بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Catatan 1 : Brunei, Negara Ajaib di Tengah Borneo

Gelombang besar di Sungai Brunei petang itu menyambut ketibaan saya ke Bandar Seri Begawan. Teriakan suara dari perahu tambang makin bingit. Berebut-rebut penumpang yang ingin ke seberang turun dari bas yang baru sampai dari Kota Kinabalu. Tinggalkan saya satu-satu penumpang yang masih tiada arah dan terpinga-pinga tak tahu nak ke mana. Dua kali pusing kiri dan kanan, saya masih di tempat yang sama, di tengah kota kecil ibu negara Brunei.

perahu tambang penghubung Bandar Seri Begawan 
"Akak tahu Pusat Belia?" Langkah berani saya mulakan. Kakak separuh umur yang tercegat di depan saya, harus saya tanya. Di tengah kota yang sepi dan mati ini, saya buta total. Ikut mati bersama matinya Bandar Seri Begawan menjelang senja.

Hanya Pusat Belia dan Hotel Apek saja penginapan murah yang dapat saya kutip infonya dari catatan pengembara lain. Lokasi Pusat Belia dekat dari tempat saya berdiri. Tapi bodohnya saya terlanjur ambil taksi. Atas kebodohan itu saya kena ketuk 5 ringgit. Semuanya kerana saya tertanyakan pada orang yang salah. Kak Zaniah, perempuan yang saya tanyakan tadi rupanya orang Malaysia juga. Dia baru setahun tinggal di sini bersama suami, dan masih belum tahu banyak.

Pusat Belia - Asrama untuk semua
Sampai Pusat Belia, seorang lelaki yang faham maksud kedatangan saya langsung bersuara "Asrama dah penuh, boleh datang esok atau telefon dulu +673887306" Begitu kata Firdaus, penyambut tamu Pusat Belia yang sedang menutup kaunter. Saya terlepas satu-satunya hostel harga patut di tengah Bandar Seri Begawan. Kecuali Hotel Apek yang jauh di Jalan Gadong, hotel lain di sini semuanya cekik darah. Baru saya sedar kalau esok tahun baru 2015. Sebuah libur panjang di Brunei sempena awal tahun, bersambung cuti mingguan Jumaat dan Ahad, dan Sabtu sempena Mauludur Rasul.

Pusat Belia sudah habis ditempah rata-rata oleh peserta sambutan Maulidur Rasul peringkat negara pada 3hb Januari nanti. Mujur sebaik melangkah keluar, saya terpandang tulisan 'JUBILEE PLAZA' yang nampak jelas dari sini. Saya tak punya pilihan, tak sanggup galas beg dalam situasi bekas bedah yang masih merah. Di sana ada Jubilee Hotel yang tarifnya 90 ringgit Brunei semalam. Harganya termasuk makan dan perjalanan jemput/hantar ke Landara (Landasan Udara Antarabangsa Brunei). Saya nginap di Jublee Hotel dengan tutup mata.

Jubilee Plaza yang menempatkan Jubilee Hotel
Hingga detik ini, ringgit ialah perkataan yang selalu buat saya keliru. Setiap kali transaksi, orang Brunei sentiasa letak harga dalam ringgit, membuat saya fikir duit Malaysia. "duit Bruneilah, anikan Brunei", jelas mereka. Baru saya tahu, hanya dalam bahasa Melayu saja mereka sebut ringgit. Dalam bahasa Inggeris, mereka panggil dollar. Otak saya terpaksa dilatih supaya ingat bahwa ringgit selama di Brunei itu bererti duit Brunei, bukan duit Malaysia. Ringgit Brunei sama nilai dengan Dollar Singapura dalam apapun keadaan. Mereka memang ikat duitnya dengan matawang itu.

Makan di Brunei 'boleh tahan murah'. Lebih kurang sama harganya dengan harga makan di Malaysia. Sekitar 6 hingga 8 ringgit sekali. Tapi tunggu dulu, nilainya harus dikali RM2.60. Jadi bayangkan betapa Brunei bukanlah tempat yang sesuai untuk pengembara kelas menengah Malaysia. Setiap keluar duit, saya kena tahan otak supaya berhenti berfikir buat sementara.

Restoran Mamak di Brunei bersama krunya warga Indonesia
Dari Jubilee, Hotel, banyak restoran Mamak yang mudah saya jangkau. Tapi menunya beza dengan menu Mamak Semenanjung, sebaliknya sama seperti Kota Kinabalu. Mereka tak ada nasi goreng kampung, pataya, USA atau nasi goreng Cina seperti yang biasa kita dengar. Sebaliknya nasi goreng bersama pilihan ayam atau udang atau daging. Menu ini mengimbau kenangan saya ketika kembara di Laos dulu. Patutlah pilihan nasi goreng di Vientiane sama seperti ini. Waktu di sana, mereka mengaku ada restoran di Brunei, tapi dilabel makanan Malaysia. Rupanya mereka ialah pengusaha India yang usahakan restoran yang sama. Berbeza dengan pengusaha restoran Mamak Semenanjung yang memang dominan India Muslim Malaysia.

mereka bukan warga Brunei
Brunei di sebalik reputasi negara kaya dan makmur di Asia Tenggara, masih saya lihat 'warga Brunei' berwajah kosong, karat dan kampungan di mana-mana. Dan mereka paling sering pelesiran di pusat bandar sekadar membunuh masa. Satu budaya kelas tiga yang tak pernah saya sangka ada di sini. Kekaguman saya pada Brunei pudar kerana ini. Siapa mereka? Satu persoalan yang belum terjawab.

