بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Turki - Saya Datang, Saya Lihat, Saya Takluk.

Sesuatu yang selalu saya lakukan setiap kali ke tempat baru ialah selami sedalamnya cara hidup sosial masyarakat di sana. Atau setidaknya amati apa sebenarnya yang membuat tempat itu kelihatan beza dari habitat saya. Kemudian sebolehnya mencuba meletakkan diri saya di tempat mereka. Belajar bahasa lokal, kenal budaya lokal dan kemudian bergaul dengan siapapun yang saya temui agar mudah saya dapat semua yang saya inginkan itu.

Begitulah ketika di Turki. Cuma pergerakan saya kali ini terbatas kerana ini bukan pengembaraan sebagaimana kegemaran saya. Perjalanan ke Turki lebih kepada pelancongan ziarah, bukan redah dan berserah. Selain saya, ada rakan rombongan yang datang bersama. Setiap aktiviti sudah diatur, jadi saya tak punya banyak waktu untuk melayan jiwa. Mujurlah masih ada ruang-ruang kosong yang tersisa buat saya perhati, kumpul, dan kemudian lihat apa saja yang mungkin boleh saya jadikan cerita bila pulang ke Malaysia. 

Sememangnya setiap pengalaman yang terlepas, takkan dapat kita ulang. Hanya dapat dikenang, lewat catatan perjalanan. Meski di mata orang lain ia tak seberapa, di mata saya ia besar maknanya. Inilah sebahagian kecil dapatan saya. Dari negara pewaris kerajaan Usmaniah.   

KENAL TURKI
Nama rasmi negara ini ialah Turkiye Chumhuryeti. Atau dalam bahasa Melayu disebut Republik Turki. Ibu-negaranya Ankara, tapi bandar terbesar, terpenting, pusat perdagangan dan tumpuan utama penduduk ialah Istanbul. 

Luas negara ini 783,562km persegi. Lebih dua kali ganda luas Malaysia. Jadi jarak dari satu pusat provinsi ke satu pusat provinsi yang lain tentulah lebih jauh. Turki terletak di semenanjung Anatolia. Daratan semenanjung yang terjojol keluar antara Laut Maditernean dan Laut Hitam. Sepersepuluh lagi negara ini terletak di tanjung Thrace, di selatan pergunungan Balkan, benua Eropah. Sesuai kedudukan, Turki menerima cuaca empat musim.

Ketika saya sampai, baru masuk musim bunga. Suhunya sekitar 12◦c. Masih ada sisa salji yang turun di beberapa lokasi tanah tinggi. Lebih penting lagi, siang di Turki lebih panjang dari waktu malam. Dari subuh sampai ke maghrib, masa yang diambil ialah 16 jam, jadi aktiviti luar dapat kita lakukan lebih lama.

MAKANAN
makanan Turki
Sebagai sebuah negara Maditrenean, nasi bukanlah makanan asas warga Tukri. Jadi jangan mimpi lihat sawah. Pun begitu, nasi tetap dimakan sebagai selingan kepada makanan lain. Sebelum ini, saya sering tersalah menyangka kebab yang kita lihat di Malaysia ialah makanan sama yang ada di Turki. Sebenarnya, kebab ialah daging panggang yang tak semestinya kita makan bersama roti pita seperti kebab Turki ala Malaysia. Selama di Turki, beberapa kali saya makan kebab dengan barli goreng atau sup kacang dal dan salad. Rasanya memualkan. Sangat tak kena dengan selera kita. Tapi saya tetap makan banyak. Satu yang buat saya termimpi-mimpi, kopi dan teh Turki luar biasa sedap. Saya sempat beli beberapa bungkus serbuk teh Turki buat buah tangan untuk teman di Malaysia.

Satu perkara yang sangat saya ingat, bertanyakan status makanan halal atau tak, dianggap hinaan kepada mereka. Saya pernah ditegur seorang warga Turki ketika tak sengaja tertanya soalan seperti itu. Jadi pokoknya, makan dan minumlah apa saja yang anda mahu kecuali alkohol.

TURKI ITU EROPAH
Jika soalan itu ditanya, tanpa ragu saya menjawab Turki itu Eropah. Walaupun 90% wilayah Turki ada di Asia, tapi hampir semua ciri yang ada di sini saya nampak lebih rasa Eropah – kecuali agama. Inilah yang membuat Turki itu unik. Ketika ini, akses ke Turki lebih dekat dari Eropah berbanding lain-lain negara Asia. Jaringan jalan keretapi Trans-Eropah yang melalui Turki sedikit sebanyak membuktikan.

BANGSA DAN BAHASA TURKI
Walau tak semelepak kulit Eropah, wajah orang Turki saling tak tumpah seperti wajah Balkan. Tapi kalau anda gemarkan kajian etnik, anda akan lebih heran bila dengar bahasa mereka. Secara logik, kalau Balkan itu Eropah, tentulah bahasa Turki pun lebih dekat dengan bahasa Eropah. Tapi tunggu dulu, bahasa Turki tak berkait sama sekali dengan mana-mana bahasa Eropah, hatta dengan bahasa jirannya di Greece sekalipun.

anak-anak Turki
Jika bahasa Turki bukan bahasa Eropah, kenapa wajah mereka mirip Balkan? Satu lagi hipotesis yang mahu saya amati.

Turki itu asalnya kecinaan. Seperti wajah Kazakh dan Uzbek. Malah bahasa mereka pun saling berkait. Bukti orang Turki asli itu berwajah Cina, dapat dilihat pada foto tokoh-tokoh Usmaniah yang banyak dipamer di muzium-muzium. Mukanya panjang dan matanya sepet, tapi berhidung mancung. Sejarahnya, mereka berasal dari utara China, mereka ialah sub-bangsa Mongol, seketurunan dengan Genghis Khan. Lagi sejarah Turki dapat dibaca di catatan saya tentang sejarah Turki di sini.

Perkembangan Kerajaan Usmaniah dan agama Islamlah yang mungkin jadikan orang Turki seperti sekarang - berwajah Eropah tapi berbahasa Asia.  Pertama kali dengar lenggok bahasa Turki, saya fikir mereka serumpun dengan bangsa-bangsa India Selatan. Bahasanya bergulung-gulung.

