بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Saya Orang Malaysia

Semalam sewaktu bertugas di satu pamaran perumahan di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur, saya didatangi seorang bakal pembeli perempuan berbangsa Cina dari Kelantan. Melalui perbualan kami, saya merasakan seperti sedang berinteraksi dengan sesama Melayu. Kalau bukan kerana warna kulitnya yang kuning langsat, saya pasti, tidak ada siapapun yang menyangka dia sebenarnya berbangsa Cina.

 

Kerana minat dengan satu projek perumahan kami, perempuan itu segera mengisi borang pendaftaran dengan lengkap sebelum berhenti dan bersungut: 

 

"ruang ni nak tulis apa?" kata perempuan itu

“tulislah keturunan kakak, Melayu ke? Cina ke?” jawab saya

“kenapa mesti tanya macam ni?, saya bukan Melayu, saya bukan Cina, saya orang Malaysia  balasnya.

 

Perempuan itu terus membantah dan mempersoalkan apa pentingnya mengetahui keturunan bagi negara yang sudah hampir 50 tahun merdeka. Katanya lagi, dia lahir di Malaysia dan ibu bapanya juga lahir di Malaysia. Atas alasan itu, dia menolak untuk mengisi ruangan tersebut.

 

Melihat keengganannya, saya menerangkan itu adalah prosedur biasa dalam apa-apa urusan di Malaysia. Kata saya lagi, keterangan itu diperlukan untuk urusan kami dangan pihak berkuasa suatu hari nanti.

 

Mendengar alasan saya, perempuan itu beralah juga. Seperti terpaksa, dia mengisi ruang KETURUNAN sebagai Keturunan Malaysia bukannya keturunan Melayu atau Cina atau India atau lain-lain. Ketika itu saya terfikir, alangkah baiknya kalau semua warga Malaysia berfikir seperti perempuan itu. Sebelum dia beredar, sempat dia menyatakan kekesalannya tentang sistem di Malaysia yang terus menerus mahu mengasingkan rakyatnya mengikut keturunan. “cara Malaysia tidak baik” Ujur perempuan itu lagi.

 

Kata-katanya benar-benar membuat saya berfikir sepanjang hari tentang cara Malaysia yang masih meneruskan dasar pecah dan perintah seperti yang diamalkan penjajah dahulu. Ketika pulang selepas bertugas, saya terlihat beberapa iklan jawatan kosong yang dipasang oleh syarikat/kedai/pemilik pusat dan lain-lain permis yang terdapat di dalam kompleks beli-pelah itu. Iklan itu tertera beberapa syarat seperti: ‘looking for Chinese Lady Only’ ‘Chinese Only’ ‘good conversation in chinese dialect preferred’ ‘able to speak mandarin’ dan lain-lain syarat yang semuanya berbau perkauman. Saya fikir, inilah hasil dari amalan pecah dan perintah yang masih diteruskan kerajaan hari ini. Entah bilalah keadaan ini akan berubah.

 

Mereka kini semakin terdesak

Tak sudah-sudah orang Islam di Malaysia menjadi mangsa sasaran sebuah pertubuhan agama tertentu dalam usaha mereka menarik orang Islam khususnya Melayu meninggalkan Islam dan mengikut agama mereka secara beramai-ramai. Kalau dulu, usaha golongan itu sekadar menyelitkan simbol agama dalam permainan kanak-kanak, ataupun menyebarkan risalah tentang agama mereka dari rumah ke rumah, atau memberi  VCD dakwah tentang agama mereka secara percuma kepada orang Islam dan lain-lain, kini mereka menggunakan taktik paling keji dan tidak bermaruah. 

Beberapa kawasan penduduk Melayu di Damansara sejak seminggu lalu telah menerima beberapa risalah yang mengandungi terjemahan Al-Quran dan Hadis yang dipalsukan. Taktik pertubuhan agama itu kali ini, menggunakan peti surat sebagai alat untuk menyampaikan dakyah jahat mereka kepada golongan sasaran. Dipercayai, usaha meletakkan risalah dalam peti surat ini dilakukan atas faktor keselamatan bagi mengelak mereka dari dikenali.

Risalah mengandungi terjemahan palsu itu dilakukan bertujuan untuk menimbulkan rasa sangsi dikalangan umat islam terhadap Al-Quran. Mereka juga cuba menyelitkan fahaman mereka melalui terjemahan-terjemahan yang dipalsukan itu melalui ayat-ayat seperti 'Bapa berkata..' 'anak Tuhan.. ' dan lain-lain.

