بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Malam-malam Putrajaya

Siapa sangka kawasan yang tidak berapa lama dulu merupakan sebuah ladang kelapa sawit, dihuni oleh burung-burung hantu dan tikus kini berubah wajah menjadi bandar moden yang sungguh artistik. Putrajaya yang tersergam indah kini menjadi pusat pentadbiran baru negara Malaysia. Saksikan keindahan Putrajaya di malam hari yang sempat saya abadikan mengguna kamera murah dan berbekal kemahiran seni fotografi yang terhad.

Jom!!!



















ASAL-USUL NAMA TEMPAT DI JOHOR

Asal-usul nama pada sesuatu tempat boleh muncul bergantung kepada beberapa sebab. Ada tempat mendapat namanya dari nama haiwan, ada juga berpunca dari nama tumbuhan, peristiwa-peristiwa dan tak kurang yang mendapat nama sempena nama tokoh tempatan. Antara contoh nama tempat di Johor yang unik dan punya maksud tersendiri adalah seperti Gelang Patah, Kelapa Sawit, Kukup, Rengit, Sungai Mati, Layang-layang, Tongkang Pecah, Buluh Kasap, Puteri Menangis, Tenang, Lima Kedai dan banyak lagi.

Artikal kali ini, biar saya mulai dengan asal-usul nama untuk pusat-pusat pentadbiran bagi sepuluh buah daerah di seluruh Negeri Johor. 

1. Johor Bahru.
Nama ini berasal dari gabungan nama negeri ‘Johor’ dan kata ’baharu’.  Asalnya, pemerintah Johor menitahkan pembangunan sebuah kota yang baharu perlu dibangunkan di Tanjung Puteri (di muara sungai Segget) bagi menggantikan Teluk Belanga di pulau Singapura sebagai Ibu negeri Johor yang baharu memandangkan pulau itu telah diserahkan kepada British. Ibu kota yang baharu itu kemudiannya dinamakan Johor Bahru, bermaksud ibu negeri Johor yang baharu.

2. Batu Pahat
Nama Batu Pahat dikatakan berasal dari peristiwa memahat batu untuk mencari bekalan air tawar di kawasan pantai dekat dengan sebuah kuala sungai (sungai Batu Pahat sekarang). Kerja memahat batu ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (bangsa Siam bukan bermaksud Thai) di bawah pimpinan Awi Dicu pada tahun 1456  yang ketika itu hendak menyerang Melaka.
Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Batu-batu yang telah terpahat itu berbentuk perigi yang sekarang dinamakan Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat.

3. Muar
Muar lahir daripada perkataan ‘muara' bermaksud kuala sungai. Pada zaman dahulu, penempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara sebatang sungai. Versi lain mengatakan, nama itu tercipta berdasarkan kata ‘muna-aru’ yang bermaksud tiga sungai dalam bahasa Tamil yang dinamakan oleh pedagang-pedagang dari India pada masa dahulu. Ketiga-tiga sungai itu merujuk kepada sungai Muar, sungai Serting dan sungai Pahang.

4. Mersing
Asal Mersing kononnya berpunca dari nama seorang pesuruh Sultan Pahang berbangsa Sikh bernama Amer Singh yang dihukum buang daerah ke suatu tempat terpencil kerana melakukan kesalahan berat pada zaman dahulu. Hukuman berlaku ketika kawasan Mersing waktu itu belum menjadi tumpuan ramai penduduk. Bagi merujuk tempat buangan pesuruh sultan itu, penduduk sekitar menyebutnya Amersingh hingga tempat itu kekal namanya menjadi Mersing hingga ke hari ini.

5. Segamat
Segamat berasal dari ungkapan kata ‘segar amat' yang lahir dari mulut Bendahara Tun Tepok dalam pelariannya bersama Sultan Ahmad dan pengikut ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan Portugis. Bendahara Tepok yang mengalami penyakit lumpuh, terpaksa diusung ke perahu. Oleh kerana pada hari itu cuaca agak panas, Bendaraha Tepok berhajat mandi di dalam sungai. “Segar amat rasa badan ini” kata Bendahara Tepok setelah selesai mandi. Ungkapan ‘segar amat’ ini menjadi sebutan ramai pengikutnya hingga kemudiannya menamakan tempat yang mereka singgah itu sebagai Segamat pelesetan dari ungkapan segar amat.

6. Pontian
Nama Pontian dikatakan berasal dari kata ‘perhentian' bermaksud tempat berteduh dari gelora laut Selat Melaka. Dua batang sungai yang saling berdekatan kedudukannya sering digunakan oleh nelayan dan pelayar yang hendak ke Melaka atau Singapura sebagai tempat berteduh. Tempat ini juga sering digunakan sebagai tempat perhentian oleh para lanun untuk menu
nggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Kata ‘Pontian’ itu akhirnya dipakai sebagai nama untuk tempat tersebut hasil evolusi dari nama Perhentian. 


7. Kota Tinggi
Kota Tinggi mendapat namanya sempena lokasi sebuah kota yang dibina di atas kawasan tanah tinggi di tebing sungai Johor bagi menangkis serangan Portugis yang ketika itu sedang bernafsu melenyapkan saki-baki kuasa Kesultanan Melayu Melaka yang telah ditundukkannya pada tahun 1511. Kota ini seterusnya berkembang menjadi ibu kota pertama bagi kerajaan Johor-Riau sebelum musnah dalam beberapa siri serangan oleh angkatan perang Aceh dan Portugis.

8. Tangkak
Nama Tangkak timbul dari gabungan dua perkataan ‘tang’ dan ‘merangkak'. Peristiwa itu berlaku ketika seorang peneroka, Long Mahmud bersama tujuh saudara yang dikatakan terpaksa merangkak untuk naik ke tebing sebatang sungai kerana tanah sekitar kawasan itu lembut dan mudah jerlus ketika melintasinya. Kerana kebiasaan tabiat merangkak, penduduk setempat menyebut tang Merangkak bagi merujuk kawasan itu. Ungkapan ‘tang' memang biasa digunakan orang Melayu bagi merujuk suatu tempat.


9. Kluang
Bandar Kluang diambil namanya sempena nama seekor haiwan, keluang, sejenis kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk setempat berjaya membunuh haiwan lain seperti tupai dan sebagainya yang menceroboh dusun, tetapi mereka gagal menghalau keluang yang begitu banyak datang ke situ lebih-lebih lagi pada waktu petang. Haiwan keluang yang banyak itu dikatakan datang dari sebuah bukit (sekarang Gunung Lambak) di belakang kampung mereka. Akhirnya khidmat dukun terpaksa dipanggil untuk mengadakan suatu upacara di bukit tersebut bagi memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk kampung.

