بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Catatan setahun sepanjang 2009

Tahun 2009 baru saja melabuhkan tirai. Saya percaya ramai antara kita yang punya cerita terpenting yang terjadi sepanjang tahun. Di bawah ini, saya catatkan peristiwa terpenting yang berlaku pada diri saya sendiri sepanjang 2009.

Hayati :-

 

Januari 2009

2009 dimulai dengan penuh rasa gembira. Saat ini, kedua orang tua saya telah selamat menunaikan haji di tanah suci dan selamat kembali ke tanah air. Pun begitu, kepulangan ke tanah air kedua orang tua saya telah mewarnakan sesuatu yang baru dalam kehidupan kami 8 beradik anak-anaknya. Apapun kisahnya, biarlah saya simpan dalam hati buat panduan menjaga hubungan persaudaran sedarah daging pada masa depan.

 

Februari 2009

Februari merupakan bulan pertama langkah perjalanan saya. Biarpun tidak jauh,  ia tetap membekas dalam hati kerana watak yang terlibat mengiringi saya merupakan dua sahabat terdakat . Terima kasih buat Najib dan Syahrir atas kesempatan kalian dalam acara memperkukuhkan ukhuwah persahabatan di Bukit Merah, Krian, Perak.

 

Mac 2009

Saya menerima kedatangan Arifien, teman Multiply dari Jakarta bersama sahabatnya Maulana. Kehadiran mereka menambah lagi koleksi kenalan internasional saya. Maaf atas layanan saya yang terlalu kurang buat kalian.

 

April 2009

Saya terima lagi kunjungan 2 kumpulan tamu dari Jakarta sepanjang bulan ini. Buat Adelina, Muthia, Maria Handayani, Adi Nugroho, Candy dan Ferna, kunjungan kalian sangat dialu-alukan. Semoga kita bertemu lagi di lain masa.  

 

Mei 2009

Langkah kedua perjalanan saya bermula. Kali ini perjalanannya lebih dekat lagi biarpun sebenarnya di seberang laut. Terima kasih buat Salbiah, Koosam dan Yanie atas layanan anda sepanjang saya di Singapura. Buat Sal, terima kasih atas hadiah hari jadi yang tak ternilaikan. Tak lupa juga buat buat sahabat saya, Syahrir kerana sudi memenuhi undangan untuk sama-sama ke pulau singa. 

 

Jun 2009

Langkah perjalanan diteruskan. Kali ini saya ke Kudus (Jawa Tengah) dan Malang (Jawa Timur), Indonesia. Sedikit sebanyak kunjungan saya mampu mengembalikan jiwa kejawaan yang kian terhakis dalam diri ini. Bangga rasanya dapat menjejakkan kaki ke tanah leluhur datuk nenek saya. Alhamdullillah misi usai bersama seribu kenangan yang mengesankan. Buat keluarga Agos, terima kasih atas layanan tak terhingga sepanjang saya di Kudus. Khas buat Bambang Priantono, ternyata persahabatan kita tak terkalahkan oleh sekian banyaknya hal negatif yang mendatang. Terima kasih atas layananmu sepanjang saya di Malang. Om Cik sangat terhutang budi.  Tak lupa dalam bulan ini juga, sahabat saya Najib selamat diijabkabulkan dengan pasangannya. Tahniah untuk itu.    

 

Julai 2009

Langkah perjalanan saya terus melebar ke utara, ke mantan sebuah pulau Melayu yang kini hilang melayunnya. Pulau Phuket, Thailand terlalu hebat untuk digambarkan. Keindahan ini dapat saya kongsikan bersama teman-teman multiply dari Indonesia, Terima kasih buat Maulana, Arifin dan Andik atas kesempatan itu.

 

Ogos 2009

Buat pertama kalinya saya saksikan sendiri sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Indonesia di ibukotanya, Jakarta. Terima kasih buat dua watak utama yang terlibat; Maulana dan Karim. Terima kasih juga buat watak-watak lain; Alam, Arifien, Adi Nugroho, Candy dan Sri Andalas (Awang) kerana sudi meluangkan masa buat saya selama di sana.

 

September 2009

Perubahan besar dalam kerjaya saya telah berlaku. Saya ditukarkan jawatan ke jabatan lain yang terlalu asing. Akan saya sambut cabaran itu.

 

Oktober 2009

Aidilfitri dirai. Hikmahnya besar buat kami 8 beradik . Saya percaya pada pepatah “air dicincang tak akan putus”.  Semoga apa yang berlaku jadi penduan dalam menjaga hubungan sedarah ini.

 

November 2009

Batam menjadi lokasi perjalananku seterusnya. Terima kasih buat Agus di Sikupang yang sudi menerima saya sebagai tamunya selama di pulau duit itu. Sayangnya Batam sudah tidak asli.  

 

Disember 2009

Hujung tahun datang lagi. Sebagaimana tahun-tahun sudah, masih ada lagi hal penting yang belum mampu saya lakukan. Biarpun terdetik rasa sesal, kedatangan hal-hal lain secara mendadak ternyata memberikan sedikit rasa manis untuk dikenang. Ini termasuklah hal kedatangan teman dari Jakarta buat ke sekian kalinya. Buat Karim, terima kasih sudi datang lagi melihat saya di sini. Buat Alam, kehadiran mu mengeratkan ukhuwah antara kita. Terima kasih atas kenangan manis yang kamu sajikan. Dan kunjungan kita ke Langkawi ternyata menjadi pelengkap siri perjalanan saya sepanjang tahun ini. Ternyata tahun 2009 memberikan catatan terbanyak dalam diari perjalanan saya.

Satu ketika di Pulau Lagenda

Ini foto-foto kenangan saya sewaktu melancong ke Langkawi bersama teman-teman dari Indonesia dan Filipina dalam rangka melayani kedatangan mereka ke Malaysia.

'Candaan Lebay' mereka masih segar dalam ingatan, dan sekarang jadi manis untuk dikenang. Terima kasih atas kesempatan mengenal kalian.

Lihat...

Di Pantai Chenang
 
Jadi tumpuan

berlabuh kapal persiaran

gayat
bertaburan pulau-pulau kecil
 
jambatan di udara
Tingginya...