TURKI BUKAN ARAB
Sebelum ini saya selalu fikir bahwa Turki itu Arab. Budaya Turki ialah budaya Arab, dan bahasa Turki serumpun dengan bahasa Arab. Tapi kini jelas. Sejarah ringkas Turki dah cukup buktikan bahawa Turki bukan Arab. Persamaan Turki dengan Arab hanya pada agama. Bukan pada bahasa dan budaya. Dua bangsa ini datang dari rumpun beza. Turki bertutur bahasa Altaic, bahasa yang berasal dari utara China, dan Arab dari rumpun bahasa Indo-Africa. Tak berkait sama sekali melainkan persamaan beberapa kosakata yang terjadi selama perkembangan Islam.



wanita Turki

ISLAM DAN TURKI
Penganut Islam di Turki mencecah 99.8%. Hampir seluruhnya fahaman Sunah Hanafi. Meski seramai itu, Islam masih bukan agama rasmi. Ia mungkin ada kaitan dengan asas Turki yang terbentuk mengikut fahaman sekular sejak 1923. Cuma mohon jangan bayangkan kalau orang Turki buta agama. Di depan mata saya, sesetengah warga Turki nampak lebih Islam dari Islam Malaysia.

trem di tengan bandar Istanbul

KEMAJUAN
Pada setiap momen yang saya lalui, dan di setiap aktiviti yang kami ikuti, saya selalu rasakan Turki lebih maju dari Malaysia. Pengangkutan awam di Turki lebih lengkap. Jaringan jalanraya jauh lebih panjang, lebar dan mulus. Malah sepanjang di sini, jarang nampak jalan bertol kecuali satu di Istanbul. Jalanrayanya pun jarang dilalui motor. Bukan langsung tak ada, tapi motor hanya difungsikan untuk jarak dekat. Di sini, motor bukan kenderaan jarak jauh sebagaimana kebiasaan di Malaysia.

sisa tinggalan sejarah yang begitu agung
TAMADUN TURKI LEBIH TUA
Jika anda fikir sejarah Malaysia sudah cukup kaya. Kaji dulu sejarah Turki. Negara ini sejarahnya jauh lebih lama. Mereka pernah lalui beberapa tamadun seawal ratusan tahun sebelum masihi. Bermula zaman Hittite, masuk ke tamadun Greek, diambil-alih Roman, pindah tangan ke Byzentine sebelum ditakluk Usmaniah, sejarah Turki hampir 3000 tahun. Belum lagi masuk zaman pra-sejarah. Turki tidak pernah dijajah kuasa Eropah melainkan merekalah yang menjajah sebahagian tanah Eropah. Kesan peninggalan sejarah di Turki masih berbekas hingga kini walau ditinggalkan seawal sebelum masihi. Ketika mengkaji sejarah Turki, saya rasakan tamadun bangsa kita sebenarnya masih sangat muda. Tapi itu bukan alasan untuk kita abaikan sejarah bangsa kita sendiri.

BAHASA ASING
Kemampuan komunikasi ialah satu lagi perkara yang suka saya lihat dalam banyak perjalanan saya. Ketika Malaysia semakin sedar akan 'kepentingan' bahasa Inggeris, banyak negara lain termasuk Turki tak rasa apa-apa terhadap bahasa itu. Ketika pemimpin negara kita mulai bimbang jika rakyat Malaysia tak fasih bahasa Inggeris, pemimpin negara lain lebih bimbang jika warganya tak fasih bahasa negara sendiri. Ketika warga Malaysia mulai takut masa depan bakal gelap tanpa pengetahuan bahasa Inggeris, warga di negara lain lihat bahasa itu tak banyak fungsi melainkan bahasa komunikasi, itupun untuk tujuan yang terhad.

Kalau dalam Bahasa Malaysia, namanya 'House of Simit'  
Saya saksikan fakta ini dalam semua kunjungan saya ke beberapa negara. Dari semua negara itu, Malaysialah yang paling terhegeh-hegeh jadikan bahasa Inggeris seperti dewa. Di banyak negara lain, bahasa Inggeris jangankan jadi bahasa kedua, bahasa ketiga pun bukan. Ia hanya dianggap sebagai bahasa asing (foreign language) saja. Termasuk di Turki ini, bahasa Inggeris sudah pun tewas 10-satu. Di Turki, bahasa Inggeris sama sekali bukan bahasa Ilmu. Bukan juga bahasa bisnes atau bahasa agama. Bukan bahasa perundangan, bukan bahasa sastera, bukan bahasa pentadbiran, bahasa kerja, bahasa teknologi atau bahasa persuratan. Apalagi bahasa komunikasi sehari-hari. Samuanya bukan, tak seperti statusnya di Malaysia yang sudah jadi Tuhan. Temui orang awam di Turki yang tak tahu langsung bahasa Inggeris, bukan pelik. Jadi sulit untuk kita jalan sendiri ke mana-mana. Hatta naik teksi pun, kita pasti berdepan situasi seperti ayam dan itik. Tapi mereka peduli apa. Ajaibnya meski dalam hal berbahasa, mereka kurang satu dari kita, hidup mereka masih lebih makmur.

Jadi apa sebenarnya yang telah berlaku di Malaysia?

Puncanya, negara kita tak ada satu dasar yang kukuh tentang bahasa negara sejak dari awal lagi. Penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tak dibantu dengan sokongan memadai. Memperburukkan keadaan, hampir 40% warga Malaysia diberi pilihan memilih sekolah yang seluruhnya memakai bahasa negara lain. Kesannya walau sudah setua ini, negara kita masih berdepan isu bahasa yang tak sudah. Hasil dari kecelaruan yang kita wariskan dari dulu, kini kita terpecah dua. Sebahagian warga Malaysia sudah pasrah dengan kekurangan yang ada pada Bahasa Melayu, dan mula meminta bahasa Inggeris untuk kemudahan mereka sehari-hari. Manakala sebahagian yang lain, masih percaya Bahasa Melayu mampu dipakai dalam apapun bidang penting di negara ini, sama seperti bahasa nasional lain di negara tetangga.

Berbalik kisah di Turki. Bahasa nasional negara ini terlalu homogen. Di luar kawasan tumpuan, kita seperti itik yang sedang meminta belas dari sang ayam yang tuli. Tapi di lokasi tumpuan, anda seperti tuan tanah yang begitu dihargai. Ramai peniaga mampu tuturkan beberapa kata dalam banyak bahasa, termasuklah Melayu. Ungkapan mari-mari, murah-murah, lima lira, sepuluh lira dan lain-lain, akan sering kita dengar dari mulut mereka yang sedang memujuk pelanggan. Malah melihat wajah tropika, mereka mampu menyebut nama dua negara "Malaysia atau Indonesia?". Pernah di satu kedai cenderahati yang saya singgah, bahasa komunikasi antara kami seratus peratus pakai Bahasa Melayu. Begitu fasihnya dia sampai saya tak sampai hati tinggalkan kedai itu tanpa membeli.     

POLITIK TURKI
Siapa tak kenal Erdogan? Dialah Presiden Turki dari AKParti. Sangat terkenal di Malaysia kerana ciri-ciri Islam yang dia bawa. Cuma setelah datang ke Turki, dan bertanya sendiri pandangan ramai orang lokal yang saya jumpa. Rata-rata orang Istanbul tak suka dia. Malah AKParti bukan parti pilihan di beberapa wilayah barat. Cuma dalam kalangan etnik Kurdis, pandangan mereka berbeza. "Erdogan bagus" jawab mereka.