10. Kulai
Kulai berasal  dari perkataan Gui Lai, dari dialek Cina yang bermaksud ‘Kura-kura datang’. Menurut sejarahnya, kawasan Kulai sering menerima bencana banjir bila tibanya musim hujan. Bila banjir, berpuluh-puluh kura-kura akan muncul dari tebing sungai berdekatan dan bergerak menuju ke petempatan masyarakat Cina Hainan. Oleh masyarakat Cina, nama kawasan ini dinamakan Guilai hingga lama-kelamaan berubah menjadi Kulai.

SALAH FAHAM INDONESIA TERHADAP MALAYSIA

Dibawah ini adalah satu artikal dalam Kompas mengenai hubungan kaum dan politik di Malaysia. Ada benar dan banyak silapnya lebih-lebih lagi tentang amalan Hak-Hak istimewa Melayu yang mereka sifatkan sebagai satu diskriminasi ke atas kaum lain. Inilah padahnya jika pihak yang tidak faham akar sejarah mengutarakan pendapat. Kesimpulan saya, Lebih baik tidak bersuara kalau belum tahu hujung pangkal....

Mari Kita lihat artikal yang tersiar dalam akhbar online dari Indonesia ini:

Gemerlap Kuala Lumpur, Malaysia, dengan menara kembar pencakar langit itulah merupakan etalase keberhasilan pembangunan di Dunia Ketiga. Hanya dalam waktu tiga dekade, negeri biji timah dan sawit berubah menjadi negara industri manufaktur.

Tahun 1970-an, negara yang sekarang berpenduduk 28 juta jiwa ini tidak lebih maju dibandingkan dengan tetangganya di Asia Tenggara. Bahkan, Malaysia harus mendatangkan tenaga guru, dosen, dokter, ahli pertanian, dan tenaga profesional lainnya dari Indonesia.

Kini pendapatan per kapita Malaysia sekitar 6.500 dollar AS, jauh di atas Indonesia yang hanya sekitar 1.500 dollar AS. Diperkirakan, lebih dari dua juta tenaga kerja Indonesia mencari nafkah di negeri jiran tersebut. Ratusan ribu lainnya datang dari China, India, Thailand, Myanmar, Kamboja, Banglades, Pakistan, Filipina, dan seterusnya.

Kemajuan ekonomi dan tingginya upah di Malaysia menjadi daya pesona bagi para pekerja migrasi. Akan tetapi, di balik gemerlap tersebut, suatu pergolakan sedang berlangsung. Ia adalah politik rasial warisan kolonial Inggris, yang sekarang mirip api dalam sekam.

Diskriminasi

Dalam bahasa resminya disebut keseimbangan harmonis hubungan rasial. Namun, pada masa lalu pengelompokan masyarakat berdasarkan ras adalah pilar politik pecah belah untuk memudahkan tegaknya kekuasaan kolonial Inggris.

Sejak Malaysia merdeka tahun 1957, segregasi sosial berdasarkan ras ini bukannya dilenyapkan. Sebaliknya, konstitusi Malaysia memperkuat dengan membedakan puak Melayu atau Bumi Putra dengan non-Melayu. Selain itu, Pasal 153 UUD juga menetapkan hak istimewa puak Melayu, yang sekarang menjelma menjadi ”ketuanan Melayu”. Maka, tidak mengherankan jika peran parpol berdasarkan identitas ras tetap dipertahankan, bahkan makin dominan dari tahun ke tahun. Masyarakat India, misalnya, berhimpun di bawah partai Kongres India-Malaysia (IMC); masyarakat Melayu dengan >small 2<Umno, >small 0<dan Partai Islam Se-Malaysia (PAS); masyarakat China mengekspresikan kepentingan politiknya melalui Perhimpunan China-Malaysia (CMA), Partai Gerakan, dan Partai Aksi Demokratik (DAP). Sementara di Sabah dan Serawak, belasan parpol berdasarkan identitas etnik setempat.

Di panggung politik, membentuk pemerintahan dengan berkoalisi dengan IMC dan CMA dalam Aliansi. Koalisi ini membengkak setelah sejumlah partai gurem bergabung. Aliansi kemudian berganti nama menjadi Barisan Nasional pada tahun 1973. Saat ini Barisan Nasional terdiri atas 13 parpol dan tetap dipimpin oleh partai puak Melayu.

Inilah yang disebut sebagai ”hubungan harmonis antarras” dan dibanggakan sebagai fondasi bangsa Malaysia. Akan tetapi, tiga hari setelah pemilu 10 Mei 1969, ”hubungan harmonis antarras” terbukti sangat rawan.

Saat itu DAP dan Gerakan yang beroposisi serta berbasis masyarakat China berhasil menguasai hampir sepertiga kursi parlemen. Euforia pendukung DAP dan Gerakan berakhir dalam kerusuhan rasial yang menewaskan ratusan warga China dan India. Ratusan rumah hangus dibakar massa Melayu dalam aksi kekerasan yang dikenal sebagai peristiwa 13 Mei.

Tunku Abdul Rahman akhirnya mundur tahun 1971. Ia digantikan oleh PM Tun Abdul Razak, yang melihat peristiwa 13 Mei sebagai akibat kesenjangan ekonomi antara puak Melayu yang melarat dan non-Melayu. Ia kemudian meluncurkan kebijakan Dasar-dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun itu.

Tujuannya untuk mencetak tenaga profesional puak Melayu serta penduduk asli Sabah dan Serawak melalui pendidikan. Meningkatkan aset bisnis Bumi Putra dari 2,4 menjadi 30 persen. Untuk itu, DEB menetapkan kuota bagi bagi Bumi Putra dalam berbagai aspek, termasuk dalam penerimaan mahasiswa di perguruan tinggi maupun beasiswa di luar negeri.

Untuk mencapai aset bisnis 30 persen, perusahaan non-Melayu yang akan masuk ke pasar modal diwajibkan menjual 30 persen sahamnya kepada Bumi Putra. Untuk menunjang kemajuan perusahaan Bumi Putra, bank-bank negara menyediakan fasilitas kredit dengan diskon khusus. Selain itu, pelaksana proyek-proyek pemerintah diprioritaskan kepada perusahaan Melayu.

