بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Catatan 3 - Islam dan Peninggalan Sejarah Manila

INTRAMUROS mungkin tugu peninggalan Sepanyol paling nostalgia di Filipina. Tak lengkap kalau bercerita tentang sejarah negara ini tanpa lihat bukti nyata yang masih wujud hingga hari ini. Usianya muda sedikit dari kota A-Famosa di Melaka, namun fungsi dan ciri binaannya sama - kota pentadbiran penjajah di tanah yang mereka jarah. Intramuros berdiri di tebing paling tinggi di muara Sungai Pasig, sungai yang jadi nadi pembangunan Manila sejak awalnya dari sebuah kampung hingga sekarang merupakan sebuah metropolis seperti yang kita lihat pada hari ini. Lokasi bersejarah Intramuros terletak dalam jarak 1 jam berjalan kaki dari hotel penginapan saya. 

Beza Intramuros dibanding A-Famosa ialah bentengnya masih kekal di kiri, kanan dan belakang. Hanya dalaman sudah musnah berganti bangunan baru yang diisi ruang niaga, pejabat, dan kolej pengajian. Sebaik melangkah masuk, tak terasa saya sudah berada di dalam kepungan tembok setinggi 15 kaki. Apalagi bila lihat kegiatan harian menusia di dalamnya yang sama seperti di mana-mana. Bau pesing najis dan kencing manusia terhidu hingga menusuk hidung dari sudut-sudut belakang, sama persis seperti di banyak lokasi lain sepelosok Manila. Mungkin kerana keadaannya begini, kesan syahdu ketika mengenang jasa perwira Filipina melawan panjajah Sepanyol, tak terasa sampai ke hati. Atau mungkin memang negara ini tak anggap Sepanyol itu penjajah, sebaliknya 'juru penyelamat' kerana mengkristiankan hampir seluruh warganya, maka Intromuros dihias supaya jauh dari kesan itu. Gereja tua peninggalan Sepanyol yang 'diimarahkan' dengan baik oleh penganut Kristiasn di ruang dalam Intramuros, mungkin membuktikan dakwaan saya.



Ruang dalam Intramuros masih utuh
Di tengah metropolis Manila
Gereja di dalam Intramuros
Tak jauh dari Intramuros, ada sebuah lagi bangunan tua peninggalan sang 'juru-penyelamat' negara ini yang dipanggil Fort Santiago. Ia sebetulnya penjara yang dibangun di atas tapak Istana Raja Sulayman III, iaitu sultan terakhir kesultanan Islam Manila sebelum dijatuhkan Sepanyol. Saya tak lihat ada usaha dari kerajaan Filipina untuk kenang kegemilangan Raja Sulayman itu. Tak ada penerangan apapun mengenainya tertulis di papan kenyataan melainkan nama tokoh-tokoh Sepanyol dan tokoh kristian tempatan yang memberontak. Sedih bukan? Saya sendiri baru tahu hal ini dari Ahmad Sampang, rakan blogger Islam Filipina yang baru saya kenal. Nama sebenar Raja Sulayman ialah Sultan Sulaiman Bolkiah. Seperti ada bau-bacang dengan Brunei bukan?

Nadi Pembangunan Manila - Sungai Pasig (Pasig Ilog) 
Tapak Kesultanan Islam Manila
Kini jadi Fort Santiago
Dari Intramuros, saya ke Quiapo, sebuah lokasi petempatan masyarakat muslim terbesar di Manila. Perjalanan dengan bas ke Quiapo membelah Sungai Pasig yang saya lihat tadi. Tambang ke sana hanya 10 piso sehala.

Pupunta mo sa simbahan?
Ada pasar ditempatkan 'berlambak-lambak' di sini. Begitu meriah dan bisingnya pasar ini. Tambah bising lagi oleh suara 'khutbah Ahad' dari gereja terdekat. Baru saya sedar, 'khutbah' dari gereja sekitar Manila disiarkan langsung ke 'kariah' tempatan menerusi skrin gergasi yang dipasang di sudut-sudut strategik. Berpusu-pusu orang berdatangan, baik yang ingin berbelanja mahupun yang ingin melangok kusyuk di dekat skrin gergasi. "Pupunta mo sa simbahan?". (Awak pergi ke gereja?) Seorang wanita tua dengan yakinnya bertanya. "Hindi" jawab saya separa yakin. Itu saja perkataan yang saya ingat benar dalam pemahaman bahasa Tagalog saya yang amat lemah. "saya ini orang Islam, Makcik", ingin saja saya balas pertanyaan perempuan tua itu dalam bahasa Melayu. Perempuan tua itu sebenarnya tanyakan saya kalau-kalau mahu ke gereja. Dia mahu dipimpin untuk ke sana.

sebahagian pasar lambak di Quiapo
Para jemaah jalanan yang mendengar 'khutbah' melalui skrin dari gereja, hanya memaku diri di mana-mana, waima ketika sedang berbelanja - kemudian ikut menyanyi bila rahib mula menyanyi. Penduduk Islam yang jadi majoriti di sini relakan saja ibadah Kristian berlangsung di situ tanpa terkesan apa-apa. Satu toleransi agama yang baik dapat saya lihat. Kalau di Malaysia, bunyi azan saja sudah dituduh bising oleh penganut bukan Islam.  