Terjemahan: Terima Kasih Turki - Tahun Pemilihan Yang Baik
Lain pula halnya bila disebut Kamal Ataturk. Jika hampir semua orang Islam Malaysia mencerca dia, dan kaitkan dia dengan segala dasar sekular yang tak terbayangkan, segenap lapisan warga Turki pula sebulat suara anggap dia sebagai wira. Ataturk ialah penyelamat Bangsa Turk dari jatuh terduduk bersama-sama jatuhnya Empayar Usmaniah. Terselamat dari layanan buruk yang pernah saudara sebangsa mereka lalui di wilayah bekas jajahan Usmaniah terutama di Bosnia dan Albania. Dasar kebangsaan Turk yang Ataturk terapkan pada sebuah negara baru yang dia ciptakan, telah dapat bebaskan bangsa Turk dari penindasan yang mereka terima selama ini, termasuk di China, di Russia dan di semua tanah jajahan di Balkan yang sudah pun terlepas. Ataturk berjaya keluarkan bangsa Turk dari bayang-bayang Arab dan Pasri. Berjaya daulatkan bahasa dan budaya Turk hingga dipelajari segenap lapisan masyarakat di Anatolia dan Thrace. Berjaya jadikan Turki sebagai sebuah negara bangsa. Berjaya Turki-kan semua warganya tanpa mengira bangsa - pada jiwa dan raganya. Jasa insan ini diabadikan dalam gelar Ataturk yang bermaksud bapa bangsa Turk. 

PINTU KE EROPAH
Saya anggap perjalanan saya ke Turki capai matlamat. Apa yang saya dapat, sepadan seperti apa yang saya inginkan pada kunjungan ziarah sesingkat ini. Malah, saya dapat bayangkan bahwa Turki bakal jadi pintu buat saya luaskan perjalanan. Malah pengalaman di Turki beri keyakinan bahwa saya mampu jalan sendiri ke belahan lain di benua sebelah sini. Sebelum balik Malaysia, sempat saya tanyakan tatacara masuk Bulgaria dan Greece dari Istanbul. "Sempadan kedua-dua negara amat dekat sekali" kata Attila. Pemandu pelancong yang merangka perjalanan kami ke hampir separuh negara ini. Lebih beruntung buat kita, pasport Malaysia laku dibawa hampir ke seluruh negara Eropah tanpa perlu dibebankan dengan visa.    

Turki Dalam Sejarah

"Constantinople!!!" kata itu muncul di bibir saya sebaik mendarat selamat di Landasan Udara Istanbul Ataturk. Tak percaya saya dah sampai sini. Hari ini, saya di bandar bersejarah yang agung kisahnya disebut ribuan generasi. Dulunya bandar ini pernah direbut beberapa empayar. Bertukar tangan dari zaman ke zaman. Dibuka sejak kerajaan Yunani (Greek), Constantinople kemudian diambil-alih oleh Roman, diserah ke Byzentin, lalu ditakluk Usmaniah, dan berakhir dibawah Republik Islam Turki. Namanya pun bertukar beberapa kali. Awal dikenal sebagai Byzentium, kemudian jadi Constantinople sebelum dipinda jadi Islambol sebelum kekal disebut Istanbul.

Usmaniah di zaman kegemilangan

Saya teringat hadis ini " Constantinople akan jatuh ke tangan Islam, ditakluk sebaik-baik pemimpin, sebaik-baik tentera dan sebaik-baik rakyat". Ternyata hadis itu benar. Alhamdulillah hingga kini Istanbul kekal ditangan Islam.

Hadis itu ialah ramalan penaklukan Constantinople oleh Rasulallah (SAW), seribu tahun yang lalu. Sudah saya dengar lama hadis ini sebelum saya sampai ke sini lagi, sejak itu saya jadi obses pada sejarah Constantinople - khasnya dibawah Pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih, Usmaniah.

Mengikut sejarahnya, dari ramai pemimpin Islam bangsa Arab dan Turki yang cuba takluk Constantinople, bagindalah pemimpin yang digambarkan dalam hadis itu. Ziarah Istanbul, dan Turki amnya memang satu kunjungan yang sangat saya tunggu-tunggu.

Bandar ini dibuka sekitar 600 tahun sebelum masehi (SM) oleh panglima kerajaan Greek bernama Byzas. Ia dinamakan Byzantium, diambil sempena nama panglima itu sendiri. Bandar ini terletak pada lokasi yang strategik di tiga titik pertemuan air antara Laut Marmara, Selat Bosphorus dan Laut Hitam. Kelebihan ini jadikan Byzentium bertambah maju hingga disasarkan banyak kuasa asing – dimulakan oleh Roman, yang berpusat di Rome. Pada tahun 330, Flavius Valerius Aurelius Constantinus telah pindahkan Ibukota Roman dari Rome ke sini sebelum mengganti namanya jadi Constantinople.

Perpindahan ibukota ini rupanya jadi sebab pecahnya Roman kepada dua. Empayar Barat dan Timur. Empayar Roman Barat runtuh diserang orang-orang Jerman pada tahun 467. Kekallah Roman Timur berdiri di bawah pengaruh Greek. Roman Timur menjadi Byzentine dan Bahasa Greek gantikan peranan bahasa Latin.

Tapi kedamaian Constantinople tak kekal lama. Ia diserang Parsi beberapa kali. Malah kebangkitan Arab yang bawakan agama baru pun ikut menekan. Percubaan Arab atas nama Islam dimulakan tahun 651 (34 hijrah) oleh Saidina Ali bin Abi Thalib. Diteruskan pula oleh Mu'awiyah bin Abu Sufyan tahun 703 (84 H), Sultan Sulaiman pada tahun 710 (91 H) dan terakhir oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid tahun 782 (165 H). Namun percubaan mereka masih gagal runtuhkan Constantinople. Ramalan dalam hadis Rasulallah (SAW) itu tentang kekal jadi tanda tanya.

Sesi baik dari kemaraan Arab ini, meski belum berhasil merebut Constantinople ialah perkembangan positif agama Islam. Ada benih Islam tertinggal di setiap tanah yang dilalui. Beberapa kelompok manusia yang dulunya seteru, kini seiman, antaranya bangsa Parsi dan Turk-Oghuz. (Oghuz ialah sub-etnik Turki dari rumpun Mongol).

Sewaktu zaman kerajaan Arab Abbasiyah, Bangsa Parsi dan Oghuz dibenar tubuhkan kerajaan naungan. Antaranya Seljuk di Nashipur (Iran, tahun 1037) dan Khawarezmian (Afganistan, tahun 1077). Kebenaran itu timbulkan irihati dikalangan orang Arab sendiri hingga sebahagian mereka berbuat khianat ketika Mongol menyerang.

Abbasiyah jatuh pada tahun 1258 sekaligus membunuh perluasan tamaddun Arab. Ketika di bawah Mongol, banyak Masjid dihancur dan Khazanah Islam lainnya dibakar.

Bagaimanapun, perluasan wilayah Islam terus berlaku dibawah pemerintahan Seljuk, Islam merebak hingga Anatolia mendorong orang-orang Turk-Oghuz yang lari dari serangan Mongol hijrah ke sana.