Masih banyak hal lainnya yang masuk dalam kategori ”hak istimewa” Bumi Putra. Sampai-sampai nyaris tidak masuk akal, seperti kewajiban perusahaan non-Melayu untuk mempekerjakan 30 persen karyawannya, warga Bumi Putra, prioritas perumahan yang dibangun pemerintah bagi warga Melayu dengan diskon 5-15 persen.

Selain itu, Bumi Putra mendapat prioritas dalam perizinan, memperoleh kredit perumahan maupun kendaraan. Lowongan pegawai negeri maupun BUMN diutamakan bagi warga Melayu.

Hal tabu

Kebijakan yang diskriminatif ini jelas sangat menyakitkan bagi warga negara Malaysia yang bukan Bumi Putra. Belum lama ini, misalnya, muncul keluhan karena dari 20.000 warga keturunan India yang mengajukan permohonan kredit usaha kecil tidak seorang pun yang lolos.

Diskriminasi dalam pendidikan mengakibatkan sulitnya bagi non-Melayu diterima di perguruan tinggi negeri ataupun memperoleh beasiswa kuliah di luar negeri. Adapun di sektor bisnis jauh lebih ruwet lagi. Banyak perusahaan terpaksa menjual 30 persen sahamnya di bawah nilai sesungguhnya kepada perusahaan atau perorangan dari puak Melayu. Jika tidak, rencana masuk ke pasar modal akan tertunda-tunda.

Kebijakan yang diskriminatif tersebut akhirnya menyuburkan korupsi di kalangan pejabat, elite partai dan para kroninya, termasuk proyek-proyek pemerintah, fasilitas kredit, perizinan, dan peluang menguasai 30 persen saham perusahaan non-Melayu.

Harus diakui bahwa setelah dua dekade berlalu, banyak kemajuan dicapai. Persentase tenaga profesional Bumi Putra—seperti ahli hukum, arsitek, akuntan, dan dokter—meningkat tajam hingga mencapai 30-40 persen dari keseluruhan segmen di Malaysia.

Memang, aset bisnis Bumi Putra hanya tercapai berkisar 18,5 persen. Namun, jauh di atas periode sebelumnya yang hanya 2,4 persen. Pada sisi lain, aset non-Bumi Putra meningkat dari 22,8 persen menjadi 45,5 persen. Sisanya dikuasai pemerintah dan asing.

Akan tetapi, aset Bumi Putra tersebut ternyata hanya dikuasai segelintir perusahaan kroni pejabat maupun elite Partai Umno. Akibatnya, terjadi kesenjangan sosial-ekonomi yang tajam di kalangan Bumi Putra.

Keterlibatan pejabat dan elite partai dalam distribusi aset ekonomi makin menjadi-jadi di era pemerintahan PM Mahathir Mohamad, terutama karena ambisi Mahathir mencetak kapitalis Melayu.

Maka, bukan hal luar biasa jika nilai kontrak-kontrak pemerintah digelembungkan jauh di atas harga pasar. Sebaliknya, perusahaan-perusahaan dan aset pemerintah dijual dengan nilai setengah harga pasar.

Sejauh penyimpangan itu menyangkut ”hak istimewa” puak Melayu, kritik merupakan hal tabu. Apalagi, bagi Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun (1981-2003), ”ketuanan Melayu” adalah hal keramat, final, dan tidak bisa diganggu gugat. Patokannya perubahan konstitusi tahun 1971 dan UU mengenai penghasutan, yang melarang siapa saja—termasuk parlemen—mempersoalkan ”hak-hak istimewa” puak Melayu.

Setelah DEB berakhir tahun 1990, Mahathir melanjutkannya melalui Kebijakan Pembangunan Nasional (KBP) tahun 1991. Pada era baru tersebut mulai lahir konglomerat Melayu, dua di antaranya anak PM Mahathir.

Setelah PM Abdullah tampil menggantikan Mahathir tahun 2003, situasinya tidak lebih baik. Giliran anak dan menantu Badawi yang tiba-tiba meroket jadi konglomerat.

Politik uang pelicin

Sebagai partai yang berkuasa sejak Malaysia merdeka dan sekaligus mengklaim sebagai benteng puak Melayu, Partai Umno menikmati berbagai kemudahan dalam segala sektor, bahkan membangun imperium bisnis.

Akan tetapi, semua berkah tersebut akhirnya menimbulkan dekadensi partai. Politik uang pelicin kini mendominasi pemilihan pengurus Umno di tingkat ranting hingga pusat.

Dalam penyaringan calon presiden maupun deputi presiden Umno pada Oktober lalu, misalnya, Menteri Luar Negeri Rais Yatim terpaksa membatalkan niatnya mencalonkan diri karena besarnya dana yang dibutuhkan. ”Sebaiknya, posisi kepengurusan Umno ditenderkan saja,” ujarnya kepada pers dengan nada gusar.

Nasib lebih buruk dialami tekoh senior Umno, Teungku Razaleigh Hamzah. Ia hanya didukung satu cabang partai. Padahal, minimal dibutuhkan dukungan 56 cabang agar lolos dalam seleksi. Ia mengaku menolak permintaan uang oleh pengurus cabang  Umno.

Warga Malaysia non-Bumi Putra makin kecewa karena pada era informasi,  Umno dan koalisinya dalam Barisan Nasional tidak berubah, tetap korup dengan mengabadikan politik rasialis warisan kolonial Inggris.

Maka, mereka mengekspresikan kemarahannya dengan memilih Pakatan Rakyat—koalisi tiga parpol oposisi—dalam pemilu Maret lalu.

Namun, situasinya menjadi mirip api dalam sekam. Ketegangan yang setiap saat dapat berubah ke arah tidak terduga.

Sumber: http://www.kompas.com/read/xml/2008/12/05/09220510/politik.rasialis.warisan.kolonial.di.malaysia

Belajar Dalam Bahasa Inggeris: 100,000 Murid Bakal Tecicir

Saya dapat fakta ini dari satu surat pembaca dalam Berita Harian 1 Disember 2008. Sumbernya dari mana, tidak pula dinyatakan. Andai ini benar, sahihlah telahan ramai pencinta Bahasa Melayu selama ini. Dan andai ini benar, tentunya ia satu fakta yang bakal digelapkan kerajaan bagi menutup malu atas keterlanjurannya selama ini yang telah tergamak menginggeriskan pendidikan di Malaysia.

Penulis (Adi Putera) menyebut dalam suratnya bahawa kira-kira 100,000 murid tahun satu (setelah enam tahun program PPSMI dijalankan) didapati tidak mampu menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Jumlah ini mewakili 23% dari keseluruhan murid tahun satu di seluruh negara.

