|
penulis dan sahabat di Surabaya |
Baru
tadi rasanya aku tinggalkan Surabaya. Kini sudah di Kuala Lumpur
meneruskan rutin harian sebagaimana biasa. Ahh, cepat sungguh masa
berlalu. Kalau boleh aku nak bila terjaga, langsung ke kafeteria, makan
dan kemudian tunggu rakan di lobi hotel. Lalu sama-sama keliling kota
Surabaya naik teksi, tonton wayang di Mitra, lepak di Tunjungan Plaza,
lihat-lihat gadis manis berdarah Arab di Ampel dan kemudian pulang
hotel naik bas. Semuanya sudah jadi ‘kalau boleh’. Sayangnya sudah tak
boleh. Aku harus kumpul duit dulu, dan kemudian rancang
perjalanan seterusnya di lokasi yang lain pula di seluruh pelusuk
Nusantara.
Khusus di Indonesia, ini kunjungan ku buat kali yang kedua.
Tidak
mahu kenangan itu terkubur, aku terjemahkan pengalaman tiga hari siang
dan malam di kota terbesar kedua di Indonesia ini dalam bentuk tulisan
agar boleh kuulang baca.
Hasrat
berkunjung ke kedua di Indonesia telah lama aku impikan. Pengalaman di
Kerinci mengujakan aku untuk
terus meneroka destinasi baru. Alhamdullillah, hajat itu terlaksana pada
19hb Ogos 2006 bila aku diumumkan menang tiket pergi-balik ke Surabaya
naik MAS dan penginapan 3 hari 3 Malam di Sahid Hotel pada majlis makan
malam korporat syarikat tempat aku berkerja. Gembira dengan kemenangan
itu, aku segera khabarkan ke seorang rakan di Malang,
Jawa Timur. Syukur, jawapannya positif dan kedatangan
aku sangat dinantikan. Semenjak itu kami sering berhubung, merangka
tarikh dan pengisiannya kami bincangkan bersama.
|
Hotel Sahid Surabaya |
2hb
Nov. 2006. Hari yang dijanjikan hampir tiba. Memandangkan aku menang
dua tiket penerbangan, aku hadiahkan tiket yang satu lagi itu buat
Syahrir, antara sahabat terbaik yang aku miliki ketika ini. Persiapan
berangkat segera kami lakukan termasuklah ke Pusat Maxis untuk aktifkan
perayau Hotlink, cari beg pakaian dan menukar Ringgit ke Rupiah. Tukaran
ketika ini berkadar Rp1juta untuk RM408. Tak lupa buat sahabat di
Malang, aku hadiahkan sebuah buku berjudul Sama Serumpun, senaskah
majalah Libur dan VCD karaoke album Yang Tercinta dari Mawi.
3hb
Nov. 2006. Berangkat ke KLIA. Ini kali pertama aku jejakkan kaki di lapangan terbenag antara terbesar di Asia ini. Bahagian
dalaman bangunan ini nampak lengang kerana ruangannya besar. Kendalian penumpang
pada pandangan peribadi aku kira tidak teratur. Seorang warga asing
keturunan Negro kelihatan marah-marah kerana sudah tersilap arah beberapa kali. Jam
di bimbit menunjukkan pukul 3.00 petang. Pesawat masih juga belum sedia. Malang sekali jadual penerbangan kami ditunda dua jam.
|
Tugu Pahlawan |
8.00
malam. (7.00 malam; Waktu Indonesia Barat). Pesawat dinaiki selamat
mendarat di Bandara Juanda. Urusan imigresen berjalan lancar. Beberapa
petugas mengucapkan selamat sampai di Surabaya
dan selamat pulang kepada warga tempatan yang nampaknya lebih ramai
dari pengunjung. Masuk ke ruangan menunggu, aku terpandang satu
kertas yang digantung seorang lelaki yang tertulis diatasnya nama Mohd
Fazli bin Abdullah. Aku segera menuju ke arahnya dan kami saling
berkenal-kenalan. Adi mengenalkan dirinya sebagai wakil dari Sahid Hotel Surabaya. Kami langsung menuju ke sana.
