بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Sisi Baik Pada Kebanjiran Pendatang

Pekerja Myanmar : Apa ini duduk? sana kerja.

Pekerja Bangladesh : Mana ada kerja? Sumua habis.

Pekerja Myanmar : Oh.. habis ka? Sekarang mana pigi?

Pekerja Bangladesh : Baliklah. Sabtu lagi mari. Besok lain tempat kerja.  

 

Dialog di atas merupakan perbualan antara dua pendatang asing dari dua negara berbeza yang mencari rezeki di bumi bertuah Malaysia.  Saya sempat merakamkannya secara tak sengaja ketika berkunjung di sebuah stesen LRT berhampiran kawasan perumahan saya.

Menarik bukan? Tak tahulah bagaimana perasaan orang lain sekiranya mendengar perbualan ini. Bagi saya, wow!! Sangat mengesankan. Dua manusia berlainan negara boleh saling bicara menggunakan medium Bahasa Melayu, bukannya bahasa Inggeris. Tidak kisahlah bagaimana bentuk fonem dan tatabahasa yang mereka gunakan. Yang penting, bahasa kebangsaan saya kini digunakan orang lain sebagai medium perbualan. Sekurang-kurangnya menjadi lingua franca kepada kumpulan pekerja asing kelas bawahan.  

Inilah satu sisi baik dari kebanjiran pendatang yang tidak disedari ramai. Kalau sebelum ini kita sering merungut tentang kesan negatif kebanjiran pekerja asing, kali ini mari kita lapangkan dada dan fikirkan semula bahawa tidak semua kesan yang dibawa pendatang itu bersifat negatif.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya dengar perbualan dalam bahasa Melayu yang dituturkan mereka. Satu waktu dulu, ketika tersesat mencari jalan keluar dari Putrajaya, saya pernah dibantu seorang pekerja warga Vietnam. Akhirnya dengan berpandu pada arahan dalam bahasa Melayunya yang fasih, saya berjaya mencari jalan keluar. Saya yakin ramai lagi yang pernah mengalami situasi begini.

Dan semalam sewaktu menonton ulasan sukan olimpik di saluran Astro 817, sekali lagi saya kagum mendengar jawapan jurulatih skuad memanah negara, seorang bangsa Korea yang menjawab pertanyaan wartawan Astro menggunakan bahasa Melayu biarpun wartawan beretnik Cina itu bertanya soalan dalam bahasa Inggeris. Mungkin kerana malu, wartawan itu akhirnya menukar soalannya dalam bahasa Melayu. Seperti diduga, bahasa Melayunya patah-patah.

Saya juga pernah mendengar perbualan seorang warga Malaysia keturunan India (tamil) berbicara dengan seorang pekerja asing dari India (punjabi) dalam bahasa Melayu. Berbunga-bunga parasaan saya waktu itu ketika memikirkan bagaimana dua manusia dari dua sub-etnik berkerabat telah memilih bahasa Melayu dalam medium perbualan mereka. Syabas.

Buat warga asing, terima kasih kerana melingua-francakan bahasa kami disini. Sekurang-kurangnya membantu bahasa Melayu untuk terus bernafas dalam lingkungan sebahagian penutur aslinya yang bodoh sombong.  

Buat warga Indonesia, terima kasih kerana turut mempopularkan bahasa kami pada sesama warga asing dari pelbagai keturunan. Kerana kamu, bahasa kami masih boleh berdiri meski kondisinya tempang.

Malaysia Terdedah Ancaman Rusuhan

Sabtu, 9hb Ogos 2008. Seawal jam 7.00 pagi saya menerima satu SMS dari seorang rakan meminta datang ke Pejabat Majlis Peguam bagi menyertai bantahan terhadap satu forum bertajuk Memeluk Islam yang dianjurkan badan itu.  Saya diberitahu, rakan saya itu sedang mengumpul seberapa ramai muslimin untuk sama-sama menyertai bantahan tersebut.

Sayang saya terpaksa menolak kerana terlibat dengan satu urusan lain. Kalau difikir, memang teringan saya ikut membantah tindakan Majlis Peguam yang cuba bermain api itu. Ini bukanlah kali pertama Majlis Peguam mencetuskan provokasi. Beberapa minggu yang lalu, satu forum provokasi lain telah dianjurkan berkenaan Kontrak Sosial dan Hak-hak keistimewaan yang dalam masa yang sama turut mencetus amarah dikalangan masyarakat Melayu Malaysia.

Belakangan ini, saya secara peribadi merasakan semakin banyak isu-isu sensitif tercetus. Paling ketara semenjak Malaysia dipimpin Perdana Menteri ke-5. Antaranya; tuntutan majlis-majlis agama Kristian, Hinddu, Buddha dan Sikh untuk diwujudkan Suruhanjaya Antara Agama yang didalamnya menyentuh banyak perkara yang merugikan Islam. Belumpun isu itu berakhir, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kemunculan Kumpulan Artikel 11 (turut disertai seorang Peguam beragama Islam yang kini menjadi orang penting dalam kabinet). kumpulan ini mendesak Artikel 11 dalam Perlembagaan Persekutuan dimansuh.

Sebelum itu, Persatuan Sekolah Cina, Dong Zhong dan NGO Cina seringkali memprotes beberapa dasar baik yang dirangka untuk menggalak perpaduan kaum di Malaysia. Antara yang dibantah termasuklah Dasar Sekolah Wawasan, Program penggabungan sekolah-sekolah kurang murid dan lain-lain perkara yang menyentuh bahasa, budaya dan etnik mereka.

Dan kalau masih ingat beberapa bulan lalu, satu aksi tunjuk rasa dari kaum India telah diadakan di Kuala Lumpur anjuran Hindraff. Kumpulan itu menuntut hak-hak mereka yang kononnya diketepikan.

Saya yakin kalau isu-isu ini tidak ditangani secara serius, Malaysia bakal menyaksikan satu lagi rusuhan besar berulang. Mungkin lebih buruk bila ditambah penyertaan etnik ketiga terbesar Malaysia yang satu masa dulu takut bersuara kini sudah pandai memberontak. Kes-kes pergaduhan kecil melibatkan kaum itu di Taman Medan, Pulau Pinang dan Pasir Gudang menjadi bukti kecenderungan ke arah itu semakin jelas. 

Dan ketika politik nagara berada dalam keadaan belum begitu stabil, diharap sama ada kerajaan sedia ada atau pun 'kerajaan menanti'  sama-sama duduk semeja mencari idea terbaik merungkai permasalahan ini. Idea yang lahir kemudiannya diharap dapat menutup terus ruang-ruang kosong tanpa mampu diserang virus sengketa biarpun ia hanya satu provokasi.

Ibarat sebuah rumah, bumbung bocor jangan hanya ditampal, kelak akan bocor kembali. Lebih baik gantikan saja dengan bumbung yang baharu.

WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR - Bumiputera Tersepit

Untuk Warga Malaysia Sahaja

Sahlah bahawa Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) atau nama barunya Iskandar Malaysia, satu projek pembangunan teragung, kononnya bersaiz 3 kali ganda pembangunan Singapura dan menyamai pembangunan Shenzen dan Hong Kong, hasil idea PM dan kuncu-kuncunya kini terbukti gagal memberi menafaat kepada orang Melayu - Bumiputra di selatan Johor.

Perkembangan ini dinyatakan sendiri oleh Ahli Parlimen Johor Bahru Datuk Shahrir Samad. Menurut dia, projek mega tersebut sehingga kini tidak menampakkan impak secara langsung kepada rakyat tempatan khususnya peniaga Melayu - menyebabkan mereka tidak menerima baik cadangan pembangunan tersebut.

Tambah Datuk Shahrir Samad, Kalau WPI berjaya sekalipun, kejayaan itu bukan milik Bumiputra. Beliau melahirkan rasa kecewa itu ketika sidang akhbar bersama peniaga di Terminal Awam Larkin.  (Utusan Malaysia, 4 Ogos 2008) 

Kata saya: Kalau ahli Parlimenn kerajaan sendiri sudah kecewa, apa lagi yang hendak ditunggu? Cepatlah kaji semula atau batalkan saja projek ini. Saya dan ramai lagi rakyat Johor sudah tak sanggup melihat satu demi satu tanah warisan orang Melayu terdahulu jatuh ke tangan bangsa/orang asing.

Jom...  Katakan Tidak Pada WPI.

Musim Memindah Hantu Bermula

Dalam masa terdekat ini, sekurang-kurangnya dua kes pemindahan Oang Halus atau lebih dikenali  sebagai  Hantu  telah/akan dilakukan di dua tempat  berbeza  di  Malaysia.
Baru-baru ini, kes pemindahan pertama telah dilakukan di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang. Ini ekoran gangguan hesteria yang terjadi di kalangan pelajar dan guru di sebuah sekolah di kawasan itu. Sebilangan pelajar perempaun dan seorang pelajar lelaki yang diserang hesteria mendakwa mereka tiba-tiba sakit sandi menjelang tengah hari hingga menyebabkan mereka berjalan bongkok seperti orang tua. Menurut mereka, kejadian ini berlaku hampir setiap hari sewaktu berada di kawasan sekolah. Bagaimanapun, gangguan itu dijangka telah pulih hasil usaha seorang bomoh/dukun yang sudi membantu memindahkan makhluk yang dikatakan menjadi penyebab masalah yang dihadapi itu. Makhluk tersebut dikatakan telah dibawa berpindah ke kawasan lain menggunakan sebuah van.
Pemindahan Orang Halus/Hantu yang kedua dijangka akan berlaku dalam masa terdekat. Kali ini di Permatang Pauh, Seberang Prai, Pulau Pinang. Bezanya dengan kes pertama, kali ini hantu-hantu dari kawasan lain akan dipindahkan ke Permatang Pauh buat sementara waktu bagi 'membantu' sebilangan manusia yang kemaruk kuasa untuk berlawan dengan seorang manusia biasa yang sangat ditakuti mereka saat ini. Mari kita tunggu dan lihat adakah pemindahan hantu yang kedua ini akan berjaya dilakukan sebagaimana kejayaan-kejayaan yang pernah dikecapi sekurang-kurangnya setiap empat atau lima tahun sekali.   
bercanda...  :-)