Bahasa Melayu Brunei, termasuklah bahasa pertuturan 'warga Brunei' yang saya sangkakan tadi, masih mudah saya faham. Ia sama seperti bahasa Melayu Borneo yang saya dengar di Sabah, Lawas dan Limbang. Sebuah bahasa Melayu dengan sebutan baku yang jelas. Cuma bezanya bila bertutur gaya rasmi, orang Brunei ikut gaya Semenanjung. Bunyi e-pepet pada akhiran a.

Brunei satu-satunya negara monarki di Asia Tenggara, memang semua sudah tahu. Ia sebuah kesinambungan dari pemerintahan yang sudah berlangsung lama. Kesultanan Melayu-Islam. Jika anda warga Brunei, anda hanya perlu berjuang untuk hidup dan membangun ekonomi sendiri. Tak perlu susah payah fikir pentadbiran negara. Itu semua urusan tuanku Sultan. Tak perlu sibuk berpolitik atau sokong mana-mana parti. Tak ada hasad-dengki atau caci-maki. Selagi bernama rakyat, posisi anda sama. Tak ada orang besar, tak ada orang penting, tak ada kasta tinggi, tak ada kasta rendah. Monarki ialah salah satu unsur penting dalam prinsip kenegaraan mereka. Melayu Islam Beraja.

poster promosikan Bahasa Melayu ada di mana-mana
Konsep Melayu di Brunei juga sama seperti konsep Melayu di Malaysia. Semua pribumi Islam dianggap Melayu, ia dominan dalam semua bidang termasuk perniagaan. Padahal jika mengikut suku, Melayu Brunei bukanlah sebenar-benarnya asli Melayu melainkan Kedayan dan Bajau, atau lain-lain suku pribumi (Brunei:Puak) yang peluk Islam kemudiannya. Keputusan Kerajaan Brunei jadikan Melayu sebagai identiti negara, telah membantu meMelayukan Brunei. Sekatan taraf warganegara kepada etnik bukan bumiputra dengan juga menjadikan Melayu Brunei semakin homogen.

Satu hal yang menarik di negara ini, Brunei keluarkan tiga jenis kad pengenalan untuk penduduknya iaitu, kuning - untuk warganegara, Ungu - penduduk tetap kelahiran Brunei dan Hijau – Penduduk Tetap warga asing. Hampir semua Cina Brunei memegang kad pengenalan ungu.

Selain monarki Melayu, Islam juga jadi unsur asas dalam prinsip negara. Ikatan Melayu dengan Islam menambahkan lagi populasi Islam melebihi 90%. Sesuai statusnya sebagai agama rasmi, Brunei perlahan-lahan jadikan hudud sebagai hukum negara - menolak common law British yang sudah dipakai sejak 30 tahun lalu. Ketika ini, hudud mula dikuatkuasakan dalam bidang tertentu, dan sedang diluaskan berperingkat.

Gloria Jeans Cafe - hanya ini lokasi santai untuk warga asing 
Mungkin Brunei bukanlah pilihan untuk dilawati. Larangan menjual arak dan penutupan pusat hiburan seluruh negara barangkali jadi kekangan pelancong luar datang ke Brunei. Siapa kata? Ia sebenarnya tak berimpak langsung. Banyak juga pelancong asing yang saya lihat datang ke negara ini ketika nuansa Islam yang begitu terasa. Malah ketika kedatangan saya, baru beredar satu dasar baru yang tentunya jadi isu panas kalau di Malaysia. Brunei baru saja menetapkan 'larangan menyambut Hari Natal di tempat awam'. Tambahan kepada larangan sambutan Tahun Baru 2015 yang akan tiba pada hari esok. Jangan bermimpi melihat sepanduk ucapan selamat menyambut tahun 2015 selama di sini, ia tak ada sama sekali, sebaliknya semua syarikat milik negara, swasta dan asing 'dipaksa' gantung sepanduk mengalukan kedatangan Maulidur Rasul dengan ucapan berhuruf jawi.

Semua syarikat asing harus belajar jawi.
(sambung Catatan 2)

1 ulasan:

  1. Bangga dengan Brunei. Bahasa Melayu dalam tulisan jawi ada di mana-mana. Pernah sekali ke sana, tapi tak tahan dengan kos hidupnya yang tinggi...

    BalasPadam