بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Pavilion Johor di MAHA 2010




Inilah pavilion negeriku Johor saat dipamerkan di Pameran MAHA2010 baru-baru ini. Tak melampau kalau aku katakan, inilah pavilion negeri paling cantik dalam pameran itu. Betul'kan??. Antara isi dalamnya adalah info negeri, produk pertanian (Johor adalah negeri pengeluar utama nanas, pisang, getah dan kelapa sawit di Malaysia), makanan tradisi popular seperti telur pindang, otak-otak, tempe dan pisang salai, dan kesenian kuda kepang selain alunan muzik ghazal dan zapin.

Jom saksikan antara yang saya dapat.

Pavilion Negeri-negeri MAHA 2010




Ini Pavilion negeri-negeri di Malaysia yang dipamerkan sempena MAHA 2010 baru-baru ini. Ada 12 semuanya. (kecuali Johor yang akan ada album khusus untuknya nanti). Masing-masing menampilkan keunikan rumah tradisional atau moden mengikut identiti negeri. Memang agak susah merakamkan gambar waktu ini kerana pengunjung datang berpusu-pusu. Mau atau tidak, terpaksa ambil saja apa yang dapat. Saksikan.

Tahun 2011. Kembalilah berMultiply.

Sekali lagi kita bakal menyambut tahun baru. Tahun depan tahun ke 6 aku menyambutnya sebagai pengguna Multiply. Tahniah. Tidak disangka, Multiply buka jalan untuk aku jelajah ke banyak daerah di luar negara. Multiply tidak biarkan aku terus hilang sahabat, sebelum kenal Multiply, aku dapat rasakan sahabat lamaku hilang satu demi satu sesuai masa berlalu. Di Multiply, aku tidak keseorangan. Banyak sekali sahabat baru telah aku dapatkan. Biarpun awalnya tidak pernah bertemu mata, tidak kenal gerangan siapa, kini telah ramai dari mereka yang akhirnya jadi bahagian dari hidupku. Meski mulanya hadir sekadar sahabat maya, Multiplylah mediumnya yang jelmakan mereka di depan mata pada kondisi yang nyata. Multiply cipta keajaiban. Hilang satu sahabat lama, berganti satu sahabat baru. Syukur pada Tuhan, aku tetap tidak sendiri.

Multiply merangkumkan rumpun yang terpisah jauh jadi satu. Alhamdullillah, aku punya kenalan berbahasa Melayu sejauh Timor Leste selain Indonesia, Singapura, Selatan Thai dan Brunei. Termasuk juga kenalan berbahasa Melayu yang kini menginap sementara di negara bukan bahasa Melayu seantero dunia. Sejak sertai Multiply, aku tidak lagi bersusah-payah tempah hotel setiap kali ke Indonesia dan Singapura. Punya banyak kenalan di sana yang sedia membantu. Tanpa di sangka, mereka baik-baik belaka. Aku tak lagi susah-susah susun acara, mereka yang aturkan semuanya, mereka yang jadi pemandunya pada tarif percuma. Malah sampai ada yang sanggup mengajak aku bermalam di rumah mereka. Sungguh, Multiply banyak berjasa. Belum pernah aku rasakan ini dalam mana-mana laman sosial lainnya. Termasuklah laman sosial yang sekarang jadi kegilaan baru; Facebook!.

Sayang Multiply kini kian lesu. Sekarang pengguna Multiply berlumba-lumba buka akaun di Facebook. Malah ada yang langsung pindah ke sana tanpa kembali lagi. Sampai aku juga terikut buka akaun di sana.

Facebook memang lebih terampil. Mudah dikendali dan mudah mencapainya. Cuma sayang selama aku berFacebook ria, tidak menjelma walau satu pun kawan baru secara nyata sampai dapat dilihat di mata. Meski tiap hari ada kontak terbaru, semuanya terbatas setakat “like the status” malah paling-paling hanya bersembang di chatbox 5minit sekali seminggu. Pun begitu, tak dinafikan memang Facebook ada jasanya. Aku kini jumpa lagi dengan kawan-kawan lama setelah 13 tahun terpisah. Terbuka semula memori lama yang pernah tersimpan di hati saat bersama mereka dulu. Mungkin, pada pandanganku hanya inilah kelebihan facebook.