Ini saya


rombongan kami

Ini Karim

Lihat sana, nampak Thailand.

senja

di puncak Macincang

mendaki

Indonesia - Filipina - Malaysia

Alamiah Langkawi bersama Alam

'fotokan aku'.

'ang pangalan ako ay Neol'
 

SOSIOLINGUISTIK THAI DAN LAO

Ini adalah sambungan siri pertama berjudul Bahasa Thai dan Lao. Perlu diingat, artikel ini adalah teks terjemahan daripada teks asal berbahasa Inggeris yang sengaja saya terjamah bertujuan untuk memperbanyakkan lagi kajian ilmu kebahasaan dalam bahasa Melayu.
 
Thai dan Lao hanyalah dua dari sekian banyak bahasa-bahasa rumpun Tai dalam wilayah yang merangkumi empat buah negara; Thailand, Laos, Myanmar dan Vietnam. Semua bahasa dalam rumpun ini miliki kosa kata, tata bahasa, dan stuktur nada yang serupa. Pun begitu, Bahasa Thai dan Laolah yang paling banyak dikaji berbanding bahasa-bahasa lain. Terdapat juga sedikit buku-buku atau kertas kerja tentang bahasa Shan, Thai Dam, Phuan, dan lain-lain bahasa rumpun Tai.

Thai dan Lao menjadi bahasa yang dominan di negara masing-masing atas alasan yang sama dengan mana-mana bahasa yang dominan: Etnik yang menuturkan bahasa ini mendominasi politik, lalu bahasa mereka dianggap standard. Bahasa lain selainnya tetap dituturkan tapi dianggap bahasa setempat atau bahasa kampung dan kurang diperhatikan oleh etnik dominan.

Sedikit sejarah tentang Thai dan Lao. Orang Thai Tengah, merupakan etnik dominan di sepanjang lembangan sungai Chao Phra Ya di bahagian selatan manakala etnik Lao mendominasi lembangan sungai Mekong di utara. Bahasa-bahasa lain samaada dalam rumpun Tai atau tidak, hanya dianggap bahasa minoriti atau ‘dialek daerah’ seperti yang disebutkan di Thailand sekarang.

Sejarah ringkas suku Isan: Bahagian Timur Laut Thailand dihuni etnik Lao. Bahasa pertuturan mereka juga adalah bahasa Lao. Namun secara rasmi, mereka menyebut diri mereka sebagai Isan atau Thai-Isan. Perubahan istilah dari ‘Lao’ ke ‘Isan’  bermula pada tahun 70an ketika negara Laos menganut fahaman komunis. Tentera Thai waktu itu bermati-matian mengawal kawasan sebelah mereka. Bimbang penduduk Timur Laut akan simpati pada Komunis Laos kerana persamaan etnik, Kerajaan Thailand memulakan kempen mengubah identiti mereka dengan cara menukar istilah ‘Lao’ menjadi ‘Isan’. Kempen itu dilihat berjaya kerana ada penduduk Timur Laut yang tak tahu bahawa bahasa mereka sama seperti bahasa yang dituturkan di Laos ketika ini. (ada juga orang Isan yang tatap menganggap diri dan bahasa mereka sebagai ‘Lao’)

Di Mana Penutur Lao / Isan? – Di Thailand, hampir semua suku Isan adalah kelompok dwibahasa Lao/Isan dan Thai. Mereka gunakan bahasa Thai di sekolah, pejabat kerajaan dan kawasan perniagaan di bandar-bandar di seluruh kawasan suku Isan, bahkan di mana-mana saja di Thailand. Tapi tetap berbahasa Lao atau campuran Lao dan Thai di rumah.  Tak semua orang Timur Laut boleh berbahasa Lao dengan baik. Sebenarnya bahasa atau bahasa pertuturan manusia bergantung pada latar belakang keluarga: Mereka yang secara tradisi lahir dalam keluarga Lao/Isan biasanya boleh berturut bahasa itu dengan fasih. Sebaliknya keluarga Thai yang berpindah ke wilayah Isan dari kawasan tengah, tetap berbahasa Thai. Mereka hanya mampu berbahasa Lao/Isan jika menjalinkan hubungan rapat dengan suku Isan dan merasa perlu atau terdesak mendalami bahasa itu.

Sebilangan orang Thai Tengah yang tinggal di luar wilayah Isan boleh memahami bahasa Lao/Isan atau sekurang-kurangnya tahu sesetengah kata dan frasa dalam bahasa itu. Biasanya, mereka ini pernah tinggal di Isan atau Laos atau berkahwin dengan suku Isan atau Laos atau mungkin pernah berkerja atau bersekolah sama-sama dengan suku Isan dan ada kesungguhan mendalami bahasa itu.

Siapa bertutur bahasa Thai di Laos? Di Laos, mereka yang tinggal dekat sempadan Thailand boleh mamahami bahasa Thai walaupun tutur mereka kurang lancar. Ini kerana, pemahaman mereka bergantung kepada siaran TV dan radio Thailand semata-mata. Semakin menjauhi sempadan, pemahaman bahasa Thai semakin kurang. Pemancar yang baik mungkin perlu dipasang untuk menangkap siaran Thailand di sana. Etnik Lao mampu menikmati siaran TV dan muzik Thailand kerana kedekatan budaya. Mereka yang bertutur bahasa Thai mungkin pernah belajar dan kerja di Thailand, berkahwin dengan orang Thai, berasal dari keluarga Lao-Thai atau sering ke Thailand atas urusan bisnes. 

Sikap: Sebelum kegiatan ekonomi dan pendidikan memuncak menjelang tahun 80an, suku Isan dicap kekampungan oleh orang-orang Thai Tengah, tapi sejak meningkatnya hubungan dan pembangunan menyeluruh seluruh Thailand, majoriti warga Thai kini lebih terbuka dalam hubungan sesama etnik. Saat ini, jarang orang Thai Tengah memendang rendah kepada orang Isan walhal perkara ini terjadi terang-terangan sebelumnya. Rasa hormat akan bahasa dan budaya Isan/Lao (juga terhadap bahasa dan budaya penduduk Utara dan Selatan) telah meningkat bertahap menerusi promosi aktif terhadap budaya masyarakat lain selain masyarakat Thai Tengah yang dilakukan kerajaan dan Universiti-universiti.