Namun Seljuk juga diruntuhkan Mongol pada tahun 1260. Pecahan Seljuk lahirkan beberapa kerajaan kecil yang baru, antaranya Usmaniah di Anatolia (1299), Timurid di Iran (1370) dan Moghul di India (1526).

Di Anatolia, Usman Al-Ghazi, mulakan usaha membentuk kerajaan Usmaniah di Söğüt (sekarang dalam Busra). Kerajaan baru ini berkembang lebih pesat meninggalkan kerajaan-kerajaan kecil Islam yang lain sekaligus menakutkan jirannya Byzentine.

Usmaniah terus berkembang. Khalifah Usmaniah ke-4, Sultan Beyazid mula sebar pengaruh hingga Thrace (semenanjung terhujung Eropah di sebelah timur) dan Balkan. Beberapa wilayah ditakluk, tinggalkan Constantinople tersisa di tengah-tengah. Beberapa usaha menakluk bandar ini telah dilakukan pada tahun 1391, 1397 dan 1400 namun tidak juga berhasil.

Dari usaha demi usaha yang masih gagal, akhirnya Constantinople takluk juga dibawah Usmaniah melalui Sultan Muhammad AL Fatih pada 29 Mei 1453. Usaha kepungan 53 hari, ditambah ilham luar biasa baginda 'melayarkan' 72 kapal merentasi Bukit Galata dalam satu malam, empayar Byzentine di bawah Raja Constantine IV itu runtuh juga. Kejayaan menakluk Constantinople bukan sekadar membenarkan hadis Rasullah (SAW), tapi juga menghancurkan empayar Byzentine.

Sejak detik ini, Constantinople menggantikan ibukota Usmaniah yang baru, dan memakai nama nama Islambol – bermaksud Islam seluruhnya. Nama Islambol diganti Istanbul, dari kata istilah Is-timbul yang bermaksud masuk ke kota dalam bahasa bahasa Greek.   

Penaklukan Istanbul memulai detik baru kekuasaan Usmaniah di Eropah. Setelah lalui berbagai zaman dan penaklukan, khususnya di Balkan dan Eropah Timur, Usmaniah jadi empayar terbesar pada zamannya selama hampir lebih 500 tahun - sebelum runtuh.

Bagaimanapun detik runtuhnya Usmaniah jarang diulas dalam banyak catatan. Padahal ada ikhtibar penting yang boleh kita dipelajari. Kejatuhan Usmaniah mulai dilihat dari kegagalan mereka takluk beberapa daerah di hujung abad ke-17. Hal ini mula dianggap sebagai kelemahan strategi ketenteraan oleh sesetengah golongan dan mereka bandingkan ketertinggalan itu dengan teknologi yang mereka rasakan moden ada di dunia Eropah. Akibat dari itu, mulai muncul suara yang inginkan pembaharuan dan 'ikut barat'. Golongan ini semakin berpengaruh lantaran kedudukan Usmaniah yang melemah atas beberapa masalah. Sejak itu tertubuhlah satu gerakan yang mahu revolusi, tak hanya dalam bidang pentadbiran, kewangan, pendidikan dan perdagangan, tapi juga bidang pemerintahan yang semuanya disadur dari barat.

Idea pembaharuan ini ketara dibawah pemerintahan Sultan Mahmud II (1808 – 1839). Baginda yang sudah terpengaruh, mula perkenalkan sistam terpisah antara Islam dan pemerintahan. Golongan Intelektual barat ini seterusnya kembangkan idea yang lebih buruk lagi bila kuasa mutlak sultan dihapuskan dan diganti sistam raja berperlembagaan.

Kekuatan yang semakin tercalah menjelang perang dunia pertama dijadikan alasan untuk terus menekan sultan. Kebimbangan tak tekawal selepas satu persatu wilayah mulai merdeka, dan sebahagiannya terjajah mencetus gerakan nasionalisme baru. Mereka kini berjuang untuk sebuah wilayah merdeka bagi bangsa Turk yang bebas dari perluasan bangsa Eropah.

Gerakan yang pada asalnya berjuang melindungi tanah dari terjajah, berkembang jadi gerakan menggulingkan sultan. Empayar Usmaniah rasmi runtuh berganti Republik Islam Turki pada November 1923 dibawah pemimpin revolusi ketika itu, Mustafa Kamal (Ataturk).

Idea Ataturk seterusnya menjadikan negara itu sebuah 'Turki', Islam dan Moden melalui pemisahan unsur agama pada pentadbiran (sekularisme). Dasar sekular ini dimasukkan dalam perlembagaan melalui aturan baru yang diceduk sepenuhnya dari barat. Tapi perlu difahami, sekularisme tak bermaksud memaksa warga meninggalkan agama, sebaliknya ia hanya sebatas urusan Individu di rumah. Ini jugalah idea pemerintahan yang diamalkan di banyak negara Islam lainnya ketika ini, termasuklah Malaysia.

Rujukan:
Istanbul - 10 Pengalaman Paling Menakjubkan (Izham ISTAR; ATN; Kajang: Jun 2011)
Istanbul – The Cradel of Civilization (ARD; Istanbul; Jun 2011)
Ataturk and The War of Independence Museum (Turkey General Staff; Ankara)
Ephesus – The Metropolis of Antique Age (Huseyin Cirmin; Guney Books; Antalya: 2014)
http://www.cangcut.net/2013/03/kehancuran-kerajaan-turki-usmani.html
http://gusdayat.com/2008/11/28/turki-utsmani-kekhalifahan-berakhir-abad-kemarin/
https://aslibumiayu.wordpress.com/2012/11/01/sejarah-dan-penyebab-runtuhnya-khilafah-turki-utsmani/
http://dianaharifblogspot.com/2011_01_archive.html
http://catatandarideutschland.blogspot.com/2013/01/istanbul-sejarah-silam.html
http://satuumat.blogspot.com/2010/05/sejarah-sultan-muhammad-al-fateh.html
http://www.themiddleages.net/people/seljuks.html
http://www.ushistory.org/civ/6f.asp
http://rome.mrdonn.org/twoempires.html

Manisnya Pengalaman di Cappadocia

mukabumi Kappadokiya
Maaf, ini bukan sikual drama Manisnya Cinta Di Cappadocia. Ini hanya sambungan catatan ziarah saya ke Turki dari catatan terdahulu. Baca ceritanya?

Destinasi tujuan hari ini, kami ke Kappodokya (Cappadocia). Saya tak tahu ada apa di sana kecuali belon panas, sebuah pengalaman yang telah saya siapkan rangkanya sebelum sampai sini. Kappadokiya ialah destinasi paling jauh dari seluruh lokasi singgah di negara ini. Ambil masa sembilan jam.

HARI 4 
Belum pun sampai separuh jalan, kami singgah sekejap di Konya - ke Muzium Melvana. Serius saya tak belajar apa-apa di muzium itu. Manusia terlalu ramai. Setiap penerangan tak dapat saya dengar dengan jelas. Alat bantuan dengar dengan gelombang radio pendek pun tak dapat membantu. Saya tak dapat apa-apa selain sekadar membunuh masa. Tambah buruk lagi, stokin saya pula yang hilang sebelah sebaik melangkah keluar. Istimewa di sini, banyak premis tumpuan terapkan amalan buka kasut sebelum masuk. Nasib baik kasut mahal saya masih ada.