Buat semua, selamat tahun baru 2011 diucapkan, pada rakan-rakan lama yang pernah bersama di Multiply dulu, kembalilah ke sana. Isikan lamanmu semula sesuai kecenderunganmu - tentang budaya, tentang bahasa, tentang dunia foto, tentang politik, tentang perjuangan, tentang agama dan apa saja segalanya. Kerana semua inilah kita yang tak pernah saling kenal, kini jadi sahabat.

Malaysia Agriculture, Horticulture, and Agrotourism (MAHA)




Inilah sebahagian foto yang sempat saya rakamkan dalam kunjungan saya ke Pertunjukan Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Pelancongantani Malaysia (Maha) 2010 baru-baru ini. Pertunjukan ini mencatat sejarah tersendiri bila diiktiraf sebagai pameran terbesar seumpamanya pernah dianjurkan di kawasan Asia Tenggara. Selain kementerian berkaitan, agensi dan syarikat persendirian dalam negara, pameran ini turut disertai 22 negara lain seluruh dunia. Saksikan

Cerita Lucu Politik Malaysia

Saya kadang-kadang ketawa sendiri lihat perkembangan politik Malaysia. Makin bercelaru. Si A tuduh B, si B mengata A. Kalau si B melalut, Si A pun banyak melatah. Pendek kata, 2 kali 5. Tapi tak dinafikan kata-kata kedua belah pihak itu kadang-kadang ada benarnya walaupun dalam latahan dan lalutan mereka.

Baru-baru ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) nyatakan pendirian melupuskan Ketuanan Melayu. Memang sudah dijangka ramai orang Melayu akan melenting (sudahpun melenting). Dan tanpa disangsikan lagi, kenyataan kontroversi itu pantas dieksploitasi pihak lawan. Dari individu, NGO sampailah datuk-datuk menteri telahpun menggunakan isu ini demi kepentingan politik mereka.

Saya peribadi, juga melenting sebaik membaca judul satu berita "Hapuskan Ketuanan Melayu" dari sebuah surat kabar. Sangkaan saya, antara lain presiden PKR itu tentu juga bermaksud hapuskan sistem beraja yang diamalkan di Malaysia. Namun setelah dibaca isinya, saya sangat setuju dengan kata-kata tuan presiden PKR itu. Menurut tuan presiden, terma itu tak ubah bagai senjata ampuh milik sebuah parti politik lawan untuk meraih sokongan orang Melayu demi melanjutkan pemerintahan mereka. Hal ini memang betul dan saya sendiri rasakan bahawa terma itu isinya kosong. Tuan presiden tidak sentuh sedikitpun tentang kekebalan Raja-raja Melayu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam huraiannya. Cuma barangkali tuan presiden terkilaf semasa membezakan Ketuanan Melayu, dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu.

Entahlah, atau mungkin saya yang keliru.

GANYANG ARAB SAUDI ?

Dalam masa terdekat ini, media Malaysia melaporkan dua kejadian sadis menimpa dua tenaga kerja wanita dari sebuah negara jiran yang berkerja di Arab Saudi. Satunya disiksa dengan mulutnya digunting sambil terdapat kesan darah dalam otak mangsa akibat hentakan kuat; manakala satu berita lagi tentang penemuan jasad tenaga kerja wanita dari negara yang sama dalam sebuah tong sampah. Mangsa ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Saya percaya dua isu ini bukan kejadian pertama terjadi kepada tenaga kerja dari negara jiran itu. Cuma yang saya hairan, Rakyat dari negara jiran itu masih senyap dan memandang sepi akan nasib rakan senegaranya yang berkerja di sebuah negara Arab itu. Hal ini sangat kontra kalau isu sama tejadi kepada warganya yang berkerja di Malaysia. Habis Malaysia 'diganyang' semahunya seolah-olah tidak sempat menunggu esok biarpun isunya hanya sekecil patah gigi. Jadi kalau begini, apa sebenarnya yang mereka tegakkan? Saya geleng kepala.

