بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Bahasa Melayu Jadi Bahasa Malaysia

Bahasa Melayu sekali lagi akan dikenali sebagai bahasa Malaysia sebagaimana terma yang pernah digunakan sejak merdeka hinggalah tahun 1986. Kabinet memutuskan langkah itu berkuatkuasa serta-merta dalam semua majlis rasmi, sekolah, universiti, dan media kerajaan.

Selepas 1986, Bahasa Malaysia ditukar namanya menjadi Bahasa Melayu oleh Menteri Pendidikan ketika itu kononnya untuk memelihara keaslian Bahasa Melayu. Keputusan itu mungkin merujuk kepada bahasa-bahasa lain di dunia yang tidak berubah nama walaupun dituturkan di luar 'habitatnya'. Contohnya, Amerika tidak menggelar bahasa nasional mereka sebagai bahasa Amerika sebaliknya tetap mengekalkan nama asal bahasa Inggeris. Begitu juga dengan bahasa Sepanyol, Perancis dan bahasa Belanda walaupun turut dituturkan di pelbagai negara yang berada di luar kawasan asalnya. 

Secara peribadi, saya menyambut baik langkah ini memandangkan situasi di Malaysia tidak sama dengan situasi di negara-negara lain. Situasi Malaysia yang masih mengekalkan pendidikan mengikut kaum tertentu menyebabkan kaum bukan Melayu menggangap belajar bahasa Melayu bererti mereka belajar bahasa orang Melayu sedangkan Bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan yang harus dipelajari oleh setiap orang pelbagai keturunan. 

Selamat Pengantin Baru - Mior & Faradiana




Ini sebahagian gambar kenangan semasa persandingan dua orang sahabat saya, Mior Muhammad Yazid dan isterinya Faradiana. Kedua-dua mereka merupakan rakan sejurusan saya semasa menuntut di Universiti Malaya dulu. Majlis persandingan ini diserikan dangan tarian dan lagu-lagu tradisional Minang yang diadakan di rumah pengantin lelaki di Setapak, Kuala Lumpur. Agak menarik dan lain dari yang lain. Saya tertanya-tanya mengapa irama Minang menjadi pilihan. Mungkin pengantin lelaki adalah cucu-cicit keturunan Pagaruyung yang banyak tersebar di bahagian tengah Semenanjung. Apapun, tahniah buat pasangan pengantin. Selamat pengantin baru

KENALI PRIBUMI SEMENANJUNG MALAYSIA

Sesetengah orang mungkin beranggapan, orang Melayu adalah satu-satunya pribumi yang terdapat di Semenanjung Malaysia (Semenanjung). Pandangan ini mungkin berdasarkan faktor umum: Semenanjung sinonim dengan Melayu. Sebagaimana pulau-pulau berhampiran yang memiliki kepelbagaian etnik pribumi, Semenanjung juga sebenarnya memiliki keistimewaan itu. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan Semenanjung sebenarnya jauh lebih istimewa.

Ramai sedia maklum, pulau-pulau Sumatera, Borneo, Jawa dan lain-lain pulau di sekitar Nusantara memiliki kepelbagaian etnik yang masing-masing punya bahasa dan budaya tersendiri. Bagaimanapun, budaya dan bahasa yang dituturkan oleh etnik-etnik tersebut sebenarnya berkerabat antara satu sama lain. Dalam bahasa mudah, etnik-etnik itu sebenarnya mengamalkan budaya dan bertutur dalam dialek-dialek bahasa Melayu.

Berbeza dengan pribumi di Semenanjung, Sungguhpun kawasan ini memiliki kepelbagaian etnik yang terhad, namun etnik-etnik itu terpecah kepada dua budaya dan bahasa yang berbeza. Memang secara geografi, Semenanjung terletak di kawasan Nusantara (Malay Archipelago), namun ia turut dihuni oleh etnik-etnik pribumi yang lazimnya ditemui di Indochina (dari segi bahasa pertuturan). Dibawah ini saya senaraikan etnik-etnik pribumi yang terdapat di Semenanjung:-

Melayu
Etnik Melayu merupakan kumpulan etnik pribumi yang terbesar. Ia merangkumi 60% dari populasi nasional. Bagaimanapun jumlah sebenarnya mungkin tidak sebesar itu sekiranya pemerintah Malaysia menggunakan klasifikasi Melayu yang sebenar. Di Malaysia, Melayu ditafsirkan sebagai orang yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat dan budaya Melayu. Bahasa Melayu merupakan cabang dari keluarga bahasa Melayu-Polinesia.

