بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





JOHOR BAHRU SEDANG CUBA DIGADAIKAN

Saya seboleh mungkin tidak mahu menulis tentang ini, Ya lah..., bimbang mengundang perdebatan sesama rakan senegara dalam Multiply.  Tapi apakan daya, selagi tidak diluahkan, selagi itulah ia bersarang, berserabut dan akhirnya bernanah lalu merosakkan ketenangan hari-hari saya. Apa lagi, perkara ini menarik minat untuk diulas. Berkaitan kelangsungan ketuanan bumiputera di negeri tercinta: Johor.
Beberapa hari yang lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia membincangkan beberapa perkara tentang hubungan dua hala Malaysia-Singapura. Maka, Perdana Menteri Singapura pun dipanggil ke Langkawi atas tujuan tersebut. Maka tetamu dari Singapura itu pun dijamu makan durian pada hari yang 'bersejarah' itu. Kedua-dua mereka pun berbincang perkara-perkara yang pada pandangan PM Malaysia menguntungkan kedua-dua pihak. Betulkah?
Antara persetujuan penting kedua-dua pemimpin itu adalah jalinan kerjasama peringkat menteri antara Malaysia - Singapura untuk memantau kemajuan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Sukalah hati PM Singapura itu apabila tanpa diminta, tiba-tiba mendapat hak bersama memantau perkembangan di selatan Johor. Semuanya bagaikan "pucuk di cita, ulam mendatang". Bertambah-tambah sukalah hati PM Singapura itu apabila warganya dibenarkan bebas masuk Malaysia hanya menggunakan smart card (laksana mykad bagi warga Malaysia)
Saya pun terfikir :- Apa sebanarnya yang difikirkan PM Malaysia sehingga menganugerahkan kebebasan kepada Singapura sebebas itu tanpa meminta balasan serupa dari mereka. Kalau adapun, Saya pasti mereka tidak rela memberikannya. Seingat saya, tidak ada seorang pun pemimpin dalam dunia ini meminta pihak luar memantau kemajuan dalam negaranya. Cubalah fikirkan, pernahkah Singapura meminta Malaysia memantau perkembangan di Sembawang, Jurong, Tuas dan lain-lain tempat di kawasan mereka?. Adakah pernah Singapura membenarkan warga Malaysia memasuki negara itu hanya menggunakan Mykad?. Tindakan PM Malaysia ini mengundang seribu persoalan. 
Ambillah iktibar dari sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu satu masa dahulu.  Kerana kesilapan membenarkan campur tangan pihak luar, akhirnya wilayah Melayu porak-peranda. Pecahlah Empayar Melaka, Lepaslah Temasik kepada Stamford Raffles, Lepaslah Pulau Pinang kepada Francis Light. Musnahlah ikatan bangsa Melayu yang gah satu masa dahulu.
Fikirkanlah wahai YAB Perdana Menteri. Demi Negeriku, Negaraku dan Bangsaku.

SULTAN SARAWAK, SAMBAS & PONTIANAK – Satu Pertalian

Tidak ramai menyedari, Negeri Sarawak yang terletak di Malaysia Timur sebenarnya pernah memiliki sultan. Sultan yang pertama dan terakhir bagi negeri ini merupakan keturunan dari keluarga di-Raja Brunei.

Menurut ceritanya, Sultan Muhamad Hasan, (sultan Brunei ke-9) yang mangkat pada tahun 1598 telah mewariskan tahta kerajaannya kepada putera sulung baginda, Sultan Abdul Jalilul Akbar. Bagaimanapun, putera kedua, Pengiran Muda Tengah mendakwa beliau lebih layak menaiki tahta kerajaan kerana diputerakan semasa ayahndanya telah dinobatkan menjadi sultan berbanding kandanya yang dilahirkan sebelum sultan Brunei ke-9 itu ditabalkan.

Menyedari tuntutan itu, Sultan Abdul Jalilul Akbar membuat muslihat dengan merajakan adindanya, Pengiran Muda Tengah di sebuah negeri yang menjadi naungan Brunei. Pengiran Muda Tengah pun menjunjung titah. Semenjak itu, jadilah baginda sebagai sultan Sarawak yang pertama dengan gelaran Sultan Tengah dan bersemayam di Santubung, Bagindalah satu-satunya sultan di Sarawak.

Setelah lama berdiam di Sarawak, Sultan Tengah tertawan hati mengahwini Puteri Surya Kesuma iaitu adik sultan Sukadana (sebuah daerah di Jawa), Perkahwinan ini telah mengeratkan lagi hubungan BruneiSarawak – Sukadana. Perkongsian hidup mereka akhirnya dikurniakan seorang anak iaitu Radin Sulaiman. Radin Sulaiman kemudiannya dirajakan oleh sultan Brunei di Sambas (ketika itu, Sambas berada dibawah naungan Brunei). Radin Sulaiman memakai gelaran Sultan Muhammad Syaifuddin I.