Selamat Datang - Muslim Town
Peniaga Muslim
berjalan-kaki di celah-celah ribuan pengunjung pasar dan jemaah jalanan, membawa saya ke Masjid Emas, atau Moskeng Ginto dalam bahasa setempat. Dinding dan kubah masjid ini berwarna kuning emas dan tiang hijau. Letaknya dalam kawasan yang sempit dan kumuh. Berhimpit-himpitan antara rumah dengan rumah. Sekumpulan anak-anak kecil usia sekolah rendah yang berkaki ayam, main-main dalam masjid dan mengotorkan lantai. Ruang belakang telah becak kerana rumah-rumah jiran yang berkongsi satu lantai yang sama sudah mentransformasikan ia jadi pelantar cuci pinggan. Nampaknya masjid ini sudah terlebih diimarahkan melangkaui urusan agama.  

Moskeng Ginto aka Masjid Emas
Senibinanya
Kebetulan sudah masuk waktu Zohor. Alhamdulillah saya sempat berjemaah bersama penduduk. Sekali lagi, beberapa penduduk Muslim di sini boleh bertutur 'bahasa Malayu' slang Sabah. "Sebahagian besar kami keturunan Marawi, dari pulau besar Mindanao" Kata seorang jemaah yang saya temui. Kini penduduk muslim sudah menetap kekal di Quiapo, Manila. Tapi bahasa sehari-hari tetap bahasa Maranao, bukan bahasa Tagalog atau Tausug. Sekali lagi saya tak mengerti apa-apa kerana di telinga saya ketiga-tiga bahasa ini kedengaran sama. 

AirAsia Indonesia terhempas?
Selesai sembahyang zohor, saya sempat singgah makan tengahari di warong terdekat. Lagi-lagi menunya tak jauh beza dengan masakan Melayu. Sedang leka makan, terdengar berita bahasa Inggeris di TV tempatan tentang pesawat AirAsia Indonesia yang hilang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura. Allahuakbar! Mengucap panjang saya, tiba-tiba jadi takut. Tiba-tiba saya bimbangkan perjalanan saya yang masih panjang dan harus naiki dua lagi pesawat, satu bot dan bas. Semoga Allah selamatkan perjalanan. Amin.

Dari Quiapo, saya teruskan perjalanan ke Quezon City. Menunaikan janji saya pada Ahmad Sampang untuk temui dia di kampus utama Unibersidad Ng Pilipinas (UP) di sana. Alhamdulillah perjalanan seorang diri ke suatu lagi tempat yang tak pernah saya kenal berjalan lancar. "Dari Quiapo ada bas langsung yang masuk ke dalam kampus UP dan betul-betul henti di depan perpustakaan" begitu pesan Ahmad Sampang. Kampus UP, tak banyak beza dengan mana-mana kampus universiti di Malaysia, cuma mungkin penyelenggaraan dan kebersihan universiti di Malaysia jauh lebih baik.


dalam kampus Universiti Filipina
pelajar dan aktivitinya
UP = Unibersidad Ng Pilipinas

Terbaik di Filipina
Intramuros, Quiapo dan Unibersidad Ng Pilipinas melengkapkan kunjungan saya ke Manila buat pertama kali. Meski singkat kerana keterbatasan yang tak dapat saya elak, tetap mampu buat saya bangga. Sekali lagi saya berani cabar diri dalam situasi yang amat mencabar. Manila jadi titik pertama negara Filipina yang saya jejak. InsyaAllah semoga ada kesempatan lain untuk benar-benar menjelajah - mengenal cara hidup dan budaya masyarakatnya. InsyaAllah  

Catatan 2 - Makati Manila - Sebuah Tamadun Baru

Susah nak faham sebutan bahasa Inggeris orang Filipina. Puas saya sebut cafe, mereka tetap fikirkan cofee. "HARD ROCK CAFE" kata saya, "Starbuck Cofee" sangka dia. Akirnya saya taip perkataan H.a.r.d  R.o.c.k  C.a.f.e dalam bimbit, baru dia faham. Sebetun cafe mengikut lidah mereka jadi caRfe. 

Saya sebenarnya dalam rangka cari cenderamata di kedai itu. Buat hadiah untuk rakan sepejabat. Saya naik teksi saja kerana belum yakin meredah dalam keadaan 'buta'. Teksi ditempah langsung bawa saya ke lokasi yang diminta. Hari ini, saya jelajah Makati.

Makati - sisi lain dari Metro Manila
Makati terletak di jantung bandar Manila. Jaraknya kira-kira 30 minit naik teksi dari Ermita. Ikut jadual asal, saya patutnya sudah tiba di Tagaytay. Tapi tahap kesihatan memaksa. Ada hikmahnya juga berkeadaan begini, sekurang-kurangnya saya dapat lihat sisi lain dari Metro Manila yang baru saya kenal. Semoga ada hari yang lain ke lokasi yang saya ingini.

