Sesuatu yang selalu saya lakukan setiap kali ke
tempat baru ialah selami sedalamnya cara hidup sosial masyarakat di sana. Atau
setidaknya amati apa sebenarnya yang membuat tempat itu kelihatan beza dari
habitat saya. Kemudian sebolehnya mencuba meletakkan diri saya di tempat
mereka. Belajar bahasa lokal, kenal budaya lokal dan kemudian bergaul dengan siapapun
yang saya temui agar mudah saya dapat semua yang saya inginkan itu.
Begitulah ketika di Turki. Cuma pergerakan saya kali ini terbatas kerana ini bukan pengembaraan sebagaimana kegemaran saya. Perjalanan ke Turki lebih
kepada pelancongan ziarah, bukan redah dan berserah. Selain saya, ada rakan rombongan yang datang bersama. Setiap aktiviti sudah diatur, jadi saya tak punya banyak waktu untuk melayan jiwa. Mujurlah masih ada ruang-ruang kosong yang tersisa buat saya perhati, kumpul, dan kemudian lihat apa saja yang mungkin boleh saya jadikan cerita bila pulang ke Malaysia.
Sememangnya setiap pengalaman yang terlepas, takkan dapat kita ulang. Hanya dapat dikenang, lewat catatan perjalanan. Meski di mata orang lain ia tak seberapa, di mata saya ia besar maknanya. Inilah sebahagian kecil dapatan saya. Dari negara pewaris kerajaan Usmaniah.
Sememangnya setiap pengalaman yang terlepas, takkan dapat kita ulang. Hanya dapat dikenang, lewat catatan perjalanan. Meski di mata orang lain ia tak seberapa, di mata saya ia besar maknanya. Inilah sebahagian kecil dapatan saya. Dari negara pewaris kerajaan Usmaniah.
KENAL TURKI
Nama rasmi negara ini ialah Turkiye Chumhuryeti. Atau
dalam bahasa Melayu disebut Republik Turki. Ibu-negaranya Ankara, tapi bandar
terbesar, terpenting, pusat perdagangan dan tumpuan utama penduduk ialah
Istanbul.
Luas negara ini 783,562km persegi. Lebih dua kali ganda luas Malaysia. Jadi jarak dari satu pusat provinsi ke satu pusat provinsi yang lain tentulah lebih jauh. Turki terletak di semenanjung Anatolia. Daratan semenanjung yang terjojol keluar antara Laut Maditernean dan Laut Hitam. Sepersepuluh lagi negara ini terletak di tanjung Thrace, di selatan pergunungan Balkan, benua Eropah. Sesuai kedudukan, Turki menerima cuaca empat musim.
Luas negara ini 783,562km persegi. Lebih dua kali ganda luas Malaysia. Jadi jarak dari satu pusat provinsi ke satu pusat provinsi yang lain tentulah lebih jauh. Turki terletak di semenanjung Anatolia. Daratan semenanjung yang terjojol keluar antara Laut Maditernean dan Laut Hitam. Sepersepuluh lagi negara ini terletak di tanjung Thrace, di selatan pergunungan Balkan, benua Eropah. Sesuai kedudukan, Turki menerima cuaca empat musim.
Ketika saya sampai, baru masuk musim bunga. Suhunya
sekitar 12◦c. Masih ada sisa salji yang turun di beberapa lokasi
tanah tinggi. Lebih penting lagi, siang di Turki lebih panjang dari waktu
malam. Dari subuh sampai ke maghrib, masa yang diambil ialah 16 jam, jadi aktiviti
luar dapat kita lakukan lebih lama.
MAKANAN
makanan Turki |
Sebagai sebuah negara Maditrenean, nasi bukanlah makanan
asas warga Tukri. Jadi jangan mimpi lihat sawah. Pun begitu, nasi tetap
dimakan sebagai selingan kepada makanan lain. Sebelum ini, saya sering tersalah
menyangka kebab yang kita lihat di Malaysia ialah makanan sama yang ada di
Turki. Sebenarnya, kebab ialah daging panggang yang tak semestinya kita makan
bersama roti pita seperti kebab Turki ala Malaysia. Selama di Turki, beberapa
kali saya makan kebab dengan barli goreng atau sup kacang dal dan salad.
Rasanya memualkan. Sangat tak kena dengan selera kita. Tapi saya tetap makan
banyak. Satu yang buat saya termimpi-mimpi, kopi dan teh Turki luar biasa
sedap. Saya sempat beli beberapa bungkus serbuk teh Turki buat buah tangan
untuk teman di Malaysia.