Perjalanan
diteruskan, kami melintasi sebuah arca bermotif seekor ikan dan buaya
sedang beradu kekuatan. Adi menjelaskan maksudnya kepada kami. Kononnya
dikawasan itu satu masa dahulu berlaku pertarungan antara seekor ikan
jerung (suro) melawan seekor buaya (boyo). Pertarungan sengit tersebut
berakhir tanpa kemenangan mana-mana pihak biarpun darah keduanya
mengalir banyak mewarnai air di sungai. Dari peristiwa itulah nama Surabaya diabadikan.
|
Synagog - Rumah ibadat Yahudi |
9.00
malam (8.00 malam; Waktu Indonesia Barat). Kami sampai di Hotel Sahid
Surabaya.
Ketika urusan daftar masuk dilakukan, seorang lelaki menegur dengan
memanggil namaku. Dari wajahnya, aku dapat meneka inilah dia Bambang
Priantono, rakan yang pernah aku hubungi dalam internet dan telah
berjanji memanduku selama di Surabaya. Kepadanya aku perkenalkan Syahrir
yang bertuah dapat kubawa bersama. Kami bertiga sama-sama ke Aras
8, masuk ke bilik dan lanjutkan perbualan. Persepsi pertama, Bambang
Priantono aku lihat seorang yang mudah mesra dan sangat peramah. Aku
dihadiahkan dengan dua buah penutup kepala tradisi Jawa. (aku tidak tahu
apa sebutannya dalam bahasa tempatan) dan dua bungkus dodol epal yang
belum pernah aku temui di Malaysia. Untuknya, aku serahkan cenderahati
yang aku bawakan dari Malaysia.
|
Monumen di tugu pahlawan |
10.30
malam (9.30 malam; waktu Indonesia Barat) Kami bertiga keluar dari
hotel dan mencari sesuatu untuk mengalas perut. Menu makanan kami, nasi
goreng jawa dengan air teh hangat (teh o suam). Syahrir berbisik sesuatu
padaku. “risanya pelik” katanya selepas menghirup buat kali pertama air
teh
yang terhidang di depan mata. Memang saat kali pertama mencicipi teh
Indonesia pun aku rasa seperti itu. Risanya belum serasi di tekak orang
Malaysia. Masa yang terluang, aku khabarkan berita
buat keluarga di kampung tentang keadaan aku disini. Sayang, panggilan
terhenti setelah baki kredit dalam kartu simPATI yang baru dibeli habis
setelah tidak sampai 5 minit digunakan.
|
Masjid Muhammad Cheng Ho |
11.30 malam (10.30 malam; Waktu Indonesia Barat) Kami bertiga bersurai
sementara menunggu hari esok. Bambang Priantono pulang semula ke tempat
sewanya (kos).
4hb Nov.2006. Lenaku tidak panjang. Tidurku tergendala saat jam di fon bimbit masih pukul 4.30 pagi (waktu Malaysia).
“Terlalu awal” fikirku. Lazimnya, aku akan terjaga saat masuk waktu
subuh. “Entah kanapa? Mungkin akibat kepenatan, maka tidurku terganggu”
Aku berbaik sangka dan tidur semula.
|
Muka Pintu |
6.30
pagi (5.30 pagi; Waktu Indonesia Barat) Aku terjaga lagi. Inilah
waktunya setiap kali aku terjaga dari tidur jika di Malaysia. Kalau di
sana awan masih gelap, tapi di sini aneh. Aku seperti ditipu lagi oleh
waktu bila melihat pemandangan dari
luar jendela hotel. Langitnya sudah cerah menandakan hari sudah
siang. Aku perhatikan Syahrir, dia juga bingkas bangun lalu tunaikan
tanggungjawab sebagai umat beragama. Selesai beribadah kami berehat
sambil menonton TV. Sesekali ketawa kerana terdengar lucu bahasa yang ke
udara. Bahasa Indonesia bahasa yang aneh. Serupa tapi tak sama.
|
Beginilah keadaan di sekitara bandar Surabaya |
8.00
pagi (7.00 pagi; Waktu Indonesia Barat) Bambang Priantono datang lagi.