Bersih dan Tertib
Masuk kawasan Makati seperti melangkah ke negara asing. Suasana berubah total. Baru tadi melepasi tamadun masa lalu, kini saya masuk ke tamadun masa depan yang baru lagi moden. Makati dipadati bangunan tinggi mencakar langit. Semuanya terkesan eligen. Tak ada kedai kumuh, sampah dan bau hancing seperti di Ermita. Supir teksi yang bawa saya tadi ada bilang, tarif hotel di sini mencecah 10000 piso semalam. Penghuninya orang asing semua.

di pusat Makati City
Makati memang dirancang jadi daerah perniagaan utama di ibu negara Filipina. Hebatnya Makati tenggelamkan kejiranan lain yang lebih dulu tumbuh. Makati ialah kawasan baru dalam provinsi khusus Metro Manila - kependekan dari Metropolis Manila. Bayangkan saja betapa luasnya bandar Manila ini. Metro Manila sebuah rangkuman kota-kota kecil termasuk bandar lama Ermita, Pasay, Quaipo dan lain-lain. Saya cuba bandingkan Kuala Lumpur (KL) dengan bandar ini. Tapi jawapannya sudah saya tahu, Kuala Lumpur hanya sebiji dari setangkai rambutan. Sebaran bisnes bandar Manila terlalu jauh. Mungkin sebaran bisnes di KL akan jadi seperti Metro Manila bila perkembangannya tak nampak sempadan sampai Putrajaya. Mungkin Metro Manila boleh disamakan seperti Lembah Klang di Malaysia atau Jabodetabek di Indonesia.

barisan jeepney menunggu penumpang
Dari satu mall ke satu mall, dari satu jeepney ke satu jeepney, saya terfikir pula Mall of Asia (MOA), sebuah mall yang didakwa terbesar di Asia Tenggara dan ketiga besar di dunia. Dari google, baru saya tahu MOA ada di Pasay. Tapi di mana Pasay?. "Yu go 'mrt'. Stop Taff Avanue stesen" begitu menurut warga lokal Manila yang saya temui. Rupanya masih ada sebahagian orang Filipina yang tak fasih bahasa Inggeris.. Berlawanan dengan sangkaan saya selama ini.

luar stesen MRT Ayala
MRT yang saya sangka sama seperti MRT di Bangkok atau Singapura, rupanya hanya keretapi komuter. Malah jauh lebih usang dari KTM Komuter di Malaysia. MRT Manila hanya akronim dari kepanjangan Metro Rail Transit, bukan Mass Rapid Transit seperti yang sudah dikenal orang. Lega sikit, sekurang-kurangnya ada sisi kalah pada metropolis Manila ini berbanding KL.

Saya naik MRT dari Stesen Ayala, tak jauh dari SM Makati Mall, setentang dengan Hard Rock Cafe. 
Melangkah masuk ke stesen MRT, setiap penumpang kena tahan untuk pemeriksaan badan dan barang. Kalut juga pada mulanya. Sebaik turun di Taff Avanue, saya masih tak lihat Mall of Asia. Rupanya mall itu masih setengah jam jalan kaki dari sini. Kalau malas berjalan, boleh naik jeepney dengan tambang 7.50 piso. Jepneey memang ada di mana-mana.
  
Ruang dalam Stesen Ayala
sistem tiket masih pakai kad
'MRT' mereka sebetulnya hanya keretapi komuter
Mall off Asia gah berdiri di pesisir Teluk Manila. Kelebihan ini diguna sebaik mungkin untuk tarik pengunjung. Eleman pelancongan laut dan belanja dipadu jadi satu. Di luar bangunan MOA ada legaran siarkaki yang panjang, lengkap dengan alat permainan luar ala fun-fair. Tapi saya tak tertarik pada semua itu. Saya mau bersiar sepanjang pesisir tebing sambil hirup udara laut. 

Saya terpandang iklan Pakej 2jam keliling Teluk Manila yang menggiurkan, lalu beranikan diri naik seorang diri. Penumpang lain terdiri orang bercinta yang datang bawa pasangan masing-masing. Apapun, Manila memang lebih cantik dipandang dari laut.
  
Mall terbesar seAsia Tenggara
'Melancong' tak sampai separuh bandar Manila dah habis separuh hari. Manila sudah senja, sebentar lagi masuk maghrib, padahal jarum jam baru pukul 5 petang. Saya tak punya banyak waktu selain harus kembali ke hotel. Sebakul ubat yang tertinggal di hotel perlu dihabiskan. 

Cari jalan pulang ke Ermita masih satu cabaran yang harus saya tempuh. Apalagi ketika bimbit sudah habis bateri.

ruang legar Mall of Asia
Manila lebih cantik dilihat dari laut
Mall of Asia menghadap Teluk Manila
Rizal Memorial Park satu-satunya lokasi yang mudah dikenal orang ketika saya tanyakan arah untuk pulang ke Ermita. Dalam payah berkomunikasi, mujur masih ada orang baik yang sudi tunjukkan arah. Saya ke Stesen LRT EDSA yang bersambung dalam jarak 50 meter dari stesen MRT Taff Avanue tadi. "Untuk ke Rizal Park, anda harus turun di United Nation" begitu menurut info dari penjual tiket. Tambang ke sana 15 piso.

LRT Manila lebih moden dari 'MRT'
Tidak seperti MRT yang sebenarnya bukan MRT, LRT Manila memang betul-betul LRT mengikut ertinya yang sebenar - Light Rapid Transit. Inilah angkutan berasas tren yang paling canggih di bandar Manila. Stesennya lebih baru dan gerabak yang lebih bersih. Turun di Stesen United Nation, penumpang hanya jalan kaki untuk sampai ke Rizal Memorial Park. Satu jam lagi sampailah saya ke Hotel San Dego.