Satu perkara yang sangat saya ingat, bertanyakan status
makanan halal atau tak, dianggap hinaan kepada mereka. Saya pernah ditegur seorang
warga Turki ketika tak sengaja tertanya soalan seperti itu. Jadi pokoknya, makan
dan minumlah apa saja yang anda mahu kecuali alkohol.
TURKI ITU EROPAH
Jika soalan itu ditanya, tanpa ragu saya menjawab Turki
itu Eropah. Walaupun 90% wilayah Turki ada di Asia, tapi hampir semua ciri yang
ada di sini saya nampak lebih rasa Eropah – kecuali agama. Inilah yang membuat
Turki itu unik. Ketika ini, akses ke Turki lebih dekat dari Eropah berbanding lain-lain
negara Asia. Jaringan jalan keretapi Trans-Eropah yang melalui Turki sedikit
sebanyak membuktikan.
BANGSA DAN BAHASA TURKI
Walau tak semelepak kulit Eropah, wajah orang Turki saling
tak tumpah seperti wajah Balkan. Tapi kalau anda gemarkan kajian etnik, anda
akan lebih heran bila dengar bahasa mereka. Secara logik, kalau Balkan itu
Eropah, tentulah bahasa Turki pun lebih dekat dengan bahasa Eropah. Tapi tunggu
dulu, bahasa Turki tak berkait sama sekali dengan mana-mana bahasa Eropah, hatta
dengan bahasa jirannya di Greece sekalipun.
anak-anak Turki |
Jika bahasa Turki bukan bahasa Eropah, kenapa wajah mereka
mirip Balkan? Satu lagi hipotesis yang mahu saya amati.
Turki itu asalnya kecinaan. Seperti wajah Kazakh dan Uzbek.
Malah bahasa mereka pun saling berkait. Bukti orang Turki asli itu berwajah Cina,
dapat dilihat pada foto tokoh-tokoh Usmaniah yang banyak dipamer di
muzium-muzium. Mukanya panjang dan matanya sepet, tapi berhidung mancung. Sejarahnya,
mereka berasal dari utara China, mereka ialah sub-bangsa Mongol, seketurunan
dengan Genghis Khan. Lagi sejarah Turki dapat dibaca di catatan saya tentang sejarah Turki di sini.
Perkembangan Kerajaan Usmaniah dan agama Islamlah yang
mungkin jadikan orang Turki seperti sekarang - berwajah Eropah tapi berbahasa
Asia. Pertama kali dengar lenggok bahasa
Turki, saya fikir mereka serumpun dengan bangsa-bangsa India Selatan. Bahasanya
bergulung-gulung.
Sebelum ini saya selalu fikir bahwa Turki itu Arab. Budaya Turki ialah budaya Arab, dan bahasa
Turki serumpun dengan bahasa Arab. Tapi kini jelas. Sejarah ringkas Turki dah
cukup buktikan bahawa Turki bukan Arab. Persamaan Turki dengan Arab hanya pada
agama. Bukan pada bahasa dan budaya. Dua bangsa ini datang dari rumpun beza. Turki bertutur
bahasa Altaic, bahasa yang berasal dari utara China, dan Arab dari rumpun
bahasa Indo-Africa. Tak berkait sama sekali melainkan persamaan beberapa kosakata yang terjadi selama perkembangan Islam.
wanita Turki |
ISLAM DAN TURKI
Penganut Islam di Turki mencecah 99.8%. Hampir seluruhnya fahaman Sunah Hanafi. Meski seramai itu, Islam masih bukan agama
rasmi. Ia mungkin ada kaitan dengan asas Turki yang terbentuk mengikut fahaman
sekular sejak 1923. Cuma mohon jangan bayangkan kalau orang Turki buta
agama. Di depan mata saya, sesetengah warga Turki nampak lebih Islam dari Islam
Malaysia.
trem di tengan bandar Istanbul |
KEMAJUAN
Pada setiap momen yang saya lalui, dan di setiap aktiviti
yang kami ikuti, saya selalu rasakan Turki lebih maju dari Malaysia. Pengangkutan
awam di Turki lebih lengkap. Jaringan jalanraya jauh lebih panjang, lebar
dan mulus. Malah sepanjang di sini, jarang nampak jalan bertol kecuali satu di
Istanbul. Jalanrayanya pun jarang dilalui motor. Bukan langsung
tak ada, tapi motor hanya difungsikan untuk jarak dekat. Di sini, motor bukan kenderaan jarak jauh sebagaimana kebiasaan di Malaysia.
