaman sekarang....saya masih belum jelas maksudnya ....karena penjelasannya kurang ....kalau yang awak nak katakan... bahwa Kemajuan di Bandar Kuching [ Malaysia } dengan Pontianak [ Indonesia ], Bandar Kuching jauh lebih Maju....mungkin karena memang keduanya berbeza....berbeza pentadbiran dan berbeza Sejarah. Tentu Kuching Jauh Lebih Maju....karena memang Income orang Kuching jauh lebih besar dari Orang Pontianak. demikian juga Peruntukan Kerajaan juga sangat jauh berbeza. Tapi lebih elok lagi... kalau kita tak payah nak bandingkan keduanya....sudah jelas... tingkat Ekonomi Warga Malaysia jauh lebih baik dibanding Warga Indonesia....yg agak menyedihkan lagi... awak menulis tentang : " Suasana yang tadinya tenteram tiba-tiba jadi serabut. Banyak manusia tak cukup makan menawarkan jasanya. Riuh-rendah suara mereka merayu pelanggan. Ada yang ambil upah bawa bagasi, ada yang menjual rupiah, ada yang menjaja kad sim operator lokal dan ada yang tawarkan jasa mengisi borang kedatangan. "......Manusia tak Cukup Makan ? ....itu satu kesombongan.....kalau awak seorang Muslim....itu satu penghinaan yg luar biasa.....mungkin...awak tak pernah miskin....mungkin awak selalu hidup berkecukupan....tapi ayat yg awak tulis itu sama sekali tidak mencerminkan Jiwa seorang Adventurer sejati.....mulai membandingkan.....kalau Kuching jauh lebih Baik....Pontianak macam Foto Zaman Dulu....nasib baik...awak hanya Travel sampai Pontianak...mungkin awak perlu keluar lagi dan banyak Traveling... supaya tak macam katak dibawah tempurung....dan Bahasa awak yang Bongkak.....membandingkan....kalau awak baca Tulisan Mat Saleh... yg membandingkan Negeri mereka dengan Malaysia.....macammana awak nak menanggapi itu ? kalau nak traveling....traveling je ... tak yah nak membandingkan ini dan itu....meskipun awak menulis " bUkan bermaksud mengecilkan " atau apapun itu....Tulisan awak itu suatu penghinaan.... belajarlah lagi untuk lebih menghormati keadaan orang lain....insyaallah awak akan menjadi orang yg BIJAK....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Makasih sebelumnya kerana sudi baca. Sudah saya bilang bahwa apa yg tertulis itu datang dari apa yang saya rasa, jika itu kebenarannya, anda tak harus malu. Anggap aja ini datang dari pemerhati luar, yang jujur menulis dari apa yg hadir di matanya sendiri. Anda tersentuh?. Dan mahu saya menghapuskannya? Untuk apa saya harus buat begitu sekadar untuk menjaga hati?

      Padam
    2. Bagi saya penulisan anda adalah catatan jujur. Siapa yang suka teruskan membaca. Siapa yang tidak suka, anda ada pilihan lain.

      Padam
  34. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  35. Saya orang sambas.Ape yang awak tulis memang realiti.kite tak perlu marah.sebagai orang melayu sayebangga dengan kemajuan malaysia.sudah semestinya hal baik kita tiru.tak perlu kita bertelagah membandingkan kehebatan masing masing

    BalasPadam
  36. Saya orang sambas.Ape yang awak tulis memang realiti.kite tak perlu marah.sebagai orang melayu sayebangga dengan kemajuan malaysia.sudah semestinya hal baik kita tiru.tak perlu kita bertelagah membandingkan kehebatan masing masing

    BalasPadam
  37. Saya orang singapura...terimakasih informasinya..saya bersama keluarga dari brunei pernah menyewa van dari brunei ke sarawak...pulang ke brunei terus ke kota kinabalu..sabah..kenangan manis memori selamanya..

    BalasPadam
  38. Sy melayu swk memang patut pun saudara kita tersingung sbb ckp tak berlapis ,carilah bahasa yg lebih manis tak menguris perasaan org setempat.tak da manusia mau susah atas dunia ni tu semua nasib.wasalam

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudah membaca.

      Salah satu sebab kenapa ramai pengkarya gagal menyampaikan maksud cerita selalunya disebabkan perasaan tak sampai hati menggunakan kata yang tepat walaupun ia buruk, kerana mahu menjaga hati.

      Jika lihat Filem Melayu, keadaannya begitulah. Terlalu banyak tapisan kerana takut pendendengar tersingung. Hasilnya, ceritanya bosan dan gagal mengambarkan hal sebenar.

      Padam
  39. Bermanfaat.bagus sangat.jujur.pedulikan org yg tersinggung tu,kita perlu belajar menerima hakikat

    BalasPadam
  40. saya suka bacaan ini, jujur dan penyampaian telus dari hati. walaupun begitu hakikatnya di kalimantan, ia tidak menjejaskan impian saya untuk menjejakkan kaki ke pontianak. banyak kali saya membaca blog tentang pengalaman mereka ke sana.. insya Allah moga Allah permudahkan saya untuk sampai ke pontianak.

    BalasPadam
  41. Seronok baca ulasan travel ini. Saya pun ada menyimpan cita-cita nak travel menggunakan motosikal dari Kuching ke Pontianak seterusnya naik feri ke semarang dan travel sehingga ke Bali hanya menggunakan motosikal. Itu impian saya bila jadi kenyataan belum tau. Kalau ada di kalangan pembaca yang tahu cara travel melalui darat menggunakan kenderaan sendiri boleh lah share dengan saya ya.. tq

    BalasPadam