Caravansaray di Sultanhani
Sehabis dari muzium, kami ke Caravansaray di kawasan bernama Sultanhani. Ini monumen tinggalan zaman Seljuk - iaitu sebuah pasar tradisional dalam bangunan segiempat. Di dalam bangunan ada laman terbuka. Di situlah ruang dagang bagi saudagar yang singgah sebentar dalam perjalanan mereka antara barat dan timur, dan sebaliknya. Sekeliling laman itu ada ruang khusus untuk simpan barang. Di Sultanhani, suasana perdagangan zaman dulu dihidupkan kembali.

Ruang dalam dilengkapi bilik-bilik
Hampir jam 7.00 malam, baru kami sampai destinasi. Pemandangan berubah. Awalnya perjalanan membelah hutan Mediterranean, masuk pula ke ladang sesame dan gandum, hinggalah sampai ke dataran beralun yang unik. Kappadokya penuh dengan tunggul-tunggul batu yang terluluhawa. Formasi tunggul-tunggul batu itu berbentuk seperti rumpun cendawan. Tunggul yang besar pula ditebuk buat gua, ditingkap-tingkapkan seperti rumah. Sekali pandang seperti sarang anai-anai. Kalau tak diterangkan, mungkin orang sangka ada serangga gergasi tinggal di situ. Saya takjub - sampai taksub.

antara bentuk mukabumi yang kami lalui
kediaman sarang gergasi?
Di Kappadokya, kami nginap di Hotel Kartal. Juga terletak di atas bukit yang ditebuk-tebuk. Sebagaimana malam sebelum, tak ada aktiviti yang disusun untuk kami. Tapi malam ini saya harus berkerja. Terpaksa cari beg pakaian sendiri yang hilang. Entah dihantar ke bilik mana, tak siapapun yang tahu. Lebih malang, tak ada satu pun krew hotel yang faham bahasa Inggeris. Keluh-kesah yang saya sampaikan hanya sia-sia. Mereka hanya tercengang dan kemudian buat don't-know semula. Lagi-lagi bahasa jadi penghalang komunikasi. Lagi-lagi mereka tak tunjukkan rasa tertinggal walaupun tak mampu kuasai 'bahasa antarabangsa'. Yakin saja mereka sambung urusan tanpa tunjuk niat mahu membantu.


ada pengalaman kurang manis di hotel ini
Ketika hati mula mendidih, saya dapat ikhtiar buka aplikasi Google Translate. Saya taipkan ayat 'SAYA HILANG BEG', kemudian saya tukarkan ke bahasa Turki. Lalu saya tunjukkan terjemahan 'Ben çantamı kaybettim' kepada mereka, barulah krew itu nampak kalut dan menggelabah. Satu jam kemudian, beg saya ditemui dalam bilik penghuni lain selepas semua bilik di hotel itu diperiksa satu persatu.  

kedai ais-krim 
HARI 5
Mado ialah kedai ais krim popular yang tak habis-habis dipromosikan si Attila. Pada hari kelima ini barulah promosi Attila itu dapat pancing kami. Berbuku-buku ais krim jenama Mado terjual. Semuanya kami santap di situ juga. Ia memang luar biasa sedap, harganya pun luar biasa mahal. Tapi awas, kedai Ais Krim Mado bukan satu-satunya kedai harga tak patut yang ada di sini. Lebih banyak lagi premis singgah lain yang harganya jauh gila lebih mahal dari ini. 

Kami dulukan destinasi singgah itu ke pusat kraftangan tembikar - saya tak mampu. Kemudian kami ke pusat barang perhiasan permata - saya terliur lihat harga. Terakhir kami ke kilang karpet buatan tangan - saya hanya mampu pegang bulu-bulu tebal nan lembut, sekadar untuk lap habuk yang jatuh dari poket saya yang kosong. Jika saya bawa seribu dollar sekali pun, ia hanya jadi bahan tawa. Jadi cukuplah sekadar cuci mata.

rasanya sedap tau!!
Setelah pulang semula ke Malaysia, baru sedar sebenarnya semua pakej ke Turki, walau ditawar oleh mana-mana agensi, lokasi ziarahnya tetap sama. Itu-itulah juga.

lawatan ke kilang karpet
 lawatan ke kedai permata
kemudian ke kedai tembikar
Pulang dari sesi menipiskan poket, kami ke Panggung Derwish – lihat tarian sufi. Saya teruja, tertarik terpegun dan kagum fikirkan bagaimana persembahan corak Islam itu laris dijual. Dan pembelinya rata-rata pelancong bukan Islam. Malah persembahan yang ditarikan manusia pakaian putih berserban itu sangat terkenal hingga jadi simbul negara Turki. Bagaimana Malaysia? Saya tercari-cari tarian apa yang melambangkan identiti negara.

tarian derwish - salah satu bentuk dakwah
Petang sebelum kembali ke hotel, kami ke Uchisar Citadel. Ini sebuah mock-up 'sarang anai-anai' yang banyak kita lihat di sini. Masuk ke dalam, baru tahu suhu di bawah tanah jauh lebih sejuk dari suhu luar yang dah memang sedia sejuk. Selain jadi tempat tinggal, sarang ini juga terpecah beberapa ruang lain untuk simpan makanan dan bilik ibadat (gereja?). "Seperti inilah tempat tinggal orang Hittite dulu-dulu" terang Attila. 

inilah sarang anai-anai gergasi yg ada di Kappadokya
ruang dalamnya
HARI 6
Awal pagi lagi para rombongan yang ingin naik belon dah dibawa ke tapak perlepasan. Termasuk saya – bersama rakan lain yang dah mulai mesra. Di tapak itu, ada penerangan tentang cara berlepas dan mendarat diberi, sebelum berakhir dengan hidangan sarapan pagi sebuku roti dan secawan kopi. Belon-belon yang sedang dipanaskan kelihatan kembang-kuncup, sama seperti perasaan saya yang dah berdegap-degup. Cahaya api yang menyala menerangkan pagi yang masih gelap. Sekaligus mendedahkan wajah-wajah lain yang malu tapi mahu. Semua kelihatan sabar tapi teruja.

panaskan belon
Dinihari itu, kamilah kumpulan pertama yang terbang ke udara. 22 orang semuanya, 14 dari Malaysia, 5 Australia, 2 New Zealand dan satu dari Thailand. Kami diletak dalam empat bakul berasing, sebelum perlahan-lahan tinggalkan bumi. Semakin lama, segala yang ada di bawah semakin kecil. Daerah yang ajaib ini semakin cantik dari pandangan mata burung. Kini kami terbang - melayang dibawa angin dari satu lokasi ke satu lokasi yang baru, tinggalkan orang-orang di bawah yang hanya mampu dongak langit. Panorama luar biasa indah yang masuk ke mata saya, tak tergambarkan.
  