Rizal Memorial Park sudah dekat dengan Hotel San Dego
(Bersambung)

Catatan 1 - Maligayang Pagdating Sa Manila


Perjalanan ke Manila, Kota Kinabalu dan Brunei ialah perjalanan paling risiko dalam sejarah petualangan saya. Lokasinya tidaklah mencabar, tapi kesihatan saya yang sebenarnya bermasalah. Baru semalam keluar wad, hari ini saya terbang. Tawakal saja lakukan perjalanan yang sudah lama saya rangka. Padahal bekas bedah pada tubuh saya masih mentah dan merah. Malah saya masih rasa ngilu bila banyak berjalan. Nasihat saya kepada rakan pengembara, jangan tiru perbuatan gila saya ini.

Hujan di KLIA2 bagaikan petanda bahawa Yang Maha Kuasa tidak izinkan saya pergi. Padahal pesawat AirAsia menuju Manila sudah lama siaga. Kesihatan saya pagi ini memang tak enak rasa, Bekas bedah kembali sakit. Kaki saya pun terasa berat nak melangkah. Hanya semangat dan doa yang terkumat-kamit keluar perlahan dari celah bibir saya. "Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, semoga selamat perjalanan ini, dan dipermudahkan hasrat saya mengunjungi dua titik terakhir dari sepuluh negara Asean. Ameen"

Empat jam terbang, pesawat mendarat selamat di Terminal 4, Landasan Udara (Landara) Antarabangsa Ninoy Aquino. Terminal ini kecil. Bangunannya berdinding papan. Hanya ada dua kaunter imigrasen untuk melayan 200 orang yang baru mendarat. Erti dari semua ini, sebenarnya penerbangan AirAsia dari dan ke Kuala Lumpur hanya penerbangan pelengkap. Beza jauh dengan layanan terhadap Kota Kinabalu yang dioperasikan di terminal utama, Kenapa? Mungkinkah kerana hubungan Filipina - Sabah jauh lebih dekat dari apa yang kita sangka?

suasana lorong belakang di Ermita 
Setiap kali mengembara solo ke negara orang, prinsip saya masih sama, redah dan berserah. Berkenalan dengan seorang lelaki Malaysia yang sudah tujuh tahun ulang-alik KL-Manila, sangat membantu dapatkan info di tengah ibukota negara asing yang belum pernah saya kenal ini. Kebetulan kami satu pesawat.

"Ermita tempat terbaik yang patut kau tuju", kata lelaki tadi sebaik saya nyatakan beberapa tempat wajib singah sepanjang kembara singkat saya ini, "Lebih penting lagi, ada restoran halal di sana". Saya setuju ke Ermita naik teksi tanpa meter dengan caj 250 piso sekepala. (Lebih kurang RM21). 

Mabini Street ialah nama jalan tempat saya turun. Hiruk-pikuk Manila sudah dapat saya lihat. Tapi saya lebih ghairah cari hotel dari lihat yang lain-lain. Rata-rata tarif hotal di sini di luar jangkaan saya, Lebih mahal dari Bangkok, atau KL. Mujur saya temui satu hotel bertarif 750 piso (RM60) semalam yang ditawarkan seorang wanita muslim. Namanya Salmah, boleh berbahasa Melayu dialek Sabah dan pernah kerja di Sandakan selama 5 tahun. 

Hotel San Dego, ada di sini.
Hotel cadangan Kak Salmah, menyeramkan. Ruang bawahnya ialah kelab snooker yang ramai pengunjung mabuk. Suasananya kusam. Bau hancing menyengat menusuk hidung. Melihat keadaannya, saya rasa mungkin hantu saja yang berani tinggal di sini. Atas alasan keselamatan, saya cari sendiri hotel lain yang lebih semenggah - Sebenarnya ada Hotel San Dego, tak jauh dari hotel hantu itu.

Tampak Depan Hotel San Dego
Tarif Hotel San Dego mencecah angka 1000 piso semalam. Keadaannya baik sikit dari hotel tadi. Cuma ia belum mampu sedia lift, pemanas air, almari dan TV. Menuju ke bilik hotel, segerombolan tikus telah mengiringi saya. Hanya berserah. Kalau tinggal di Makati atau Quezon City, barangkali saya harus kerja dulu sebelum cukup duit buat terbang ke Brunei nanti. Tarif di sana pasti lebih mahal lagi.

Selesai daftar hotel, saya teringat seorang kawan blogger warga Filipina yang tinggal di Manila. Alhamdulillah, dia jawab mesej saya. Kebetulan tempat tinggal dia tak jauh dari hotel ini. Namanya Ahmad Sampang ibni Hajiri. Belia Tausug (Sabah: Suluk) dari Jolo (baca: Holo), Kepulauan Sulu. Ingat Sulu, teringat saya akan kisah Sultan Kiram dan peristiwa Lahad Datu. Saya buang jauh-jauh fikiran jahat yang tiba-tiba menjelma. Saya hanya yakin kalau saya baik dengan orang, orang akan balas kebaikan saya. Mudah-mudahan.

