بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Perempuan Berkalung Sorban

Rating:★★★★
Category:Movies
Genre: Drama

Ini satu lagi filem bagus dari Indonesia yang baru saja saya tonton. Perempuan Berkalung Sorban, begitulah Judulnya. Terima kasih buat Arifien (http://arifien.multiply.com/) di Jakarta yang mengirimkan filem ini melalui temannya yang datang ke Kuala Lumpur tanggal 23 Mei yang lalu. Saya syorkan kawan-kawan Multiply di Malaysia untuk sama-sama menontonnya.

Filem bercorak islami ini menceritakan kekeliruan tentang tafsiran batas-batas pergaulan orang perempuan menurut amalan Islam. Kekeliruan itu mempengaruhi pengurusan di sebuah madrasah (pesantren) yang lantas mengajarkan pengetahuan Islam kepada pelajar-pelajarnya mengikut tafsiran sendiri. Perempuan sebagaimana dalam didikan di madrasah itu tak lebih tugasnya sebagai ibu dan dan isteri kepada para lelaki.

Kongkongan yang tidak memihak ini menyebabkan anak perempuan pemilik madrasah itu sendiri untuk memberontak dan memilih jalan hidup yang berlainan dari apa yang diajarkan. Pun begitu, jalan yang dipilih tidaklah semudah yang disangka. Dia berdepan banyak cabaran dan dugaan sepanjang hidup..

Bagaimana kesudahannya? Tontonlah...


Kempen: Satu Sekolah Untuk Semua

Mari sama-sama menyokong kempen ini. Sudah sampai masanya negara kita menerapkan slogan Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara. Tiada jalan lain membina Negara-Bangsa tanpa memulakan idea Satu Sekolah Untuk Semua. Jangan mimpi wawasan Satu Malaysia akan berjaya selagi sekolah vernakular masih dibenarkan.

Nyatakan sokongan anda. Klik link ini: http://www.thepetitionsite.com/1/kempen-satu-sekolah-untuk-semua

Petikan dari laman blog penganjur:  Blog Demi Negara:

Kempen Satu Sekolah Untuk Semua

Sasaran:

Mewujudkan Satu Sistem Persekolahan di Malaysia

 

Sekolah Vernakular (SJKC dan SJKT) adalah punca utama ketidakserasian dan ketegangan kaum di negara kita tercinta.

 

Fenomena ini adalah unik di dunia ini dan telah menjadi suatu barah yang kian menular dalam kancah kerapuhan masyarakat Malaysia.  Jika gejala Sekolah Vernakular ini tidak dibendung, negara kita akan terus bergerak ke ambang kehancuran.

Kajian semula sistem pelajaran negara ini haruslah dilakukan memandangkan fenomena perpecahan kaum yang semakin meruncing di masa kini. Gejala ini amatlah jelas sekali di alam siber dimana segelintir masyarakat kini memamirkan sikap anti-negara yang semakin ketara dan berleluasa. Jelas sekali, anasir-anasir ini tidak menghormati asas dan prinsip perlembagaan negara Malaysia, tiada rasa cinta kepada tanah air dan juga menonjolkan penulisan hasutan yang mencetuskan sentimen perkauman yang begitu ketara sekali.

Secara lantangnya, puak ini  mempertikaikan segala unsur yang melambangkan kedaulatan dan intipati negara kita tercinta.

Kami menyeru agar sistem Sekolah Vernakular ini dihapuskan secara total.

 

PROGRAM AMAL: Saya Sayang Pokok Saya


Saya Sayang Pokok Saya – Ini ialah satu program amal yang baru dilaksanakan oleh gabungan beberapa rakan Multiply Malaysia. Bertempat di Paya Indah Wetlands (PIWL), Dengkil, Sepang, Selangor, program ini disertai lebih kurang 45 peserta, terdiri dari rakan-rakan Multiply dan beberapa orang rakan luar yang turut diundang.

Acara bermula sekitar jam 8.30pagi setelah hampir semua peserta sampai ke perkarangan luar bangunan pengurusan PIWL. Sebelum bermula, kami diberi sedikit penerangan dari penganjur program serta pengurusan PIWL sendiri. Selain menanam pokok, kami juga di bawa melihat sebahagian kawasan PIWL seperti ke kolam ternakan buaya dan badak air. Acara berakhir sekitar jam 4.00 petang. Satu pengalaman baru bagi saya.

Aturcara berjalan lancar dan dapat kerjasama baik dari peserta. Cuma saya sedikit canggung sepanjang program kerana tak kenal sesiapa. Lebih terasa bila mengetahui para peserta lain sudah saling kenal lewat beberapa program yang pernah dilaksanakan sebelum ini. Alhamdulillah, saya berjaya bertahan sampai penghujung acara sambil dalam masa yang sama mencuri-curi peluang untuk mencuba bermesra dengan teman-teman baru. Syukur mereka semua bersahabat.
































Kenapa Saya Suka Kampung Saya?


Lihat ini kawan-kawan, buah-buahan sedang berputik. Tak lama lagi, pesta buah akan kembali. Dan kampung saya bakal meriah seperti tahun-tahun sebelum. Nanti, berbondong-bondonglah kenderaan dari Singapura keluar-masuk kampung mencari buah rambutan terbaik untuk dipasarkan di pulau itu dengan jenama Singaporean Lychee.

Saat itu nanti, orang-orang Melayu kampung mulai tersuntik semangatnya. Masing-masing saling berlumba membuka gerai menjual aneka buah di kiri-kanan jalanraya. Para penoreh getah, para pekebun jagung, penanam nenas dan pekebun kelapa sawit akan menukar profesi - jadi usahawan musiman. Masing-masing menggandakan usaha - menjana pendapatan tambah dari hasil rezeki kurniaan Tuhan. Wah!! sudah tak sabar menunggu. 
Berkat berbudi kepada tanah, ditambah amalan beringat orang tuaku, inilah hasil yang kami adik-beradik nikmati selama ini. Jom kita lihat apa yang ada di dusun kami.













FAZLI MENULIS LAGI - tentang bahasa

Surat khabar hari ini kalau kawan-kawan saya di Malaysia sedar, memberitakan tentang keputusan kerajaan mewujudkan Kota Buku. “Alhamdullillah” kata saya, kalau niatnya itu bersungguh dan jalannya betul. Cuma saya sebenarnya sudah sangsi dengan cakap-cakap pemerintah Malaysia yang satu ini. Selepas tahun ke-51 memegang kuasa, tindak tanduknya banyak tak konsisten dari tindakan yang tegas – dalam pelbagai hal.

 

Kalau boleh saya sebutkan sedikit; ingatkah lagi pada nama bahasa Melayu? Sekejap menjadi Bahasa Malaysia – lalu ditukar kepada Bahasa Melayu – sekarang jadi Bahasa Malaysia semula. Ingat tak lagi pada projek jambatan bengkok antara Johor dan Singapura? Sekejap menguntungkan, lalu jutaan RM dilabur (dilebur?) – tiba-tiba ditangguh – dan kini dibatal tanpa fikirkan kerugian. Ke mana pula konsep sekolah wawasan? Kenapa kini sepi?

 

Tarik ke belakang, cuba ingat pada penyata pendidikan Razak 1956. Penyata Razak 1956 pada maksud asalnya bertujuan mewujudkan satu aliran sekolah untuk semua kaum dengan Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar, tapi kenapa sekarang kita punya banyak aliran sekolah? Begitulah juga halnya dengan kedudukan Bahasa Melayu. Sana sini dicanang akan diperkasakan, konon tetap dipertahankan. Tapi pelaksanaannya hampa, rupanya mereka mencurahkan air di daun keladi.

 

Saya tertarik tentang ulasan Dr. Abu Hassan Abdullah (pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Universiti  Malaya) seperti yang disiarkan dalam majalah Dewan Bahasa (April, 2009). Kata beliau, kita di Malaysia hanya mampu menghasilkan kurang tiga buku setahun. Ya, KURANG TIGA BUKU SETAHUN. Andai dakwaan ini betul, ia sangat menakutkan bukan?

 

Dalam majalah itu, Dr. Hassan Abdullah sebenarnya memperkatakan tentang kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia. Menurut dia, bahasa Melayu sebagai tunjang bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara telah digunakan dalam ruang yang sangat kecil di Parlimen. Hanya 2% saja Ahli Parlimen Malaysia boleh berbahasa Melayu dengan fasih. Selebihnya menggunakan bahasa Melayu dengan struktur bahasa yang sangat buruk, pelik, tidak beridentiti serta gagal mencerminkan imej Malaysia  

 

Berlainan dengan di Indonesia dakwa beliau, 98% Ahli Parlimen di sana boleh menguasai Bahasa Indonesia dengan baik, betul dan fasih dari aspek linguistik. Katanya lagi, 63% warga Indonesia boleh berturut bahasa Belanda, 43% fasih berbahasa Inggeris dan hampir 17% boleh bercakap dalam lima bahasa selain ratusan bahasa suku kaum.

 

Berbalik pada Malaysia, dengan keragaman bahasa yang jauh lebih sedikit, kita gagal mendaulatkan bahasa Melayu. Terbantu dengan 53% penduduk Melayu (tidak termasuk 10% suku berkerabat), kita masih gagal mengangkat kedudukan bahasa Melayu. Lebih parah, separuh daripada orang Melayu itu sendiri sudah canggung menulis dalam bahasanya.

 

Melihat dari kegagalan demi kegagalan ini. Masih bolehkah perancangan yang bersifat subjektif ini kita percaya? Kita mungkin berjaya pada material. Tapi kita gagal membina bangsa.

 

Uniknya Singapura

Sempena cuti Hari Pekerja yang baru berlalu, saya sempat meluangkan masa melawat Singapura buat kesekian kalinya. Kali ini saya bersama seorang sahabat yang tak asing lagi, Syahrir. Biarpun sering ke negara pulau itu, inilah kali kedua saya ke sana atas tujuan melancong – lebih manis, ditemani beberapa kenalan internet dari Singapura sendiri. Terima kasih pada Multiply.  atas jalinan yang tertaut ini. Pastinya dengan izin Allah jua. Laman sosial Multiply berhenti berkubur mulai Februai 2013

Perjalanan berkereta dimulakan dari Kuala Lumpur menuju terminal bas Larkin di Johor Bahru. Sebelum sampai, kami singgah solat Jumaat di Masjid Jame’ Kampung Sri Macap, Simpang Renggam – kampung kelahiran saya. Anehnya, masjid di kampung saya ini tidak lagi kelihatan seperti di Johor. Lokasinya nyaris persis seperti di sebuah desa di pinggir kota Dhaka. Tak sedar sejak bila kampung saya ini dihuni para pendatang Bangladesh sampai banyak begini. Mereka memenuhi setiap inci ruang-ruang solat dalam masjid - berhimpit-himpitan sesama sendiri sampai menenggelamkan orang-orang tempatan Melayu dalam nisbah 20 lawan 1. Sekurang-kurangnya pada pandangan mata kasar saya. Baiklah, berbalik pada cerita yang asal.

Syahrir
Yanie & Salbiah
Rakan Multiply Malaysia dan Singapura
Syahrir dan Salbiah
Syahrir kagum lihat Sentosa
Lebih kurang Jam 3.00 petang, kami berangkat menaiki bas dari terminal Larkin menuju Singapura. Walaupun sering ke negara itu, prosedur keluar-masuk dengan bas ke sana belum juga saya hafal. Kejadian tersalah bas selepas pemeriksaan pasport di kaunter imigresen kedua negara sangat kerap berlaku. Dan kali ini ia terjadi lagi, kami tersangkut setengah jam di Kranji MRT gara-gara kesilapan itu.

Selepas dua setengah jam menempuh perjalanan jarak dekat yang panjang, sampailah juga kami ke lokasi yang dituju - Queen Street - lokasi di mana Salbiah, sahabat Multiply asal Singapura sedang menunggu. Fragrance Hotel di Geylang Serai menjadi pilihan penginapan yang dicadangkan Salbiah buat kami berdua sebelum memulakan misi ‘menakluk’ Temasik keesokan harinya.

Hotel hunian kami

Alhamdulillah, hajat menjejakkan kaki ke Pulau Ubin dan melawat makam warisan kerabat diraja Johor di Teluk Belanga terlaksana. Alhamdulillah, hasrat Syahrir yang tergiur mendengar keindahan Sentosa tercapai juga. Terima kasih tidak terhingga buat Salbiah, Yanie dan Koosem (bukan nama sebenar) atas layanan kelas pertama yang diberikan sepanjang kami berada di negara kalian. Terima kasih daun keladi.


Di bawah ini foto-foto kami ketika kunjungan ke Pulau Ubin