Aku naik saksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

:::::Anak Tokmacan::::: Perjuangan Bangsa Melayu Patani

http://anaktokmacan.blogdrive.com/archive/4.html
Ini satu wadah perjuangan Bangsa Melayu Patani untuk membebaskan wilayahnya dari kekuasaan Orang Thai. Mungkin sesuai untuk dikunjung oleh mereka-mereka yang menyokong perjuangan mereka

Artis Malaysia tidak dilayan adil di sebuah negara tetangga

Sebuah berita hiburan di dalam sebuah akhbar terkemuka berbahasa Melayu di Malaysia menyebut, beberapa artis popular Malaysia termasuk Mawi dan Jac telah dinafikan hak untuk dipromosikan di salah sebuah negara jiran. Menurut laporan, artis-artis popular Malaysia itu yang sudah pun sampai di ibu kota negara berkenaan terpaksa pulang semula ke Kuala Lumpur selepas mereka dihalang membuat persembahan di beberapa tempat di negara itu.

Laporan itu juga menyebut, ini merupakan kali kedua artis Malaysia dimalukan oleh beberapa pihak di negara berkenaan. Pada kali pertama dulu, kunjungan Mawi dan Jac terpaksa pulang awal kerana beberapa pengendali media disana membatalkan temuramah mereka pada saat akhir. Tindakan pihak terbabit seolah-olah mahu menyekat peluang artis Malaysia untuk diterima di negara itu sebagaimana peminat di Malaysia menerima penyanyi dari negara berkenaan.

Pada akhir perenggan, penulis laporan itu menuntut mana-mana penyanyi popular Malaysia agar melupakan hasrat untuk ke negara berkenaan kerana menurutnya industri hiburan di negara itu pun tidaklah sehebat mana.

Kata saya: Sebagaimana Malaysia memberi peluang yang luas untuk penyanyi dari negara terbabit hinggakan mereka begitu popular dan lagu mereka dinyanyikan dimana-mana di Malaysia, negara berkenaan pun sepatutnya memberi peluang serupa untuk penyanyi dari Malaysia. Saya fikir; jika kita dilayan seperti itu, sudah sampai masanya kita berbuat perkara serupa untuk penyanyi mereka. Mungkin mereka takut, nanti ramai yang akan sepopular Siti Nurhaliza.

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Dua tulisan saya belakangan ini berkisarkan perihal pendatang asing (terutama dari Indonesia) tentang nilai nagetif yang mereka bawa. Tulisan kali ini juga masih lagi menyentuh tentang perihal mereka. Tapi kali ini tentang nilai positif.

Tak Kenal Maka Tak Cinta (atau kata sahabat lama saya: Tak Kenal Maka Tak Kawan).  

Hari ini 07.07.07, kira-kira jam 12.30 tengahari ketika saya di tempat kerja, saya menerima panggilan telefon dari kenalan saya, Kak Fatimah dan anaknya Alisdi yang baru saja mendarat di pelabuhan Melaka setelah lebih kurang 3 jam menempuh perjalanan laut dari Dumai, Indonesia. Dalam perbualan telefon itu, saya dimaklumkan bahawa mereka kini sedang menunggu bas untuk pulang ke pangkuan komuniti mereka di Kampung Kemensah, Ulu Klang.
Seketika itu, saya mula terkenangkan kenangan bersama keluarga Kak Fatimah hampir setahun yang lalu. Kini, mereka pulang kembali ke Malaysia. Saya masih ingat lagi sepanjang bulan Ramadhan tahun lalu, banyak kali juga saya berbuka puasa dan bersembahyang tarawih bersama komuniti mereka di Kampung Kemensah. Sering juga saya tidur bermalam di sana dan sepanjang malam itu saya diajar cakap Kincai (Kerinci). Selalu juga saya ikut menjala ikan bersama mereka di Sungai Batu; dan pada malamnya, beberapa buah keluarga suku Kerinci ikut sama membakar ikan hasil tangkapan kami. Paling tidak dapat saya lupakan, sewaktu berpeluang mengikut Alisdi dan rakan Kerincinya pulang ke kampungnya di Sumatera. Sempat saya menghabiskan cuti tahunan selama seminggu di sana. Hubungan kami sudah seperti satu keluarga.
Kini kenangan itu mungkin bakal terulang lagi setelah kepulangan mereka ke Malaysia. Sebaik tamat waktu kerja kira-kira jam 5.30 petang, saya segera berangkat ke Kampung Kemensah untuk bertemu mereka. Sebaik sampai, Kak Fatimah telah sedia menanti. Ketika itu juga, saya dipertemukan dengan Subhi yang ikut sama datang ke Malaysia. Inilah kali pertama dia datang ke negara ini. Subhi telah saya kenal sewaktu saya di Kerinci lagi; dan kini kami dapat bertemu.
Saya jadi terharu bila dijamukan dengan ole-ole yang katanya dibawa khas untuk saya; buah salak dan dodol kentang. Terima kasih untuk itu. Lebih sayu bila menurut Kak Fatimah, telur itik yang turut dibawa bersama telah dirampas pegawai imigresen Malaysia kononnya bagi menghindar wabak H5N1. Menurut Kak Fatimah lagi, telur itu dibeli pada harga yang mahal dari orang kampung. Telur Itupun katanya untuk saya. Terima kasih Kak Fatimah.
Pada pertemuan semula ini, Alisdi dan Subhi tak sudah-sudah bercerita perkembangan kampung mereka. Kata mereka, ramai penduduk kampung sedang menanti kedatangan saya untuk kali ke-2 ke sana. Kata mereka lagi, keadaan di kampung mereka sudah bertambah meriah; sudah banyak acara,  sudah banyak pesta. Semakin banyak tempat yang boleh saya lawati. Subhi sempat mengeluh, katanya biaya mengurus pasport antarabangsanya memakan sehingga Rp500,000 walaupun tanpa tambahan visa.  Katanya, sangat tidak adil kerana orang miskin dan tidak berkerja sepertinya dikenakan biaya semahal itu. Lantas saya teringat seorang sahabat kita di Malang yang baru mengurus pasportnya dengan biaya sekitar Rp270,000. Saya terfikir apa sebenarnya yang berlaku?. Kata Subhi lagi, kalau tidak dapat kerja di Malaysia, dia tetap tak akan pulang biarpun selepas tempoh sebulan lawatannya telah tamat. Saya bersimpati dengan ceritanya.
Jam 8.00 malam, saya dijamu makan malam bersama beberapa orang lagi komuniti Kerinci di sekitar kawasan itu. Rupanya masih enak masakan Kak Timah setelah hampir setahun saya tidak merasanya. Sewaktu menjamu selera, Kak Timah, Alisdi dan Subhi masih terus bercerita. Masih belum puas mereka menyampaikan perkembang terbaru kampung mereka kepada komuniti Kerinci lain yang sudah lama tidak pulang kampung. Ada cerita sedih, kami turut hiba; ada cerita lucu, kami sama ketawa. Terasa indah ukhuwah ini. Inilah yang saya katakan, tak kenal maka tak cinta.

Jiranku Mati Dibunuh

Malam ini, sementara tiada rancangan menarik di TV, saya membelek beberapa buah naskah lama akhbar Harian Metro (naskah langganan saya setiap hari). Memang biasa, saya jarang membaca habis setiap berita yang tersiar dalam akhbar pada hari yang sama. Ketika meneliti akhbar itu yang bertarikh 3.Julai.2007, mata saya tertumpu ada satu berita bertajuk  Mati Dihentak Joran dan mencatatkan nama Simpang Renggam sebagai tampat dari mana berita itu berlaku. Disisi teksnya, terpampang wajah seseorang yang sangat saya kenali.  Teruja dengan itu, saya amati tajuknya dan mambaca isinya satu-persatu.
Astagafirullah..... perasaan bangga pada mulanya kerana berita dari kampung saya, Kampung Macap, Simpang Renggam, Johor tersiar di akhbar tiba-tiba bertukar sedih setelah mengetahui jiran sekampung saya mati dibunuh oleh 4 penjenayah asal Lombok dalam satu kejadian rompakan. Salam takziah untuk rakan saya Hairi Shah (wajahnya tersiar disisi berita) atas pemergian bapanya Ishak Mingon (lebih dikenali sebagai Wak Sekak di kalangan penduduk kampung) pada hari isnin yang lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang tidur di rumahnya tiba-tiba dikejutkan dengan kedatangan 4 penjenayah warga asing yang bertindak ganas menghentak kepala mangsa dengan besi joran beberapa kali sebelum melarikan diri bersama hasil rompakan. Mangsa bagaimanapun sempat mengejar penjenayah terbabit kira-kira 100 meter sebelum dia tersungkur dan tidak sedarkan diri. Menyedari bunyi bising diluar rumahnya, anak mangsa, Hairi Shah yang tinggal dirumah bersebelahan cuba meminta bantuan beberapa penduduk kampung sehinggalah 3 daripada 4 penjenayah terbabit dapat ditangkap. Penjenayah Asing dari Lombok yang dikenali sebagai Amin, Jukri dan Mesah dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Simpang Renggam dan Kluang.
Sebaik membaca berita itu, saya segera menelefon keluarga di kampung untuk bertanya khabar mereka sambil mendapatkan kisah sebenar kejadian. Alhamdullilah, kedua orang tua saya selamat. Semoga Allah selamatkan kedua mereka dari musibah, Amien.
Salam takziah buat keluarga mangsa. Harap bersabar dengan ujian Tuhan

INDON ASINGKAN DIRI

Maafkan saya kiranya judul di atas mengundang rasa marah beberapa sahabat. Judul di atas sebenarnya merupakan tajuk utama sebuah artikal dalam akhbar (koran) Harian Metro bertarikh 2 Julai 2007. Saya tertarik untuk mengulas artikal ini berkisar tentang pendatang Indonesia yang telah menetap lama di Malaysia tetapi masih tidak mahu bercampur-gaul dengan masyarakat tempatan (warga Malaysia). Artikal ini ditulis berdasarkan pengamatan wartawan akhbar tersebut di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Antara lain, wartawan itu melaporkan biarpun ada di kalangan pendatang Indonesia itu telah mendapat taraf penduduk tetap (PR) dan sebahagian lagi telah menjadi warganegara, mereka tetap tinggal dalam kelompok komuniti mereka yang 'terasing' walaupun sebenarnya tinggal sekampung dengan masyarakat melayu tempatan (lokal). Mereka itu telah disifatkan sebagai 'sombong' oleh penduduk setempat kerana keengganan mereka untuk turutserta dalam kegiatan sosial yang dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung tersebut. Sebaliknya, mereka lebih gemar berkumpul sesama sendiri.

Menurut seorang penduduk; Masyarakat di Malaysia, orang Melayu khasnya tidak pernah  memencilkan pendatang Indonesia, sebaliknya pendatang Indonesia itu sendirilah yang tidak suka bergaul dengan orang Melayu. Menurutnya lagi, sikap seperti itu menimbulkan rasa kurang selesa dan curiga pada penduduk tempatan.  

Dari tinjauan Harian Metro, pendatang Indonesia ini dilihat hidup dalam komuniti mereka, memilih jiran di kalangan komuniti mereka dan membuka perniagaan seperti warong dan kedai runcit untuk komuniti mereka sehingga ada beberapa tempat berkembang menjadi pekan (small town) sebagaimana petempatan mereka di negara asal (little Indonesia).

Ulasan saya: Secara peribadi, saya bersetuju dengan apa yang dilaporkan Harian Metro ini. Selama bersahabat dengan beberapa pendatang Indonesia, saya sendiri menyaksikan perkara serupa. Mereka bukan sekadar tinggal terasing dalam komuniti Indonesia, sebaliknya turut terpecah mengikut kumpulan etnik - Lombok sesama Lombok, Kerinci sesama Kerinci, Acheh sesama Acheh dan Madura sesama Madura. Pernah satu ketika semasa melawat rakan asal Kerinci di Ulu Klang, saya lihat ketika sembahyang berjemaah pun mereka lakukan sesama mereka di surau yang dikelolakan komuniti mereka sedangkan tidak sampai 50 meter di hadapan wujud sebuah masjid milik JKKK kampung yang turut sembahyang berjemaah.

Saya pernah bertanya kepada rakan asal Kerinci itu tentang soalan - Mengapa komunitinya mengasingkan diri dengan penduduk kampung?. Jawapannya: Kerana orang kampung bersikap prajudis kepada pendatang. Pada saya, sebenarnya semua pihak saling tidak percaya. Sebenarnya; tak kenal maka tak cinta.