Ahmad Sampang masih belajar kedoktoran di Unibersidad Ng Pilipinas (UP). Untunglah untuk saya yang masih belum sepenuhnya sembuh. Sekurang-kurangnya kalau ada komplikasi, ada orang untuk dirujuk.

Suasana dalam Jeepney waktu malam
Sayang sekali Ahmad Sampang terikat dengan aktiviti kuliah. Kami hanya bertemu singkat di Rizal Memorial Park. Lokasinya berjarak 1 jam jalan kaki dari penginapan saya. Tapi saya pilih naik jeepney. Tarifnya 7 piso 50 sen seorang. Memandangkan tak ada lagi nilai 50 sen dalam matawang Filipina, tambang digenapkan 8 piso. Cuma bila berdua, tarif lama masih dipakai. Malam ini Rizal Memorial Park padat pengunjung, baru saya sedar hari ini hari Krismas, 25 Disember 2014. Mungkin cara penduduk Manila sambut hari besar memang begini, beriadah bersama keluarga di taman-taman hiburan. Beza jauh dengan penduduk Muslim Malaysia sambut Aidilfitri, Kuala Lumpur, pasti dah lengang – semua orang pulang kampung.

Rizal Memorial Park bagaikan pesta

Kebanggaan Manila dan Filipina
Segenap ruang Rizal Memorial Park padat pengunjung. Tak ada ruang sisa untuk kami duduk santai dan sembang panjang. Ramai orang datang berkumpulan, bentang tikar dan hidang bekalan. Tak ada ruang langsung meski untuk merakam foto. Akhirnya Ahmad Sampang usulkan sebuah restoran masakan Sulu di Jalan Mebini. Restoran Dulang namanya. Kata dia, dulang dalam bahasa Sug (Bahasa Suluk) juga bererti dulang dalam bahasa Melayu.

Ini bukan Restoran Dulang, cuma ada orang Filipina berdialek Sarawak di sini.
Lagi-lagi orang di sini menyebut Malayu! Malayu! Malayu!. Saya cuma yakin mereka sedang perkatakan tentang saya. Teguran salah seorang pelayan disitu dalam Bahasa Melayu membenarkan telahan saya. "kitak orang Malaysia ka?"

(bersambung)



Sokh - Sepotong Uzbekistan di wilayah Kyrgyzstan

Penduduk kampung Sogment mengerumuni sempadan Kyrgyz-Uzbek. Perselisihan politik sering memencilkan penduduk daerah kantong ini dari dunia luar.
Ini ialah artikel terjemahan dari artikel asal berbahasa Inggeris. Sengaja saya siarkan dalam Istana Cerita sebagai bahan bacaan, mana tahu kalau-kalau negara di Asia Tengah ini menjadi destinasi tujuan kita satu hari nanti. Selamat Membaca.


Rutin harian Kamol Azizov tak jauh beza dari orang-orang kampung di Lembah Ferghana. Pergi kerja jalan kaki setiap pagi, dapatkan barang keperluan dari pasar terdekat, dan laksanakan tanggungjawab sebagai anak kepada orang tuanya yang tinggal di kawasan sekitar. 

Di sebalik semua ini, Azizov terpaksa lintas sempadan beberapa kali untuk lakukan semua urusan itu. Kampung Azizov, Chashma, terletak di seberang Sokh, sebuah wilayah Uzbekistan yang terkurung dalam wilayah Batken, sebuah provinsi di Kyrgyzstan. Natijah dari semua ini ialah, pasar terdekat untuk Azizov sebenarnya terletak di luar negara. 

"Rumah saya tak sampai 300 meter dari sempadan Kyrgyz" jelas Azizov. "ada beberapa rumah di kawasan kejiranan kami, rumah saya sendiri terletak dalam wilayah Sokh tapi lamannya di kawasan Kyrgiz. Di Kampung Chashma, dalam sebuah keluarga ada bermacam warganegara. Dulu Ibubapa kami sejak sekian lama telah terdaftarkan sebagai warga Kyrgiz, tapi anak dan cucu mereka sekarang mendaftar sebagai penduduk Sokh, semestinya warga Uzbekistan. Rumah-rumah mereka dibataskan dengan kawad berduri. Banyak pos kawalan Kyrgyz di mana-mana, jadi kami sukar bergerak."

Seperti penduduk Sokh yang lain, Azizov terbiasa berpergian dengan pasport setiap masa. "Kena tahan dan digeledah di Imigresen Kyrgyzstan sudah suatu yang lumrah dalam hidup kami," Kata Azizov. Pertelingkahan dengan jiran warga Kyrgyz tentang hak ternakan meragut di padang rumput, selalunya menambah kusut suasana yang sudah serabut akibat perbezaan politik dan budaya.  

Kyrgyzstan pada hujung bulan lalu telah berhenti beri permit kepada penduduk Sokh menggembala ternakan di padang rumput Kyrgyz. Situasi ini beri kesan ke atas mata pencarian seluruh isirumah warga Uzbekistan di Sokh. Tanpa padang rumput, atau membiarkan ternakan kambing, biri-biri dan lembu memerap saja dalam bangsal, menimbulkan ketegangan luar biasa buat penduduk kampung. 

