بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Jom Jakarta...

di depan bangunan Kementerian Keuangan RI
Alhamdullillah, saya sampai ke tanahair dengan selamat. Biarpun telah kembali di habitat asal, goncangan badan seperti yang pernah saya alami ketika naik bajai (baca: bajaj) di Kota Jakarta masih terasa. terbawa-bawa perasaan itu hingga kini.  Masih lagi terbayang seperti sedang mundar-mandir  kota metropolitan itu.  Badan masih terhoyong-hayang bagai  berada dalam kenderaan beroda tiga yang dipandu laju.

Masih segar kenangan itu. Teringat ketika di bawa meronda lewat lorong-lorong petempatan setinggan yang sempit dan sesak di di segenap Kota Jakarta. Semuanya jelas terasa.

Percutian ke Jakarta sebenarnya telah lama dirancang. Namun baru kali ini terlaksana.  Rancangan asal seharusnya bersama dua sahabat terbaik, Syahrir (4r1r.multiply.com) dan Najib (bukan komuniti multiply) bulan April yang lalu, tapi malang hajat tak kesampaian. Pelan kedua, saya bercadang membawa kedua orang tua tercinta sekitar bulan Jun atau Oktober, tapi gagal ekoran masalah dalaman yang tak dapat dielak. Tak mengapalah, kini misi terlaksana bersama seorang saudara, Hans dan sahabatnya Yus. Pakejnya masih sama, ke Jakarta, Bandung dan sekitar sebelum pulang semula ke Tanah air.

Klik sini untuk melihat gambar kami.

Kuala Lumpur; 10.Dis.2007
1.00 petang. Saya menamatkan tugas terakhir di pejabat lebih capat dari biasa. Sengaja mengambil cuti setengah hari. Kawan-kawan sepejabat tertanya-tanya tindakan saya itu.  Saya rahsiakan percutian ini dari pengetahuan mereka.  Saya yakin, sekirannya mereka tahu saya ke Indonesia lagi, pasti ramai yang akan memandang dengan pandangan yang penuh persoalan, mungkin marah. Apalagi saat panasnya hubungan Malaysia-Indonesia muktahir ini. Terbaru tentang bantahan warga Indonesia soal tarian Barongan (Reog Ponorogo) yang popular di kalangan masyarakat keturunan Jawa di Johor.

Ah, saya lupakan soal itu, saya hilangkan rasa takut, hanya yang saya tahu, saya akan menemui seorang sahabat di Jakarta dan seterusnya berjalan-jalan di negara tetangga yang selalu dekat di hati itu.

7.30 malam waktu Malaysia (WM). Kami bertiga menuju Terminal Tambang Murah (LCCT).  Sahabat di Jakarta, Karim (Karimsh.multiply.com) telah saya khabarkan akan ketibaan kami di bandara Sukarno-Hatta sekitar pukul 10.00 malam waktu Indonesia barat (WIB).  Cuaca di  LCCT hujan lebat. Hati ini mulai bimbang kalau-kalau pesawat ditunda penerbangannya dari yang jadual asal.

9.30 malam WM. Pesawat AirAsia tujuan Jakarta selamat berlepas mengikut jadual. Hujan masih turun dengan lebat. Tak banyak pemandangan menarik di luar dapat kami lihat. Semuanya gelap terlindungan awan. Sudahnya kami hanya bergambar kenangan. 

Jakarta; 10/12/2007
10.30 malam waktu Indonesia Barat (WIB). Pesawat yang dinaiki mula masuk ke ruang udara kota Jakarta. Panorama indah sudah dapat dilihat dari atas. Cuaca di sini cerah. Sebaik mendarat,  Karim sudah telefon memaklumkan kesediaannya menunggu kami di pintu sebelah kiri di luar dewan ketibaan.

Sayang sedikit, urusan imegresen mengambil masa yang terlalu lama. Kami terperangkap lebih 1 jam di sini.  Karim pula asyik memberitahu masa untuknya menunggu sudah sangat suntuk. katanya, dia harus bersiap untuk ke Palembang pada pagi hari esok. Karim akan ke Palembang? kecewa rasanya mendengar berita itu. Kami sangat berharap agar Karim dapat membantu selama kami di sini. Sayang. Tak mengapalah kalau itu sudah tugasnya. Kami bisa jalan sendiri. 

Buat Karim, terima kasih atas kesetiaanmu itu.

12.30 malam WIB. Kami tiba di Hotel Le Margot, Jalan Jaksa. Inilah hotel yang telah ditempah Karim sehari sebelum kami berangkat ke Jakarta. Penginapan di sini berharga Rp175,000 per bilik. Masih murah jika ditukar ke Ringgit.  Menurut Karim, inilah pilihan yang ada untuk hotel bajet di kawasan yang selamat dari gejala-gejala yang tidak sihat. Menurutnya lagi, banyak hotel lain yang lebih murah tapi keselamatannya tak terjamin, penuh dengan pekerja seks, dadah (narkoba) dan lain-lain bahana yang mungkin menanti.  “Takut ada razia” kata Karim.  Ruang dalaman hotel yang kecil ini terpaksa dikongsi bertiga. Cukuplah buat melepaskan lelah sementara menanti hari esok. Karim mengambil keputusan pulang ke rumahnya.

11/12/2007
8.30 pagi WIB. Karim sudah menanti. Kedatangannya mengejutkan kami yang masih tidur.  Pagi ini, kami dijadualkan mendaftar keluar dan kemudian meneruskan perjalanan ke pusat beli-belah Sarinah-Thamrin sebelum bertolak ke Bandung.  Sebelum itu sempat juga kami sempat singgah sarapan di sebuah warung tolak di bahu jalan. Juadahnya - bubur ayam. Rasanya boleh tahan pedas. Inilah pertama kami menikmati menu seperti itu. Teringat suasana serupa sewaktu makan Nasi Goreng Jawa dengan Nono di Surabaya dulu. Kondisi gerainya saling tak tumpah. Hans dan Yus sibuk merakam gambar.

Atas nasihat Karim, saya membeli satu pek permulaan kad prabayar Indosat (mentari). Maklum, Signal Maxis Hotlink di sini tidak sebaik yang saya sangka. Di setengah-setengah kawasan, tidak dapat digunakan. Tapi malang, talian telefon yang baru dibeli juga tidak boleh digunakan. Mujur pusat khidmat Indosat tidak terlalu jauh buat membantu. Terima kasih buat Karim sekali lagi kerana sanggup bersusah payah.

10.30 pagi WIB. Sebagaimana yang dirangka, kami meneruskan perjalanan  menuju Bandung. Karim pula terpaksa berangkat ke Palembang. Perjalanan selama 2 jam, kami lakukan dengan menaiki travel (dialek lokal = Trepәl). Teringat kembali saat pertama kali naik travel ketika di Kerinci dulu. Semuanya sama belaka. Dengan tambang Rp45.000 seorang, kami tinggalkan Jakarta buat sementara waktu. Ingat pesan Karim supaya berhenti di Jalan Dago setelah sampai di Bandung.  

Entah apalah nasib kami di sana? Tak terbayang kekalutan kami bagaimana menempuh hari-hari mendatang di kota yang tak pernah kami ketahui. Dan di sana kami harus berdikari. Ikuti catatan saya di Bandung.

12/12/2007
6.00 petang WIB. Kami kembali semula ke Jakarta selepas menghabiskan masa 2 hari di ibukota Provensi Jawa Barat. Kenderaan travel yang kami naiki dari Bandung berhenti di stesen terakhir di Mangga Dua Squire. Kemudian kami teruskan perjalanan dengan menempah sebuah teksi menuju Mangga Besar untuk mencari tempat bermalam. Hotel Le Margot yang pernah ditempah Karim dulu tidak lagi membenarkan kami bermalam untuk tiga orang sebilik. Mujurlah masih ada hotel murah yang sedia menerima tiga orang tetamu.

Kami sepakat memilih Hotel Astika dengan harga Rp360.000 sebilik termasuk tambahan katil. Masih murah kalau dibandingkan dengan hotel-hotel seangkatan di Malaysia.

8.00 malam WIB. Jelajah malam di Kota Jakarta. Bajai merupakan kenderaan utama kami. Motor roda tiga dengan muatan terhad yang dipandu laju sangat mengerunkan.  Kecut perut saya menjadi penumpang bajai di jalan-jalan sesak yang penuh dengan kenderaan tanpa mengira waktu.  Lokasi jelajah malam yang pertama, kami ke Mangga Dua, seterunya ke Mangga Dua Squire. Sayangnya tiada apa yang dapat dilihat.  Menurut pengawal keselamatan yang kami jumpa, kedua kompleks ini hanya beroperasi sehingga jam 8 malam. Nampaknya terpaksalah kami bersiar-siar saja sambil melihat gelagat anak-anak remaja Jakarta.

11.00 malam WIB. Kami meneruskan penjelajahan malam di sekitar Mangga Besar. Bajai masih lagi menjadi pilihan.  Cara pemanduannya tetap sama walaupun pemandunya berbeza. Semuanya terburu-buru untuk cepat sampai ke destinasi. Di Mangga Besar, kami sempat singgah makan di sebuah warung di bahu jalan. Menunya lazat, tapi sayang baunya bercampur-aduk dengan bau sate ular dan sate cik piggy dari warung sebelah. "Err.. Apa boleh buat.." Kami hanya mampu makan sambil memejam mata. 

13/12/2007
8.00 pagi WIB. Siri penjelajahan siang bermula. Tanpa arah tujuan, kami memberanikan diri mencuba naik busway.  Tidak tahu caranya, kami hanya mengikut pergerakan penumpang dihadapan. Sistem busway sangat canggih, ia merupakan sistem pengangkutan yang bergerak dilaluan khas yang ditetapkan. Dan berhenti di stesen khusus yang telah disediakan. Sama seperti LRT dan Monorail di Kuala Lumpur, bezanya sistem ini menggunakan bas sedangkan LRT dan Monorail menggunakan tren. Mungkin sesuatu yang baru yang boleh diaplikasikan.

9.00 pagi WIB. Kami berhenti di Stesen Monas. Itupun sekadar mengikut saja pergerakan majoriti penumpang. Kebetulan ramai yang berhenti di stesen yang terdekat dengan lokasi yang pernah aku dengar namanya sebelum ini. Tujuan pertama, kami ke Muzium Nasional. Selepas puas menelusuri sejarah Indonesia yang dipamerkan dalam muzium itu, kami bergambar kenangan di sekitar perkarangan. Akhirnya penat dan bingung. Yus masih tetap mau mencari kedai menjual cenderamata. "Masih belum cukup" katanya.  Kami akhirnya bertanyakan arah kedai-kedai mana yang sesuai dituju. Pak Juzman, salah seorang pagawai di Muzium itu menjadi mangsa pertanyaan kami. malangnya dia lebih teruja menerangkan sejarah Indonesia daripada menunjuk arah kedai cenderamata. Sebagai tanda hormat kepadanya, kami masuk semula ke dalam muzium buat kali kedua. Mujurlah Pak Juzman melayan kami seperti anak kandung.

11.00 pagi WIB.  Yus masih belum puas mencari kedai cenderamata. Kali ini dia memberanikan diri bertanya pada seorang pemandu bajai. Sudahnya kami dibawa ke sebuah pasar pagi. Malang, tiada satupun cenderamata berciri Indonesai yang kami temui. Yang ada, hanya barangan hiasan sempena krismas dijual merata-rata. Akhirnya kami ke Mangga Dua.

12.00 tengahari WIB. Malang bagi kami, Yus tetap berkeras mahukan cenderamata disaat masa yang ada hanya tinggal sisa. Satu-satunya pilihan, kami terpaksa mendaftar keluar dari hotel dan berjalan kemana saja sambil membawa bagasi.  Penatnya tidak terkata. Demi dia dan demi kapal terbang yang tidak boleh dilewatkan jadualnya, kami terpaksa bersusah payah. Lokasi kami seterusnya ke Sarinah – Thamrin. Perjalanan terasa terlalu jauh. Jalanraya yang sedia sesak tambah memenatkan.

Kesesakan di Jakarta sungguh diluar jangkaan. Sudah terlalu kronik pada pandangan saya. Kalau dulu, saya bayangkan kesesakan Jakarta sama seperti di Kuala Lumpur, rupanya sangkaan saya meleset. Di Jakarta, jalanraya bukan sekadar dikongsi segala macam kenderaan malah turut menjadi laluan peniaga warung tolak, peniaga surat khabar, penjaja makanan dan semua jenis manusia yang datang memburu rezeki. 

3.45 petang WIB. Misi hampir selesai, cenderamata sudah diperolehi. Perjalanan diteruskan. Kini kami harus berangkat ke bandara Sukarno-Hatta. Sayang, terlalu singkat rasanya, banyak lagi tempat-tempat di Jakarta yang belum kami lewati. Urusan mendaftar masuk dan pemeriksaan imigresen berjalan lancar. Masa terluang kami penuhkan dengan membeli-belah saat-saat terakhir sebelum pesawat tujuan Kuala Lumpur berlepas dua jam dari sekarang.

Malaysia; 13/12/2007
9.00 malam WM. Pesawat selamat sampai di LCCT. Kami selamat sampai ke tanahair dengan seribu pengalaman. Selamat Malam Malaysia. Selamat kembali ke Tanahair.

21 ulasan:

  1. Mana gambarnyer????Titip Salam untuk Yus & Hans :-)

    BalasPadam
  2. InsyaAllah. Gambarnya sudah ada, cuba dilihat.

    BalasPadam
  3. Pasti... tidak puas rasanya jalan-jalan di Jakarta

    BalasPadam
  4. Tak melawat Tmn. Mini Indonesia & Lobang Buaya ker Faz?....
    *punya kenangan indah Padepokan Pencak Silat*

    BalasPadam
  5. Sepertinya mereka tak cukup masa bang melawat kesini...kalau nak pusing Jakarta tak cukup lah 1 atau 2 hari...3 hari xixixixixiixixixixixix=))

    BalasPadam
  6. kesibukan shopping kale nihh...xixixixixi....

    BalasPadam
  7. ya en jim... pantang ke seberang, ramai yang pesan barang.

    BalasPadam
  8. Abang Jim da pernah ke Pasaraya tak??? semua Craft tangan Indonesia ada disini bang...

    BalasPadam
  9. terakhir ke Jakarta nginep di Millennium Sirih Hotel, Tanah Abang....shopping saya gag gitu suka...sukanya ketempat2 yg punya peninggalan sejarah....

    BalasPadam
  10. Wah kalau begitu ke museum saja...banyak museum di Jakarta nih... :-)

    BalasPadam
  11. yah iya itu yg dicari......xixixixi...

    BalasPadam
  12. Kita ikut lukis Batik yah bang di Museum Textil :-)

    BalasPadam
  13. hehehe.... rajin-rajinkanlah membaca, takpun pergi je rasakan sendiri pengalamannya.... asyik donk ah....

    BalasPadam
  14. sorryy,juz read ur blog..

    any idea bout hotel in bandung?

    act akan g ke jakarta next 2mnth..
    tp tak tau apa2 pon psl jakarta..

    pegi dgn kwn2...sumenya pompuan..
    dr cerita u...mcm bahaya jer kan?

    BalasPadam
  15. Tak ada apa yang perlu ditakutkan... semuanya ok.

    Pasal hotel, nanti saya ceritakan dalam PM

    BalasPadam
  16. aku jadi penasaran dengan keramaian di KL...
    wait... next month.. okay...

    BalasPadam
  17. Mampir ke KL, telpon ya bang...kasih tau si Fazli ini, kita bisa ngopi2 n ngobrol2 : )

    BalasPadam