Seperti dijanjikan, Rakanku itu jalankan tugas dengan baik sebagai pemandu kepada
kami. Lawatan pertama diatur,
kami berjalan kaki ke sinagog, rumah ibadat penganut Yahudi yang terletak tidak
jauh dari hotel penginapan. Sukar untuk percaya, sebuah negara umat
islam terbesar di dunia ini punyai satu komuniti yang paling digeruni
setidak-tidaknya di Asia Barat. Aku perhati keadaan sekeliling dengan harapan ingin lihat penganutnya beribadat. Tapi hampa. Kulihat pula aspek senibina, fizikal
sinagog sama seperti bangunan lain yang bukan rumah ibadat. Hanya dua
lambang bintang berbucu enam saja yang menandakan ia satu rumah suci.
Simbulnya sama seperti lambang bendera Isreal. Juga terdapat satu
kalimah tulisan Hebrew yang terpampang pada
pintunya. Bagaikan tak percaya, penganut Yahudi ada di Indonesia.
|
Syahrir di depan Masjid |
9.30 pagi (8.30 pagi; Waktu Indonesia Barat) Lokasi kedua diatur. Kami bertiga bermandi peluh kerana harus melancong sambil marathon di tengah kota.
Keringat bercucuran sebaik sampai di muka pintu Masjid Muhammad Cheng
Ho. Di dalamnya, mataku terpaku pada satu majlis pernikahan pasangan Cina
muslim setempat yang diadakan di dewan sembahyang. Rasa teruja lihat
majlis itu mengatasi rasa letihan. Aku cuba abadikan majils tersebut dalam foto tapi sayangnya ditegah ‘pemandu
pelancong’ kami dengan alasan tidak mahu mengganggu urusan peribadi
para mempelai. Alternatif
terakhir, kami abadikan potret diri sendiri dengan latar belakang
senibina unik masjid komuniti cina itu. Terbit rasa bangga dalam diri
apabila melihat syiar Islam subur dalam masyarakat Cina Surabaya. Kami
berehat sebentar sambil melepaskan dahaga sebelum memulakan perjalanan
seterusnya.
11.00
pagi (10.00 pagi; Waktu Indonesia Barat) Destinasi ketiga, kami
berangkat ke Tugu Pahlawan menggunakan khidmat teksi. Lega rasanya
kerana keringat yang tadi bercucuran mulai kering diserap pendingin
udara
dalam teksi mewah Toyota Vios. Berbanding Malaysia yang sekadar
menggunakan Proton Iswara, khidmat teksi di Surabaya jauh lebih murah
biarpun layanannya jauh lebih mewah. Sampai di lokasi, kami diberikan
penerangan tentang sejarah Indonesia saat kemasukan Belanda, Jepun dan
Tentera Bersekutu. Penerangan itu diberikan khusus oleh pemandu
pelancong kami, Bambang Priantono. Arif benar dia tentang semua ini.
Sayang sekali ketika masuk ruang muzium, kami dilarang membawa kemera.
Banyak perkara menarik yang terlihat dimata tidak dapat dizahirkan.
|
Bazzar Sunan Ampel |
12.30
Tengah hari (11.30 pagi; Waktu Indonesia Barat) Ampel menjadi lokasi
keempat. Kami dimaklumkan di sinilah tempat pemukiman masyarakat
keturunan Arab Surabaya. Menyusuri lorong kecil antara rumah dengan rumah
membawa kami ke satu kawasan bazar yang menjual pelbagai barangan khusus
orang islam atau segalanya yang identik dengan islam. Sayang, semua ini
belum mampu menarik perhatian kerana mata ini lebih asyik melihat
sesuatu yang lebih mahal harganya - gadis-gadis berwajah Arab.
Syahril tidak berkelip mata melihat keayuan mereka. Di penghujung bazar,
sebuah masjid lama tersergam dengan di sisinya beberapa buah makam lama
yang sesak diziarahi manusia. Kami diberitahu sinilah lokasi makam
salah seorang dari sembilan wali yang menegakkan syiar Islam seluruh Jawa.
|
Masjid Sunan Ampel |
2.30
petang (1.30 petang; waktu Indonesia Barat) Kami menamatkan perjalanan
hari ini dengan berhibur dalam sebuah pawagam di pusat kota. Hajat
Syahrir untuk menonton filem terbaru Indonesia tercapai setelah kami
bertiga berpeluang ke pawagam Mitra. “Nonton Mbak Kunti” kata Bambang
Priantono. Filem Kuntilanak (Malaysia = Pontianak) terlalu seram untuk
digambarkan dalam tulisan. Ramai penonton menjerit ketakutan ditambah dialog yang mereka dengarkan. Tapi aku
dan Syahrir hanya mampu memahami jalan cerita tanpa banyak mengerti
bahasa yang ke udara. Hingga
kini, alunan muzik Jawa seperti dalam filem tersebut masih mampu
mendatangkan fobia. Bimbang hidung berdarah.
5.00
petang (4.00 petang; Waku Indonesia barat) Masanya untuk pulang ke
hotel dan berehat. Bambang Priantono turut sama berehat di
hotel kami sebelum kami bertiga hadir ke Majlis Himpunan Rakan Multiply
Jawa Timur yang dijadualkan berlangsung selepas Maghrib. Semantara itu,
aku terima sebuah bungkusan dari rakan Multiply di Jakarta. Isinya
sehelai T-Shirt berhias monumen jerung dan buaya ditengah-tengah.
Terima kasih atas pemberian itu buat Haxawan Rahmady (sriandalas)
|
Lorong-lorong menuju makam Sunan Ampel |
7.00
malam (6.00 malam; Waktu Indonesia Barat) Kami sampai ke Tunjungan
Plaza sebagaimana dijanjikan. Di medan selera telah menunggu seorang
lelaki. Kami menunggu lagi, dua lagi yang datang. Menunggu lagi, dan
lagi dan makin ramai yang datang. Kesemuanya hampir 15 orang. Inilah
saatnya aku kenal yang lain selain Bambang Priantono dan Syahrir.
Semakin besar jaringanku. Semakin besar kenalanku. Semakin kukuh
hubungan silaturrahim sesama manusia sebagaimana tuntutan Tuhan.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Sebagaimana
di jangka, komunikasi menjadi masalah utama yang membataskan pergaulan
kami. Aku dan Syahrir lebih banyak berkata iya daripada membalas bicara.
Terdengar juga suara seseorang berkata “gimana sih mau bicara kayak
Melayu?”. Aku tersenyum sendiri. Kini aku mengerti bahwa mereka juga
sulit memahami setiap tuturan kami berdua. Inilah perbezaan paling
indah dua saudara serumpun. Syahrir menambah pening mereka ketika dia
berucap dalam dialek Kelantan. Terpaku semuanya mendengar bahasa yang
aneh sekurang-kurangnya pada mereka.
|
Bangunan Tinggalan Belanda |
11.00 malam (10.00 malam; Waktu Indonesia
barat) Majlis bersurai. Kami sempat bergambar bersama bagi mengabadikan
kenangan itu. Sedih berpisah dengan rakan-rakan yang baru beberapa jam
aku kenali. Belum puas saat bersama. Teringat budi baik mbak Gita dan
Ugik yang sudi belikan makan malam untuk kami. Sayang, aku lupa namanya dalam bahasa tempatan. Terbayang dimata gaya manja Lia saat dia bersuara. Terkenang wajah manis Siti Maisaroh yang mirip penyanyi asal Malaysia yang popular disana. Teringat
aku pada Oni, pada Yus, pada Yana, pada Benny, pada Azmil dan pada
Fathoni. Ingin lagi aku berkongsi cerita sama Kris tentang kerja,
tentang pengalaman, tentang apa saja. Belum puas bicara sama Fauzi pada
pertemuan sesingkat itu. Sedihnya waktu cepat berlalu.
wah fazli kok ndak mampir ke Jakarta?
BalasPadamkapan kita bisa jumpa?
Euleuh-euleuh...jadi malu..
BalasPadamSuatu saat nanti Li...pasti itu
Ooh...yang itu namanya 'udheng' dan 'blangkon'
BalasPadamSemoga anggapan keluargamu tentang kami lambat laun kian membaik...
Ceritanya mengesankan sekali...jadi tidak sabar menunggu yang siri 2 :-)
BalasPadamFazli..jomm ke Jogja....liat candi, makan gudeg...tidur rumahku aja dech..
BalasPadamBuleh!! Makasih ya mas. Satu saat nanti, aku sampai ke sana. Insya Allah.
BalasPadam