Bayangkan betapa besarnya jumlah jiwa yang harus dikorbankan demi memenuhi kehendak sebilangan pemimpin Melayu yang berangan menjadi Mat Saleh.

Baru-baru ini pun Menteri Pelajaran telah berjaya mengaburi mata rakyat Malaysia dengan memanipulasi angka kononnya pencapaian UPSR untuk dua subjek yang diajar dalam bahasa Inggeris naik mendadak berbanding tahun sebelumnya. "Memeranjatkan!!" katanya bangga sambil berniat menutup mulut para pencinta bahasa. Menurutnya lagi, jumlah murid yang memilih menjawab dalam bahasa Inggeris meningkat ratusan kali ganda.

Rupanya rakyat terbodohkan bila fakta sebenar hanya 30% pelajar menjawab dalam bahasa Inggeris sedangkan 100% waktu belajar mereka telah dilakukan dalam bahasa itu selama enam tahun.  Hairan bukan? sudah enam tahun belajar dalam bahasa Inggeris, hanya 30% pelajar yang mampu menjawab peperiksaan dalam bahasa itu. Tapi itulah angka yang cukup dibanggakan dan ia dibandingkan dengan peratusan pelajar tahun-tahun sudah yang belajar dalam Bahasa Melayu. Adilkah membandingkan buah epal dengan rambutan?

Kata saya: Belajarlah mengenal jati diri wahai pemimpinku. Kreativiti datang dari akal, akal datang dari daya fikir, daya fikir terlintas dalam bahasa ibu dan dibajai dengan ilmu. 

Saya tidak berfikir dalam bahasa Inggeris sewaktu kali pertama belajar melukis pokok. 

Percayalah, Enjin diesel belum pernah boleh berfungsi dengan minyak petrol.

Bahasa Malaysia - Bahasa Indonesia

(Catatan kedai kopi) 

Bagaimana rupanya perbezaan pada dua dialek Melayu ini?

Jom.. kita lihat pada pautan: http://mahdzan.com/fairy/papers/indo-malay/index.shtml

Hasil usaha : Fairy Mahdzan

 

Hadiah Paling Berharga

Inilah hadiah yang paling berharga saya terima dari sahabat yang baru pulang dari Negara Brunei Darussalam.

Penuh makna bukan?

KEPUTUSAN UPSR - Mari dengar apa kata mereka.

 

Ali Omar, bapa murid cemerlang:-“Tak sangka anak saya dapat 5A dalam UPSR. Macam tak percaya, tapi kira okeylah sebab di sekolahnya ada ramai murid yang dapat 5A”.

 

 

Selamah Ahmad, guru sekolah:- “Eh, saya betul-betul terkejut sebab di sekolah, prestasi budak tu lain macam,  tapi dia boleh lulus pula subjek matematik dan sains.  Bagaimanapun tahniahlah”

 

 

Affendi, blogger:- “Adakah kerana hendak menjaga maruah dan imej kerajaan yang telah mengeluarkan belanja lebih RM5 bilion untuk program sains dan matematik dalam bahasa Inggeris maka graf gred markah lulus perlu diturunkan?”

 

 

Abu Bakar, guru sekolah:- “Murid saya yang tak faham apa-apa dalam matematik pun boleh dapat markah lulus C. Saya rasa dia tembak saja masa menjawab. Saya tahulah murid saya tu…”

 

 

Aminah, guru sekolah: “kalau dapat 20% pun sudah dianggap lulus, apa akan jadi pada generasi akan datang? Memang betul ramai yang layak masuk asrama penuh, tapi mereka semua tiada kualiti. Kita mahu bangsa kita begitukah?” .

 

nota: semua pemilik testimoni bukan nama sebenar.

ANTARA ISTILAH MELAYU YANG BAKAL PUPUS

Istilah Sains:

  1. Pendebungaan
  2. Pensenyawaan
  3. Penapaian
  4. Sebatian

 Istilah matematik

  1. Kebarangkalian
  2. Pengkamilan
  3. Penaakulan

Istilah lain yang berkaitan sains dan matematik

  1. Kemasan
  2. pemiutang
  3. dan banyak lagi......

Inilah sebahagian musibah bahasa yang bakal berlaku hasil peminggiran Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia. Tunggu saja

 

Berkata Munshi Abdullah pada abad ke-19, Melayulah satu-satunya bangsa dalam dunia ini yang tak sayang pada bahasanya.....

Syair 'Perang Bendahara' - perjelas keruntuhan empayar Johor

Syair itu merupakan kesinambungan dari kisah Sejarah Johor sebagaimana posting saya sebelum ini. Ia menceritakan bagaimana bermulanya sejarah Pahang hasil kemusnahan empayar Johor akibat permainan Belanda dan Inggeris. Syair ini telah disusun semula oleh Tun Haji Omar, cicit bendahara Pahang yang pernah menjadi wakil kerajaan Johor di Jajahan Pahang satu masa dahulu.
Mari kita hayati
Syair ‘Perang Bendahara’

Johor Lingga penuh gelora
Raja ditabal tiada adatnya
Kanda yang tua patutnya bertahta
Yam Tuan Muda melantik dindanya

Bendahara siap nak betulkan adat,
Inggeris durjana pergi menyekat
Dihasut dengan kata yang kesat
Supaya raja bertukar kerabat

Johor Lingga melanggar adatnya
Pecah berderai jadilah ia
Inggeris datang ambil Singapura
Lingga pula dirampas Belanda

Johor Lingga pernah bersatu
Seorang rajanya sudahlah tentu
Adat dilanggar siasah berlaku
Menjadi dua rajanya itu

Pecahlah sudah Johor dan Lingga
Remuklah sudah hati bendahara
Maka bicara memutus kata
Muafakat semua, orang kaya

Wahai ‘rang kaya semua yang ada
Dengarlah ini pertanyaan kita
Kepada siapakah kita beraja
Inggeris, Belanda punya angkara

Patik sekelian pacal yang hina
Kepada tuanku patik beraja
Inggris, Belanda punya angkara
Biar tuanku galang gantinya

Maka sabda, Raja Bendahara
Wahai anakanda Bendahara Muda
Isytihar semua pada semua
Negeri Pahang sudah Merdeka 

