بسم الله الرحمن الرحيم
Selamat Datang
Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.
Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.
Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.
Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.
Sekian. Selamat memabaca
KOH SAMUI - Wajah Eropah di Asia
|
Koh Samui, Thailand |
Tidak ada wajah Melayu dalam feri menuju Koh Samui petang itu.
Melainkan kami berdua, selain beberapa kerat penumpang dari Asia
Selatan dan Asia Timur. Selebihnya, semuanya wajah Eropah memenuhi segenap ruang feri yang sempit dan tak tersisa. Ini kejutan pertama yang saya rasai ketika
melancong di pulau sebesar Langkawi di luar pantai Suratthani. Salah
satu pulau dari tiga serangkai pulau pelancongan di pantai timur semenanjung
Thailand. Koh Samui adalah destinasi terakhir siri pengembaraan paling mencabar pernah saya lakukan
setakat ini. Perjalanan darat yang bermula dari Kuala Lumpur - Butterworth - Bangkok - Ranong - Kawthaung dan Suratthani, kini berakhir di satu lagi permata pelancongan terhebat negara gajah putih. Pulau hiburan citra Eropah di Asia.
Lebih banyak gambar di sini.
|
Suasana di Pelabuhan Nathon |
PERJALANAN BERMULA
Kami mulakan perjalanan ke Koh Samui dari Suratthani. Bandar di sebelah utara pantai timur, Selatan Thailand. Bandar yang masih memiliki penduduk Melayu berdialek Kelantan/Patani dengan fasih. Di bandar ini ada tersedia berberapa agen yang menjual tiket dan pekej pelancongan ke pulau-pulau terdekat. Beberapa pelancong berwajah Asia kelihatan datang menuntut tiket yang mereka tempah lebih awal. Kami berdua masih belum beli tiket, apa lagi membuat tempahan awal seperti kebanyakan pelancong lain. Prinsip kami sejak hari pertama ialah redah dan berserah.
Selain dapat mengutip pengalaman, ia juga mampu cabar kesabaran (dan keimanan). Sayangnya, hal yang dibimbangkan itu benar-benar berlaku. Semua tiket feri langsung ke Koh Samui telah habis dijual. Yang ada, hanya feri ke Pulau Pangan yang masih tersisa, nasib baik feri itu akan singgah di Koh Samui terlebih dulu untuk mengambil penumpang di sana. Peluang ini kami gunakan sebaiknya untuk dapat sampai ke destinasi yang telah kami rangkakan. Sekali lagi kami lakukan perjalanan berani mati. Paling gila, tiket feri segera yang kami beli itu akan berlepas kurang dari 20 minit dari jeti Dongsak, 10km ke selatan Suratthani.
Persoalannya, di mana Dongsak? Mujur dalam situasi yang genting seperti itu ada insan yang sanggup bawa kami ke Dongsak menggunakan dua buah motor, dengan upah tentunya. Buat anda yang takut alami kejadian seperti ini, ada alternatif lebih nyaman tanpa banyak kerenah boleh anda pilih. Ada pesawat yang terbang langsung dari Kuala Lumpur dan Bangkok menuju pulau itu.
|
Dominasi wajah Eropah di Koh Samui |
EROPAH DI ASIA
Feri yang kami naiki mendarat di Nathon, bandar utama di Koh Samui. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Sebaik mendarat, kami dikejutkan dengan suasana Koh Samui yang tak ubah seperti sebuah pulau di Eropah. Dominasi Kaukasian menenggelamkan wajah asli penduduk Thailand. Baru pertama ini saya lihat suasana begini di sebuah negara asia. Malah wajah kulit putih turut dapat dilihat di kampung-kampung, hutan, pantai dan sungai. Secara peribadi saya berani jamin suasana di Langkawi, Phuket atau Bali tidak sampai semeriah ini. Suasananya bagaikan di sebuah pasaraya jualan murah. Beberapa hari di Koh Samui, kami tak nampak siapapun selain kami yang berwajah sawo matang. Mujurlah dapat berkenalan dengan seorang pengembara Taiwan, seorang warga Hongkong, sekumpulan pelancong India dan beberapa pelawat Jepun dan Korea. Dapatlah kami mengelak dari merasa terlalu kerdil dalam segerombolan raksasa putih. Terbit juga rasa bangga bila dapat peluang berdiri sama tinggi dengan pelancong eropah ini. Sedikit panduan, berbaurlah dengan mereka dan rasakan kelainan percutian anda.