panorama
dilihat dari atas
indahnya
Selepas lebih sejam, kami mendarat selamat di kawasan ladang. Telah menunggu wakil dari Syarikat Atmosfer Balloons bersama 14 gelas jus anggur halal untuk kami - untuk 14 orang wakil dari Malaysia. Ada lapan lagi gelas berisi alkohol campaign buat tamu bukan Islam yang ikut terbang bersama. Sehabis sesi foto kenangan di depan belon panas yang dah kembali kuncup, kami dianugarahkan sijil. Tapi ia hanya bertulis nama. Bukan sijil penerbangan.

dijamu jus anggur

kami sudah. anda?
Selesai terkagum-kagum di Kapadokya, kami ke Ankara, ibu negara Turki. Perjalanan masih sejauh 400KM ke utara. Tapi baru dua jam berlepas, kami berhenti di Tuz Gölü, sebuah tasik air masin terbesar di tengah-tengah Turki. Saiznya besar sedikit dari keluasan negeri Melaka. Silalah bayangkan.

tasik air masin
Ini satu lagi objek ajaib yang tak ada di Malaysia. Beberapa penduduk sekitar, menjual sejatan air masin itu kepada pelanggan. Kata mereka, ia baik untuk kulit. Saya pun ikut lumurkan kristal garam itu di lengan saya yang dah makin mengelupas. Ternyata memang berhasil.

Sampai Ankara lebih kurang pukul 2 petang. Kami singgah makan dan solat zohor di Ankara Gari, iaitu sebuah stesen keretapi. Sebaik selesai, saya dan seorang rakan sempat beli beberapa buku roti simit dari seorang lelaki tua yang berniaga di warung tolak berdekatan. Memang sudah rezeki. Kami bukan sekadar dapat apa yang kami beli, malah semua sekali simit di situ disedekahkan tanpa perlu bayaran. Suka betul pakcik itu bila tahu kami dari Malaysia.

Makan dan solat di sini.
sebenarnya ia stesen keretapi
Semoga rezeki pakcik penjual simit itu bertambah dan dia dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Sayangnya simit pemberian dia tak sempat kami jamah kerana dilarang Attila.

semua dikaut Attila
Di Ankara, kami dijadualkan ke makam Mustafa Kamal. Sayangnya ditutup sementara kerana ada acara negara. Sebagai buah tangan, saya sempat beli buku berkaitan Ataturk sebagai kenangan. Isinya sungguh membuka mata. Di sebalik sikapnya yang sekular, ada sisi baik dari Ataturk yang patut diambil contoh.

Muzium Peradaban Anatolia
Lokasi kedua, kami ke Muzium Peradaban Anatolia (Anadolu Medeniyetleri Muzesi). Ini sepatutnya jadi lokasi wajib bagi saya sebab saya amat suka sejarah peradaban bangsa. Sayangnya kesuntukan masa, muzium ini hanya dapat saya teroka dalam masa yang singkat. Tapi dapat jugalah kenal sedikit tamadun Hittite, penduduk asal di tanah ini. Mungkin saya harus datang ke sini lagi - dan jelajah sendiri.

Meninggalkan Ankara, kami patut ke Bolu, tapi jadual diubah lagi. Bolu hanya dapat kami singgah sekadar minum petang sebelum sambung perjalanan ke Istanbul.

Istanbul penuh sesak. Malam ini, malam hari pekerja. Kata Attila, ramai orang habiskan cuti di Istanbul dan Eropah. Sesaknya Istanbul membuat perjalanan kami sering tergendala. Hotel Golden Way hanya dapat kami capai menjelang pukul 1 pagi, tiga jam saja sebelum subuh.

segar mata
Hari 7 
Rasa ngantuk hilang saat saya lihat Selat Bosphorus yang cantik dan sibuk. Pelayaran ambil masa dua jam. Pergerakan kapal hanya sepoi-sepoi bahasa. Jadi kedua-dua tebing Istanbul sebelah Eropah dan Asia dapat kami lihat dengan lebih dekat. Ternyata ini memang pengalaman yang sukar saya lupa. Tenyata nikmati Istanbul yang cantik, jauh lebih asyik dari dengar suara Attila yang tak pernah letih. Sesekali terimbau bayangan silam ketika selat ini jadi medan tempur ketika tentera Sultan Muhammad Al-Fatih membedil Constantinople.

Habis selusur Bosphorus, saya seharusnya ikut ke Beyazit Camii, sebelum ke Grand Bazaar ditengah bandar. Tapi saya terlebih leka layan kerenah sendiri sampai terpisah dari rombongan. "Apakah saya tersesat?" Soalan itu saya tanyakan berkali-kali dalam hati. Tapi naluri saya tetap jawab tidak. Saya percaya, saya hanya hilang jejak. Tak sedikit pun ada rasa cemas, apalagi saya mati akal atau buntu untuk fikirkan apa-apa. Malah ketika berjalan mundar-mandir cari rakan pun, saya sempat amati gelagat orang yang lalu-lalang. Ada lucu, ada pelik, ada kagum dan ramai juga yang poyo. Kadang-kadang saya rasa bebas bila bergerak di atas kaki sendiri.

di tengah bandar Istanbul
Sampai ke Hagia Sophia saya cari mereka, namun masih tak jumpa. Kemudian saya balik lagi ke titik akhir tempat kami berkumpul – juga tak ada. Ketika sedang berkira-kira akan balik sendiri ke hotel, saya temui Nazeen, wakil agensi pelancongan yang sedang tercungap-cungap cari saya. 

Terima kasih Nazreen kerana sanggup bersusah-payah. Kalau tak, tentu saya dapat pengalaman yang jauh lebih manis dari itu. 

Meski terlepas ke Beyazit Camii, saya masih sempat cari buah tangan di Grand Bazaar bersama rakan-rakan serombongan. Harga di bazar ini jauh lebih murah dari harga di Kappadokya yang cekik darah.

Hari 8
Ini hari terakhir kami. Istanbul akan kami tinggalkan. Dan segala keunikannya hanya akan jadi kenangan. Hari ini, kami tak lakukan apa-apa selain kemas barang dan bungkus apa yang patut. Tepat jam 12 tengahari, kami ke Landasan Udara Istanbul Ataturk sebelum sambung penerbangan 10 jam berikutnya ke Kuala Lumpur.


gambar kenangan
Terima kasih tak terhingga buat Attila dan pemandu bas kami (saya lupa namanya) kerana setia bersama kami. Juga buat pihak yang terlibat di Andalusia Travel & Tour atas pakej yang menarik ini walaupun masih ada ruang yang boleh diperbaiki. Tak lupa buat semua rakan-rakan serombongan - semoga ada masa nanti, kita ronda dunia sekali lagi.

- Tunggu catatan berikutnya tentang dapatan saya di Tukri - 

Istanbul - Aku Datang

PERHATIAN: Ini bukan sinopsis filem Melayu karya Michael Ang.