SEJARAH JOHOR DAN JAJAHAN TAKLUKNYA

Nama ‘Johor’ berasal dari perkataan Arab, jauhar yang bermaksud batu permata. Sebelum nama Johor dipakai, kawasan dari selatan sungai Muar hingga ke Singapura dikenali sebagai Ujung Tanah diambil sempena lokasinya di penghujung sememanjung Tanah Melayu. Bukan sekadar itu, Johor juga merupakan penghujung paling selatan daratan Asia. Sejarah Johor moden bermula seawal abad ke-16 setelah pembukaan sebuah negeri baru oleh Sultan Johor, anak kepada Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir kerajaan Melayu Melaka yang melarikan diri dari serangan Portugis.
Kerajaan Johor berjaya mengembangkan ekonominya dan menjadi kuasa politik terpenting sesuai dengan lokasinya di laluan perdagangan timur-barat. Di zaman kegemilangan Johor, negeri ini pernah menjadi sebuah empayar besar yang mana kekuasaannya mewarisi sebahagian jajahan takluk Melaka. Empayar Johor termasuklah sampai ke Terengganu di semenanjung, kepulauan Riau-Lingga dan sebahagian pantai timur Sumatera. Bagaimanapun, Johor gagal membebaskan Melaka biarpun telah berperang dengan Portugis selama 130 tahun sepanjang penjajah itu menguasai Selat Melaka.
Sejarah Johor sejak penghujung tahun 1500an hingga penghujung 1600an banyak diwarnai dengan pelbagai cabaran dalam mengekalkan kuasa politik dan ekonominya di rantau ini. Ia berhadapan dengan kebangkitan Acheh di utara Sumatera dan kuasa penjajah Portugis di Melaka. Tidak setakat itu, Johor juga menghadapi tentangan dari dalam negeri apabila kekuasaannya di Sumatera sering dicabar.
Dalam menghadapi Portugis di Melaka, Johor pernah berkerjasama dengan beberapa buah negeri Melayu dan kuasa baru Belanda yang mula menaruh minat bertapak di Nusantara. Pada tahun 1641, Johor dengan bantuan Belanda telah berjaya membebaskan Melaka dari Portugis. Malangnya hasil tipu helah Belanda, Melaka beralih kuasa ke tangan penjajah baru itu, bukannya ke tangan orang Melayu. Pada tahun 1660, Johor berjaya menjadi pelabuhan yang disegani.
Pada tahun 1666 hingga tahun 1673 terjadi peperangan dalam negeri antara Johor dengan Jambi. Pada masa itu, Jambi yang merupakan jajahan takluk Johor sedaya upaya mahu memisahkan diri. Peranan Bugis mula digunakan ketika itu untuk menundukkan Jambi agar terus kekal dibawah takluk Johor. 
Pada tahun 1812, selepas kemangkatan sultan Johor, Sultan Mahmud III yang memerintah Johor dari Lingga, Yam Tuan Riau yang merupakan wakil kerajaan Johor di Riau telah melantik Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor yang baru. Perlantikan ini tidak disenangi oleh kandanya Tengku Hussein kerana merasakan beliau labih layak memandangkan dia anak yang lebih tua. Keadaan ini menyebabkan sedikit kucar-kacir dalam pemerintahan Empayar Johor. Situasi ini merupakan saat keemasan bagi Inggeris dan Belanda untuk mengukuhkan lagi keberadaan mereka di rantau ini.

Pada tahun 1819, British melalui wakilnya Sir Stamford Raffles telah berjanji kepada Tengku Hussein  untuk membantu mengembalikan tahta pemerintahan kepada beliau dengan syarat Tengku Hussein setuju menyerahkan Singapura kepada British. Belanda yang sejak lama telah menjalinkan hubungan baik dengan Johor merasakan keberadaannya terganggu dengan tindakan British itu. Bagaimanapun pertelingkahan Belanda-British ini berakhir bila kedua-dua kuasa itu menandatangani Perjanjian British-Belanda 1924. Perjanjian itu antara lain menyebut kedua-dua pihak mengaku kuasa Inggeris di Singapura dan Kuasa Belanda di selatannya.

Maka bermulanya sejarah baru negeri Johor yang kita kenali hingga ke hari ini. Biarpun dalam perjanjian asal, Tengku Hussein yang sepatut akan memerintah Johor, pemerintahan sebenar  tetap dikuasai Temenggong sebagaimana sediakala. Malah pada tahun 1855, dibawah perjanjian British dengan Sultan Ali ketika itu, Pemerintahan Johor secara rasminya diserahkan ke tangan Temenggong Daing Ibrahim kecuali kawasan Kesang (Muar) yang hanya diserahkan pada tahun 1877. Temenggong Ibrahim selepas itu bertanggungjawab membuka Bandar Tanjung Puteri menggantikan Teluk Belanga sebagai ibu negeri Johor yang baru. Bandar itu kemudiannya dikenali dengan nama bandar Johor Bahru. Sekarang menjadi ibu negeri Johor hingga ke hari ini.

Kejayaan Temenggung Ibrahim diteruskan anaknya Temunggung Abu Bakar yang mendapat gelaran Sri Maharaja Johor. Pada tahun 1866, beliau kemudiannya dimartabatkan sebagai Sultan Johor (1864 – 1895).  Sultan Abu Bakar bertanggungjawab memperkenalkan perlembagan dan menyusun sistem pentadbiran Johor yang lebih berkesan. Beliau juga bertanggungjawab membangunkan Istana Besar sebagai kediaman rasmi. Atas jasanya ini, beliau digelar Bapa Pembangunan Johor Moden. Namanya kini diabadikan pada sebuah menumen dikenali Monumen Sultan Abu Bakar yang dibina berhadapan laut setentang dengan bangunan mahkamah.
Permintaan tinggi terhadap lada hitam dan gambir pada abad ke 19 membawa kepada pembukaan ladang secara besar-besaran di Johor. Hal ini mendorong pengambilan besar-besaran imigran dari China dibawah sistem Kangchu. Sistem ini mula diperkenalkan pertama kalinya di Kangkar (kangchu) Tebrau pada tahun 1844. Selain itu, Imigran India juga dibawa masuk untuk dikerjakan di ladang-ladang getah melalui sistem Kangani yang mula dibuka pada abad ke 19. Sampai saat ini, Johor mejadi negeri pengeluar getah terbesar di Malaysia.
Sistem-sistem ini akhirnya dihentikan di penghujung abad ke 19 pada masa yang sama dengan pembukaan jalan keretapi menghubungkan Johor Bahru dengan Persekutuan Negeri-negeri Melayu yang terletak dibawah kekuasaan British pada tahun 1909.
Pada tahun 1914, melalui tipu daya British, negeri Johor yang ketika itu dikuasai Temenggung Ibrahim akhirnya dipaksa menerima seorang penasihat British dibawa “British Resident System”. Sejak itu bermulalah kekuasaan Inggeris di Negeri Johor secara langsung. Johor menjadi negeri Melayu terakhir yang tunduk ke tangan British. Kejayaan menguaasi Johor itu menjadi pelengkap kepada siri penjajahan kuasa-kuasa asing di negeri-negeri Melayu di Semenanjung termasuklah Siam yang menguasai Patani di Utara.
Ketika perang dunia ke-2, Johor Bahru menjadi bandar terakhir di Semenanjung Malaysia yang ditawan Jepun. Panglima perang Jepun, General Yamashita Tomoyuki selepas itu membuka pejabatnya di Bukit Serene dan memantau kejatuhan British di Singapura dari sana.
Pada tahun 1948, Johor menyertai Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian mendapat kemerdekaan dari British pada 1957.