TIDUR DI MANA?
|
Resort diusahakan oleh Orang Melayu |
Sangat banyak penginapan berbilang kelas tersedia di segenap pelosok Koh Samui. Sekali lagi, pilihlah ikut kemampuan. Berdasarkan pengalaman saya, bila ada niat datang ke sini pada musim cuti, tempahlah penginapan anda terlebih dulu. Takut anda terpaksa tidur di pinggir jalan jika terlalu taksub mengikut cara gila kami. Padatnya Koh Samui pada musim-musim begini tak dapat saya terangkan dengan kata-kata. Mujur ketika kunjungan saya, ada bilik tersisa di Lamai Bay View Resort meski kemewahannya melampaui keperluan kami. Itupun harus berganti bilik selang dua hari gara-gara sudah ada penempah. Buat pelancong Malaysia yang pentingkan nasionalisme dan gaya mewah, inaplah di Hotel Impiana kendalian perusahan Malaysia, KAB Group di kawasan Chaweng. Cuma saran saya buat pengunjung Melayu Islam, kesimpangkan rasa nasionalisme, pilihlah penginapan yang disediakan pengusaha Melayu Samui beragama Islam meski mereka warga Thailand.
|
Suasana Pantai di Lamai Bay View Resort |
|
Suasana pantai di Lamai Bay View Resort |
KOH SAMUI DAN PANDUAN PENGEMBARA
Nathon, Chaweng dan Lamai adalah pusat perniagaan utama yang ada di pulau ini, Ketiga-tiga bandar ini terhubungkan dengan satu jaringan jalanraya yang sama yang mengelilingi pulau. Jika anda bertolak dari barat, anda akan sampai di tempat yang sama dari dari arah timur. Koh Samui dihuni masyarakat majoriti Thai di seluruh pelosok. Terdapat juga beberapa kelompok peniaga cina di bandar dan sekumpulan minoriti Melayu yang berdiam di satu-satunya kampung Melayu. Jika anda berjiwa petualang dan berpegang keras pada prinsip redah dan berserah seperti cara kami ini, carilah peta Koh Samui, ia sangat membantu. Selama di Koh Samui juga, saya temui banyak kenderaan berplat Malaysia masuk ke sini, sayang saya tak tahu bagaimana urusannya memandu sejauh ini. Bagaimanapun kami masih dapat berkenderaan sendiri di sini dengan menyewa sebuah motor skuter yang berharga THB200 sehari. Dapatlah kami lenjan ke segenap isi alam, di lembah dan gunung di pulau itu. Nasihat saya, jangan langsung setuju menyewa kenderaan di sini jika harganya jauh mahal dari itu.
MELAYU KOH SAMUI
Melayu Koh Samui masih pertahankan bahasa Melayu dialek Kelantan/Patani. Kagum saya dengan kekentalan mereka. Kampung mereka, Kampung Melayu Samui (Samui Malay Village) terletak dipinggir pekan Lamai. Mungkin kerana kehidupan di pulau menjadikan bahasa Melayu mereka terlestarikan hingga ke generasi muda. Dari perbualan saya dengan beberapa penduduk, ada yang bilang anak-anak mereka cari rezeki sejauh Johor Bahru dan Lembah Klang dan banyak laigi yang ke Bangkok. Mungkin kerana inilah satu-satunya petempatan Melayu, Nasibnya tersisih. Suasananya gelap di malam hari tanpa lampu di jalan masuk. Tanah-tanah penduduk sedikit demi sendikit diambil paksa oleh kerajaan. Namun penduduknya tetap semangat untuk bersaing, mereka gigih berikhtiar dan bangunkan perusahaan sendiri meski jauh dari kawasan tumpuan. Kegigihan mempertahankan hak dapat kita baca di satu sepanduk yang digantung di perkarangan Masjid Nurul Ihsan. Jika anda bersimpat, hulurlah bantuan kewangan kepada mereka buat membayar pampasan kepada kerajaan Thailand, atau kita mungkin tak akan lihat lagi satu-satunya masjid di Koh Samui ini satu hari nanti. Buat pelancong muslim, saya sarankan inaplah di kampung ini, ada beberapa chalet yang di usahakan penduduk Melayu. Yang lebih penting, mereka sajikan hidangan halal. Antara chalet yang saya ingat ialah Melayu Samui Seafood and Resort. Hubungi +66813974090 untuk tempahan dan keterangan lanjut.