Bahasa Arab Terpinggir di Lubnan

Lubnan (Lebanon) terletak di pesisir Laut Mediterranean. Ia bersempadan dengan Syria di utara dan timur dan dengan Israel (baca: Palestin) di sebelah selatan. Sesuai dengan lokasinya di Timur Tengah, Lubnan ialah sebuah negara Arab.  95% penduduknya berbangsa Arab dan Bahasa Arab dialek Lubnan dijadikan bahasa rasmi. Namum bahasa Arab bukanlah bahasa popular di negara ini. Sama masalahnya dengan di Malaysia, generasi muda Lubnan sudah sampai tahap malu berbahasa Arab sesama sendiri.

Negara ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1943 dari penjajah Perancis. Inilah satu-satunya negara Arab berpenduduk Kristian paling ramai di dunia Arab. Di sini lebih 40% Arab Lubnan beragama Kristian. Mungkin faktor penjajahan dan agama jadi punca pupusnya bahasa ibunda negara ini. 

Walaupun diangkat menjadi bahasa negara, Arab bukanlah satu bahasa pilihan di kalangan rakyat Lubnan. 70% penduduk negara ini belajar di sekolah swasta yang menggunakan bahasa Inggeris. Manakala kebanyakan ibubapa di Lubnan berkomunikasi sesama ahli keluarga di rumah mengunakan gabungan bahasa Perancis dan Inggeris dan sedikit bahasa Arab.

Walaupun banyak generasi muda negara ini boleh memahami bahasa arab, penggunaan bahasa itu hanyalah terbatas setakat difahami tapi tidak dituturkan. Bukan sekadar itu, semakin ramai anak-anak Lubnan yang lebih kenal ABC berbanding abjad Arab Aliff, Ba, Ta. 

Kecenderungan Ibubapa Lubnan menghantar anak-anak ke sekolah swasta mendorong kerajaan negara itu memperkasakan sekolah kebangsaan melalui pengukuhan bahasa Inggeris. Ini merupakan satu lagi usaha kurang bijak yang akhirnya menjadikan bahasa Arab kelihatan bodoh, kompleks dan sukar dipelajari.

(Dipetik dan diolah dari artikel asal dalam Kosmo 20 Ogos 2010.)

Kata Saya: Usaha bodoh kerajaan Lubnan itu kini ditiru oleh kerajaan Malaysia. Malah usaha yang kurang bijak itu kini sudah membuahkan hasil. Sekarang semakin ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu. Malah generasi muda Melayu sendiri sudah sampai tahap malu menggunakan bahasa itu.

12.05pagi, 5 November 2010. Pantai Dalam awal hari ini digegarkan dengan beberapa siri letupan separa kuat disusuli deretan letusan kecil bagaikan tembakan senapang. Bertali-arus. Semuanya berlaku selama setengah jam. Kedengaran bayi-bayi menangis ketakutan sambil para ibu menjerit melarang anak-anak kecil mereka mendekat. Dari jauh terlihat percikan api menjulang ke langit lalu pecah dan berbunga di udara. Asap tebal lantas menyelubungi, disusuli bau belerang yang menusuk. Ratusan penduduk yang kehairanan mula bergegas melihat apa yang berlaku. Ada yang turun tak cukup tangga menuju ke bawah, tak kurang yang terjengok-jengok menerusi jendela sambil muka tercengang-cengang kerana menyangka genderang perang sudah dipalu. Malah ada yang berdoa: "Ya Allah selamatkanlah kami". Tiba-tiba terdengar tepuk gemuruh dan sorak-sorai satu pihak lain seolah-olah telah menang melawan musuh. Dan mereka menjerit kegembiraan sana-sini sambil bersalaman sesama sendiri lalu mengucapkan salam "Deepavali Valtikal".

SEJARAH KEBERADAAN MELAYU SEMENANJUNG DI BERBAGAI WILAYAH INDONESIA

Pengetahuan terhad terhadap sejarah keberadaan MalaysiaIndonesia banyak mengundang masalah hubungan dua negara berjiran ini. Tentunya kita sedar banyak tuduhan-tuduhan tidak berasas tentang pencurian budaya, kemiripan seni dan banyak lagi masalah lain yang dibangkitkan dan bakal dibangkitkan lagi satu masa nanti oleh mereka yang buta tentangnya. Mujur telah ada usaha dilakukan bertujuan menegak kekusutan ini demi membendung kejadian salah sangka sesama jiran.

