بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





GONG - Filem Melayu juga tidak kurang hebatnya

Rating:★★★★
Category:Movies
Genre: Mystery & Suspense
Setelah lama ditayangkan di pawagam, baru kali inilah saya berkesempatan menonton filem GONG. Itupun setelah meminjam VCDnya daripada seorang kawan. Bagi masyarakat Malaysia yang sebelum ini dimomokkan dengan pandangan negatif tentang filem Melayu, Saya sarankan ubahlah persepsi tersebut. Filem 'kita' juga tidak kurang menariknya dan saya rasa kualitinya mula meningkat secara bertahap.

Filem GONG berlatar belakangkan budaya Jawa dan dilakonkan di Jogjakarta, Indonesia. Kisahnya bermula apabila sekumpulan pelajar universiti dari Malaysia melakukan kajian sejarah terhadap kerajaan kuno di pulau Jawa. Bagaimanapun kedatangan mereka diselubungi misteri apabila kisah disebalik sebuah gong yang kononnya berhantu terbongkarkan oleh mereka.

Semuanya bermula apabila Trisha, iaitu salah seorang pelajar dari kumpulan itu mencuri satu gong lama yang tersimpan dalam kraton. Gong itu yang kononnya dicuri untuk dijadikan bahan kajian sejarah itu rupa-rupanya banyak mendatangkan gangguan hinggakan timbul minat kepada mereka untuk mengungkai misterinya.

Secara peribadi, jalan cerita filem GONG ini saya rasa ringkas dan berkesinambungan setiap babak. Cuma babak permulaan cerita nampak janggal. Dialog dalam filem ini juga diolah dengan baik dan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Filem ini turut memuatkan dialog dalam Bahasa Indonesia dan Jawa. Kepada mereka yang suka menonton filem yang tidak terlalu berat, dan kepada mereka yang suka melihat perbezaan bahasa antara Malaysia dan Indoensia, filem ini mungkin sesuai anda tonton.

Bendera ini masih berkibar..?


Baru beberapa hari yang lalu, akhbar (koran) Malaysia menyiarkan isu Warga Indonesia asal Aceh  yang memonopoli premis perniagaan bumiputera di sekitar pasar-pasar utama di pusat bandaraya Kuala Lumpur (KL). Kini terbuka lagi mata ini apabila aku menyedari rangkaian perniagaan mereka sebenarnya bukan sekadar di KL, malah berselerakan hingga ke Subang Jaya, Petaling Jaya, Selayang dan malah di kawasan tempat tinggal ku sendiri, Pantai Dalam.

Petang tadi sementara menanti kunjungan seseorang di sebuah kedai di Subang Jaya, aku terpandang sebuah bendera bersaiz sederhana yang ditampal di dalam premis tersebut. Aku kenal bendera itu. Aku selalu melihatnya di kaca TV saat operasi militer Tentera Nasional Indonesia melawan tentera pemisah Aceh, GAM yang sedang memuncak pada tahun 2004. Dalam kebingungan, aku bertanya kepada pemilik premis tersebut kenapa bendera itu yang ditampal pada dinding kedainya, “Saya warga Acheh” jawabnya dalam loghat Melayu sebagaimana orang Malaysia yang lain. “Oooh, orang Indonesia...” jawab ku setelah mendengar penerangan darinya. “Saya orang Acheh” tegasnya lagi seolah-olah membantah jawapan ku.

Akhirnya aku mengalah dan berhenti bertanya. Lalu aku membuat kesimpulan sendiri bahawa dia mungkin adalah penyokong gerakan Hassan Tiro dan Malik Mahmud yang terpaksa melarikan diri ke tanah seberang. Oleh sebab itu juga, maka dia kibarkan bendera ‘negaranya’ dikawasan yang lebih aman kerana bendera itu tidak lagi boleh berkibar di tempat asalnya.

Mencuba menggunakan Windows dalam Bahasa Melayu

Biarpun pek antaramuka Windows Xp dalam Bahasa Melayu telah dilancarkan sejak 2004, tapi baru kali ini saya berkesempatan memasangnya (install) dalam komputer sendiri. Wah, Bangga rasanya bila sesuatu yang sebelum ini asing kini telah dapat disaksikan. Syabas buat Microsoft dan Dewan Bahasa & Pustaka.