sisa tinggalan sejarah yang begitu agung |
TAMADUN TURKI LEBIH TUA
Jika anda fikir sejarah Malaysia sudah cukup kaya. Kaji dulu sejarah Turki. Negara ini sejarahnya jauh lebih lama. Mereka pernah lalui beberapa tamadun seawal
ratusan tahun sebelum masihi. Bermula zaman Hittite, masuk ke tamadun Greek, diambil-alih
Roman, pindah tangan ke Byzentine sebelum ditakluk Usmaniah, sejarah Turki
hampir 3000 tahun. Belum lagi masuk zaman pra-sejarah. Turki tidak pernah
dijajah kuasa Eropah melainkan merekalah yang menjajah sebahagian tanah Eropah.
Kesan peninggalan sejarah di Turki masih berbekas hingga kini walau ditinggalkan
seawal sebelum masihi. Ketika mengkaji sejarah Turki, saya rasakan tamadun
bangsa kita sebenarnya masih sangat muda. Tapi itu bukan alasan untuk kita abaikan
sejarah bangsa kita sendiri.
BAHASA ASING
Kemampuan komunikasi ialah satu lagi perkara yang suka
saya lihat dalam banyak perjalanan saya. Ketika Malaysia semakin sedar akan
'kepentingan' bahasa Inggeris, banyak negara lain termasuk Turki tak rasa
apa-apa terhadap bahasa itu. Ketika pemimpin negara kita mulai bimbang jika rakyat
Malaysia tak fasih bahasa Inggeris, pemimpin negara lain lebih bimbang jika
warganya tak fasih bahasa negara sendiri. Ketika warga Malaysia mulai takut masa depan
bakal gelap tanpa pengetahuan bahasa Inggeris, warga di negara lain lihat bahasa itu tak banyak fungsi melainkan bahasa komunikasi, itupun untuk tujuan yang terhad.
Kalau dalam Bahasa Malaysia, namanya 'House of Simit' |
Saya saksikan fakta ini dalam semua kunjungan saya ke beberapa
negara. Dari semua negara itu, Malaysialah yang paling terhegeh-hegeh jadikan bahasa
Inggeris seperti dewa. Di banyak negara lain, bahasa Inggeris jangankan jadi bahasa kedua, bahasa ketiga pun bukan. Ia hanya dianggap sebagai bahasa asing (foreign language)
saja. Termasuk di Turki ini, bahasa Inggeris sudah pun tewas 10-satu. Di Turki,
bahasa Inggeris sama sekali bukan bahasa Ilmu. Bukan juga bahasa bisnes atau bahasa
agama. Bukan bahasa perundangan, bukan bahasa sastera, bukan bahasa pentadbiran,
bahasa kerja, bahasa teknologi atau bahasa persuratan. Apalagi bahasa komunikasi
sehari-hari. Samuanya bukan, tak seperti statusnya di Malaysia yang sudah jadi Tuhan. Temui orang awam di Turki yang tak tahu langsung bahasa Inggeris, bukan
pelik. Jadi sulit untuk kita jalan sendiri ke mana-mana. Hatta naik teksi pun, kita
pasti berdepan situasi seperti ayam dan itik. Tapi mereka peduli apa. Ajaibnya meski
dalam hal berbahasa, mereka kurang satu dari kita, hidup mereka masih lebih
makmur.
Jadi apa sebenarnya yang telah berlaku di Malaysia?
Puncanya, negara kita tak ada satu dasar yang kukuh
tentang bahasa negara sejak dari awal lagi. Penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi tak dibantu dengan sokongan memadai. Memperburukkan keadaan, hampir 40%
warga Malaysia diberi pilihan memilih sekolah yang seluruhnya memakai bahasa negara
lain. Kesannya walau sudah setua ini, negara kita masih berdepan isu bahasa
yang tak sudah. Hasil dari kecelaruan yang kita wariskan dari dulu, kini kita
terpecah dua. Sebahagian warga Malaysia sudah pasrah dengan kekurangan yang ada pada Bahasa Melayu, dan mula meminta bahasa Inggeris untuk kemudahan mereka sehari-hari. Manakala
sebahagian yang lain, masih percaya Bahasa Melayu mampu dipakai dalam apapun
bidang penting di negara ini, sama seperti bahasa nasional lain di negara tetangga.