Setelah beberapa lama menjadi sultan Sambas, Radin Sulaiman menitahkan Puteranya Radin Bima melawat saudara-mara di Sukadana. Di sana, Beliau dikahwinkan oleh sultan Sukadana ketika itu, Sultan Muhammad Zainuddin dengan adinda bongsunya Puteri Indera Kesuma. Dalam masa yang sama, Sultan Muhammad Zainuddin, mengahwinkan puterinya Ratu Agong Senuhon dengan kerabat di-raja Bugis Opu Daeng Menambun. Puteri baginda dikurniakan anak perempuan, Utin Chendra Midi

Dalam pada itu, Seorang pendakwah Arab yang datang berdakwah ke Matan (sebuah daerah di Kalimantan Barat) dikahwinkan oleh sultan Matan dengan puterinya Puteri Nyai Tua. Pasangan itu dikurniakan beberapa orang anak termasuklah Sultan Syarif Abdul Rahman yang berkahwin dengan Utin Chendra Midi.

Sultan Syarif Abdul Rahman bersama isteri serta pengikut akhirnya meninggalkan Matan menuju Mempawah, menuju Sungai Kapuas sehingga bermalam di satu tempat bernama Pulau Bawa Layang. Di kawasan itu, Baginda bersama pengikutnya diganggu mahluk halus yang dikenali masyarakat setempat sebagai pontianak (kuntilanak). Dengan keimanan dan ilmu yang tinggi akhirnya gangguan itu dapat dihindar. Dengan kejayaan itu, baginda percaya Pulau Bawa Layang bakal mahsyur dan terkenal sebagai kota perdagangan dan pelabuhan di Nusantara. Akhirnya Sultan Syarif Abdul Rahman dirajakan di situ dan menamakan tempat itu sebagai Pontianak hinggalah kekal nama itu hingga hari ini.

Sumber: Jabatan Pusat Sejarah, Negara Brunei Darussalam

Penipuan Terancang.....................

Pagi hari Jumaat, 4 Mei 2007. Saya menerima satu SMS berbunyi:- <PENGUMUMAN DARI PETRONAS MALAYSIA, No. Sim Card anda telah memenangi undian bertuah Cek Tunai bernilai RM10,000. Sila hubungi 006285880386856>Setelah bertanya pendapat beberapa orang rakan, saya mengambil keputusan tidak melayan SMS tersebut kerana percaya itu adalah satu penipuan. Bagaimanapun, selang beberapa minit kemudian, saya terima satu lagi SMS sama yang dihantar dari nombor yang sama. Saya percaya pengirim SMS tersebut datangnya dari Indonesia berdasarkan nombor yang tertera.
Menyedari saya telah diganggu, saya menghantar satu SMS balasan berbunyi:- Minta maaf. saya tidak kenal siapa kamu dan tidak percaya dengan apa yang kamu katakan. Kira-kira pukul 11.30 pagi, saya terima panggilan telefon dari nombor 006285880386856. Ketika itu, pemanggil tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai dari Petronas Malaysia memaklumkan SMS yang saya terima bukan satu penipuan. Katanya, hadiah wang tunai yang bakal saya terima akan dimasukkan ke dalam akaun Maybank. Serentak dengan itu, dia meminta Nama Penuh, No. Kad Pengenalan, No. Akaun Maybank dan bertanyakan jumlah simpanan saya dalam akaun tersebut.
Kerana tidak percaya dengan apa yang dia katakan, saya berkeras tidak mahu memberitahu semua perkara yang diminta. Bagaimanapun, dia meyakinkan saya bahawa No. Kad ATM Maybank milik saya telah pun dia ketahui. Serentak dengan itu, dia membacakan 8 digit pertama nombor tersebut. Menurutnya, dia memerlukan semua perkara yang diminta tadi untuk pengesahan supaya hadiah RM10,000 boleh dimasukkan ke dalam akaun saya secepat mungkin.
Saya yang tidak sempat berfikir panjang segera memberikan semua perkara yang diminta. Bagaimanapun, saya mula berasa cemas selepas itu lalu segera ke cawangan Maybank terdekat dan sempat mengeluarkan sebahagian besar wang simpanan saya sebagai langkah berjaga-jaga. Selepas pengeluaran itu, saya masih mempunyai simpanan sebanyak RM1,202
Kira-kira jam 2.30 petang, saya kembali ke cawangan Maybank yang sama. Setelah diperiksa, saya dapati baki simpanan saya bukan bertambah sebanyak RM10,000 seperti yang dijanjikan, sebaliknya hanya tinggal RM2.00 sahaja. Ketika itu saya sedar bahawa saya telah tertipu. Wang simpanan saya sebanyak RM1,200 telah dikeluarkan tanpa pengetahuan.
Satu laporan polis telah dibuat dan pihak polis memaklumkan, kes seperti ini sering berlaku dan mangsanya akan dipukau terlebih dahulu sehingga memberikan apa saja yang diminta. Menurut polis lagi, sindiket yang berpangkalan di Indonesia ini telah menyamar sebagai badan-badan dari Malaysia. Mereka juga bertutur dalam bahasa Malaysia untuk memperdayakan mangsanya.
Kepada kawan-kawan yang mungkin menerima SMS serupa, saya nasihatkan supaya abaikan sahaja. Jangan sesekali membalas atau menelefon kembali nombor yang tertera biarpun untuk memaklumkan yang anda tidak percaya dengan SMS yang dihantar kerana anda akan segera dipukau melalui cara itu.

MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA (MSAM) 2007

Start:     Apr 20, '07 12:00p
End:     Apr 30, '07
Permodalan Nasional Berhad (PNB) sekali lagi menganjurkan Minggu Saham Amanah Malaysia kali yang ke-7 yang akan berlangsung di Kuantan, Pahang. Dijemput rakan-rakan di Malaysia khasnya yang berada di Negeri Pahang beramai-ramai ke Padang MPK, Kuantan dan menangi hadiah menarik dari PNB.

Sebagai pekerja di bawah naungan Kumpulan PNB, Saya dan beberapa orang rakan sekerja akan turut berada di Kuantan menyertai MSAM kali ini mulai 17hb April hingga 1 May 2007. Harap Maklum.

WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR dan Masadepan Bumiputera

Setelah kecewa dengan pembatalan projek jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor, Kerajaan Pusat cuba lagi mengambil hati rakyat Johor dengan mencetuskan idea Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), sebuah pembangunan terancang di selatan Johor yang kononnya seperti Hong Kong dan berkeluasan 2 kali ganda keluasan Singapura. Melihat kepada idea dan konsep yang diketengahkan, saya percaya semua penduduk Johor, malah seluruh Malaysia berasa bangga dengan kewujudan sebuah metropolis baru yang mungkin sehebat Dubai. Saya juga sebagai anak Johor berasa kagum kerana negeri kelahiran saya bakal menjadi tumpuan seluruh warga Malaysia malah mungkin seluruh dunia. Selatan Johor sekurang-kurangnya menyaingi Kuala Lumpur kalau pun tidak lebih hebat dari itu. Berserta dengan model skala yang bersaiz besar yang dipamerkan sana-sini, tidak ada sebab mengapa WPI dibantah. Secara teori, pembangunan sehebat ini wajar diteruskan.

Malangnya, Idea kerajaan ini seolah-olah mahukan nama dan dikenang sebagai pencetus idea sebagaimana pemimpin-pemimpin kerajaan terdahulu yang berjaya membangunkan projek mega seperti Putrajaya dan Felda. Lalu WPI dicanang tanpa memikirkan perasaan generasi bumiputra yang mewarisi Tanah Melayu sejak zaman-berzaman. Apa yang penting bagi mereka, asalkan idea itu berjaya dan namanya sebaris dengan nama pemimpin-pemimpin terdahulu, apa jua cara sekalipun dihalalkan.

Sebagai anak Johor, saya ada hak merasa bimbang dan menjadi tanggungjawab untuk menyedarkan bumiputera Johor yang menyokong membuta-tuli terhadap perancangan itu. Mereka serta merta setuju biarpun baru melihat keindahan lanskap WPI yang dibayangkan dalam model skala yang diusung sana-sini dan diwar-war dengan gah dalam akhbar sahaja. Tanpa berfikir panjang, ramai yang terpesona biarpun beberapa pihak bertangungjawab terhadap WPI telah membayangkan pembangunan tersebut tidak mengambil kira kelebihan bumiputera sebagai penduduk asal.

Lebih menyedihkan, WPI dicadang akan menjadi Zon Bebas Akses (free access zone) di mana semua bangsa seluruh dunia boleh datang dan masuk ke kawasan itu dengan bebas tanpa passport. Bukan sekadar itu, mereka juga boleh bebas memiliki hartanah dalam kawasan ini gara-gara syarat pemilikan hartanah oleh warga asing (FIC) tidak akan lagi digunapakai. Paling mendukacitakan, penduduk bumiputera dilayan samarata sebagaimana golongan pendatang termasuk dalam hal-hal pemilikan harta dan perniagaan.

Mungkin kerajaan lupa, sebahagian besar kawasan yang akan dibangunkan itu asalnya merupakan tanah milik bumiputera. Mungkin juga mereka lupa, beratus tahun dahulu orang-orang Melayu, Orang Laut dan Seletar bertungkus lumus melawan penjajah demi melepaskan tanah itu daripada jatuh ke tangan bangsa asing. Akhirnya kini senang-senang digadaikan.

Pun begitu, kerajaan masih lagi mampu menasihatkan bumiputera Johor agar tidak gentar dalam gelanggang biarpun sebenarnya mereka sendiri sedia maklum bahawa padang permainan tidak sama rata. Di saat kaum lain sudah ke depan dengan perniagaan yang berdaya maju dan mempunyai rangkaian di banyak negara, bumiputera Johor masih lagi di ceruk kampung menoreh getah dan sebahagian lagi tinggal di pinggir bandar menjadi operator kilang. Kalau ada pun yang berjaya, mereka hanya sebahagian kecil dan mungkin ada di kalangan mereka terlibat sebelah kaki dalam politik.