Melayu Asli (Melayu Proto)
Kumpulan etnik ini merupakan gabungan daripada beberapa sub-etnik (suku) Melayu Tua. Penempatan mereka dapat ditemui dengan banyak di kawasan selatan Semenanjung Malaysia. Bahasa dan budaya mereka sedikit berbeza dengan bahasa dan budaya Melayu. Secara am, mereka mengamalkan fahaman animisme. Bagaimanapun ketika ini ramai yang sudah memeluk Islam. Etnik ini terdiri daripada suku-suku seperti Temuan, Seletar, Jakun, Kanaq dan Orang Laut. Bahasa pertuturan mereka merupakan cabang dari bahasa Melayu-Polinesia.

Senoi
Kumpulan etnik ini mendiami kawasan pergunungan di tengah Semenanjung Malaysia. Mereka terdiri daripada beberapa suku seperti Temiar, Semai, Semoq Beri, Mehmeri, Che Wong, dan Jahut. Ciri-ciri fizikal mereka hampir sama dengan wajah penduduk Melayu namun bahasa pertuturan mereka jauh berbeza. Kaum Senoi bertutur dalam kumpulan bahasa Central Aslian iaitu satu cabang dari kumpulan bahasa Mon-Khmer, satu kumpulan bahasa yang lazimnya dituturkan di Kemboja dan Vietnam. Bagaimanapun ketika ini, banyak kata pinjaman  yang berasal dari bahasa Melayu digunakan. Biarpun secara statistik, kaum Senoi dikatakan hanya mendiami Semenanjung Malaysia sahaja, namun sesetengah sarjana barat berpendapat kaum ini mungkin juga dapat ditemui di bahagian utara pantai barat Sumatera.  Kesahihannya mungkin perlu dibuktikan.


Semang (Negrito)
Kaum Semang memiliki ciri-ciri fizikal yang jauh berbeza dengan pribumi Semenanjung yang lain. Ciri-ciri utama mereka ialah berkulit yang gelap dan berambut kerinting. Kerana ciri-ciri ini, kaum ini dikelaskan sebagai suku Negrito. Ada pendapat mengatakan, suku ini berkerabat dengan suku-suku yang terdapat di Papua dan kepulauan pasifik. Di kawasan Asia Tenggara, orang Negrito dapat ditemui di Malaysia, Thailand, Myanmar dan Filipina. Orang Negrito di Filipina bertutur dalam cabang bahasa Melayu-Polinesia. Manakala suku Negrito di Malaysia, Thailand dan Myanmar bertutur dalam cabang bahasa Northern Aslian, satu cabang bahasa dalam kumpulan bahasa Mon-Khmer. Negrito Semenanjung terpecah kepada beebrapa suku iaitu Kensui, Kintaq, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Mereka mendiami bahagian utara semenanjung Malaysia.

JOHOR BAHRU SEDANG CUBA DIGADAIKAN

Saya seboleh mungkin tidak mahu menulis tentang ini, Ya lah..., bimbang mengundang perdebatan sesama rakan senegara dalam Multiply.  Tapi apakan daya, selagi tidak diluahkan, selagi itulah ia bersarang, berserabut dan akhirnya bernanah lalu merosakkan ketenangan hari-hari saya. Apa lagi, perkara ini menarik minat untuk diulas. Berkaitan kelangsungan ketuanan bumiputera di negeri tercinta: Johor.
Beberapa hari yang lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia membincangkan beberapa perkara tentang hubungan dua hala Malaysia-Singapura. Maka, Perdana Menteri Singapura pun dipanggil ke Langkawi atas tujuan tersebut. Maka tetamu dari Singapura itu pun dijamu makan durian pada hari yang 'bersejarah' itu. Kedua-dua mereka pun berbincang perkara-perkara yang pada pandangan PM Malaysia menguntungkan kedua-dua pihak. Betulkah?
Antara persetujuan penting kedua-dua pemimpin itu adalah jalinan kerjasama peringkat menteri antara Malaysia - Singapura untuk memantau kemajuan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Sukalah hati PM Singapura itu apabila tanpa diminta, tiba-tiba mendapat hak bersama memantau perkembangan di selatan Johor. Semuanya bagaikan "pucuk di cita, ulam mendatang". Bertambah-tambah sukalah hati PM Singapura itu apabila warganya dibenarkan bebas masuk Malaysia hanya menggunakan smart card (laksana mykad bagi warga Malaysia)
Saya pun terfikir :- Apa sebanarnya yang difikirkan PM Malaysia sehingga menganugerahkan kebebasan kepada Singapura sebebas itu tanpa meminta balasan serupa dari mereka. Kalau adapun, Saya pasti mereka tidak rela memberikannya. Seingat saya, tidak ada seorang pun pemimpin dalam dunia ini meminta pihak luar memantau kemajuan dalam negaranya. Cubalah fikirkan, pernahkah Singapura meminta Malaysia memantau perkembangan di Sembawang, Jurong, Tuas dan lain-lain tempat di kawasan mereka?. Adakah pernah Singapura membenarkan warga Malaysia memasuki negara itu hanya menggunakan Mykad?. Tindakan PM Malaysia ini mengundang seribu persoalan. 
Ambillah iktibar dari sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu satu masa dahulu.  Kerana kesilapan membenarkan campur tangan pihak luar, akhirnya wilayah Melayu porak-peranda. Pecahlah Empayar Melaka, Lepaslah Temasik kepada Stamford Raffles, Lepaslah Pulau Pinang kepada Francis Light. Musnahlah ikatan bangsa Melayu yang gah satu masa dahulu.
Fikirkanlah wahai YAB Perdana Menteri. Demi Negeriku, Negaraku dan Bangsaku.