 

Baru-baru ini telah berlangsung persidangan Memori Kolektif Indonesia – Malaysia dengan tema Pengalaman dan Iktibar Hubungan Indonesia – Malaysia di Johor Bahru pada 1 hingga 3 Oktober lalu. Para hadirin terdiri daripada ahli Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dan Masyarakat Sejarawan Indonesia (MSI).

 

Satu perkara menarik yang dibentangkan MSI adalah tentang pengaruh orang Melayu Semenanjung ke atas segenap pelosok Nusantara yang sekarang sebahagian besarnya bergabung dalam Negara Kesatuan Republik Indonesia.  Satu pendedahan menarik yang tidak pernah disedari selama ini. Lebih-lebih lagi oleh generasi muda Indonesia. Dan yang lebih menarik, hal ini disentuh oleh wakil Indonesia sendiri.

 

Dedahan MSI ini berkisar tentang sejarah yang berlaku selepas kejatuhan Melaka tahun 1511 ke tangan Portugis. Menurut MSI, selepas pusat perdagangan terkemuka itu menjadi titik pertama di Nusantara yang jatuh ke tangan penjajah, ramai penduduknya meninggalkan Melaka menuju daerah-daerah lain. Ini termasuklah oleh Sultan dan pembesarnya yang mengasas kerajaan baru di Johor dan Bintan (Johor – Riau),  pedagang Melaka yang pindah ke Tuban dan Grisek (Jawa), Gowa (Makassar) dan ke Kupang (NTT) dan ada juga yang mencari penghidupan baru di Aceh dan Pantai Barat Sumatera (Sumatera), Banten (Jawa) dan Ambon (Maluku).

 

Tambah MSI, pedagang yang merantau ini mengidentifikasikan diri sebagai Orang Melaka di daerah-daerah baru itu. Malah mereka mendapat layanan yang baik di Makassar hingga diberi gelar Kapitan Melayu. Hingga ke hari ini masih ada organisasi sosial di sana yang menamakan komuniti mereka sebagai Kerukunan Keluarga Melayu Indonesia Keturunan Melaka.

 

Di Nusa Tenggara Timur, para pedagang Melaka yang dikenal sebagai Sunan Mutin Melaka berhasil mendirikan kerajaan Wesei Wehali hingga menjadi sebuah kerajaan kuat di sana. Malah di Belu Utara juga didirikan kerajaan Lamaknen dan Jenilu.

 

‘Orang Melaka’ turut membawa bersama mereka artifak seperti tanah, meriam, kelawang, gading, perhiasan dan gong yang semua ini akhirnya dijadikan pusaka kerajaan yang dianggap suci dan dipakai sewaktu pertabalan raja-raja di sana, hal yang sama berlaku seperti pertabalan raja-raja di Semenanjung Tanah Melayu.  

 

Selain daripada pengaruh Melayu Melaka di berbagai wilayah Indonesia, terdapat juga peranan Melayu Johor di Sambas (Kalimantan) dan Buton (Sulawesi). Pertabalan Kesultanan Sambas pada abad ke-15 mendapat perkenan Kesultanan Johor, manakala di Buton, seperti dinyatakan dalam Hikayat Selanjogo, seorang putera raja Johor telah menubuhkan kerajaan Buton pada abad ke-14.

 

Maklumat tambahan dari MSI juga tak kurang menariknya, menurut seorang wakil mereka,  Inyo Yos Fernandes, orang Melayu dari Semenanjung dan Sumatera telah pindah ke timur Indonesia lebih awal sebelum zaman Srivijaya. Mereka inilah yang menyebarkan bahasa Melayu hingga ke Flores, Maluku dan Timor. Sejak zaman itu lagi bahasa Melayu telah menjadi bahasa maritim dan lingua franca di kawasan berkenaan. Sampai hari ini, boleh dilihat varian bahasa Melayu di timur Indonesia seperti Melayu Kupang, Melayu Lamholot, Melayu Alor dan sebagainya.

 

Sepanjang penguasaan penjajah Eropah di Kepulauan Melayu, ramai pendatang Melayu Semenanjung terpaksa beralih kerjaya dari peniaga kepada petani ekoran monopoli perdagangan yang dilakukan penjajah tersebut. Ada yang pindah jauh ke tengah daratan dan beranak pinak di sana.