Masa depan suku Lao: Setelah Negara Laos membuka hubungan dengan dunia bukan komunis pada 1990, wujud kebimbangan akan hilangnya bahasa Lao memandangkan pengaruh Thailand terhadap ekonomi dan budaya di Laos terlihat aktif. Sebenarnya ini tidak berlaku kerana China lebih besar pengaruh ekonominya di Laos berbanding Thailand.  Buat masa ini, bahasa Lao masih dikatakan kekal kukuh di Loas atas beberapa sebab:  

1. Kerajaan Laos melarang bahasa Thai diguna dalam media dan di sekolah-sekolah.

2. Akhbar, buku dan rancangan TV dan Radio dalam bahasa Lao tersebarkan seluruh Negara.

3. Orang Laos menganggap mereka berbeza dengan Orang Thai. Identiti mereka terserlah melalui budaya dan bahasa. Mereka bangga melestarikannya.

Secara praktis, kedua bahasa-bahasa ini sangat rapat kaitannya hingga ramai orang Laos mangambil kosa kata Thai dengan mudah, terutama slanga, kata-kata popular dan bidalan yang sesuai dangan konsep moden. Masa berganti masa, kian lama kian sulit bila semakin ramai warga Laos menyebut ‘mai’ berbanding ‘baw.

Tidak sedikit orang Isan yang sanggup lestarikan bahasanya. Memang ada kemungkinan orang Isan akan terasimilasi dengan orang Thai Tengah akibat aktiviti pergerakan manusia dan perkahwinan campur. Masa itu mungkin tiba bila suku Isan ‘terbandarkan’ oleh mesin-mesin tanpa pedulikan sawah padi; setelah tiada lagi pakamas dan pesta biara di kampung-kampung, ingatan terhadap budaya yang hanya terpelihara dalam lagu-lagu lama dan siaran media dari dari Laos saja. Suatu yang positif, Universiti Isan saat ini sedang giat mempromosi kajian bahasa dan budaya Isan. Terdapat program pertukaran budaya dengan negara Laos termasuk ramai pelancong Thai yang melawat Laos. Satu masa nanti, Laos mungkin memainkan peranan aktif dalam menjaga kelangsungan budaya di Isan. 

(Ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pengalaman beliau sewaktu tinggal di Thailand dan Laos.  Penulis artikal ini bernama J. Higbie - seorang Pengkaji Bahasa)

Bahasa Thai dan Lao (Bahagian I)

Saya mula tertarik mencari perbezaan kedua bahasa ini setelah mengingat satu kejadian sewaktu kunjungan saya ke Phuket tempoh hari. Waktu itu, saya ke sana bersama beberapa rakan dari Indonesia untuk tujuan melancong. Sebaik mendengar perbualan saya dengan seorang rakan dari Indoensia, pemandu teksi yang membawa kami ke pantai Patong bertanya; "Oh, Malaysia and Indonesia same language, ah?" begitulah soalnya dalam bahasa Inggeris yang gagap. Dia terlihat kagum mendengar perbualan dua manusia dari dua negara berbeza yang boleh saling memahami. "Yes, same language but difference dialect" Jawab saya. Pemandu teksi itu mulai faham lalu memberitahu bahawa bahasa pertuturannya yakni bahasa Thai juga sama dan saling dimengertikan dengan bahasa yang digunakan di Laos.

Bagaimanakah bentuk persamaan dan perbezaan kedua bahasa itu? Ada sesiapa yang tahu? Persoalan ini menarik minat saya untuk mengkaji berbagai persoalan antaranya tentang sejauh mana persaman kedua bahasa itu, apa faktor yang mewujudkan persamaan dan perbezaannya dan sejauh mana kedekatannya.

Di sini, saya senang hati berkongsi sedikit maklumat ini kepada siapa yang berminat, terutama kepada anda yang ada hajat mengunjungi Laos sempena Sukan Sea Ke-25 kali ini. Sekurang-kurangnya selagi anda belum mampu mencari jawapannya sendiri. Silakan:- 

 

Perbezaan Bahasa Di Laos Dan Thai

Bahasa Thai dan Lao termasuk dalam keluarga-bahasa Tai. Kedua-duanya punyai pertalian yang sangat rapat. Perbezaan kedua bahasa ini dapat dibandingkan di sini. 

 

Kosa kata: Boleh dikatakan 70 peratus kata-kata dalam bahasa Thai dan Lao adalah sama (pengiraan rinci belum dibuat) pun begitu, banyak kata-kata biasa yang berbeza. Sama ada dari segi sebutan, kata penafian, kata tanya, mahupun kosa katanya seperti berjalan, kecil, lari, lihat, buku dan botol. Bagi sesetengah kata yang serupa, penggunaannya pula berbeza. Contohnya, heuan bererti ‘rumah’ dalam bahasa Lao. Juga bermaksud ‘rumah’ dalam bahasa Thai tapi pemakaiannya terhad dalam bentuk yang lebih formal. Kata-kata tingkat tinggi pada bahasa Thai dan Lao pada asasnya serupa kerana masing-masing meminjam istilah Sanskrit dan Pali.

Struktur Ayat: Tatabahasa bagi kedua bahasa ini hampir mirip, jadi struktur untuk kata lawan, kata kerja dan kata hubung umumnya tak berbeza. Cuma terdapat perbezaan kecil terutama dalam pembentukan kata tanya: “Sudahkah anda…?” menjadireu yang?” Dalam bahasa Thai. Sebaliknya berbunyi “laeo baw?” dalam bahasa Lao. Soalan pasif seperti “Kau tak pergi?” menjadi “Mai pai reuh?” (Thailand) dan “Baw pai baw?” (Lao). (baw dalam bahasa Lao sama dengan mai dalam bahasa Thai)

Sebutan: Bahasa Lao miliki bunyi – ny- yang tak terdapat dalam bahasa Thai. ‘Belum’ bererti nyang dalam bahasa Lao tapi menjadi yang dalam bahasa Thai. ‘Perempuan’ ialah phoo nying dalam bahasa Lao sebaliknya phoo ying dalam bahasa Thai. Lenggok bahasa berubah mengikut wilayah tapi keduanya memakai sistem yang sama.