SUKU SEMAI - Inilah kepelbagaian kita

Ini merupakan kembaran dari jurnal terdahulu saya tentang suku Temiar.
Selain Temiar, Suku Semai, merupakan satu lagi suku yang tardapat dalam bangsa Senoi, salah satu dari tiga Bangsa Orang Asli di Malaysia.
Suku Semai mendiami bahagian tengah Semenanjung Malaysia berhampiran banjaran Titiwangsa. terutamanya di negeri Perak, Kelantan dan Pahang.
Walaupun Semai dan Temiar dikelaskan dalam satu keluarga bangsa yang sama, masing-masing mempunyai bahasa sendiri yang saling berbeza antara satu sama lain. Bahasa-bahasa mereka dikelaskan dalam keluarga bahasa Mon-Khmer, satu keluarga bahasa yang ketika ini banyak dituturkan di Kemboja, Vietnam dan Laos.
Mereka bertutur dalam bahasa yang jauh berbeza dengan Bahasa Melayu. Walaupun begitu, bahasa Semai moden pada hari ini telah terpengaruh dengan bahasa Melayu melalui pinjaman kata, imbuhan dan sebagainya sehingga mengurangkan ciri-ciri Mon-khmer dalam bahasa itu.  Bahasa Semai kini telah diajarkan di sekolah-sekolah terpilih di Malaysia.
Dibawah merupakan sedikit kosakata yang terdapat dalam bahasa Semai dan padanannya dalam bahasa Melayu.
Abek = Ayah
Adih = ini
Aguk = Jangan
Imai = itu
Bah = Anak
Bok = Siapa.
Bor = Cantik
Cagoh = Berdoa
Ciig = Gajah
Dog = Monyet
Empoj = Garam
Eng = Saya
Gah = Berita
Gau = Babi
Gerek = Biawak
Heul = Siamang
Huj = Naik
Juke = Balik
Jek/Jok = Kami
Jenang = Tuhan
Kerek = terkejut
Kacoh = Hulu sungai
Kaweb = Beruang
Keral = Jantan
Kermoh = hantu
Lat = Cawat
Lass = Semut
Leap = sejuk
Luei = Lebah
Ma = Apa
Mai = Orang
Mamek = Harimau
Mengsau = Menantu
Male/Gale = Ubi
Njen = Pakcik
Nejh = Buruk
Pecarak = Mesyuarat (Indonesia; rapat)
Rau = Kera
Sej = daging
Selai = Ladang
Sempok = Madu
Tengloh = tetamu
Tarok = Lembing
Tuluk = Tolong
Wah = anak perempuan
Sumber: Perang Sangkil (Akiya, 2007)

ISU KUOTA 50% BUMIPUTERA

Ini satu isu yang sangat menarik untuk diulas. Apalagi kerana ia bersangkutan dengan kerjaya saya di bidang pembangunan perumahan. Pada mereka yang kurang faham, biar saya jelaskan apa sebenarnya yang berlaku di sebalik isu ini. 

Di Malaysia, sebarang projek pembangunan hartanah kediaman yang dijalankan dalam skala besar, telah disyarat oleh kerajaan supaya sekurang-kurangnya 30% mestilah dijual kepada pembeli Bumiputera. Diulangi, sekurang-kurangnya 30% untuk bumiputera (kecuali untuk beberapa projek di beberapa majlis tempatan seperti di Shah Alam dan Putrajaya). Manakala sebahagian besar bakinya (70%) boleh dijual kepada lain-lain kaum termasuklah warga asing.

Sebelum pergi lebih jauh, ada baiknya kita kaji bagaimana peratusan populasi kaum di Malaysia ketika ini. Tiga kaum utama yang mendiami negara ini ialah Bumiputera (65%) dan bukan bumiputera mengikut pecahan seperti Cina (25%), India (7%) dan bakinya dihuni lain-lain kaum. Secara logik, segala sesuatu yang perlu dikuotakan di Malaysia seharusnya mengikut nisbah populasi kaum di negara ini iaitu 65% Bumiputera dan 35% Bukan Bumiputera. Itulah yang lebih adil.

Bagaimanapun ketidakseragaman kuota telah banyak berlaku terutama dalam hal pemilikan harta. Bumiputera yang mewakili kaum terbesar diperuntukkan kuota yang sedikit  manakala bukan bumiputera yang merupakan kaum minoriti dipeuntukkan kuota sehingga jauh lebih besar. Ketidakseragaman ini telah dibangkitkan  Menteri Besar Kedah setelah Pas mengambil alih pemerintahan negeri itu.

Beberapa hari yang lalu, Menteri Besar (MB) Kedah secara tegas telah mempertikaikan kuota tersebut sekurang-kurangnya di negeri Kedah memandangkan bumiputera negeri itu melebihi 70%. Untuk itu beliau mencadangkan kuota bumiputera ditingkatkan kepada 50% kerana menurutnya amalan biasa mengikut kuota lama hanya mengundang lebih ketidakseimbangan kaum di kawasan-kawasan pertumbuhan. Ini seterusnya mewujudkan perpecahan dan tentunya mendatangkan kesan yang buruk di masa akan datang. Ia juga seolah-olah meniru amalan pecah dan perintah yang diterapkan penjajah – Cina di Bandar, Melayu di kampung dan India di ladang. 

Hakikat sebenar dan mungkin ramai yang tidak tahu ialah; Sejauh mana kemampuan bumiputera untuk memenuhi kuota yang ditetapkan biarpun kuota itu hanya sekecil 30%?