Pelancongan ziarah saya dan beberapa rakan lain ke Istanbul dan beberapa lokasi lain di Turki pada 25 April 2015 yang lalu, merupakan titik pertama saya di Eropah (Asia?). Penerbangan ditempuh 10 jam dari Kuala Lumpur dengan MAS atau Turkish Air. Atau 12 jam dengan Emirates Air yang transit di Dubai terlebih dulu. Masa tempuh yang panjang ini membuat punggung saya sakit sepanjang hari. Tapi kesakitan ini sudah terbayarkan. Tak satupun momen yang saya lalui di Turki ini, saya sesali. Meski pernah tersesat seorang diri lebih sejam di Istanbul, dan terlepas beberapa titik ziarah yang sudah dirangka, ia tetap beri hikmah yang lain buat saya. Lebih dari itu, saya dapat bayangkan bahawa Istanbul dan Turki amnya, akan berkembang dari titik pertama jadi titik-titik seterusnya ke seluruh benua Eropah. InsyaAllah.

Pintu Istana Topkapi
Hari 1
Muzium Topkapi jadi titik ziarah yang pertama kami di negara ini. Asalnya ia sebuah istana Khalifah Usmaniah yang sudah diubah fungsi. Sebagaimana biasa, pemandangan sepanjang perjalanan hanya ada tulip. Indahnya memukau mata. Kami diberitahu, tulip berasal dari kata Turk–lips. Kesahihnya belum pasti. Walluahualam.

Tulip di Istana Topkapi
Isi dalam Topkapi dipenuhi alat kebesaran Turki Usmaniah. Termasuklah kunci dan kelambu kaabah. Memang ketika zaman gemilang, Usmaniah menakluk hampir semua wilayah Arab termasuk Makkah. Satu perkara yang menarik di sini, alunan ayat-ayat suci Al-Quran dibacakan tanpa henti. Lunak suaranya seperti suara rakaman. Saya nyaris tertipu.

Istana ini dibina di kuala Sungai Tanduk Emas. Di depannya ialah selat Bhosphorus. Di selatan ialah Laut Marmara. Indahnya Istanbul, dapat saya lihat dari sini. Susah saya bayangkan dalam tulisan.

Masjid Biru tersergam indah
Tak lengkap ke Istanbul tanpa ke Masjid Biru. Dalam bahasa Turki, namanaya Sulten Ahmed Camii. Dari luar, Masjid Biru kelihatan sama seperti masjid-masjid lain. Tapi di dalamnya, warna biru marmar pada dinding dan kubah begitu menonjol. Satu info yang saya dapat, nama marmar yang kita pakai sebenarnya diambil dari nama Laut Marmara. Laut penghasil marmar terbesar. - kata Attila, pemandu pelancong kami. Sayangnya masjid ini hanya kami lihat dalam masa yang singkat. Kami harus ke destinasi kedua pada hari ini juga.

Di Sebelah Masjid Biru ada Hagia Sophia. Gereja agung zaman Roman yang dialih fungsi jadi masjid. Tapi ia kini hanya sebuah muzium.

Kami tamatkan sesi ziarah Istanbul, dengan sembahyang jamak Zuhur (dan Asar) di Masjid Eyup Sultan, salah satu masjid bersejarah di sini. Pertama kali, pandangan saya terhadap pegangan Islam Turki begitu positif. Sekurang-kurangnya di sini, lelaki, perempuan dan kanak-kanak datang memadatkan ruang solat dan mahu berjemaah bersama. Sesuatu yang jarang dilihat di Malaysia. Malah perempuan di sini juga lebih ramai yang berhijab. Sejuk mata memandang.

Makam para shuhada 
Masjid ini dibina selepas lima tahun Constantinople ditawan – sempena memperingati perjuangan Abu Ayub Al-Ansari, sahabat Nabi (Muhammad SAW) yang mangkat ketika Constantiople pertama kali diserang tentera Islam (Arab) pada tahun 670. Masjid ini turut digunakan setiap kali pemashyuran kalifah Usmaniah yang baru.

Destinasi kedua, kami ke Bursa. Sebuah tugu tertulis 'Selamat datang ke Asia' dalam bahasa Inggeris dan Turki menyambut kami ketika seberang jembatan masuk ke sebelah Asia. Istanbul sebelah sini lebih berisi perumahan dan gedung perniagaan modan. Beberapa tembok kuno zaman Roman masih utuh terlihat. Perjalanan tanpa henti hingga sampai di Eskihisar sebelum dibawa belayar ke seberang tebing Teluk Marmara dengan kapal RORO.

Feri RORO 
7.00 malam waktu Turki. Kami sampai Bursa dan dibawa ke Hotel Tiara di tengah bandar. Sebagaimana ertinya dalam bahasa Melayu, Tiara juga bermaksud mahkota dalam bahasa Turki. Ini ialah bandar ke empat besar di Turki selepas Istanbul, Ankara dan Izmir

Minum kopi Turki di Busra
Malam di bandar Bursa. Saya beranikan diri jalan sendiri ketika rakan rombongan buat hal masing-masing di bilik hotel. Orang Bursa tak kekok terima tamu. Cuma baru kali ini saya tahu ramai orang Turki tak fasih bahasa Inggeris, termasuklah generasi muda. Komunikasi saya terbatas. Tanya arah ke mana pun mereka tak tahu. Mujur bertemu pelancong Itali yang sudi terangkan situasi. Dari dia, baru saya tahu komunikasi dia di sini pakai bahasa Perancis. Perbualan saya dengan orang Itali ini berakhir di warung kopi Turki yang popular, tak jauh dari Masjid Murad, salah satu masjid bersejarah di Turki.

HARI 2
Waktu solat subuh masuk terlalu awal. Baru pukul 4 pagi, tapi azan dah berkumandang. Bermalas-malasan dan terus melingkar atas tilam yang hangat dalam cuaca yang sejuk, memang lebih selesa dari segalanya. Tapi saya harus bangun pagi dan buktikan satu hipotesis yang bermain dalam kepala. Buktikan apakah masjid di Turki betul-betul diimarahkan - termasuklah dinihari.

Masjid Murad dilihat dari dekat
Saya gagah menuju ke Masjid Murad sendiri. Tinggalkan rakan lain yang masih menyambung mimpi. Cuma saya sampai terlalu awal. Masjid Murad masih sangat sepi tanpa jemaah. Hanya ada lima jemaah bertafakur dan duduk diam tanpa bersuara sedikitpun. Saya hanya masuk, bersalaman dan setia tunggu hingga solat dimulai. Jemaah yang sedikit itu perhati saja gelagat lelaki asing wajah eksotik yang duduk sendirian di dekat mereka.

Jemaah semakin lama semakin ramai. Sekaligus hipotesis saya terbukti. Tapi solat subuh belum juga dimulai. Tak tahu selama mana lagi tok imam harus tunggu. 

Akhirnya solat dimulai juga ketika jarum jam dah hampir mencecah angka tujuh. Kalau ikut skala Malaysia, waktu begini dah terang tanah. Tapi di sini masih hitam. Masih belum nampak cahaya.