Saling tak memahami: Walaupun sangat mirip. tak bererti anda faham bahasa Lao kalau anda bertutur dalam bahasa Thai semata-mata, begitulah sebaliknya. Kita mungkin banyak dengar perkataan yang kita tahu dan faham beberapa ayat yang lengkap, namun ia masih berbeza, terutama dalam kosa kata asas yang menjadikan kedua-dua bahasa ini saling tak difahami. Hanya kerana ada kata-kata tingkat tinggi yang sama, mudah bagi penutur Thai memahami bahasa Lao Tinggi berbanding Lao-Pasar  (begitu juga sebaliknya).

Gaya tutur: Pertuturan orang Laos lebih menjurus maksud tanpa ada unsur santun (ka/krap) sebagaimana yang sering kita dengar dalam bahasa Thai. Juga jarang ada kata hurai seperti kebiasaan orang Thai bercakap.
Bahasa Lao kelihatan lebih formal. Orang Laos lebih cenderung bercakap dalam ayat lengkap termasuk untuk kata ganti ‘saya’ dan ‘awak’. Ini kontra dengan bahasa Thai kerana dalam perbualan tak formal, terlalu banyak kependekan yang ringkas, terkesan menarik dan kata ganti diri yang diabai. (Kata-kata dalam kedua bahasa Thai dan Lao boleh digugurkan mengikut ayat, semakin lengkap sesuatu ayat, semakin formal bunyinya.)

Tulisan: Lao dan Thai miliki abjad yang serupa dan kebanyakan hurufnya sama. Ayat-ayatnya ditulis dengan kaedah yang sama: dari kiri ke kanan tanpa jarak antara satu kata dengan satu kata yang lain. Tulisan Thai lebih dekat hubungannya dengan Sanskrit/Pali dan miliki lebih banyak konsonan dari Lao (contohnya, ada empat huruf untuk bunyi ‘s’). Manakala Lao meminda abjad mengikut fonetik supaya mudah dibaca oleh golongan etnik bukan-Lao.  Terdapat banyak lebihan konsonan dibuang dan kaedah ejaan dipermudah (hanya ada dua huruf untuk bunyi ‘s’). Sesiapa yang mampu baca tulisan Thai boleh belajar membaca tulisan Lao hanya dalam berapa jam. Tapi pembaca tulisan Lao perlu belajar 20 konsonan baru termasuk kaedah ejaan yang rumit untuk menguasai tulisan Thai.

# maklumat ini telah saya terjemahkan dari teks asal berbahasa Inggeris yang saya sunting dari laman web seorang pengkaji bahasa yang membuat kaji-banding antara kedua bahasa ini. 

Melukis dan Mencanting Batik 'd' ALAM IMPIAN - masukan ringkas




Ini beberapa foto yang saya rakamkan di majlis pelancaran dua produk perumahan baru kami di Alam Impian, Shah Alam. Aktiviti melukis dan mencanting batik ini merupakan salah satu aktiviti seni yang sengaja dirancang supaya sesuai dengan konsep projek bandar baru terpadu kami "Alam Impian Township of The Art".

Gambar yang tak sengaja dirakamkan dengan kamera telefon bimbit ini khas saya tujukan buat sahabat Multiply kita, Bambang Priantono yang kebetulan mengganggu saya menerusi SMSnya ketika saya sedang bertugas pada majlis itu.

SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR (1511 - 1824)

Dari sebuah empayar yang luas, menguasai pulau-pulau sekitar Lingga, Batam dan Bintan (sekarang Provinsi Kepulauan Riau), menakluk separuh Semenanjung (termasuk Singapura) sampai kepulauan Natuna (sekarang dalam Provinsi Kepulauan Riau), meluaskan pemerintahan ke sebahagian kecil pantai timur Sumatera,  pernah menakluk Jambi (sekarang Provinsi Jambi) dan Aru (sekarang di Sumatera Utara), Johor kini hanya tinggal 10 daerah merangkumi Johor Bahru, Kulaijaya, Pontian, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar, Mersing, Segamat dan Ledang. Semuanya terletak hujung selatan tanah besar semenanjung, kini dalam wilayah Malaysia.

Dari sekian banyak sultan yang memerintah, sebahagian besarnya mangkat dan dimakamkan di kawasan-kawasan yang kini berada dalam wilayah Indonesia.

Usaha-usaha untuk menjejak kembali kegemilangan dan kebesaran kerajaan Kesultanan Melayu Johor masih dilakukan, baik oleh kalangan kerabat mahupun kalangan peminat sejarah sendiri. Saya pernah terbaca dalam satu artikel yang menyebut bahawa, bahan-bahan sejarah kebesaran kerajaan Johor masih banyak belum dibongkar. Sayang sekali usaha mendapatkannya bukanlah satu tugas yang mudah kerana kawasan yang dulunya bersatu, kini terpisah jadi tiga negara merdeka.

Di bawah ini saya senaraikan nama-nama Sultan dan Yang diPertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor dari 1511 hingga 1824.

1. Sultan Mahmud Shah I (1511-1528)
Merupakan Sultan Melaka yang terakhir. Baginda meninggalkan Melaka setelah diserang Portugis lalu melarikan diri ke Pagoh, ke Pahang, dan Kepulauan Riau sebelum ke Kampar (sekarang dalam Provinsi Riau di daratan Sumatera, INDONESIA). Baginda mangkat di Kampar dikenali ssebagai "Marhum Kampar".

2. Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528-1564)
Menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Johor ke-2 adalah Sultan Alauddin Riayat Shah. Baginda membuka Pekan Tua / Kota Kara (sekarang termasuk dalam daerah Kota Tinggi, Johor) pada 1529 Johor mengumpul kekuatan dan menyerang Portugis di Melaka pada 1535 dan 1539 sebelum berdamai. Pada tahun 1540, Baginda membuka Johor Lama (sekarang dalam daerah Kota Tinggi) dan memindahkan pusat pemerintahan ke sana. Pada tahun 1564, Johor terlibat dalam peperangan mempertahankan Aru (sekarang dalam Provinsi Sumatera Utara, INDONESIA) dari ditawan kerajaan Acheh (sekarang Provinsi Acheh, INDONESIA). Sayangnya Johor kalah, Aru jatuh ke tangan Acheh dan Johor Lama turut musnah dibedil . Sultan Alauddin Riayat Shah II ditangkap, dibawa dan dibunuh di Acheh. Baginda digelar “Marhum Syahid di Acheh”.

3. Sultan Muzaffar Shah II (1564-1570)
Pusat pemerintahan berpindah ke Seluyut (dalam daerah Kota Tinggi sekarang) pada tahun 1565. Dendam kekalahan kepada Acheh diteruskan dengan menjalin kerjasama dengan Portugis. Pada tahun 1568, baginda menghantar tentera membantu Portugis sekaligus mengundang kemarahan Acheh. Pada tahun 1570, baginda mangkat di Seluyut disebut "Marhum Mangkat di Seluyut".

4. Sultan Abd. Jalil Shah I (1570 - 1571)
Sultan Abdul Jalil Shah I adalah anak kepada Sultan Muzaffar Shah II. Baginda ditabalkan sebagai Sultan ketika berusia 8 tahun melalui wasiat. Sultan Abdul Jalil Shah I mangkat tiba-tiba dipercayai mungkin diracun Bendahara Tun Isap Misai (pembesar sultan). Baginda dimakamkan di Seluyut.

5. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1570 / 71-1597)
Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berasal dari Pahang, suami kepada Raja Fatimah (adik Sultan Muzaffar Shah II, bapa kepada Sultan Abdul Jalil Shah I). Tun Seri Lanang dilantik sebagai Bendahara. Pada tahun 1571 Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berpindah ke Tanah Putih (sekarang dalam daerah Kota Tinggi) selama dua tahun. Pada tahun 1573, pemerintahan Johor berpindah sekali lagi ke Johor Lama. Waktu itu Johor mengambil sikap bersahabat dengan Acheh untuk bergabung melawan Portugis. Pada tahun 1576 dan 1578 Portugis menyerang Johor Lama tetapi gagal. Januari 1573, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II menyerang Portugis dan hampir dapat menawan semula Melaka. Pada tahun 21 Julai 1587, angkatan Portugis yang diketuai Antonio de Noronha ke membedil Johor Lama dan merampas harta. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berundur ke Batu Sawar (sekarang dalam daerah Kota Tinggi) pada tahun 1587. Pada tahun 1589, Batu Sawar diserang dan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II melarikan diri. Apabila Portugis balik ke Melaka, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah datang semula ke Batu Sawar memulihkan semula kekuatan. Pada tahun 1596, Raja Fatimah mangkat, dan dikebumikan di Seluyut bersebelahan anaknya Sultan Abdul Jalil Shah I dan abangnya Sultan Muzaffar Shah II. Pada tahun 1597, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II mangkat di Batu Sawar dan disebut "Marhum Batu Sawar".

6. Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1615)
Sultan Alauddin Riayat Shah III (anakanda Sultan Ali Jalla Abdul Jalil) bersemayam di Batu Sawar. baginda mengadakan hubungan baik dengan Belanda serta membenarkan Belanda meletakkan pegawainya di Batu Sawar. Pada tahun 1608 Sultan Alauddin Riayat Shah III berpindah ke Pasir Raja, tetapi Batu Sawar masih berfungsi sebagai pusat pemerintahan. Pada tahun 1610, Sultan Alauddin Riayat Shah III berbaik dengan Portugis. Hubungan baik Johor – Belanda - Portugis telah menimbulkan kemarahan Acheh yang sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama dengan Johor. Pada Jun 1613, Acheh menyerang Johor. Perang Acheh-Johor berlarutan selama dua bulan namun Johor tewas. Sultan Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah, Tun Seri Lanang, para pembesar dan puluh orang Belanda ditawan serta dibawa ke Acheh. Kemudian kedua-dua belah pihak membuat perdamaian. Sultan Alauddin Riayat Shah III bersama tahanan dibenarkan pulang ke Johor. Ketika di Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah III meneruskan kembali hubungan dengan Portugis dan Belanda, tindakan ini sekali lagi menimbulkan kemarahan Acheh lalu Sultan Alauddin Riayat Shah III ditangkap dan dibawa ke Acheh. Pada 1615, Sultan Alauddin Riayat Shah III dihukum bunuh dan mangkat di Acheh.

7. Sultan Abdullah Ma'ayat Shah (1615-1623)
Sultan Acheh seterusnya melantik Sultan Abdullah Ma'ayat Shah sebagai Sultan Johor ke-7 yang bersemayam di Batu Sawar. Pada tahun 1618, Baginda memindahkan peperintahan ke Daik, Lingga. Ketika ini, Johor sekali lagi tidak mahu tunduk kepada Acheh dengan meminta bantuan Belanda. Pada tahun 1623, Acheh menyerang Pulau Lingga untuk memburu Sultan Abdullah Ma’ayat Shah dan Raja Bujang (anak Sultan Alauddin Riayat Shah III). Sultan dan Raja Bujang bersama-sama melarikan diri ke Pulau Tambelan (sebuah pulau tak jauh dari Kalimantan Barat tapi termasuk dalam Provinsi Kepulauan Riau, INDONESIA). Baginda mangkat di Pulau Tambelan dan disebut "Marhum Pulau Tambelan".

8. Sultan Abdul Jalil Shah III  / Raja Bujang  (1623-1677)
Sultan Abdul Jalil Shah III merupakan anak saudara Marhum Pulau Tambelan, putera Sultan Alauddin Riayat Shah III. Baginda diangkat menjadi Sultan Johor ke-8 yang memerintah dari Pulau Tambelan. Pada tahun 1629, ancaman dari Kerajaan Acheh berkurangan setelah Acheh kalah diserang Portugis. Kekalahan itu menyebabkan Acheh hilang kuasa ke atas Pahang. Pahang kemudiannya menjadi jajahan takluk Kerajaan Johor yang baharu. Pada 14 Januari 1640, pakatan Johor-Belanda berjaya menghalau keluar Portugis dari Melaka. Malangnya kekuasan ke atas Melaka tidak jatuh ke tangan Johor Melaka sebaliknya menjadi negeri jajahan Belanda secara rasmi pada 1641. Sultan Abdul Jalil Shah III  seterusnya memindahkan pusat pemerintahan Johor dari Pulau Tambelan ke Makam Tauhid (sekarang dalam daerah Kota Tinggi) sebelum berpindah semula ke Batu Sawar pada bulan Oktober 1642. Pada tahun 1673, Johor berperangan dengan Jambi (sekarang Provinsi Jambi) yang mahu memerdekakan diri. Akibat peprangan itu, Sultan Johor melarikan diri ke Pahang dan bersemayam di Pahang selama empat tahun dan mangkat di Kuala Pahang. Baginda juga dikenali sebagai  'Marhum Mangkat di Pahang @ Marhum Besar".

9. Sultan Ibrahim Shah (1677-1685)
Sultan Ibrahim Shah,  anak kepada Marhum Mangkat di Pahang dilantik sebagai Sultan Johor yang ke-9 pada tahun 1677. Pada tahun 1678, Sultan Ibrahim Shah keluar dari Pahang dan cuba membangun semula Johor Lama tetapi gagal lalu memindahkan pemerintahan Johor ke Sungai Carang (sekarang di Pulau Bintan, dalam Provinsi Kepulauan Riau, INDONESIA). Ketika pemerintahan baginda, wilayah Johor diperluaskan hingga ke Terempa (sekarang Kepulauan Anambas, INDONESIA) dan menawan semula jajahan Jambi pada tahun 1685. Sultan Ibrahim Shah mangkat di Pulau Riau pada tahun yang sama dan digelar 'Marhum Bongsu".

10. Sultan Mahmud Shah II / Sultan Mahmud Mangkat Di Julang (1685-1699)
Sultan Mahmud Shah II ditabalkan menjadi sultan ketika berumur 10 tahun. Pusat pemerintahan berpindah lagi dari Pulau Riau ke petempatan baharu yang dibina di suatu tebing tinggi di Sungai Johor yang kemudian dinamakan Kota Tinggi. Kerana usia baginda yang masih kecil, urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Sultan Mahmud Shah II dikatakan seorang sultan yang zalim. Pada tahun 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat dalam usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bentan), seorang laksamana Kerajaan Johor yang berasal dari Bentan, (sekarang Pulau Bintan, Provinsi Kepulauan Riau, INDONESIA).  Baginda dibunuh di atas julang dalam perjalanan ke masjid untuk bersembahyang Jumaat dan disebut "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota Tinggi".

11. Sultan Abdul Jalil IV /  Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil (1699-1720)
Bendahara paduka Tun Abdul Jalil ditabalkan sebagai Sultan Johor ke-11 kerana Sultan Mahmud Shah II tidak meninggalkan waris. Baginda digelar Sultan Abdul Jalil IV, sultan pertama dari keturunan Bendahara. Selepas bergelar Sultan, baginda memindahkan pusat pemerintahan ke Panchor (sekarang dalam daerah Kota Tinggi) pada tahun 1700. Pada tahun 1708, Sultan Abdul Jalil IV memindahkan pusat pemerintahan Johor sekali lagi ke Pulau Riau dan kembali lagi ke Panchor 1716. Pada tahun 1717, Raja Kecil dari Siak (sekarang dalam Provinsi Riau) menyerang Johor demi menuntut tahta kerajaan dengan mengaku baginda adalah anak Sultan Mahmud Mangkat Di Julang.  Raja Siak akhirnya berjaya merebut tahta pemerintahan dengan bantuan para pembesar Johor yang percaya baginda adalah waris Sultan Mahmud yang sah. Pada tahun 1719, cubaan merampas semula tahta Johor dilakukan oleh Sultan Abdul Jalil IV dan anaknya Raja Sulaiman malangnya tidak berjaya. Sultan Abdul Jalil IV akhirnya melarikan diri hingga akhirnya dibunuh di Kuala Pahang dan disebut "Marhum Mangkat di Kuala Pahang".

12. Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah / Raja Kecil / Yang Dipertuan Johor ( 1718-1722)
Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil berjaya menawan Panchor dan melantik dirinya sendiri sebagai Yang Dipertuan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Selepas menaiki tahta, Raja Kecil telah memindahkan pusat pentadbiran Johor sekali lagi ke Pulau Riau. Ketika itu, Raja Sulaiman, anak kepada Sultan Abdul Jalil IV dibawa ke Riau tetapi Raja Sulaiman tidak mahu tunduk kepada Raja Kecil. Raja Sulaiman akhirnya berpakat dengan Bugis Lima Bersaudara dan berjaya menghalau Raja Kecil balik ke Siak.

13. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah / Raja Sulaiman / Yang Dipertuan Besar (1722-1760)
Raja Sulaiman ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar oleh Bugis 5 Saudara dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda mengekalkan pusat pemerintahan di Riau (lokasi tepatnya di Tanjung Pinang, Bintan, Kepulauan Riau, INDONESIA). Dengan pemasyuran ini, tahta Kesultanan Johor jatuh semula ke tangan keturunan Bendahara. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah kemudiannya melantik Daing Merewah (Kelana Jaya Putera) sebagai Yamtuan Muda Johor-Riau pertama di bawah naungan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Seterusnya baginda menjalinkan hubungan dengan Belanda melalui Perjanjian 1754 & 1756 yang antara lain isinya memberi hak kepada Belanda memonopoli perdagangan timah di Linggi (sekarang dalam Negeri Sembilan), Kelang & Kuala Selangor (sekarang dalam Negeri Selangor). Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mangkat di Riau pada Ogos 1760 disebut "Marhum Batangan".

14. Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah (1760-1761)
Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah di Kuala Selangor dilantik sebagai sultan Johor ke-14 menggantikan ayahandanya. Bagaimanapun, pemerintahan Baginda tidak lama, lima bulan selepas kemangkatan ayahandanya, Baginda mangkat serta-merta dipercayai diracun. Baginda mangkat di Kuala Selangor dan dimakamkan di Riau, berhampiran makam ayahandanya.

15. Sultan Ahmad Riayat Shah (1761)
Sultan Ahmad Riayat Shah dilantik menggantikan ayahandanya ketika berusia sembilan tahun. Baginda bersemayam di Kampung Bulang, Riau (sekarang di Pulau Bintan, Kepulauan Riau, INDONESIA). Memandangkan usianya yang masih muda, kuasa pemerintahan Kerajaan Johor dipegang oleh Yamtuan Muda Daeng Kemboja (Yamtuan Muda ke-3). Sultan Ahmad Riayat Shah mangkat di Riau dalam usia yang muda dipercayai diracun dan disebut "Marhum Tengah".

16. Sultan Mahmud Shah III (1761-1812)
Selepas kemangkatan Sultan Ahmad Riayat Shah, Sultan Mahmud Shah anak kepada Sultan Abdul Jalil (Sultan Johor ke-12) ditabalkan menjadi Sultan Johor ke-16 dengan gelaran Sultan Mahmud Shah III. Ketika itu, baginda memindahkan pusat pemerintahan ke Daik, Lingga (sekarang dalam Provinsi Kepulauan Riau, INDONESIA) Ketika itu juga, pentadbiran kerajaan berpecah menjadi empat entiti iaitu Temenggung mentadbir Johor (dan Singapura), Yamtuan Muda di Riau, Bendahara di Pahang dan baginda sendiri sebagai Sultan memerintah di Lingga. Inilah permulaan istilah kerajaan Johor – Riau – Lingga dan Pahang yang dipakai sampai ke hari ini bagi merujuk sejarah Kesultanan Melayu yang muncul selepas Melaka -  sebuah pemerintahan beraja yang terbentuk melalui gabungan 4 entiti berbeza di dalamnya. Sultan Mahmud Shah III mangkat di Lingga pada tahun 1812 tanpa menamakan pewaris.

17. Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (1812-1819)
Mengikut adat raja-raja Melayu, anak sulung biasanya dinamakan sebagai pengganti sesudah sultan terdahulu mangkat. Malangnya adat ini diketepikan dalam perlantikan Sultan Johor yang ke 17. Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah III, Yamtuan Muda melantik Tengku Abdul Rahman sebagai sultan mengetepikan kekandanya Tengku Hussin. Perlantikan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah ini turut disokong kuat oleh Belanda untuk memudahkan mereka mendapat kuasa mentadbir pelabuhan seluruh negeri Johor kecuali Riau dan Lingga. Bagaimanapun, kekuasan baginda ke atas Kerajaan Johor tidak lama dengan kehadiran British, kuasa terbaharu yang hadir di kepulauan Melayu.

18. Sultan Hussain Shah / Tengku Husin / Tengku Long / (1819-1835)
Campurtangan British memberi peluang kepada Tengku Husin menjadi Sultan Johor ke-18. Baginda memindahkan pusat pemerintahan dari Lingga ke Singapura. Sayangnya, sebelum sempat tiba di Singapura, British melalui wakilnya, Raffles telah lebih dahulu menjalinkan hubungan dengan Temenggung untuk mendapatkan kebenaran membina loji dan meletakkan satu kompeni askarnya di Singapura. Permainan Inggeris dan Belanda menjadi satu sejarah buruk dalam kerajaan Johor. Kedua-dua Sultan Abdul Rahman dan Sultan Hussain yang menjadi Sultan Johor ke-17 dan 18 diperlakukan tak ubah bagai boneka mainan kedua-dua kuasa kafir tersebut. Kemuncaknya, pada 18 Mac 1824 telah termeterai satu perjanjian antara Inggeris dengan Belanda. Satu perjanjian yang membawa kepada kemusnahan salah satu Kerajaan Melayu selama lebih 300 tahun.

Perpecahan Kerajaan Johor ini menandakan musnahnya salah sebuah empayar Melayu yang hebat selain Acheh dan Patani yang pernah muncul selepas kejatuhan Melaka. Sejak perjanjian itu, Johor kehilangan kuasa ke atas Riau dan Lingga selain kehilangan Pahang yang mengistiharkan merdeka. Johor turut kehilangan Singapura setelah berlaku satu lagi perjanjian dengan Inggeris pada  2 Ogos 1824. Perjanjian itu antara lain menyerahkan kedaulatan Singapura dan pulau-pulau sekitarnya kepada Inggeris.

MELURUSKAN SEJARAH PANJANG: - Johor - Riau - Lingga - Pahang

Saya sering meneliti catatan sejarah tentang Johor-Riau-Lingga-Pahang dari berbagai sumber di internet yang ditulis dari pihak-pihak perseorangan. Banyak dari tulisan itu sangat bersifat memihak dan terlalu kedaerahan sampai terkesan kepada pembaca bahawa Riau-Lingga itu tidak pernah memiliki sejarah panjang secara bersama dengan Johor-Pahang yang sekarang berada di kawalan Negara lain.