 

Melihat pendedahan ini, dapat dipastikan bahawa hingga kini unsur Melayu dan kemelayuan tetap terpelihara di seluruh Nusantara biarpun di sesetengah kawasan hanya tinggal bahasa, lebih-lebih lagi di wilayah timur Indonesia. Di kawasan timur, Memori Kolektif IndonesiaMalaysia tak terasakan lantaran kukuhnya agama bukan islam di kawasan tersebut - satu hal yang asing bila berbicara soal hubungan serumpun dua negara ini. Iaitu tentang kesamaan bahasa, agama dan budaya.

 

Kesan kehadiran Melayu Semenanjung di berbagai tempat di Indonesia adalah salah satu ciri penting pada erti keserumpunan. Sama pentingnya seperti erti keserumpunan Jawa – Melayu, Bugis – Melayu atau Banjar – Melayu di Malaysia. Sayangnya rasa keserumpunan pada masa ini hanya tinggal sisa dan barangkali menjadi mitos dan nostalgia saja satu hari nanti. Hal ini demikian kerana adanya anutan konsep negara-bangsa lebih-lebih lagi selepas masing-masing negara dijajah kuasa asing yang berlainan. Di tambah dengan rasa kenegaraan melampau, semangat keserumpunan itu barangkali hanya terhad sekadar tinggal di lokasi yang sama saja, tidak lebih dari itu. Jika tidak diluruskan hal-hal sepenting ini, tidak akan ada siapapun yang tahu bahawa, sebahagian raja-raja di Semenajung keturunan Bugis, Kesultanan Buton di asas oleh kerabat diraja Johor. Perdagangan di Gowa dimeriahkan pedagang Melayu keturunan Melaka dan separuh warga Johor dan Selangor keturunan Jawa.

 

Ini adalah ulasan saya berhubung satu artikel yang tersiar dalam Utusan Malaysia, 11 Oktober 2010 berjudul Memori Kolektif sejarah Malaysia – Indonesia berhubung pendedahan Masyarakat Sejarawan Indonesia (MSI) di Johor Bahru. Di harap tulisan saya mampu  membuka mata rakan-rakan dari negara jiran kerana saya yakin pendedahan menarik dari MSI itu tidak akan pernah disiarkan di media negaranya sendiri.

Tetangga Sebelah: Dua Dunia Berbeza

Hari ini genap 11 hari temanku dari seberang meloloskan diri dari ditangkap pihak berkuasa Malaysia. Entah apa kabarnya, aku tak tahu. Entah selamat atau tidak dia saat naik perahu meninggalkan Semenanjung lewat jalan gelap membelah selat Melaka menuju Dumai tempohari. Akupun lupa sejenak soal dia gara-gara terlalu menumpukan Ramadhan kali ini. Hanya yang aku tahu, belum ada kemalangan di Selat Melaka yang dilaporkan sepanjang tempoh ini.

Mungkin dia selamat mendarat di Dumai, kemudian bermalam sejenak di sana sebelum meneruskan perjalanan darat menuju Pelabuhan Bakauheni untuk tempoh dua hari lagi. Selepas itu, mungkin dia berangkat naik kapal meninggalkan Sumatera menuju Jawa sebelum selamat tiba ke kampungnya di Kudus, Jawa Tengah. Dan pada hari ini, mungkin dia sudah kembali bersatu dengan keluarganya di Desa Karangrowo, desa asri yang pernah menjadi lokasi inapdesa bagiku setahun yang lalu. Barangkali begitulah.

Tapi, baru tadi aku terima kiriman sms berbunyi begini "mlm bang, bapakku ada tlf apa tidak bang, kok bapakku belum sampai bang? bls". Sms ini datangnya dari Siti, anak temanku yang meloloskan diri itu. Dia kini masih belajar di kelas 3 SMA di Kudus. Biaya sekolahnya sangat bergantung rezeki yang dikais ayahnya selama menjadi pendatang gelap di Malaysia.  

