بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Catatan 3: Brunei - Titik terakhir saya di negara Asean


Padang untuk acara sambutan Maulidur Rasul. 
Dua Ratus Ringgit duit Brunei yang saya siapkan, tak cukup tampungi hari-hari saya di Bandar Seri Begawan. Saya tak ada pilihan selain cari Maybank. Tapi jangankan jumpa ATM, bangunan kuning logo harimau pun tak ada sama sekali. Tak selari dengan info yang saya dapat sebelum ini. Mujur bertemu seorang kutu rayau yang bilang "Maybank dah pindah ke Kiarong". Kata dia sambil janji akan bawa saya naik bas ke sana. Saya ikut saja cakap kutu rayau itu kerana sangat mengharap bantuan.

Ketika sampai terminal, lelaki kutu rayau tadi minta sepuluh ringgit untuk beli tiket. Lama juga saya tunggu sambil mengharap dia muncul semula bawakan dua tiket untuk kami, tapi sia-sia. Baru sedar rupanya saya dah ditipu. Saya lihat dia sudah naik bas seorang diri ke Kuala Belait. Kopak sudah sepuluh ringgit duat saya dalam situasi habis bekalan. Apapun, ini sebuah lagi pengalaman berharga dapat saya kutip di negara yang ajaib ini. Siapa kata Brunei tidak ada kutu rayau yang kerjanya mengemas sedekah?

"itu mas, bas ke Kiarong" kata warga Indonesia ini.
"Ambil bas 56, mas!" pesan pendatang Indonesia yang berdiri di sebelah saya ketika saya buntu tak tahu mahu ke mana. Mujur juga dapat cari jalan ke Kiarong walaupun saya tak tahu apa benarkah ada Maybank di sana. Bas No.56 yang saya naiki diisi pendatang sepenuhnya. Rata-rata orang Indonesia dan Bangladesh. Malah pemandu dan kelendannya pun orang Indonesia. 'mungkin orang Brunei asli dah tak naik bas awam lagi' fikir saya. 

Saya fikir, kalau orang luar di Brunei tak tahu bezakan siapa pendatang, siapa warga Brunei asli, mungkin pandangan orang luar yang datang ke Malaysia pun begitu, semuanya disangka warga Malaysia. Padahal ramai pendatang asing.

Istimewa naik bas di Bandar Seri Begawan ini, semua destinasi di daerah Bandar Brunei cuma bertarif seringgit sehala. Penumpang dihantar betul-betul di depan lokasi yang nak dituju, termasuklah ke lorong-lorong kecil jika diminta. Saya hanya sebut Maybank Kiarong tanpa tahu dimana lokasinya, bas siap bawa saya ke sana. Begitu mudah. Dijamin takkan sesat.

Di seberang lebuhraya setentang Maybank Kiarong itu, ada sebuah masjid besar yang cantik iaitu Masjid Jame' 'Asr Hassanal Bolkiah. Ramai pengunjung luar dibawa melawat oleh agen-agen pelancongan Brunei. Seperti juga di Malaysia, pengujung bukan Islam, diizin masuk hingga ke ruang solat jika memakai tutup kepala. Alhamdulillah saya sempat solat zohor sambil nikmati indahnya senibina. Di satu sudut kecil, dalam dewan solat ada ruang khusus untuk simpan barang-barang pengunjung yang ditemui - akan dipulangkan jika dituntut. Mungkin ini hal baru yang boleh kita terapkan di masjid-masjid seluruh Malaysia.

Maybank  Kiarong - satu-satunya di Brunei
Di depannya masjid ini
Siapa Punya? jam, cincin, malah tasbih yang ditemui di sekitar masjid, 
Selesai solat zohor, saya sempat borak dengan seorang jemaah tua. Kadir namanya, bekas tentera zaman British dulu. Badannya pun tegap dan sasa. Perbualan kami bersambung dalam kereta sebelum saya dibawa ke rumahnya di Kampung Bendahara Lama, sebuah lagi kampung air di Bandar Seri Begawan. Peliknya kami tak berhenti betul-betul di depan rumah, tapi berhenti di tepi sungai di kawasan bandar sebelum naik perahu menuju ke seberang. Barulah saya tahu, penduduk kampung air ini, di sebalik ruang yang sempit untuk meletak kenderaan, masing-masing tetap punya kereta walaupun diparkir jauh di seberang sungai.