Biarpun tidak semuanya, sangat sering terjumpa dalam mana-mana penulisan sajarah oleh mana-mana pihak yang menggugurkan nama Johor dalam sejarah Johor-Riau-Lingga-Pahang. Kalau ada sekalipun, nama Riau diletakkan terlebih dahulu sebelum nama Johor menjadi Riau-Johor padahal menurut saya seharusnya ditulis Johor-Riau. Alasan saya kerana pemerintahan di Johor tercipta lebih dahulu sebelum muncul pemerintahan di Riau.
Hati kecil saya sebenarnya selalu berkata “Barangkali pelajaran sejarah sekarang ini hanya mementingkan semangat nasionalisme, jadi nama lain selain nama yang bersangkutan dengan nasionalisme kenegaraan tidak harus tercatat walaupun ia berhubung rapat.”  Tak tahulah kenapa saya berfikir begitu. Mungkin memang saya anti kedaerahan atau barangkali saya sendiri yang terlalu kedaerahan sampai berkecil hati kalau nama negeri saya Johor tidak terkait. Entahlah.
Contoh kenyataan sejarah sepihak yang sempat saya jumpa ialah dari laman wikipedia seperti ini:
“…Tanjungpinang berasal dari Kerajaan Melayu yang didirikan sekitar Abad 16. Menurut sejarah, pusat pemerintahan berkedudukan di Pulau Penyengat, sekarang ini menjadi lokasi pariwisata budaya sebagai pusat pengembang budaya Melayu. Dengan raja pertama yang memerintah adalah bernama Raja Abdul Rahman.  Pada masa pemerintahan, rajanya dari tahun 1722-1911 menjalankan dengan adil dan bijaksana, sehingga kesejahteraan rakyatnya meningkat dan selain itu juga berhasil menjalankan roda pemeritahnya sehinga terkenal di Nusantara serta Semenanjung…”
Apa yang salah dalam suntingan diatas?
Tidak ada yang salah. Raja Abdul Rahman memang raja pertama di Riau-Lingga. Naik tahta pada tahun 1811 atas sokongan Belanda. Persoalannya, kalau dinyatakan raja Riau-Lingga yang pertama adalah Raja Abdul Rahman (naik tahta 1811), siapakah pula raja yang dikatakan telah mempopularkan Tanjungpinang pada tahun 1722 sampai terkenal di seluruh Nusantara dan Semenanjung?
Dalam hal ini, nampaknya nama Johor telah kabur. Kenyataan Tanjungpinang adalah salah satu ibukota dari sekian banyak ibukota Kerajaan Johor yang sering berpindah-pindah, juga hilang. (dihilangkan?)
Satu lagi suntingan ialah dari seorang penduduk di Acheh melalui laman blognya http://ricisan.wordpress.com
“…Daeng Marewah adalah salah seorang Yang Dipertuan Muda (YDM) pada tahun 1721-1727 pada waktu Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah sebagai kepala kerajaan Melayu periode Riau-Lingga. Yang Dipertuan Muda adalah kepala pemerintahan, yang dapat dipersamakan dengan kedudukan Perdana Menteri sekarang ini. Makam Daeng Marewah terletak di Kota Rebah, dapat kita tempuh ± 35 menit dengan pompong dari Tanjungpinang. Selain daripada itu, Kesultanan Melayu Daik, Lingga dan sultan-sultan lain yang berpusat di Riau, mempunyai sejarah yang juga mengagumkan…”
Sekali lagi tidak ada yang salah dalam tulisan di atas. Daeng Merewah memang dilantik sebagai Yamtuan Muda pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.  Cuma faktanya tidak sempurna. Menurut saya, tak benar kalau dianggap Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah sebagai salah satu sultan Riau-Lingga kerana waktu itu Riau-Lingga masih bersama Johor. Kami di Johor sendiri menganggap, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah adalah Sultan Johor yang ke-13
Satu lagi hal yang boleh saya debatkan dalam teks suntingan di atas adalah, ‘Kesultanan Melayu di Daik, Lingga dan sultan-sultan lain yang berpusat di Riau, mempunyai sejarah yang juga mengagumkan’  Di sini saya sedikit kecewa. Kenapa hanya sultan yang ketika pusat pemerintahan berpindah ke Riau sahaja yang dianggap mengagumkan padahal sepanjang tempoh 1511 sampai 1819, Riau dan Johor silih berganti menjadi pusat pemerintahan. Barangkali menurut penulis, jika pemerintahan dipindahkan ke Johor, kerajaannya mundur dan sejarahnya malap. Sebaliknya setiap kali berpindah ke Riau, sejarahnya gemilang.
Maaf, Apakah sebenarnya yang berlaku dalam pemahaman sejarah pada pemberi kenyataan-kenyataan di atas? Atau sebenarnya kenyataan itu hanyalah hal kecil yang ditulis semata-mata untuk memenuhkan ruang yang sedia kecil dalam internet?  Atau apakah saya yang emosi?
Tak tahulah.
p/s: Sila nantikan senarai sultan yang memerintah kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang 1511 – 1824 dalam posting saya yang akan datang.

Apa ada di Selat Johor?

Ini hasil tinjauan saya secara kebetulan ketika menyusuri Selat Johor dalam perjalanan ke Pulau Batam tempoh hari. Persoalan-persoalan yang sering bermain di benak saya semenjak saya masih kecil, kini terjawab.

Kini saya sudah dapat melihat secara dekat Pulau Ubin dari perairan Johor. Saya juga mulai faham kenapa Malaysia khuatir pada kerja-kerja tambakan dan pembesaran lahan di Pulau Tekong. Saya sendiri mampu membayangkan apa terjadi pada selat sesempit ini pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya saya mampu memberikan kesimpulan secara peribadi setelah rasai sendiri persoalan terkait perbatasan kedua negara yang berkongsi selat selebar kurang satu kilometer.

Saksikan apa yang saya dapat.


Gambar 1
Pemandangan bandar Johor Bahru nampak dari Selat Johor
 Gambar 2
 
Pelabuhan Pasir Gudang, nampak dari Selat Johor
Gambar 3

Perkampungan nelayan di perairan Johor

Gambar 4
Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang


Gambar 5
satu pulau kecil milik Malaysia di Selat Johor

Gambar 6
Pulau Tekong, Singapura, terlihat bangunan dipercayai kegunaan tentera

Gambar 7
Pasir Curi?

Gambar 8
Pasir ini didaratkan untuk pembesaran Pulau Tekong

Gambar 9
Dilarang mendekat, AMARAN dari Singapura

Gambar 10
anak Pulau Tekong ini sedang membesar

Gambar 11
Pulau Ubin, Singapura. Dipagar keliling

Gambar 12
Pulau Ubin, Singapura - Nampakk dari Selat Johor

Gambar 13
Satu lagi kem tentera Singapura di Pulau Ubin, dilihat dari Selat Johor

Gambar 14
Sisi hujung Pulau Ubin, ada aktiviti kayak oleh warga Singapura