Berbalik kisah di Turki. Bahasa nasional negara ini
terlalu homogen. Di luar kawasan tumpuan, kita seperti itik yang sedang meminta
belas dari sang ayam yang tuli. Tapi di lokasi tumpuan, anda seperti tuan tanah
yang begitu dihargai. Ramai peniaga mampu tuturkan beberapa kata dalam banyak
bahasa, termasuklah Melayu. Ungkapan mari-mari, murah-murah, lima lira, sepuluh
lira dan lain-lain, akan sering kita dengar dari mulut mereka yang sedang
memujuk pelanggan. Malah melihat wajah tropika, mereka mampu menyebut nama dua negara
"Malaysia atau Indonesia?". Pernah di satu kedai cenderahati yang
saya singgah, bahasa komunikasi antara kami seratus peratus pakai Bahasa Melayu.
Begitu fasihnya dia sampai saya tak sampai hati tinggalkan kedai itu tanpa
membeli.
POLITIK TURKI
Siapa tak kenal Erdogan? Dialah Presiden Turki dari AKParti.
Sangat terkenal di Malaysia kerana ciri-ciri Islam yang dia bawa. Cuma setelah
datang ke Turki, dan bertanya sendiri pandangan ramai orang lokal yang saya
jumpa. Rata-rata orang Istanbul tak suka dia. Malah AKParti bukan parti pilihan
di beberapa wilayah barat. Cuma dalam kalangan etnik Kurdis, pandangan mereka
berbeza. "Erdogan bagus" jawab mereka.
Terjemahan: Terima Kasih Turki - Tahun Pemilihan Yang Baik |
Lain pula halnya bila disebut Kamal Ataturk. Jika hampir
semua orang Islam Malaysia mencerca dia, dan kaitkan dia dengan segala dasar
sekular yang tak terbayangkan, segenap lapisan warga Turki pula sebulat suara anggap
dia sebagai wira. Ataturk ialah penyelamat Bangsa Turk dari jatuh terduduk
bersama-sama jatuhnya Empayar Usmaniah. Terselamat dari layanan buruk yang pernah saudara sebangsa mereka lalui di wilayah bekas jajahan Usmaniah terutama di Bosnia dan Albania. Dasar
kebangsaan Turk yang Ataturk terapkan pada sebuah negara baru yang dia ciptakan,
telah dapat bebaskan bangsa Turk dari penindasan yang mereka terima selama ini, termasuk di
China, di Russia dan di semua tanah jajahan di Balkan yang sudah pun terlepas. Ataturk berjaya keluarkan bangsa Turk dari bayang-bayang Arab dan Pasri.
Berjaya daulatkan bahasa dan budaya Turk hingga dipelajari segenap lapisan masyarakat di Anatolia
dan Thrace. Berjaya jadikan Turki sebagai sebuah negara bangsa. Berjaya Turki-kan semua
warganya tanpa mengira bangsa - pada jiwa dan raganya. Jasa insan ini
diabadikan dalam gelar Ataturk yang bermaksud bapa bangsa Turk.
Saya anggap perjalanan saya ke Turki capai matlamat. Apa yang
saya dapat, sepadan seperti apa yang saya inginkan pada kunjungan ziarah
sesingkat ini. Malah, saya dapat bayangkan bahwa Turki bakal jadi pintu buat
saya luaskan perjalanan. Malah pengalaman di Turki beri keyakinan bahwa saya
mampu jalan sendiri ke belahan lain di benua sebelah sini. Sebelum balik
Malaysia, sempat saya tanyakan tatacara masuk Bulgaria dan Greece dari
Istanbul. "Sempadan kedua-dua negara amat dekat sekali" kata Attila.
Pemandu pelancong yang merangka perjalanan kami ke hampir separuh negara ini.
Lebih beruntung buat kita, pasport Malaysia laku dibawa hampir ke seluruh
negara Eropah tanpa perlu dibebankan dengan visa.
Maklumat yang menarik dan lengkap. Setuju bahawa Turki lebih maju dan lebih kedepan dari Malaysia
BalasPadam
BalasPadamشركة مكافحة النمل الابيض بالجبيل
شركة كشف تسربات المياه بالهفوف
Terima kasih, penulisan ilmiah, ada bandingan aspek eko, politik, sosial budaya dll.
BalasPadamMenarik perkongsian ni. Turkiye memang sangat unik. Pertembungan antara eropah dan asia, pasti akan ada kelainan dan perbezaan.
BalasPadam