Pemilik kereta ini tinggal di kampung air di seberang sana 
"dulu mana ada negara Malaysia" sergah dia, "Singapura, Brunei, Johor, Kelantan itu semuanya sama, milik British". Pakcik Kadir menyambung cerita. Menurutnya, dia pernah kerja di Singapura dan Pulau Pinang sebelum dikembalikan ke Brunei ketika Tanah Melayu merdeka 1957. Menyentuh tentang Brunei, Pakcik Kadir tekun sekali ceritakan riwayat sultan dan undang-undang hudud yang sedang dilaksanakan. "banjir besar di Kelantan sekarang, kan satu musibah" perli Pakcik Kadir. Tanpa dijelaskan lanjut pun, saya dah faham maksud Pakcik Kadir. 'Malaysia juga patut Hudud'

Sungai Kianggeh, waktu subuh
Jumaat 2hb Jaunari 2015. Hari terakhir saya habiskan sekali lagi dengan meneliti cara hidup sosial masyarakat Melayu Brunei - yang sebetulnya gabungan suku Kedayan - Dayak dan Bajau. Pagi ini, saya ke kampung air sekali lagi. Tujuan saya ialah lokasi rumah air moden yang dibangunkan kerajaan Brunei. 

Di Sungai Kianggeh, sudah sedia menunggu perahu yang saya tempah sejak subuh. Pengemudinya bernama Sidek. Harga upah 7 ringgit sudah saya lunaskan siang-siang. Meski terasa mahal, saya relakan saja bila mendengar keluh kesah Sidek yang katanya hidup susah. Sampai waktu, saya di bawa lihat kampung air yang berjejeran di sepanjang Sungai Brunei, Sungai Kedayan dan Sungai Limbang sebelum diusir Polis Marin Malaysia. 

Menurut Sidek, dia sebetulnya keturunan Bajau warga Malaysia kelahiran Sandakan. Tapi berpindah ke Brunei bila dibawa keluarganya. Sampai sekarang, Sidek belum pernah balik ke Sandakan, malah Sandakan ada di bahagian mana dalam Malaysia pun dia tak pernah tahu. "best kan tinggal di Malaysia, negaranya luas. Brunei ani kecil bah, satu jam saja sudah sampai hujung negara" 

Sidek lahir di Sandakan
Sidek juga bekas tentera. Sebelum ditawarkan jadi tentera, Sidek ialah atlit Brunei ke Sukan Sea tahun 90an untuk acara perahu layar. Atas jasanya sebagai atlit negara, Sidek dikurniakan Kad Pengenalan Kuning. "jadi tentera di Brunei ani bosan bah" keluh Sidek, "kalau dalam Malaysia, bolehlah di hantar jauh sampai Kelantan" sambung dia. Bosan jadi tentera, Sidek berhenti awal, sekaligus terlepas bantuan latihan dibawah Kementerian Belia dan Sukan Brunei. 

Sidek sekarang hanya sambung usaha orang tuanya jadi nelayan dan kadang-kadang bawa perahu tambang. "kalau kau fikir orang Brunei kaya, itu sultannya saja, rakyatnya banyak yang susah" tambah dia."lebih susah lagi bila ramai orang Indon" Kata Sidek geram. "Orang Indon rampas semua sumber rezeki yang sebelumnya diusahakan orang Brunei" sambung Sidek dalam nada kesal. Saya hanya mengiyakan.

Rumah batu terapung di bina di atas air
Istimewa kampung air di Brunei, ia berperingkat dimodenkan. Wajah rumah air yang kotor dengan najis dan sampai yang terampai tak diurai, hampir tiada lagi. Sedikit demi sedikit perumahan air moden dibina melalui konsep sewa beli. Kampung air Brunei mungkin sesuai jadi contoh.  Saya kagum. 

ASEAN kini 10
Kembara saya di Brunei tamat di rumah Sidek selepas dijamu makan tengahari hidangan Cina oleh isterinya keturunan Cina Brunei. Sama seperti Sidek, Isterinya juga sudah dapat Kad Pengenalann Kuning. 

Serasa dekat pula dengan Sidek dan keluarganya. Momen ini mengabadikan kenangan saya, titik terakhir dari semua 10 negara Asean. Sempat juga saya minta Sidek rakamkan gambar saya bersama nota "ASEAN KINI 10" Tahniah untuk diri saya sendiri. 

Selepas dari ini, insyaAllah Eropah, atau Asia Selatan menyusul  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan