بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Turki Dalam Sejarah

"Constantinople!!!" kata itu muncul di bibir saya sebaik mendarat selamat di Landasan Udara Istanbul Ataturk. Tak percaya saya dah sampai sini. Hari ini, saya di bandar bersejarah yang agung kisahnya disebut ribuan generasi. Dulunya bandar ini pernah direbut beberapa empayar. Bertukar tangan dari zaman ke zaman. Dibuka sejak kerajaan Yunani (Greek), Constantinople kemudian diambil-alih oleh Roman, diserah ke Byzentin, lalu ditakluk Usmaniah, dan berakhir dibawah Republik Islam Turki. Namanya pun bertukar beberapa kali. Awal dikenal sebagai Byzentium, kemudian jadi Constantinople sebelum dipinda jadi Islambol sebelum kekal disebut Istanbul.

Usmaniah di zaman kegemilangan

Saya teringat hadis ini " Constantinople akan jatuh ke tangan Islam, ditakluk sebaik-baik pemimpin, sebaik-baik tentera dan sebaik-baik rakyat". Ternyata hadis itu benar. Alhamdulillah hingga kini Istanbul kekal ditangan Islam.

Hadis itu ialah ramalan penaklukan Constantinople oleh Rasulallah (SAW), seribu tahun yang lalu. Sudah saya dengar lama hadis ini sebelum saya sampai ke sini lagi, sejak itu saya jadi obses pada sejarah Constantinople - khasnya dibawah Pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih, Usmaniah.

Mengikut sejarahnya, dari ramai pemimpin Islam bangsa Arab dan Turki yang cuba takluk Constantinople, bagindalah pemimpin yang digambarkan dalam hadis itu. Ziarah Istanbul, dan Turki amnya memang satu kunjungan yang sangat saya tunggu-tunggu.

Bandar ini dibuka sekitar 600 tahun sebelum masehi (SM) oleh panglima kerajaan Greek bernama Byzas. Ia dinamakan Byzantium, diambil sempena nama panglima itu sendiri. Bandar ini terletak pada lokasi yang strategik di tiga titik pertemuan air antara Laut Marmara, Selat Bosphorus dan Laut Hitam. Kelebihan ini jadikan Byzentium bertambah maju hingga disasarkan banyak kuasa asing – dimulakan oleh Roman, yang berpusat di Rome. Pada tahun 330, Flavius Valerius Aurelius Constantinus telah pindahkan Ibukota Roman dari Rome ke sini sebelum mengganti namanya jadi Constantinople.

Perpindahan ibukota ini rupanya jadi sebab pecahnya Roman kepada dua. Empayar Barat dan Timur. Empayar Roman Barat runtuh diserang orang-orang Jerman pada tahun 467. Kekallah Roman Timur berdiri di bawah pengaruh Greek. Roman Timur menjadi Byzentine dan Bahasa Greek gantikan peranan bahasa Latin.

Tapi kedamaian Constantinople tak kekal lama. Ia diserang Parsi beberapa kali. Malah kebangkitan Arab yang bawakan agama baru pun ikut menekan. Percubaan Arab atas nama Islam dimulakan tahun 651 (34 hijrah) oleh Saidina Ali bin Abi Thalib. Diteruskan pula oleh Mu'awiyah bin Abu Sufyan tahun 703 (84 H), Sultan Sulaiman pada tahun 710 (91 H) dan terakhir oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid tahun 782 (165 H). Namun percubaan mereka masih gagal runtuhkan Constantinople. Ramalan dalam hadis Rasulallah (SAW) itu tentang kekal jadi tanda tanya.

Sesi baik dari kemaraan Arab ini, meski belum berhasil merebut Constantinople ialah perkembangan positif agama Islam. Ada benih Islam tertinggal di setiap tanah yang dilalui. Beberapa kelompok manusia yang dulunya seteru, kini seiman, antaranya bangsa Parsi dan Turk-Oghuz. (Oghuz ialah sub-etnik Turki dari rumpun Mongol).

Sewaktu zaman kerajaan Arab Abbasiyah, Bangsa Parsi dan Oghuz dibenar tubuhkan kerajaan naungan. Antaranya Seljuk di Nashipur (Iran, tahun 1037) dan Khawarezmian (Afganistan, tahun 1077). Kebenaran itu timbulkan irihati dikalangan orang Arab sendiri hingga sebahagian mereka berbuat khianat ketika Mongol menyerang.

Abbasiyah jatuh pada tahun 1258 sekaligus membunuh perluasan tamaddun Arab. Ketika di bawah Mongol, banyak Masjid dihancur dan Khazanah Islam lainnya dibakar.

Bagaimanapun, perluasan wilayah Islam terus berlaku dibawah pemerintahan Seljuk, Islam merebak hingga Anatolia mendorong orang-orang Turk-Oghuz yang lari dari serangan Mongol hijrah ke sana.

Namun Seljuk juga diruntuhkan Mongol pada tahun 1260. Pecahan Seljuk lahirkan beberapa kerajaan kecil yang baru, antaranya Usmaniah di Anatolia (1299), Timurid di Iran (1370) dan Moghul di India (1526).

Di Anatolia, Usman Al-Ghazi, mulakan usaha membentuk kerajaan Usmaniah di Söğüt (sekarang dalam Busra). Kerajaan baru ini berkembang lebih pesat meninggalkan kerajaan-kerajaan kecil Islam yang lain sekaligus menakutkan jirannya Byzentine.