Sebelum ini, banyak rungutan terdengar dari pihak-pihak yang pernah memasang pek ini. Kononnya, ia adalah satu perlaksanaan yang 'tangkap muat', banyak menyusahkan dan keliru. Bagaimanapun, setelah saya mencubanya sendiri, saya selesa dan semakin dapat menyesuaikan diri. Biarpun ada beberapa perkataan yang belum pernah didengar, tapi melalui padanan dalam versi Bahasa Inggeris, masalah ketidakfahaman itu selesai. Usaha mempopularkan perkataan yang jarang didengar ini sebenarnya baik kerana dapat memperkayakan bahasa.

Diharap, mutu bahasa dalam pek ini dapat dipertingkatkan lagi kerana banyak terdapat terjemahan langsung yang sepatutnya boleh ditulis lebih ringkas dalam bahasa Melayu tanpa menjejaskan maksudnya. Alhamdullillah, setelah selesa menggunakan fonbit (handphone) dalam Bahasa Melayu, kini saya mulai selesa menggunakannya dalam komputer pula. Insya Allah saya tidak akan pandang belakang.

Diharap Microsoft Malaysia dengan kerjasama DBP tidak melayan kerenah manusia-manusia yang sebenarnya dengki melihat pemerkasaan Bahasa Melayu. Ayuh teruskan usaha. Setiap langkah seterusnya bermula dengan langkah pertama.

Bersama rakan Multiply Surabaya

Ini foto-foto kenangan bersama rakan Multiply Surabaya ketika kunjungan penulis dan sahabat ke sana tempohari. Sangat berbesar hati kerana ramai yang sudi hadir dan mempererat ukhuwah antara sesama rakan maya kedua negara. Terima kasih kepada Bambang Priantono kerana pertemuan ini.


sedang menunggu
masih ada lagi yang akan sampai
Minum apa tu?
kembar Siti?
Syahrir memperkenalkan diri
Ini Fauzi
semuanya bersatu
ini Ugik dan Banny
ini Lea
ini Oni
ahh!!! lupa yang ini siapa
tamu dari Malaysia
sesi memperkenalkan diri
tekun mendengarkan...
majlis penutup
bergambar kenangan
bila 'pak lurah' berbicara
jalin ukhuah

Menjejak Kaki ke Pulau

Dalam rangka percutian ke Surabaya, saya sempat lakukan kunjungan ke Pulau Madura. Letak pulau ini tak sampai 8km dari bandar Surabaya, hanya perlu seberang selat dengan feri, kita bakal ssampai di pulau yang terkenal dengan penghasilan garam di Indonesia.

Meski terletak tak jauh dari bandar kedua besar di Indonesia, Madura kelihatan miskin dan tertinggal. Banyak sekali orang kurang makan di sana sampai sewaktu saya perkenalkan diri dari sebagai Malaysia, ada beberapa ibu-ibu yang mahu ikut pulang. 

Saksikan kenangan di Madura dalam gambar.











Dari Kuala Lumpur ke Surabaya - 1

penulis dan sahabat di Surabaya
Baru tadi rasanya aku tinggalkan Surabaya. Kini sudah di Kuala Lumpur meneruskan rutin harian sebagaimana biasa. Ahh, cepat sungguh masa berlalu. Kalau boleh aku nak bila terjaga, langsung ke kafeteria, makan dan kemudian tunggu rakan di lobi hotel. Lalu sama-sama keliling kota Surabaya naik teksi, tonton wayang di Mitra, lepak di Tunjungan Plaza, lihat-lihat gadis manis berdarah Arab di Ampel dan kemudian pulang hotel naik bas. Semuanya sudah jadi ‘kalau boleh’. Sayangnya sudah tak boleh. Aku harus kumpul duit dulu, dan kemudian rancang perjalanan seterusnya di lokasi yang lain pula di seluruh pelusuk Nusantara. Khusus di Indonesia, ini kunjungan ku buat kali yang kedua.

Tidak mahu kenangan itu terkubur, aku terjemahkan pengalaman tiga hari siang dan malam di kota terbesar kedua di Indonesia ini dalam bentuk tulisan agar boleh kuulang baca.

Hasrat berkunjung ke kedua di Indonesia telah lama aku impikan. Pengalaman di Kerinci mengujakan aku untuk terus meneroka destinasi baru. Alhamdullillah, hajat itu terlaksana pada 19hb Ogos 2006 bila aku diumumkan menang tiket pergi-balik ke Surabaya naik MAS dan penginapan 3 hari 3 Malam di Sahid Hotel pada majlis makan malam korporat syarikat tempat aku berkerja. Gembira dengan kemenangan itu, aku segera khabarkan ke seorang rakan di Malang, Jawa Timur. Syukur, jawapannya positif dan kedatangan aku sangat dinantikan. Semenjak itu kami sering berhubung, merangka tarikh dan pengisiannya kami bincangkan bersama.

Hotel Sahid Surabaya
2hb Nov. 2006. Hari yang dijanjikan hampir tiba. Memandangkan aku menang dua tiket penerbangan, aku hadiahkan tiket yang satu lagi itu buat Syahrir, antara sahabat terbaik yang aku miliki ketika ini. Persiapan berangkat segera kami lakukan termasuklah ke Pusat Maxis untuk aktifkan perayau Hotlink, cari beg pakaian dan menukar Ringgit ke Rupiah. Tukaran ketika ini berkadar Rp1juta untuk RM408. Tak lupa buat sahabat di Malang, aku hadiahkan sebuah buku berjudul Sama Serumpun, senaskah majalah Libur dan VCD karaoke album Yang Tercinta dari Mawi.

3hb Nov. 2006. Berangkat ke KLIA. Ini kali pertama aku jejakkan kaki di lapangan terbenag antara terbesar di Asia ini. Bahagian dalaman bangunan ini nampak lengang kerana ruangannya besar. Kendalian penumpang pada pandangan peribadi aku kira tidak teratur. Seorang warga asing keturunan Negro kelihatan marah-marah kerana sudah tersilap arah beberapa kali. Jam di bimbit menunjukkan pukul 3.00 petang. Pesawat masih juga belum sedia. Malang sekali jadual penerbangan kami ditunda dua jam.

Tugu Pahlawan
8.00 malam. (7.00 malam; Waktu Indonesia Barat). Pesawat dinaiki selamat mendarat di Bandara Juanda. Urusan imigresen berjalan lancar. Beberapa petugas mengucapkan selamat sampai di Surabaya dan selamat pulang kepada warga tempatan yang nampaknya lebih ramai dari pengunjung. Masuk ke ruangan menunggu, aku terpandang satu kertas yang digantung seorang lelaki yang tertulis diatasnya nama Mohd Fazli bin Abdullah. Aku segera menuju ke arahnya dan kami saling berkenal-kenalan. Adi mengenalkan dirinya sebagai wakil dari Sahid Hotel Surabaya. Kami langsung menuju ke sana. 

Perjalanan diteruskan, kami melintasi sebuah arca bermotif seekor ikan dan buaya sedang beradu kekuatan. Adi menjelaskan maksudnya kepada kami. Kononnya dikawasan itu satu masa dahulu berlaku pertarungan antara seekor ikan jerung (suro) melawan seekor buaya (boyo). Pertarungan sengit tersebut berakhir tanpa kemenangan mana-mana pihak biarpun darah keduanya mengalir banyak mewarnai air di sungai. Dari peristiwa itulah nama Surabaya diabadikan.

Synagog - Rumah ibadat Yahudi
9.00 malam (8.00 malam; Waktu Indonesia Barat). Kami sampai di Hotel Sahid Surabaya. Ketika urusan daftar masuk dilakukan, seorang lelaki menegur dengan memanggil namaku. Dari wajahnya, aku dapat meneka inilah dia Bambang Priantono, rakan yang pernah aku hubungi dalam internet dan telah berjanji memanduku selama di Surabaya. Kepadanya aku perkenalkan Syahrir yang bertuah dapat kubawa bersama. Kami bertiga sama-sama ke Aras 8, masuk ke bilik dan lanjutkan perbualan. Persepsi pertama, Bambang Priantono aku lihat seorang yang mudah mesra dan sangat peramah. Aku dihadiahkan dengan dua buah penutup kepala tradisi Jawa. (aku tidak tahu apa sebutannya dalam bahasa tempatan) dan dua bungkus dodol epal yang belum pernah aku temui di Malaysia. Untuknya, aku serahkan cenderahati yang aku bawakan dari Malaysia.  

Monumen di tugu pahlawan
10.30 malam (9.30 malam; waktu Indonesia Barat) Kami bertiga keluar dari hotel dan mencari sesuatu untuk mengalas perut. Menu makanan kami, nasi goreng jawa dengan air teh hangat (teh o suam). Syahrir berbisik sesuatu padaku. “risanya pelik” katanya selepas menghirup buat kali pertama air teh yang terhidang di depan mata. Memang saat kali pertama mencicipi teh Indonesia pun aku rasa seperti itu. Risanya belum serasi di tekak orang Malaysia. Masa yang terluang, aku khabarkan berita buat keluarga di kampung tentang keadaan aku disini. Sayang, panggilan terhenti setelah baki kredit dalam kartu simPATI yang baru dibeli habis setelah tidak sampai 5 minit digunakan.