Akibatnya sebahagian penduduk Sokh dilaporkan menyerang kenderaan milik warga Kyrgyzstan yang melintas masuk ke wilayah serpihan Uzbek itu. Jirannya warga Kyrgyz pula membalas dengan menyekat lebuhraya utama yang menyambungkan seberang Sokh dengan wilayah lain di Uzbekistan, dan minta wang tebusan.

Kemaskan Langkah
Pegawai kedua negara pernah bersidang bagi membincangkan persengketaan ini termasuklah perbezaan pendapat tentang pemilikan wilayah Sokh yang kontroversi. Akhirnya sebuah perjanjian dapat ditandatangani. Bagi meredakan ketegangan kedua-dua negara, Uzbek berjanji menarik keluar kereta perisainya yang dibawa masuk ke Sokh semasa serangan militan Uzbek ke atas Kyrgyzstan pada 1999.

Pihak Kyrgyz pula, walaupun belum bersedia perbarui permit untuk penduduk Sokh mengguna padang rumput, mereka janji akan kurangkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan.

"Ini berita baik," kata Azizov. "bila kami ke ibukota Ferghana, atau ke bandar terdekat di Rishton, mahu-tak-mahu kami terpaksa lalui sekurang-kurangnya lima kawalan keselamatan Kyrgyz. Mereka periksa passport dan kereta kami. Kadang-kadang mereka tahan kami dengan sangat lama dan sesetengah dari mereka rampas duit."  

"Walaupun masih di kampung Chashma, setiap kali ke pasar terdekat yang terletak dalam wilayah Kyrgyz, kami perlu lalui kawalan tentera Kyrgyzstan, mereka periksa kami sambil minta duit," kata Azizov.

Terangkum di kawasan pergunungan seluas 325 kilometer persegi, Sokh merupakan serpihan terbesar Uzbek yang terletak di Kyrgyzstan. Merumitkan lagi keadaan, hampir semua penduduk Sokh seramai 65,000 itu justru etnik Tajik.

Ada lapan semuanya daerah terserpih di Lembah Ferghana, empat darinya milik Uzbek yang terletak di kawasan Kyrgyzstan, sebuah kampung Kyrgyzstan bernama Barak terletak dalam wilayah Uzbek, dua serpihan Tajikistan di kawasan Kyrgyz serta sebuah lagi kampung milik Tajikistan bernama Savak dalam wilayah Uzbek.

Tompok-tompok daerah terserpih ini terbentuk sejak pemerintahan Soviet Union lagi. Ia dibentuk berasaskan bahasa utama yang dituturkan majoriti penduduk.

Sokh, bagaimanapun terkecuali. Tak siapa tahu bagaimana wilayah yang majoritinya etnik Tajik, boleh diserahkan ke Uzbekistan. Ramai orang di Lembah Ferghana ini percaya, seberang Sokh adalah bukti ciptaan pelik pemimpan-pemimpin era-Soviet.

Ada 26 buah sekolah dan empat kolej di seberang Sokh yang mengandungi kira-kira 20 buah kampung ini. Semuanya beroperasi dalam bahasa Tajik. Begitu juga media massa, termasuk saluran berita, hiburan TV, dan surat khabar "Sadoi Sokh" (Suara Sokh)

Semangat Politik di Kampung.
Situasi pelik ini telah menyebabkan penduduk Sokh terdedah kepada ketegangan politik tiga negara.

"Bila terjadi pertelingkahan antara Kyrgyzstan dan Uzbekistan – di Bishkek, atau contohnya di Andijon, Uzbekistan tutup pintu sempadan, lalu mereka pergiat kawalan keselamatan." kata Bolta, penduduk Sokh yang enggan dedahkan nama penuh. "Bila sempadan Uzbek ditutup, bererti kami terputus hubungan; kami tak dapat masuk ke tanah besar Uzbekistan di seberang sana dengan mudah. Bayangkan kalau anda perlu hadiri pengebumian, atau perlu ke hospital kerajaan, anda tak dapat hadirkan diri kerana penutupan sempadan, tak siapa tahu bila ia akan dibuka."

Landasan udara atau stesen keretapi yang beri khidmat kepada penduduk Sokh terletak lebih kurang 120 kilometer di bandar Ferghana, ibu kota provinsi di tanah besar Uzbek. Sedangkan pekan terdekat dalam wilayah Uzbek ialah Rishton, 70 kilometer dari Sokh, juga di tanah besar.

Tidak ada bas harian atau keretapi menghubungkan Sokh dengan bandar lain. Kereta peribadi atau teksi ialah satu-satunya angkutan umum, tapi tak semua penduduk Sokh mampu memiliki.

Kali terakhir yang membuat penghuni Sokh terpinggir ialah ketika kerajaan Uzbektistan tutup sempadannya dengan Kyrgyzstan sewaktu terjadi rusuhan di Bishkek, april tahun lalu. Sebelum kes ini pun, Sokh sudah lebih dulu terkesan akibat perbalahan politik antara Uzbekistan dan Tajikistan.

Berdekad lamanya universiti di Tajikistan jadi tumpuan anak-anak lepasan sekolah di Sokh sambung kuliah atas alasan sama bahasa dan budaya.

Tapi sejak hubungan antara Tashkent dan Dushanbe mulai renggang, Pegawai Pendidikan Uzbek tak lagi iktiraf ijazah dari universiti Tajikistan. Lepasan sekolah di Sokh ditinggalkan tanpa pilihan kecuali memilih universiti-universiti 'dalam negeri'.

Setelah terputus hubungan budaya dan pendidikan dengan Dushanbe, perpustakaan di Sokh pun terputus bekalan buku-buku dan bahan terbitan dari sana. Sekarang perpustakaan utama di Sokh hampir tak ada bahan baru.

"Tapi tak semuanya buruk," kata Azizov, "Tinggal di daerah terserpih ini ada juga kelebihannya. Semua orang di Sokh ini fasih tiga bahasa – Uzbek dan Kyrgyz, sebagai tambahan kepada bahasa ibunda kami, Tajik – tanpa perlu ikuti sebarang kelas bahasa. 

"Sebenarnya kami tak peduli politik, tapi politik dah beri kesan yang besar dalam hidup kami," kata Akramjon, penyanyi amatur berusia 41 tahun yang enggan dedahkan nama penuh.

Rutin hidup sehari-hari yang seperti ini bahkan telah muncul dalam 'yovailo', lagu tradisional orang-orang Sokh. Yovailo adalah lagu cinta, dinyanyikan oleh lelaki muda pada majlis-majlis perkahwinan atau keramaian, termasuk ketika menuai gandum. 

Beberapa tahun terakhir, lirik yovailo diselitkan tema baru – seperti kisah perjalanan panjang, penantian panjang, dan keterasingan.

Dalam sebuah lagu, Akramjon luahkan kisah sedih hidupnya kerana terperangkap di daerah serpihan. "ku duduk di atas batu, di Sokh aku menunggu" lantunnya. "damai masih jauh di balik gunung. Ingin aku ke Tashkent agar tidak kepingin atau pindah ke Jizzah, agar jiwa dapatku serah, namun aku tak mampu untuk tinggalkan Sokh ku."

FOTO: JELAJAH LAOS - Vientiane - Album 3





Album: Jelajah Laos - Album 3
Lokasi: Vientiane

Keterangan:
Foto-foto ini saya rakamkan, di sekitar bandar Vientiane sebelum saya seberang ke sempadan Nongkhai di Thailand, dan balik ke Malaysia melalui Bangkok. Semua lokasi ini dapat saya capai dengan basikal. Ceritanya? Ada saya catatkan di sini?

Patuxay
Ini Tugu Patuxay, salah satu lokasi wajib singgah jika melawat Vientiane. Letaknya di luar pusat bandar Vientiane sejauh kira-kira 5KM. Cari arah ke sana amat mudah, hanya perlu temukan jalan Avenue Lane Xang di pusat bandar, dan lurus saja menyusuri jalan itu. Tak perlu susah payah tempah tuktuk atau teksi kerana anda boleh pergi sendiri dengan motor dan basikal sewa yang banyak tersedia di pusat bandar.

dan tamannya
Mengelilingi Tugu Patuxay ada ruang legar dan taman untuk keselesaan pengunjung. Di sinilah tempat pelancong mengabadikan kenangan merakam gambar seluruh Tugu Patuxay dari jauh.

Sebahagian bandar Vientiane dilihat dari atas Tugu Patuxay

Lagi sebahagian Patuxay
Tinjau dari atas Tugu Patuxay, anda akan lihat hampir seluruh bandar Vientiane dari jauh. Tapi jangan bayangkan bandar ini seperi KL, Singapura atau Bangkok, kerana Vientiane hanya sebesar Kangar.

Patuxay dari dekat
Besarnya Tugu Patuxay sampai tak sedar kalau ia sebenarnya setinggi tujuh tingkat bangunan. Bagaimanapun hanya di aras lima dan enam saja yang dipasang lantai, dan menempatkan ruang penjaja cenderamata. Sementara di aras bawahnya hanya ada tangga. 

Kalau rajin membaca
Tugu Patuxay tidaklah terlalu tua, tapi miliki pengertian sangat signifikan buat warga Laos kerana inilah lambang kebangkitan negara itu dari tunduk dibawah naungan komunis Vietnam. 

Bangunan Kerajaan 
Di depan Tugu Patuxay ada sebuah bangunan kerajaan menempatkan Kementerian Kebudayaan negara itu. Tersergam megah bangunannya. 

patuxay dari jauh

wajah gadis-gadis Laos
Ruang legar merupakan tempat paling santai buat para gadis Laos habiskan masa. Lihatlah wajah mereka, amat mirip perempuan Cina. Perhatikan juga, mereka gemar mengenakan kain tenunan songket sebagai pakaian sehari-hari, ia sama seperti wanita Malaysia yang mengenakan baju kurung. - Di belakang lelaki berbasikal itu ada satu arca yang di dalamnya tertulis "Gong Indonesia". Satu arca yang baru tahun 2011 dibina sebagai lambang hubungan diplomasi yang baru terjalin antara Laos dan Indonesia, 12 tahun lebih lambat selepas hubungan Laos dengan Malaysia. Hubungan diplomasi ini dibuktikan dengan perlakuan bebas visa untuk kedua-dua negara. .

makanan popular (janin ayam)
Ini ialah snek paling popular yang dapat kita temui di seluruh negara Laos. Ia ialah telur ayam yang telah menjadi janin yang direbus sebelum sempat anak-anak ayam itu menetas. Menurut mereka, snek ini sangat lazat dan berhasiat, dari bulu dan tulang belulang boleh dilahap kerana amat lembut seperti umbut kelapa. PERHATIAN: Umat Islam haram makan snek ini.