Hairan sejenak aku saat menerima sms dari anaknya. Mengikut perkiraan logik, tempoh 11 hari sudah sangat memungkinkan untuk temanku itu sampai ke kampungnya biarpun aku sendiri belum pernah melewati jalan darat sejauh itu. Lantas aku jawab "tidak tahu" dalam bahasa yang paling sopan agar anaknya tidak terlalu bimbang.

Dan inilah jawapan yang aku dapat hasil balasan sms-ku itu; "Bang, q di suruh mak tanya sama abang, mak pengen ke Malaysia, apa kalau mak ke Malaysia abang bisa carikn kerjaan buat mak, bang?  buat biaya sekolah sm masa depan q bang. bls"

Mati akal aku terima permintaan seperti itu, terlalu daif rasanya kehidupan mereka. Tidak tahu apa harus ku jawab dari pertanyaan yang sebesar itu. Lalu aku biarkan saja pertanyaan itu terlupakan tanpa dibalas.

Dan dalam situasi begini saat sebahagian teman-teman di sana sibuk berteriak di jalanan, sambil tangannya membakar bendera, kemudian bergabung dalam laskar jihad sambil membawa bambu runcing lalu berteriak ganyang, ganyang dan ganyang yang tanpa sedar sudahpun melukai hati sasarannya; mereka terlupa ada saudaranya di sana yang masih terus mengharap simpati.

Getirnya Perjuanganmu Tetangga Sebelah...

Jam 3.30pagi waktu Malaysia, lenaku tidak panjang hari ini. Telefon berdering, entah siapa memanggilku dinihari begini. Aku jawab juga panggilannya takut kalau-kalau ada hal mendesak melibatkan keluarga atau kenalan terdekat. "Hello" tanyaku tanpa benar-benar tahu siapa pemanggilnya. "Hello bang, Ini aku Agos" jawab dia. "Mohon maaf ya bang, nanti jumpa lagi. Aku ini di Klang, sebentar lagi mau nyeberang menuju Dumai".
Begitulah sedikit perbualan singkat kami dalam telefon. Ternyata pemanggilnya adalah Agos, teman dari seberang yang pernah memberi kesempatan untukku menginap di kampungnya di Kudus, Jawa Tengah setahun yang lalu. Tercungap kelelahan dia saat memberi salam terakhir kepadaku. Benar-benar tergambar betapa getir hidupnya hari ini. Terlari-lari sana sini menyembunyi diri dari tertangkap Imigresen dan Polis Diraja Malaysia. Dan kini, biarpun belum sepenuhnya selamat, Dumai hanya tinggal selangkah lagi di depan. Sekurang-kurangnya selangkah saja lagi untuk dia melepaskan diri dari diejek pendatang haram. Sebentar lagi dia bakal bebas dari segala ketakutan yang membelenggu selama mencari sesuap nasi di negara seberang. Selama dia memegang status Pendatang Asing Tanpa Izin.
Jam 11.00malam sebelumnya, aku ada menerima panggilan dari Agos. Dia merayu mohon dibenarkan bersembunyi di rumahku. Katanya satu operasi menangkap pendatang sedang dijalankan dan dia benar-benar terdesak perlukan perlindungan. Sayangnya bantuan seperti itu tak dapat aku tunaikan. Aku bakal menyusahkan diri sendiri nanti. Masa depanku bakal gelap di negara sendiri kalau tertangkap menyembunyikan pendatang. Aku hanya sarankan dia agar tetap saja berkeliaran diluar kerana fikirku kalau bersembunyi di rumah, dia bakal lebih mudah diberkas. 
Jam 1.00pagi, sekali lagi Agos telefon. Sekali lagi dia mohon bantuan. Dan aku sekali lagi menolak membantunya untuk keselamatan diriku sendiri. Maafkan aku.
Saat catatan ini ditulis, barangkali Agos sudah selamat mendarat di mana-mana jeti nelayan di daratan Dumai. Atau barangkali sekadar di Pulau Rupat, tidak jauh dari Dumai, Sumatera. Alhamdulillah, belum ada sebarang berita kemalangan di selat Melaka hingga detik ini sejak dia meninggalkan Klang jam 3.30pagi tadi. Aku yakin tuhan membantunya. Dan aku yakin dia bakal kembali lagi ke sini satu masa nanti. Ketika itu nanti, dia tidak lagi bernama Agos, tentu sekali bukan bernama Bukhari, nama aslinya dan nama pertama yang dipakai saat dia masuk Malaysia kali pertama. Nanti, dia pasti berganti nama lain dengan kartu tanda penduduk yang baru. Aku sangat yakin itu. Sungguh.