Masjid Muhammad Cheng Ho
11.30 malam (10.30 malam; Waktu Indonesia Barat) Kami bertiga bersurai sementara menunggu hari esok. Bambang Priantono pulang semula ke tempat sewanya (kos). 

4hb Nov.2006. Lenaku tidak panjang. Tidurku tergendala saat jam di fon bimbit masih pukul 4.30 pagi (waktu Malaysia). “Terlalu awal” fikirku. Lazimnya, aku akan terjaga saat masuk waktu subuh. “Entah kanapa? Mungkin akibat kepenatan, maka tidurku terganggu” Aku berbaik sangka dan tidur semula.
 
Muka Pintu
6.30 pagi (5.30 pagi; Waktu Indonesia Barat) Aku terjaga lagi. Inilah waktunya setiap kali aku terjaga dari tidur jika di Malaysia. Kalau di sana awan masih gelap, tapi di sini aneh. Aku seperti ditipu lagi oleh waktu bila melihat pemandangan dari luar jendela hotel. Langitnya sudah cerah menandakan hari sudah siang. Aku perhatikan Syahrir, dia juga bingkas bangun lalu tunaikan tanggungjawab sebagai umat beragama. Selesai beribadah kami berehat sambil menonton TV. Sesekali ketawa kerana terdengar lucu bahasa yang ke udara. Bahasa Indonesia bahasa yang aneh. Serupa tapi tak sama.

Beginilah keadaan di sekitara bandar Surabaya
8.00 pagi (7.00 pagi; Waktu Indonesia Barat) Bambang Priantono datang lagi. Seperti dijanjikan, Rakanku itu jalankan tugas dengan baik sebagai pemandu kepada kami. Lawatan pertama diatur, kami berjalan kaki ke sinagog, rumah ibadat penganut Yahudi yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan. Sukar untuk percaya, sebuah negara umat islam terbesar di dunia ini punyai satu komuniti yang paling digeruni setidak-tidaknya di Asia Barat. Aku perhati keadaan sekeliling dengan harapan ingin lihat penganutnya beribadat. Tapi hampa. Kulihat pula aspek senibina,  fizikal sinagog sama seperti bangunan lain yang bukan rumah ibadat. Hanya dua lambang bintang berbucu enam saja yang menandakan ia satu rumah suci. Simbulnya sama seperti lambang bendera Isreal. Juga terdapat satu kalimah tulisan Hebrew yang terpampang pada pintunya. Bagaikan tak percaya, penganut Yahudi ada di Indonesia.

Syahrir di depan Masjid
9.30 pagi (8.30 pagi; Waktu Indonesia Barat) Lokasi kedua diatur. Kami bertiga bermandi peluh kerana harus melancong sambil marathon di tengah kota. Keringat bercucuran sebaik sampai di muka pintu Masjid Muhammad Cheng Ho. Di dalamnya, mataku terpaku pada satu majlis pernikahan pasangan Cina muslim setempat yang diadakan di dewan sembahyang. Rasa teruja lihat majlis itu mengatasi rasa letihan. Aku cuba abadikan majils tersebut dalam foto tapi sayangnya ditegah ‘pemandu pelancong’ kami dengan alasan tidak mahu mengganggu urusan peribadi para mempelai. Alternatif terakhir, kami abadikan potret diri sendiri dengan latar belakang senibina unik masjid komuniti cina itu. Terbit rasa bangga dalam diri apabila melihat syiar Islam subur dalam masyarakat Cina Surabaya. Kami berehat sebentar sambil melepaskan dahaga sebelum memulakan perjalanan seterusnya.

11.00 pagi (10.00 pagi; Waktu Indonesia Barat) Destinasi ketiga, kami berangkat ke Tugu Pahlawan menggunakan khidmat teksi. Lega rasanya kerana keringat yang tadi bercucuran mulai kering diserap pendingin udara dalam teksi mewah Toyota Vios. Berbanding Malaysia yang sekadar menggunakan Proton Iswara, khidmat teksi di Surabaya jauh lebih murah biarpun layanannya jauh lebih mewah. Sampai di lokasi, kami diberikan penerangan tentang sejarah Indonesia saat kemasukan Belanda, Jepun dan Tentera Bersekutu. Penerangan itu diberikan khusus oleh pemandu pelancong kami, Bambang Priantono. Arif benar dia tentang semua ini. Sayang sekali ketika masuk ruang muzium, kami dilarang membawa kemera. Banyak perkara menarik yang terlihat dimata tidak dapat dizahirkan.

Bazzar Sunan Ampel
12.30 Tengah hari (11.30 pagi; Waktu Indonesia Barat) Ampel menjadi lokasi keempat. Kami dimaklumkan di sinilah tempat pemukiman masyarakat keturunan Arab Surabaya. Menyusuri lorong kecil antara rumah dengan rumah membawa kami ke satu kawasan bazar yang menjual pelbagai barangan khusus orang islam atau segalanya yang identik dengan islam. Sayang, semua ini belum mampu menarik perhatian kerana mata ini lebih asyik melihat sesuatu yang lebih mahal harganya - gadis-gadis berwajah Arab. Syahril tidak berkelip mata melihat keayuan mereka. Di penghujung bazar, sebuah masjid lama tersergam dengan di sisinya beberapa buah makam lama yang sesak diziarahi manusia. Kami diberitahu sinilah lokasi makam salah seorang dari sembilan wali yang menegakkan syiar Islam seluruh Jawa.

Masjid Sunan Ampel
2.30 petang (1.30 petang; waktu Indonesia Barat) Kami menamatkan perjalanan hari ini dengan berhibur dalam sebuah pawagam di pusat kota. Hajat Syahrir untuk menonton filem terbaru Indonesia tercapai setelah kami bertiga berpeluang ke pawagam Mitra. “Nonton Mbak Kunti” kata Bambang Priantono. Filem Kuntilanak (Malaysia = Pontianak) terlalu seram untuk digambarkan dalam tulisan. Ramai penonton menjerit ketakutan ditambah dialog yang mereka dengarkan. Tapi aku dan Syahrir hanya mampu memahami jalan cerita tanpa banyak mengerti bahasa yang ke udara. Hingga kini, alunan muzik Jawa seperti dalam filem tersebut masih mampu mendatangkan fobia. Bimbang hidung berdarah.

5.00 petang (4.00 petang; Waku Indonesia barat) Masanya untuk pulang ke hotel dan berehat. Bambang Priantono turut sama berehat di hotel kami sebelum kami bertiga hadir ke Majlis Himpunan Rakan Multiply Jawa Timur yang dijadualkan berlangsung selepas Maghrib. Semantara itu, aku terima sebuah bungkusan dari rakan Multiply di Jakarta. Isinya sehelai T-Shirt berhias monumen jerung dan buaya ditengah-tengah. Terima kasih atas pemberian itu buat Haxawan Rahmady (sriandalas)

Lorong-lorong menuju makam Sunan Ampel
7.00 malam (6.00 malam; Waktu Indonesia Barat) Kami sampai ke Tunjungan Plaza sebagaimana dijanjikan. Di medan selera telah menunggu seorang lelaki. Kami menunggu lagi, dua lagi yang datang. Menunggu lagi, dan lagi dan makin ramai yang datang. Kesemuanya hampir 15 orang. Inilah saatnya aku kenal yang lain selain Bambang Priantono dan Syahrir. Semakin besar jaringanku. Semakin besar kenalanku. Semakin kukuh hubungan silaturrahim sesama manusia sebagaimana tuntutan Tuhan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.  Sebagaimana di jangka, komunikasi menjadi masalah utama yang membataskan pergaulan kami. Aku dan Syahrir lebih banyak berkata iya daripada membalas bicara. Terdengar juga suara seseorang berkata “gimana sih mau bicara kayak Melayu?”. Aku tersenyum sendiri. Kini aku mengerti bahwa mereka juga sulit memahami setiap tuturan kami berdua. Inilah perbezaan paling indah dua saudara serumpun. Syahrir menambah pening mereka ketika dia berucap dalam dialek Kelantan. Terpaku semuanya mendengar bahasa yang aneh sekurang-kurangnya pada mereka.

Bangunan Tinggalan Belanda
11.00 malam (10.00 malam; Waktu Indonesia barat) Majlis bersurai. Kami sempat bergambar bersama bagi mengabadikan kenangan itu. Sedih berpisah dengan rakan-rakan yang baru beberapa jam aku kenali. Belum puas saat bersama. Teringat budi baik mbak Gita dan Ugik yang sudi belikan makan malam untuk kami. Sayang, aku lupa namanya dalam bahasa tempatan. Terbayang dimata gaya manja Lia saat dia bersuara. Terkenang wajah manis Siti Maisaroh yang mirip penyanyi asal Malaysia yang popular disana. Teringat aku pada Oni, pada Yus, pada Yana, pada Benny, pada Azmil dan pada Fathoni. Ingin lagi aku berkongsi cerita sama Kris tentang kerja, tentang pengalaman, tentang apa saja. Belum puas bicara sama Fauzi pada pertemuan sesingkat itu. Sedihnya waktu cepat berlalu.

Raya.AVI




Beginilah keadaan kami dua beradik menyambut raya kali ini.

Aidilfitri 1427H - HARI RAYA PALING SURAM

Saat saya menulis catatan ini, bulan Syawal telahpun masuk hari yang ke-9. Sebagaimana lazimnya di Malaysia yang menyambut lebaran selama sebulan, suasana Hari Raya masih terasa biarpun tempoh bercuti telah tamat dan para pekerja sudah mula berkerja. Di bandar-bandar besar, banyak pihak yang masih menganjurkan rumah terbuka sehinggalah ke hari terakhir bulan Syawal. Bagi masyarakat  desa, suasana Hari Raya surut sebaik masuk minggu ke-2.

Secara peribadi saya rasakan Hari Raya tahun ini paling suram berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kesuraman suasana itu mungkin bermula setelah jadual pulang kampung terpaksa saya tangguhkan sehari. Malang sekali, saya dan beberapa rakan sepejabat dipaksa bekerja ketika cuti sudah bermula. Lebih malang lagi, kerja yang dilakukan bukannya di dalam pejabat sebaliknya di tepi lebuhraya utama sekitar Kuala Lumpur. Bagi mereka yang melalui jalan-jalan tertentu,  anda mungkin telah menerima satu bungkusan berisi buah kurma, sebotol Air Mineral dan dua helai risalah (brochure) berkenaan satu projek perumahan baru syarikat kami di Shah Alam, Selangor yang kami edarkan kepada para pengguna lebuhraya.

Suram suasananya sekali lagi saya rasa sebaik sampai di kampung. Ternyata yang meraikan hari besar ini hanya saya dan adik lelaki serta kedua orang tua. Sudah terbiasa lapan beradik berkumpul bersama, tiba-tiba kini hanya tinggal dua beradik. Sunyinya. Sudah adat, semua ahli saudara saya yang lain tiba giliran beraya di rumah mertua masing-masing. Tapi raya tetap raya, persediaan tetap dibuat biarpun ringkas dan ala kadar. 

Berselang-selikan kiriman SMS yang saya terima dari rakan di 3 negara. MaklumLah, Fazli kini sudah mendunia. (Padahal rakan-rakan saya itu hanya datang Malaysia, Singapura & Indonesia). SMS inilah pengubat rindu saya pada anak-anak buah saya yang nakal dan 'nak kena gigit'. Pelbagai bentuk ucapan Selamat Hari Raya telah saya terima. Ada yang berbau jenaka, ada yang sedih, yang neutral, hinggalah yang berunsur lucah. Paling menarik, satu SMS berbahasa Jawa yang dikirim rakan dari Klang yang saya pasti dia juga tak faham maksudnya. SMS tersebut berbunyi begini:-

            “Ngadok Kupat neng ngisor ondo, Godonge nipah digawae atep,
             Salah silapku njaluk ngapurn, Ketemu meneh neng taun ngarep”

Pagi Raya. Hanya kami berempat menjamu ketupat dan juadah lain didapur. Suasana satu syawal ini juga disuramkan lagi oleh cuaca yang tak menentu. Hujan mula turun renyai waktu pagi dan lebat menjelang petang. Kami hanya duduk di rumah dan menanti tiba kunjungan saudara mara.

Syukurlah menjelang seminggu, barulah suasana bertukar wajah, satu demi satu ahli keluarga yang bertebaran seluruh semenanjung pulang ke kampung. Ibu jadi nampak lebih ceria dari biasa. Lebih–lebih lagi saat menyambut kehadiran kali pertama cucunya yang ke-25 yang baru berusia beberapa minggu. Bertambahlah lagi peruntukan duit raya untuk cucu ibuku.  Bertambah besarlah keturunan Piren & Warjo, pasangan dari Pati, Jawa Tengah yang berhijrah ke Tanah Semenanjung awal 1930an yang lalu, yang kini menjadi induk kepada 9 orang anak, 78 cucu, 490 cicit dan 3 piut. Meriah jugalah keluarga besar kami.