Pengalaman saya selama bekerja di syarikat perumahan sehingga kini sangat menyedarkan betapa benarnya keadaan ini. Setiap kali ada projek perumahan baru dijual, setiap kali itu, ratusan  pembeli akan datang dan ada kalanya sampai bergaduh sebelum rumah idaman dapat mereka miliki. Sayangnya, mereka yang berebut hartanah ini bukanlah pembeli bumiputera. Malah lebih teruk, tidak sampai pun 10% kuota bumiputera dapat dijual. Bagi kebanyakan pemaju, menanti pembeli bumiputera membeli produk mereka bagaikan menanti kucing bertanduk. Atas alasan ini, banyak pemaju mula melepaskan kuota bumiputera kepada bangsa lain.

Persoalannya: Bagaimana MB Kedah boleh meminta ditambahkan kuota Bumiputera jika keadaannya begini? Tentunya lebih banyak kuota bumiputera tidak akan terjual bukan?

Inilah kemelutnya. Bagi pihak MB Kedah sebagai pemerintah, memang sudah tugasnya menyediakan kediaman untuk seluruh warga. Dan kerana itu, beliau merasakan perlu kuota itu ditambah lebih-lebih lagi ketika kuota yang sedia ada tidak mencerminkan keadaan sebenar di negara ini. Dan bagi pihak pemaju, kesukaran memenuhkan kuota sedia ada menyebabkan mereka serta-merta membantah cadangan MB tersebut.

Jadi apa kata saya sebagai insan kerdil yang terlibat langsung dalam bidang ini?

Saya lebih merasakan pembangunan hartanah di Malaysia lebih banyak merugikan Bumiputera. Apa tidaknya, pembangunan di Malaysia pada saya banyak melibatkan pengambilan/penukaran kegunaan tanah dan dalam hal ini, tanah kampung/pertanian milik bumiputera yang lebih banyak terlibat. Malah kubur Islam sendiri lebih banyak  dipindahkan kerananya. Jarang kita dengar kuburan satu kaum terkaya di Malaysia diperlakukan sebegitu untuk alasan serupa. Tidak sekadar itu, mereka kini dibenarkan membangun perkuburan menjadi bagaikan pusat pelancongan atas nama taman peringatan. Seperkara lagi, Tanah Rizab Melayu yang sememangnya termaktub dalam perlembagaan sebagai pemilikan orang Melayu juga sewenang-wenangnya diambil kerajaan dan statusnya ditukar menjadi rizab antarabangsa konon untuk kemajuan. Agak sedih, Rizab Melayu yang telah diambil itu telah digantikan dengan satu kawasan lain yang jauh terperuk ke hulu dan terpencil dari sebarang kemajuan. Malah mungkin ada yang tidak diganti langsung.

Satu contoh yang pernah terjadi, Kampung Sungai Kiah (bukan nama kampung sebenar) yang terletak dipinggiri Kuala Lumpur merupakan satu kawasan penempatan yang telah di diami masyarakat Melayu puluhan tahun dahulu. Kini kawasan itu telah dipindah milik kepada satu syarikat pemaju untuk dibangunkan tanpa disedari penduduk kampung. Sedangkan tanah yang mereka diami itu telah disahkan tanah kerajaan dan cubaan memohon mendapatkan geran hak milik ke atasnya pernah dilakukan beberapa kali malangnya tidak pernah dilayan serius oleh pihak berwajib. Tahu-tahu tanah yang telah mereka dirikan rumah, mereka usahakan dengan tanaman dan ternakan, mereka mohon bekalan api dan air dan mereka jaga bagaikan kampung sendiri biarpun tidak sempurna, rupa-rupanya telah diberi milik kepada pihak lain hanya kerana pihak itu punya RM.

Isu sama kini berlaku di Kampung Baru Plentong Tengah di Johor Bahru.

Suka tidak suka, mereka terpaksa berpindah kerana status mereka kini sudah jadi penceroboh. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa melihat tanah yang pernah mereka teroka, tanah yang mereka duduki 100% kini tidak dapat dipertahankan. Sedikit demi sedikit hak mereka terpaksa dikongsi bersama kaum lain yang asalnya mendatang. Mengikut ketetapan pemerintah, mereka diperuntukkan sekurang-kurangnya 30% saja dari keseluruhan tanah yang pernah diduduki itu. Kalau mereka mahukan lebih, jarang ada pemaju yang sudi berikan hak itu kepada mereka dengan harga diskaun Bumiputra. Lebih baik pemaju berikan kepada kaum lain yang sanggup membayar penuh.

Dan satu lagi ketetapan kerajaan yang asalnya bermaksud membantu golongan berpendapatan rendah ada kalanya turut dimanipulasikan pemaju. Ketetapan itu ialah 10% Rumah Kos Rendah (luasbina 650kaki persegi) mesti disediakan pemaju di setiap projek pembangunan yang mereka bangunkan. Ketetapan ini telah digunakan sebaik mungkin supaya mereka dapat memenuhkan sekurang-kurangnya 10% dari 30% kuota bumiputera yang ditetapkan kerajaan. Hasil kebijaksanaan itu, pemaju kini hanya bertanggungjawab mencari 20% baki kuota Bumiputera untuk mencukupkan syarat kuota yang ditetapkan dan baki kuota itu diperuntukkan kepada 90% unit kediaman lain yang berkos lebih tinggi.

Malangnya tidak ramai bumiputera yang berkemampuan memiliki 90% unit kediaman lain yang berharga lebih tinggi yang dibina pemaju. Di sinilah bermula permainan tarik tali antara pemaju dengan pemerintah - Pemerintah mahukan kuota, dan pemaju mendakwa kuota tidak dapat dipenuhkan atas alasan kesukaran mendapatkan pembeli bumiputra. Hakikat bahawa mereka membina kediaman dengan harga di luar kemampuan bumiputera tidak disebut. Dan mereka pula pada masa-masa tertentu mendesak kerajaan menaikkan paras harga biarpun harga sedia ada sendiri sudah sukar dimiliki bumiputera. Jadi untuk siapa rumah-rumah itu?

Ketika kenaikan harga minyak yang mendadak baru-baru ini, Persatuan pemaju perumahan Malaysia (Rehda) menuntut kerajaan sekali lagi menimbangkan kenaikan harga ekoran kenaikan bahan binaan yang turut meningkat. Anehnya ketika kerajaan menurunkan harga minyak, harga barang yang didakwa meningkat itu tidak pula berkurangan. Jadi jika begini keadaannya, bagaimana kuota bumiputera dapat dipenuhkan? Saya percaya, Rehda lebih suka jika kerajaan hapuskan saja kuota bumiputera itu.