|
antara kedai makanan Islam bila sudah jumpa lokasinya |
|
Masjid ini mahu dirobohkan kerajaan Thailand |
|
Peniaga Melayu di Pekan Lamai |
|
|
|
|
Taman Marin Mu Koh Angtong |
PAKEJ PELANCONGAN
Selain keliling pulau dan nikmati setiap keindahan berbeza, kami sempat lakukan dua perkara wajib yang sering dilakukan pelancong asing. Salah satunya, kami ambil peluang teroka keindahan hutan Koh Samui, lokasinya ke air terjun Namuang. Mujur ada motor yang boleh kami lenjan sesuka hati. Air terjun ini termasuk dalam salah satu pakej pelancongan yang ditawarkan banyak agensi. Cuma pengunjung terpaksa (dipaksa) naik gajah sebagai syarat untuk masuk ke sana. Mulanya kami tolak ikut pakej dan bercadang pergi sendiri. Sayangnya air terjun ini dijaga pengawal di pintu masuk. Mahu atau tidak, terpaksa juga naik gajah untuk sampai ke gigi air. Apa boleh buat, ternyata mereka lebih pintar. Keluar juga kos tambahan. Nasib baik ini pengalaman pertama saya tunggang gajah. Ternyata ia berbaloi kerana pengalaman naik gajah jauh lebih menarik dari mandi air terjunnya yang kelihatan biasa.
|
antara aktiviti yang disediakan |
|
cuba menunggang gajah |
Aktiviti paling digemari pelancong ialah melawat Taman Marin Nasional Mu Koh Angtong. Pakej ditawarkan termasuklah snorkling, mendaki, berkayak dan melihat pemandangan gugusan pulau batu kapur yang unik. Inilah aktiviti wajib kalau ke Koh Samui. Dan inilah pertama kali seumur hidup saya berkayak dan mendaki. Gerun rasanya mendayung di tengah laut dari pulau ke pulau. Dan lenguh kaki ini mendaki puncak setinggi 500 meter pada salah satu dari puluhan gugusan pulau pulau batu kapur ini. Pemandangan ke bawah ternyata melenyapkan seketika rasa letih, dan keindahan tasik air masin di kawahnya menimbulkan rasa kagum. Jika ke Koh Samui, ambillah pakej ini. Sumpah anda tak akan menyesal. Nasihat saya, jauhkan berkunjung ke pulau-pulau di pantai timur semenajung Thailand waktu cuti hujung tahun kerana ketika ini angin monsun bertiup kencang. Tiada keindahan bawah air yang dapat dilihat kerana air laut jadi keruh.
Salam, nak tanya, awak stay di Lamai Wanta Beach Resort ke?
BalasPadamTidak, Wan Faiqah, bukan di Lamai Wanta Beach. Nama hotel penginapan saya ada diterangkan dalam catatan di atas.
BalasPadamabang Fazli , nak tanya harga pakej angthong marine park tu berapa ya . memang itinerary (snorkelling , mendaki, kayaking ) dia sudah di tetapkan atau ikut pilihan kita ya . tq
BalasPadamAda pakej yang termasuk kayak dan ada pakej yang hanya island hoping. Pakej termasuk kayak ni kalau tak salah 1100 Baht/orang.
BalasPadamSalam..untuk trip ang thong marine park tu utk org yg tidak biasa mendaki atau berbadan besar sesuai tak ya?
BalasPadamTq.
Assalamualaikum.. Tolong whatsapp saya 0172912987.nak mintak kongsi cara nak ke sana.
BalasPadamAssalamualaikum.. Tolong whatsapp saya 0172912987.nak mintak kongsi cara nak ke sana.
BalasPadamAssalamualaikum hi. saya rancang solo trip ke Surat Thani. Ada cadangan/tips untuk saya travel solo nanti? boleh saya tahu juga public transport (taxi,bas) senang ke untuk dapat di sana? terima kasih :)
BalasPadam