بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Pavilion Johor di MAHA 2010




Inilah pavilion negeriku Johor saat dipamerkan di Pameran MAHA2010 baru-baru ini. Tak melampau kalau aku katakan, inilah pavilion negeri paling cantik dalam pameran itu. Betul'kan??. Antara isi dalamnya adalah info negeri, produk pertanian (Johor adalah negeri pengeluar utama nanas, pisang, getah dan kelapa sawit di Malaysia), makanan tradisi popular seperti telur pindang, otak-otak, tempe dan pisang salai, dan kesenian kuda kepang selain alunan muzik ghazal dan zapin.

Jom saksikan antara yang saya dapat.

Pavilion Negeri-negeri MAHA 2010




Ini Pavilion negeri-negeri di Malaysia yang dipamerkan sempena MAHA 2010 baru-baru ini. Ada 12 semuanya. (kecuali Johor yang akan ada album khusus untuknya nanti). Masing-masing menampilkan keunikan rumah tradisional atau moden mengikut identiti negeri. Memang agak susah merakamkan gambar waktu ini kerana pengunjung datang berpusu-pusu. Mau atau tidak, terpaksa ambil saja apa yang dapat. Saksikan.

Tahun 2011. Kembalilah berMultiply.

Sekali lagi kita bakal menyambut tahun baru. Tahun depan tahun ke 6 aku menyambutnya sebagai pengguna Multiply. Tahniah. Tidak disangka, Multiply buka jalan untuk aku jelajah ke banyak daerah di luar negara. Multiply tidak biarkan aku terus hilang sahabat, sebelum kenal Multiply, aku dapat rasakan sahabat lamaku hilang satu demi satu sesuai masa berlalu. Di Multiply, aku tidak keseorangan. Banyak sekali sahabat baru telah aku dapatkan. Biarpun awalnya tidak pernah bertemu mata, tidak kenal gerangan siapa, kini telah ramai dari mereka yang akhirnya jadi bahagian dari hidupku. Meski mulanya hadir sekadar sahabat maya, Multiplylah mediumnya yang jelmakan mereka di depan mata pada kondisi yang nyata. Multiply cipta keajaiban. Hilang satu sahabat lama, berganti satu sahabat baru. Syukur pada Tuhan, aku tetap tidak sendiri.

Multiply merangkumkan rumpun yang terpisah jauh jadi satu. Alhamdullillah, aku punya kenalan berbahasa Melayu sejauh Timor Leste selain Indonesia, Singapura, Selatan Thai dan Brunei. Termasuk juga kenalan berbahasa Melayu yang kini menginap sementara di negara bukan bahasa Melayu seantero dunia. Sejak sertai Multiply, aku tidak lagi bersusah-payah tempah hotel setiap kali ke Indonesia dan Singapura. Punya banyak kenalan di sana yang sedia membantu. Tanpa di sangka, mereka baik-baik belaka. Aku tak lagi susah-susah susun acara, mereka yang aturkan semuanya, mereka yang jadi pemandunya pada tarif percuma. Malah sampai ada yang sanggup mengajak aku bermalam di rumah mereka. Sungguh, Multiply banyak berjasa. Belum pernah aku rasakan ini dalam mana-mana laman sosial lainnya. Termasuklah laman sosial yang sekarang jadi kegilaan baru; Facebook!.

Sayang Multiply kini kian lesu. Sekarang pengguna Multiply berlumba-lumba buka akaun di Facebook. Malah ada yang langsung pindah ke sana tanpa kembali lagi. Sampai aku juga terikut buka akaun di sana.

Facebook memang lebih terampil. Mudah dikendali dan mudah mencapainya. Cuma sayang selama aku berFacebook ria, tidak menjelma walau satu pun kawan baru secara nyata sampai dapat dilihat di mata. Meski tiap hari ada kontak terbaru, semuanya terbatas setakat “like the status” malah paling-paling hanya bersembang di chatbox 5minit sekali seminggu. Pun begitu, tak dinafikan memang Facebook ada jasanya. Aku kini jumpa lagi dengan kawan-kawan lama setelah 13 tahun terpisah. Terbuka semula memori lama yang pernah tersimpan di hati saat bersama mereka dulu. Mungkin, pada pandanganku hanya inilah kelebihan facebook.

Buat semua, selamat tahun baru 2011 diucapkan, pada rakan-rakan lama yang pernah bersama di Multiply dulu, kembalilah ke sana. Isikan lamanmu semula sesuai kecenderunganmu - tentang budaya, tentang bahasa, tentang dunia foto, tentang politik, tentang perjuangan, tentang agama dan apa saja segalanya. Kerana semua inilah kita yang tak pernah saling kenal, kini jadi sahabat.

Malaysia Agriculture, Horticulture, and Agrotourism (MAHA)




Inilah sebahagian foto yang sempat saya rakamkan dalam kunjungan saya ke Pertunjukan Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Pelancongantani Malaysia (Maha) 2010 baru-baru ini. Pertunjukan ini mencatat sejarah tersendiri bila diiktiraf sebagai pameran terbesar seumpamanya pernah dianjurkan di kawasan Asia Tenggara. Selain kementerian berkaitan, agensi dan syarikat persendirian dalam negara, pameran ini turut disertai 22 negara lain seluruh dunia. Saksikan

Cerita Lucu Politik Malaysia

Saya kadang-kadang ketawa sendiri lihat perkembangan politik Malaysia. Makin bercelaru. Si A tuduh B, si B mengata A. Kalau si B melalut, Si A pun banyak melatah. Pendek kata, 2 kali 5. Tapi tak dinafikan kata-kata kedua belah pihak itu kadang-kadang ada benarnya walaupun dalam latahan dan lalutan mereka.

Baru-baru ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) nyatakan pendirian melupuskan Ketuanan Melayu. Memang sudah dijangka ramai orang Melayu akan melenting (sudahpun melenting). Dan tanpa disangsikan lagi, kenyataan kontroversi itu pantas dieksploitasi pihak lawan. Dari individu, NGO sampailah datuk-datuk menteri telahpun menggunakan isu ini demi kepentingan politik mereka.

Saya peribadi, juga melenting sebaik membaca judul satu berita "Hapuskan Ketuanan Melayu" dari sebuah surat kabar. Sangkaan saya, antara lain presiden PKR itu tentu juga bermaksud hapuskan sistem beraja yang diamalkan di Malaysia. Namun setelah dibaca isinya, saya sangat setuju dengan kata-kata tuan presiden PKR itu. Menurut tuan presiden, terma itu tak ubah bagai senjata ampuh milik sebuah parti politik lawan untuk meraih sokongan orang Melayu demi melanjutkan pemerintahan mereka. Hal ini memang betul dan saya sendiri rasakan bahawa terma itu isinya kosong. Tuan presiden tidak sentuh sedikitpun tentang kekebalan Raja-raja Melayu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam huraiannya. Cuma barangkali tuan presiden terkilaf semasa membezakan Ketuanan Melayu, dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu.

Entahlah, atau mungkin saya yang keliru.