Masjid Raya / Grand Mosque
Di Bursa ini, lokasi ziarah kami masih sama. Lagi-lagi lihat masjid. Pertamanya ke Ulu Camii, atau Masjid Raya / Grand Mosque dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Ini ialah masjid terbesar di Bursa yang dibina oleh Sultan Bayezid I. Ia masjid pertama memakai senibina Turki. Saya tak nampak apa uniknya masjid ini kerana senibina masjid di Turki semuanya sama. Cuma satu, ruang dalam masjid terhias puluhan kaligrafi zaman Usmaniah. 

Lokasi kedua kami ke Yeşil Camii, atau Masjid Hijau dalam bahasa Melayu. Senibina masih sama. Hanya warnanya hijau kebiruan, hasil dari biasan warna kemasan marmar yang dipakai. Warna yang dulunya dipanggil Turkish Blue sebelum jadi Turqouise dalam bahasa Inggeris. Juga terdapat kompleks makam waris Sultan zaman Usmaniah.

Masjid Hijau
Di sebelah Masjid Hijau, ada kedai cenderamata yang jual kraftangan Turki. Saya tak ketinggalan beli beberapa buat teman di Malaysia. Kawan-kawan serombongan pun ikut membeli. Baru hari ini dapat berkenal-kenalan. Sekali lagi saya rasa sudah terlebih ramah.

Sehabis Bursa, kami ke Kusadasi. Sebuah bandar di pantai barat Turki. Setentang dengannya ialah Laut Aegean, yang penuh dengan ratusan pulau-pulau milik Greece. Kusadasi terletak 80 kilometer dari Izmir. Lokasi ini menyimpan khazanah kuno zaman Hittite dan Roman, antaranya Ephesus yang nampak dipinggir jalan.

di depan Palmin Hotel
Sebaik daftar masuk di Hotel Palmin, para rombongan ramai cuci mata. Inilah lokasi yang pada saya terasa sangat luar negara. Warna alamnya beza. Langitnya kelihatan lebih biru dan tanahnya lebih putih kelabu. Kusadasi ialah pintu menuju Athens, Greece. Ada khidmat feri tersedia untuk hubungkan masyarakat kedua-dua negara.

pantai para gadis??
Saya dan beberapa rakan sempat jemur badan di Lady Beach, atau mungkin Pantai Gadis kalau diterjemah ke Bahasa Melayu. Tapi Lady Beach ini taklah terlalu ladies. Lebih ramai mat saleh tua main pasir dari gadis-gadis seksi mandi pantai seperti yang saya bayangkan.

susunan rumah di Kusadasi
Menuju Lady Beach, kami lalui susunan rumah berkembar dan banglo yang cantik. Baru dapat lihat rumah seperti ini di Turki. Sebelum ini, saya hanya lihat apartmen di mana-mana. Corak sosial penduduk Kudasi pun nampak beza. Sesetengah warga menganut Kristian, terlihat pada simbul palang yang dipamer. Pakaian mereka lebih terdedah dan nampak lebih elegan, tapi bila kami tanya arah, komunikasi ayam dan itik masih terjadi. Mereka hanya tahu bahasa Turki.

HARI 3
Hari yang sangat saya tunggu. Kami ke Ephesus. Hayati bagaimana pahlawan silam Greek zaman Troy beradu kekuatan di panggung mega terbuka (Grand Theater). Kemudian bayangkan seperti apa rasanya jika kita sendiri ada di sana pada masa dan waktu yang sama. Serunya.

Grand Theater 
Ephesus diambil dari kata Apasa, dalam bahasa Hittite. Ini kota tinggalan banyak zaman. Ia dibuka 500 tahun sebelum masihi ketika Anatolia dibawah pengaruh Parsi. Ada banyak kuil lama peninggalan Hittite yang masih kekal. 

Ephesus kemudian dirampas Greek, sebelum jatuh ke tangan Alaxender The Great (Iskandar Zulkarnain?). Lalu ia ditakluk pula oleh Roman sebelum diserah ke Byzentine.  Begitulah sejarahnya.

Penting dalam sejarah Kristian (mungkin Islam?), Ephesus ialah titik akhir tempat Virgin Mary (Mariam?) habiskan hayatnya di sisi Saint John, salah seorang 'penyalin' kitab Bible (Injil?). Di lokasi yang sama ini didirikan Gereja Virgin Mary, salah satu dari 7 gereja agung seAsia. Agama Kristian awal tersebar pesat di sini selepas satu doktrin Kristian yang menyebut "Virgin Mary adalah Ibu Tuhan" dideklarasikan. Mohon umat Islam jangan percaya.

Tinggalan Ephesus
Ephesus dibawah Empayar Byzentine terus berkembang melalui pembinaan jalan, Istana dan lain-lain. Tapi susut mendadak selepas jatuh ke tangan Seljuk dan Usmaniah. Banyak cerita yang saya dapat di sini. Banyak monumen agung yang dapat saya kaji. Saya habiskan satu persatu semua yang ada di sini dalam tempoh yang amat lama ketika rakan lain lebih teruja rakamkan foto kenangan. 

Kini, Ephesus hanya sejarah. Penghuninya sekarang hanya kucing-kucing yang comel dan gemuk kerana sering disedekah makanan.  Saya sempat gambar kenangan dengan salah seekor kucing gemuk itu. Rasa seperti nak dibawa balik.

Setia Berkhidmat
Sehabis Ephesus, kami ke Butik Kulit Emelda untuk saksikan pertunjukan fesyen. Rupanya ini memang sudah termasuk dalam pakej yang sudah dirangka agen pelancongan di Turki – dalam agenda faraidkan duit kita. Melihat harga yang semuanya empat angka - dalam nilai dollar, saya cepat-cepat melangkah keluar.

Emelda Boutique
Habis dari butik kulit, kami ke Pamukkale. Perjalanan selama 2 jam lagi. Lokasi pertama, kami ke Hierapolis, satu monumen sejarah tinggalan Roman yang mirip Ephesus, tapi pada skala yang lebih kecil. Sebenarnya bukan ini objek yang ingin kami lihat, sebab ada objek yang lebih ajaib lagi dari ini. Apakah itu?

Saya bersama seorang rakan rombongan
Objek itu ialah Pamukkale itu sendiri. Satu formasi batuan bertingkat warna putih yang terhasil dari mineral tinggi kalsium. Pamukkale dalam bahasa Turki bererti telaga putih. Di setiap tingkat batu itu memang terkandung air seperti telaga. Sebuah keajaiban alam yang belum pernah saya lihat di mana-mana. Sungguh sangat ajaib. Ramai warga Eropah yang mandi, tapi saya hanya berani rendam kaki. Sejuk airnya mampu membekukan tulang.


formasi ajaib

matsaleh ni tahan sejuk

telaga putih
Malam ini, kami habiskan masa di Hotel Tripolis. Sebelah saja dari Telaga Putih itu. Sebuah hotel dua lantai yang berlatarkan hamparan hijau pemandangan ladang bunga sesame yang saujana mata memandang.