Dan dalam kemelut yang tidak tahu puncanya ini, MB Kedah keluar dengan ideanya yang sukar difahami sesetengah pihak. Saya berterima kasih dengan idea bernas MB itu. Ia sekurang-kurangnya menuntut agar pemerintah pusat berfikir tentang apakah punca sebenar di sebalik semua ini.  Selama ini di setiap permintaan Rehda diterima,  maka sekali ini cubalah tidak dilayan permintaan itu sebaliknya biarlah diberi tekanan agar mereka berfikir bahawa tidak semudah itu mendapat paha sesudah dihadiahkan betis kepada mereka.

Diharap idea MB kedah ini berjaya merungkai apa sebenarnya yang berlaku disebalik permasalahan ini.

SEBUAH NEGARA BERNAMA SURINAM

Gambar di sebelah merupakan sebuah peta menunjukkan lokasi negara Surinam (juga dieja Suriname) Apakah yang menarik tentang negara ini?. Mungkinkah kerana saya pernah ke sana maka saya menulis tentangnya? Tidak sama sekali. Saya belum pernah sampai ke sana.

Surinam ialah sebuah negara di Amerika Selatan. Berjiran dengan Brazil di sebelah Selatan, Guyana di sebelah barat dan France Guyana di bahagian timur. Negara ini merupakan sebuah kolonial Belanda dan mendapat kemerdekaan pada 25 November 1975.

Telah sekian lama saya mencari artikal tentang Surinam. Banyak perkara yang ingin saya tahu tentangnya. Tentang masyarakatnya, tantang bahasa, tentang budaya, tentang sejarah, tentang muka bumi, tentang cuaca dan banyak lagi. Dan semalam, slot Majalah 3 di TV3 menyiarkan dokumentari tentang negara ini. Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, saya terpaku di depan tv tanpa bergerak sedikit pun kerana tak mahu lepaskan peluang mendalamkan lagi pengetahuan saya. Terima kasih TV3.

Ada apa dengan Surinam? Jika kita fikir hanya Malaysia dan Singapura (selain dari negara-negara yang menjadi multirasial akibat migrasi moden) adalah negara paling multirasial di dunia, tunggu dulu; kita mungkin perlu fikirkan sekali lagi kerana Surinam lebih hebat dari banyak negara multirasial di dunia. Di Surinam, suku Jawa, bangsa Cina dan India hidup berdampingan dengan bangsa-bangsa negro Afrika, bangsa Eropah, dan Kreol (Peranakan Eropah + Afrika). Mereka sama-sama berkongsi satu negara dengan bangsa pribumi Amerindian di sana. Menarik bukan? Tidak sekadar itu, masing-masing memiliki peratusan populasi yang hampir sama banyaknya. Bayangkan bagaimana pemerintah di sana menyatukan rakyat berbilang ras ketika masing-masing memiliki suara yang seimbang. 

Majalah 3 semalam memaparkan siri khusus kehidupan bangsa pribumi Amerindian dan masyarakat suku Jawa di Surinam. Saya lebih tertarik mengulas kehidupan masyarakat Jawa kerana rasa berkerabat sementara saki-baki darah Jawa masih mengalir dalam tubuh ini. Dan kepada semua suku Jawa di luar tanah leluhur di Pulau Jawa, jangan dilupakan Surinam kerana ada saudara-mara kita tercampak di sana. Mereka meneruskan hidup penuh cabaran di tanah yang sangat jauh dari habitat asal.

Masyarakat Jawa mula dibawa penjajah Belanda ke Surinam (dulu Dutch Guyana) pada tahun 1890an. Ketika itu para tawanan dari tanah jajahannya di Hindia Timur Belanda (Indonesia sekarang) dikerah untuk berkerja di ladang tebu menggantikan sistem perhambaan bangsa Afrika yang sudah diberhentikan. Sebenarnya tidak hanya suku Jawa yang di bawa ke Surinam, Belanda turut membawa suku-suku lain seperti Batak dan Madura tapi kerana jumlah suku Jawa lebih dominan, mereka lama-kelamaan terjawakan oleh faktor masa.

Apa yang menarik seperti didedahkan oleh TV3 semalam, masyarakat Jawa Surinam sangat teguh mempertahankan tradisi. Kebudayaan dan bahasa Jawa masih diamalkan dan diperturunkan ke generasi muda walaupun ianya berkembang sendiri dalam lingkungan mereka yang terpisah. Biarpun begitu, syabas diucapkan buat mereka atas keteguhan itu biarpun pengaruh budaya bangsa lain sangat jelas di sana. Malah tidak keterlaluan kalau dikata Jawa Surinam lebih Jawa berbanding Jawa Malaysia, Singapura atau mungkin Jawa di Pulau Jawa sendiri. Atas inisiatif pemerintah Indonesia, kebudayaan Jawa kini berjaya dikembangkan kepada lain-lain kaum di Surinam.

Selain bahasa Jawa, mereka turut bertutur bahasa Belanda sebagai bahasa rasmi di Surinam. Bagaimanapun ketika ini generasi muda mula berturut bahasa Sranan Tongo, satu bahasa yang mulanya dituturkan bangsa Kreol tapi kini berkembang menjadi lingua-franca di seluruh Surinam. Hanya sebilangan generasi tua di sana yang mampu berturut dan memahami bahasa Melayu. Ketika ini pemerintah Indonesia melalui kedutaannya mula menganjurkan kursus Bahasa Indonesia. 

Jawa Surinam juga menjadi penyumbang terbesar penganut Islam di negara itu. Sebagai orang tawanan, mereka hanya mengamalkan Islam sebagaimana apa yang pernah mereka praktikkan di tanah jawa dulu. Bagaimanapun kini ramai pendakwah Jawa dari Indonesia datang ke Surinam untuk mengukuhkan lagi pegangan suci itu.

Sebagaimana disampaikan TV3, penduduk Surinam kini menggunakan matawang Dollar menggantikan Guilder mulai tahun 2004. Apa yang menarik, penduduk keturunan Jawa di sana hingga kini tetap menyebut Dollar Surinam sebagai Ringgit. Hal ini sama sebagaimana Melayu Singapura satu masa dulu menyebut Ringgit untuk Dolar Singapura dan sama halnya seperti Cina Malaysia menyebut Kwai untuk Ringgit Malaysia hingga kini. Mungkin sebutan Ringgit pernah mereka gunakan pada zaman dahulu semasa di Nusantara sebelum mereka di bawa berpindah ribuan batu jauhnya ke benua Amerika.