SULTAN SARAWAK, SAMBAS & PONTIANAK – Satu Pertalian

Tidak ramai menyedari, Negeri Sarawak yang terletak di Malaysia Timur sebenarnya pernah memiliki sultan. Sultan yang pertama dan terakhir bagi negeri ini merupakan keturunan dari keluarga di-Raja Brunei.

Menurut ceritanya, Sultan Muhamad Hasan, (sultan Brunei ke-9) yang mangkat pada tahun 1598 telah mewariskan tahta kerajaannya kepada putera sulung baginda, Sultan Abdul Jalilul Akbar. Bagaimanapun, putera kedua, Pengiran Muda Tengah mendakwa beliau lebih layak menaiki tahta kerajaan kerana diputerakan semasa ayahndanya telah dinobatkan menjadi sultan berbanding kandanya yang dilahirkan sebelum sultan Brunei ke-9 itu ditabalkan.

Menyedari tuntutan itu, Sultan Abdul Jalilul Akbar membuat muslihat dengan merajakan adindanya, Pengiran Muda Tengah di sebuah negeri yang menjadi naungan Brunei. Pengiran Muda Tengah pun menjunjung titah. Semenjak itu, jadilah baginda sebagai sultan Sarawak yang pertama dengan gelaran Sultan Tengah dan bersemayam di Santubung, Bagindalah satu-satunya sultan di Sarawak.

Setelah lama berdiam di Sarawak, Sultan Tengah tertawan hati mengahwini Puteri Surya Kesuma iaitu adik sultan Sukadana (sebuah daerah di Jawa), Perkahwinan ini telah mengeratkan lagi hubungan BruneiSarawak – Sukadana. Perkongsian hidup mereka akhirnya dikurniakan seorang anak iaitu Radin Sulaiman. Radin Sulaiman kemudiannya dirajakan oleh sultan Brunei di Sambas (ketika itu, Sambas berada dibawah naungan Brunei). Radin Sulaiman memakai gelaran Sultan Muhammad Syaifuddin I.

Setelah beberapa lama menjadi sultan Sambas, Radin Sulaiman menitahkan Puteranya Radin Bima melawat saudara-mara di Sukadana. Di sana, Beliau dikahwinkan oleh sultan Sukadana ketika itu, Sultan Muhammad Zainuddin dengan adinda bongsunya Puteri Indera Kesuma. Dalam masa yang sama, Sultan Muhammad Zainuddin, mengahwinkan puterinya Ratu Agong Senuhon dengan kerabat di-raja Bugis Opu Daeng Menambun. Puteri baginda dikurniakan anak perempuan, Utin Chendra Midi

Dalam pada itu, Seorang pendakwah Arab yang datang berdakwah ke Matan (sebuah daerah di Kalimantan Barat) dikahwinkan oleh sultan Matan dengan puterinya Puteri Nyai Tua. Pasangan itu dikurniakan beberapa orang anak termasuklah Sultan Syarif Abdul Rahman yang berkahwin dengan Utin Chendra Midi.

Sultan Syarif Abdul Rahman bersama isteri serta pengikut akhirnya meninggalkan Matan menuju Mempawah, menuju Sungai Kapuas sehingga bermalam di satu tempat bernama Pulau Bawa Layang. Di kawasan itu, Baginda bersama pengikutnya diganggu mahluk halus yang dikenali masyarakat setempat sebagai pontianak (kuntilanak). Dengan keimanan dan ilmu yang tinggi akhirnya gangguan itu dapat dihindar. Dengan kejayaan itu, baginda percaya Pulau Bawa Layang bakal mahsyur dan terkenal sebagai kota perdagangan dan pelabuhan di Nusantara. Akhirnya Sultan Syarif Abdul Rahman dirajakan di situ dan menamakan tempat itu sebagai Pontianak hinggalah kekal nama itu hingga hari ini.

Sumber: Jabatan Pusat Sejarah, Negara Brunei Darussalam