Usmaniah terus berkembang. Khalifah Usmaniah ke-4, Sultan Beyazid mula sebar pengaruh hingga Thrace (semenanjung terhujung Eropah di sebelah timur) dan Balkan. Beberapa wilayah ditakluk, tinggalkan Constantinople tersisa di tengah-tengah. Beberapa usaha menakluk bandar ini telah dilakukan pada tahun 1391, 1397 dan 1400 namun tidak juga berhasil.

Dari usaha demi usaha yang masih gagal, akhirnya Constantinople takluk juga dibawah Usmaniah melalui Sultan Muhammad AL Fatih pada 29 Mei 1453. Usaha kepungan 53 hari, ditambah ilham luar biasa baginda 'melayarkan' 72 kapal merentasi Bukit Galata dalam satu malam, empayar Byzentine di bawah Raja Constantine IV itu runtuh juga. Kejayaan menakluk Constantinople bukan sekadar membenarkan hadis Rasullah (SAW), tapi juga menghancurkan empayar Byzentine.

Sejak detik ini, Constantinople menggantikan ibukota Usmaniah yang baru, dan memakai nama nama Islambol – bermaksud Islam seluruhnya. Nama Islambol diganti Istanbul, dari kata istilah Is-timbul yang bermaksud masuk ke kota dalam bahasa bahasa Greek.   

Penaklukan Istanbul memulai detik baru kekuasaan Usmaniah di Eropah. Setelah lalui berbagai zaman dan penaklukan, khususnya di Balkan dan Eropah Timur, Usmaniah jadi empayar terbesar pada zamannya selama hampir lebih 500 tahun - sebelum runtuh.

Bagaimanapun detik runtuhnya Usmaniah jarang diulas dalam banyak catatan. Padahal ada ikhtibar penting yang boleh kita dipelajari. Kejatuhan Usmaniah mulai dilihat dari kegagalan mereka takluk beberapa daerah di hujung abad ke-17. Hal ini mula dianggap sebagai kelemahan strategi ketenteraan oleh sesetengah golongan dan mereka bandingkan ketertinggalan itu dengan teknologi yang mereka rasakan moden ada di dunia Eropah. Akibat dari itu, mulai muncul suara yang inginkan pembaharuan dan 'ikut barat'. Golongan ini semakin berpengaruh lantaran kedudukan Usmaniah yang melemah atas beberapa masalah. Sejak itu tertubuhlah satu gerakan yang mahu revolusi, tak hanya dalam bidang pentadbiran, kewangan, pendidikan dan perdagangan, tapi juga bidang pemerintahan yang semuanya disadur dari barat.

Idea pembaharuan ini ketara dibawah pemerintahan Sultan Mahmud II (1808 – 1839). Baginda yang sudah terpengaruh, mula perkenalkan sistam terpisah antara Islam dan pemerintahan. Golongan Intelektual barat ini seterusnya kembangkan idea yang lebih buruk lagi bila kuasa mutlak sultan dihapuskan dan diganti sistam raja berperlembagaan.

Kekuatan yang semakin tercalah menjelang perang dunia pertama dijadikan alasan untuk terus menekan sultan. Kebimbangan tak tekawal selepas satu persatu wilayah mulai merdeka, dan sebahagiannya terjajah mencetus gerakan nasionalisme baru. Mereka kini berjuang untuk sebuah wilayah merdeka bagi bangsa Turk yang bebas dari perluasan bangsa Eropah.

Gerakan yang pada asalnya berjuang melindungi tanah dari terjajah, berkembang jadi gerakan menggulingkan sultan. Empayar Usmaniah rasmi runtuh berganti Republik Islam Turki pada November 1923 dibawah pemimpin revolusi ketika itu, Mustafa Kamal (Ataturk).

Idea Ataturk seterusnya menjadikan negara itu sebuah 'Turki', Islam dan Moden melalui pemisahan unsur agama pada pentadbiran (sekularisme). Dasar sekular ini dimasukkan dalam perlembagaan melalui aturan baru yang diceduk sepenuhnya dari barat. Tapi perlu difahami, sekularisme tak bermaksud memaksa warga meninggalkan agama, sebaliknya ia hanya sebatas urusan Individu di rumah. Ini jugalah idea pemerintahan yang diamalkan di banyak negara Islam lainnya ketika ini, termasuklah Malaysia.

Rujukan:
Istanbul - 10 Pengalaman Paling Menakjubkan (Izham ISTAR; ATN; Kajang: Jun 2011)
Istanbul – The Cradel of Civilization (ARD; Istanbul; Jun 2011)
Ataturk and The War of Independence Museum (Turkey General Staff; Ankara)
Ephesus – The Metropolis of Antique Age (Huseyin Cirmin; Guney Books; Antalya: 2014)
http://www.cangcut.net/2013/03/kehancuran-kerajaan-turki-usmani.html
http://gusdayat.com/2008/11/28/turki-utsmani-kekhalifahan-berakhir-abad-kemarin/
https://aslibumiayu.wordpress.com/2012/11/01/sejarah-dan-penyebab-runtuhnya-khilafah-turki-utsmani/
http://dianaharifblogspot.com/2011_01_archive.html
http://catatandarideutschland.blogspot.com/2013/01/istanbul-sejarah-silam.html
http://satuumat.blogspot.com/2010/05/sejarah-sultan-muhammad-al-fateh.html
http://www.themiddleages.net/people/seljuks.html
http://www.ushistory.org/civ/6f.asp
http://rome.mrdonn.org/twoempires.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan