بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Orang Laut di Johor

Orang Laut ialah satu kumpulan etnik yang wujud di pulau-pulau dan pesisir pantai sebelah selatan Selat Melaka antara Pulau Rupat, di Sumatera dan Muar, di Johor ke selatan, hingga ke Pulau Bangka-Belitung. Mereka tergolong dalam sub-etnik Melayu Tua (Proto Malay), saudara paling rapat kepada etnik Melayu (Deutro Malay) yang ada pada hari ini, yang merupakan etnik majoriti di Semenanjung dan Sumatera. Rumah-rumah Orang Laut adalah perahu panjang yang di dalamnya dilengkapi dapur dan ruang tidur.

Suatu hal yang menarik, masyarakat Bajau Laut yang wujud di sekitar Laut Sulu antara Sabah, Kalimantan Timur dan Mindanau bila ditanyakan asal usulnya, mereka mengaku nenek moyang mereka berasal dari Johor (Johor-Riau Empire, 1511-1824). Barangkali ada hubungan antara Orang Laut dengan mereka. Malah, beberapa suku orang perahu yang hidup di Laut Andaman antara Thailand dan Myanmar juga menggelar diri mereka Urak Lawui yang bermaksud Orang Laut dalam bahasa Melayu. Perlukan kajian lanjut untuk membuktikan hipotesis ini.

Tulisan saya lebih fokus kepada sub-suku Orang Laut yang ada di Malaysia – yang hanya ada di Johor.

Seletar, Duano dan Kanaq adalah 3 sub-suku Orang Laut yang boleh ditemui di Malaysia (lebih banyak lagi sub-suku Orang Laut boleh ditemukan di Kepulauan Riau, Indonesia). Ketiga-tiga sub-suku ini telah digabungkan bersama suku Jakun dan Temuan sebagai orang Melayu Proto, salah satu dari tiga kelompok Orang Asli (Orang Asal Semenanjung- Selain dari Melayu) yang diakui pemerintah Malaysia. Sepertimana Orang Laut, Jakun dan Temuan juga adalah sub-etnik Melayu Tua, tapi tinggal di darat. Mereka dikenali sebagai Orang Darat. Saya tidak akan menyentuh lebih lanjut tentang mereka.

Orang Seletar boleh ditemui di sekitar pesisir pantai daerah Johor Bahru. Nama Seletar diambil dari satu tempat bernama Seletar di Singapura. Asalnya mereka menghuni Selat Tebrau dan Selat Singapura sebelum perlahan-lahan pindah (dipindahkan?) ke Johor. Perpindahan ini sampai kemuncaknya pada tahun-tahun awal perpisahan Singapura dari Malaysia. Pada hari ini, Orang Seletar di Singapura telah diistiharkan pupus sama sekali sama ada sebab kematian maupun terasimilasi dengan etnik Melayu. Di Malaysia, orang Seletar masih lagi meneruskan hidup cara tradisional mereka walaupun sudah menetap kekal di pinggir pantai. Orang Seletar lambat menerima Islam hingga ada dikalangan mereka yang menganut Kristian dan Budha. Bahasa Seletar, sama seperti musibah yang mendepani penempatan mereka, telah sedikit-demi-sedikit hilang. Tenggelam dalam kelompok bahasa lain yang lebih dominan di sekeliling. Biarpun aslinya hanya 20% kosakata bahasa Seletar sama dengan bahasa Melayu, anak-anak seletar kini lebih selesa berbahasa Melayu.

Orang Duano pula berasal dari Pulau Bengkalis (Sumatera) sebelum menyebar ke banyak pulau lain di sekitar Selat Melaka, pesisir pantai barat negeri Johor dan pesisir pantai tumur selatan Sumatera. Di Johor, Orang Duano mendiami kuala-kuala sungai di Batu Pahat dan Pontian, bagaimanapun sebahagian dari mereka telah dipindahkan ke petempatan kekal di Kota Tinggi. Bahasa orang Duano beza dengan bahasa Melayu, bagaimanapun boleh dipastikan bahasa ini bakal pupus tidak lama lagi kerana genarasi muda lebih gemar bertutur dalam bahasa Melayu seperti yang diajarkan di sekolah-sekolah.  Saya pernah lihat sendiri kehidupan orang Duano di Kampung Bumiputra Dalam di Rengit, Batu Pahat dan nampak jelas keasimilasian mereka dengan orang Melayu. Dari info yang saya dapat, generasi muda bukan sekadar tidak faham bahasa Duano, malah mereka juga malu dilabelkan 'Orang Asli'. Bagi maksud membezakan mereka dengan etnik Melayu, mereka lebih selesa menggelar diri mereka Orang Melayu Kuala. Di Malaysia, Orang Duano beragama Islam seluruhnya.

Manakala Orang Kanaq merupakan sub-suku Orang Laut yang terkecil dari seluruh Orang Laut yang ada di Malaysia dan Indonesia. Bilangan mereka yang dapat di kesan hingga ke hari ini hanya tinggal 87 orang, semuanya menetap di Kampung Sungai Selangi, Kota Tinggi, Johor. Dapatan kajian luar juga menyimpulkan, tidak ditemui walau satupun suku Kanaq di Kepulauan Riau meskipun di tempat asal mereka sendiri di Pulau Sekanak, sebuah pulau kecil di utara Batam. Mengikut catatan sejarah (The Sosioeconomic History of The Orang Kanaq of Johor, Mahani Musa, 2011), Orang Kanaq dibawa pindah ke tanah besar Semenanjung pada zaman Kesultanan Johor bagi tujuan membekalkan hasil hutan. Bagaimanapun, mereka gagal berbuat begitu kerana tidak betah hidup di darat hingga akhirnya terabai dan tidak mampu membangunan ekonomi sendiri. Atas kebajikan kerajaan negeri Johor, mereka dikurniakan tanah 10 hektar tiap keluarga untuk diusahakan selain satu perkampungan khusus untuk mereka di Kota Tinggi (Kampung Sungai Selangi, sekarang ini). Bagaimanapun, naluri kelautan dalam diri mereka kekal gagal dikikis, tanah yang dikurnia gagal diusahakan malah mereka menyewakan tanah itu kepada pengusaha Cina. Hidup dalam perkampungan khusus juga telah menyempitkan Orang Kanaq dari terdedah kepada masyarakat dari luar lingkungan mereka. Orang Kanaq sejak zaman Kesultanan Johor lagi telah menganut Islam. Bagaimanapun kepercayaan tradisional suku mereka masih kekal bertahan hingga ke hari ini. Hal ini juga berkaitan dengan keterbatasan pergaulan suku ini dengan masyarakat luar. Anak-anak orang Kanaq masih enggan ke sekolah, walaupun diberi bermacam bantuan. Menurut seorang pengkaji, label 'Orang Asli' semakin memencilkan mereka dari terus bersaing dengan dunia luar.  Namun ada satu hal yang baik, bahasa orang Kanaq tetap terlestarikan hingga ke hari ini. Kekal bertahan dan dituturkan segenap generasi biarpun perlahan-lahan kosakatanya tergantikan kosakata bahasa Melayu melalui media massa.

14 ulasan:

  1. Pernah sekali ke Kecamatan Moro, Tg. Balai Karimun. Melihat gaya hidup, susuk wajah mereka pasti Orang Laur. Ternyata tekaan saya benar : )

    BalasPadam
  2. Iya. Memang kawasan Orang Laut berada di pinggir pantai dan pulau-pulau selatan selat Melaka. Tak salah lagi.

    BalasPadam
  3. Di tempat saye..daik lingga, orang laut ni disebut dengan orang mantang, kepala puaknye dipanggil Batin...di daerah kuala tungkal Jambi, lebih dikenal dengan sebutan Orang Bajau..

    BalasPadam
    Balasan
    1. adakah orang bajau ne berasal usul dari sumatra.kerana di negeriku Sabah(Malaysia) ada ramai suku bajau.ada bajau darat ada bajau laut.

      Padam
  4. Makasih infonya. Di sini, ketua puak Orang Laut juga dipanggil Batin. Malah, tidak hanya Orang Laut, seluruh suku pedalaman di Semenanjung Malaysia juga sudah memakai kata Batin bagi merujuk ketua puak.

    BalasPadam
  5. kalau di daerah pulau selayar, dekat pulau singkep...ade juge perkumpulan orang laot, lebih dikenal dengan orang barok...
    sekarang, orang laut di daerah kepulauan lingga ni dah pandai begaul dengan masyarakat biase, dah banyak yang pandai bebahasa melayu,ade yang sudah menganut islam...tapi banyak juge yang menganut kristen...ilmu-ilmu /megic orang laot ni hingga sekarang masih tekenal, baek ilmu pengasihnya, kebal dan sebagainya...ketika saya kanak-kanak, sering orang laot ni naek ke darat tak memakai sandal, untuk berburu, pelanduk, babi yang paling banyak ditangkapnya, beramai-ramai dipikul....orang kampong senang karena agak bekurang sikit hama perusak kebon...
    tapi sekarang kate orang kampong saye,...orang laot ni dah jaoh bebeza...beburu dah pakai sepatu boot...dah tu punye motor pula...entah kedepan dah pakai oto pickup agak...

    BalasPadam
  6. bagaimana status penduduk yang tinggal di pulau-pulau sekitar mesring (pulau aur, pular pemanggil dll) ??? adakah mereka juga orang laut? dari suku mana?

    BalasPadam
  7. Salam cik Nadia.
    Sampai hari ini belum ada data tentang kewujudan orang laut di pulau-pulau sekitar Mersing. Saya berhipotisis, semua penduduk yang menghuni pulau-pulau di laut china selatan datang dari satu keturunan yang sama.

    Mengikut sejarah Pulau Terempa di kepulauan Anambas (sebuah kepulauan milik Indonesi tak jauh dari Pulau Tioman), penduduk di situ berasal dari campuran orang Melayu Semenanjung, Bajau dan Champa. Mereka menetap dan berkembang hingga wujud pemerintahan sebelum dikuasai kerajaan Johor -Riau, seterusnya diserahkan kepada Belanda. Saya yakin, orang-orang Terempa berkembang dan menyebarkan keturunan ke beberapa pulau berhampiran termasuk Tioman dan pulau-pulau kecil di perairan Mersing.

    BalasPadam
  8. Orang Laut adalah nenek moyang kepada Orang Melayu Melaka asli, Orang Melayu Johor asli dan Orang Melayu Singapura asli.

    BalasPadam
  9. Orang Laut adalah nenek moyang kepada Orang Melayu Melaka asli, Orang Melayu Johor asli dan Orang Melayu Singapura asli.

    BalasPadam
  10. Mau tanya kepada semua.... sekarang ni masih ada lagi tak orang asli yang tinggal di pulau2 sekitar mersing...sebab saya tengah mencari... sekiranya ada,minta pm saya di facebook.... safadzlin ollie II

    BalasPadam
  11. Mau tanya kepada semua.... sekarang ni masih ada lagi tak orang asli yang tinggal di pulau2 sekitar mersing...sebab saya tengah mencari... sekiranya ada,minta pm saya di facebook.... safadzlin ollie II

    BalasPadam
  12. Saya pernah membaca satu peta lama Arkib Singapura. Antara nama2 tempat di sana ialah, Mukim Bajau, Sungai Bajau.

    BalasPadam