Restoran India & Malaysia
Kesan Malaysia di mana-mana. Semua restoran halal di Vientiane meletakkan lebal "Malaysian Food" untuk menyakinkan pengunjung akan status halalnya. Beberapa pengembara Islam Indonesia juga dilihat (terpaksa?) makan di restoran ini kerana penyediaan makanan halal yang tehad. Selama mengembara di Laos dan Kemboja, tidak ada satupun Restoran Indonesia ditemukan di sana. Namun di dalam blognya, mereka namakan ini sebagai makanan India saja dengan menggugurkan nama Malaysia. Tahu kenapa?


Malay Special
Lebih khusus, mereka menamakan "Malay Special" untuk semua makanan lain selain dari makanan India.

pagoda lama,
Masih dalam lingkungan pusat bandar, ada sebuah pagoda lama yang juga jadi antara objek wajib singgah buat pelawat. Perhatikan bentuknya yang tirus, amat mirip dengan pagoda-pagoda yang ada di sekitar Myanmar. Saya tak tahu apa kaitan sejarah di sebalik semua ini. Tapi melihat pagoda moden yang dibangunkan di Laos zaman ini, sangat jelas pengaruh senibina Buddha dari Thailand. 
 
di Kedutaan Besar Malaysia
Promosi TMM 2014
Melewati sepanjang Avenue Lane Xang, ada dua kesan Malaysia yang boleh kita dapat. Antara yang menonjol ialah bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Laos. Penulis sempat bergambar kenangan di sana sebagai bukti betapa negara tercinta ini tetap sentiasa di hati.

depan Phatat Luang
bersama basikal sewa
Terus berjalan ke depan dari Avenue Lane Xang, anda akan temui satu lagi objek wajib singgah di Vientiane. Ia adalah stupa emas, Phatat Luang, sebuah wat paling suci di sini. Selain di'imarah'kan oleh penganut buddha Laos, ia juga sering dikunjungi penganut budha dari Thailand dan Kemboja. 
  
bandar Vientiane
perkarangan luar Phatat Luang
Perkarangan Phatat Luang

satu lagi bank dari Malaysia
Satu lagi kesan Malaysia yang dapat kita lihat di Laos ialah kehadiran beberapa bank Malaysia seperti Maybank, RHB Bank dan Public Bank. Menyusuri Avenue Lane Xang, anda akan lihat ini, bangunan Harimau Kuning.

pinggir Sungai Mekong

pinggir Sungai Mekong

pinggir Sungai Mekong
Di seberang sebelah sana Sungai Mekong ialah wilayah Nongkhai, wilayah paling hujung di timurlaut Thailand. Tapi jangan terperanjat, jarak sedekat ini tak bermakna apa-apa buat penduduk di kedua-dua belah tebing. Mereka terpisah dalam dua negara yang beza. Tidak sedikit penduduk Vientiane mengaku belum pernah sampai ke seberang sana.  

Pinggir Sungai Mekong
pinggir Mekong waktu senja

pinggir Mekong waktu senja
pinggir Mekong waktu senja
pasar malam
hotel penginapan saya
tengah bandar
Bandar Vientiane (dan semua bandar di negara Laos) amat lengang. Sesuai untuk pengunjung yang gemarkan suasana tenang dan damai.

tengah bandar 

tengah bandar

tengah bandar
taman Sungai Mekong
Selama di negara Laos, amat jarang saya lihat anak remaja merokok. dan jarang lihat rokok djual bebas di kedai-kedai. Rupa-rupanya semua nilai baik ini terhasil dari penguatkuasaan pemerintah Laos yang ketat.

pasar tradisional
tengah bandar
pasar tradisional
Istana Presiden

jalanraya di tengah bandar

Batu tanda jalan Avenue Lane Xang

menuju Nongkhai
Sehabis dari Vientiane, saya lenjutkan perjalanan menuju Nongkhai dan seterusnya ke Bangkok dalam rangka pulang ke Kuala Lumpur.

untuk masuk ke Thailand
gerbang jambatan persahabatan
menuju jambatan
keluar/masuk Laos harus beli tiket
Imigresen Laos
Jambatan Persahabatan
Laos-Thailand
Selamat sampai di Thailand
Arah pemanduan bertukar ke kiri.
Bandar Nongkhai, Thailand
Sungai Mekong, Nongkhai, Thailand
Batu Tanda Nongkhai
bergambar kenangan
pengembara
bandar yang bersih
lokasi santai
balik ke Kuala Lumpur

Balik ke Nongkhai

bas Nongkhai - Vientiane
lihat jambatan
Inilah jambatan persahabatan yang menghubungkan Thailand dengan Laos. Di tebing sebelah sana ialah bandar Vientiane. Satu nama yang tidak asing disebut penduduk Nongkhai, tapi merupakan lokasi yang sangat asing untuk dicapai kerana perbezaan sempadan politik. Ramai penduduk Nongkhai tanya saya, "bagaimana keadaan di Vientaine? kami belum pernah sampai ke seberang sana"