Surat Terbuka Kepada DBKL

Mohd Fazli bin Abdullah
(Tel : 017-7139519)
10-4-8, Taman Bukit Angkasa,
Pantai Dalam,
59200 Kuala Lumpur.

Per: Rayuan kompaun dan masalah kekurangan parkir

Salam sejahtera.

Saya seperti nama di atas ingin merayu kepada Pengurusan DBKL supaya mengecualikan kenderaan saya (kereta saya dan mungkin kenderaan-kenderaan lain) dari dikenakan kompaun atas kesalahan meletak kenderaan di bahu jalan di tempat yang bakal saya sebutkan di bawah. 

Buat pengetahuan, kereta saya dengan nombor pendaftaran (dirahsiakan) telah dikompaun sebanyak 5 hingga 6 kali oleh pihak Penguatkuasa DBKL kerana meletakkan kenderaan (kononnya mengganggu lalu lintas) di jalan yang berdepan dengan Taman Bukit Angkasa menghala ke Pantai Hill Park.

Untuk makluman DBKL, saya ialah penghuni sah (bukan penyewa) di salah sebuah rumah di flat Taman Bukit Angkasa sejak saya membeli rumah di situ dua tahun yang lalu. Sepanjang pengetahuan saya, pembeli rumah kos rendah sekurang-kurangnya diperuntukkan seunit ruang parkir setiap pemilik. Malangnya saya tidak pernah menikmati kemudahan itu sejak menghuni kawasan ini. Setiap ruang parkir di taman ini telah dibolot oleh penghuni lama yang mana banyak dari mereka telah menguasai lebih dari satu parkir sekaligus termasuk untuk kegunaan kenderaan setiap satu seorang anak.

Tidak sekadar itu, bukan sedikit ruang parkir di sini yang kosong pada waktu-waktu tertentu tapi tak dapat digunakan kerana ada penghuni yang telah merasakan bahawa ruang parkir itu milik peribadi mereka, lalu mereka meletakkan halangan berupa kon, bangku malah motorsikal semata-mata tak mahu ruang itu diambil oleh orang lain.

Masalah makin bertambah dengan kehadiran peniaga jalanan yang meletakkan premis mereka di ruang parkir secara kekal dan separa kekal sampai menyesakkan lagi ruang yang telah sedia sesak di taman ini. Kesesakan ruang parkir di sini boleh DBKL lihat pada kenderaan yang diparkir berlapis-lapis.

Dan saya sebagai penghuni baru, harus berperang mulut setiap hari jika mahu meletakkan kenderaan saya di dalam kawasan taman itu. jika saya berjaya, kenderaan saya pula yang bakal jadi mangsa kemarahan dengan kesan gurisan di kiri dan kanan badan kenderaan, malah kenderaan saya pernah ditimbunkan dengan longgokan sampah oleh penghuni lama. Hal ini kerap berlaku kepada saya dan ramai lagi pendatang baru. Mujur belum ada yang mati dalam ‘peperangan’ ini. Hanya yang saya kesalkan, saya ialah penghuni sah di sini, bukan penyewa. Sebagai penghuni yang sah, dan memiliki sebuah unit rumah, saya mahukan sekurang-kurangnya satu ruang meletak kenderaan sebagaimana piawaian DBKL tentang keperluan letak kereta di kawasan kos rendah. Malangnya faktor senioriti diambil kira. Di taman ini, siapa yang lebih dulu menetap, dialah yang berhak. Adilkah begitu buat saya sedangkan penghuni lama boleh memiliki lebih dari satu ruang parkir untuk suami, isteri dan anak-anak?

Saya yakin DBKL maklum akan keadaan kami di Taman Bukit Angkasa.

Atas alasan di atas tadi, saya tiada pilihan lain selain terpaksa meletakkan kenderaan saya di mana-mana ruang kosong termasuk di sepanjang jalan yang saya sebutkan itu. Apa yang berlaku, saya berkerja pada waktu pejabat dari jam 8:00 pagi hingga jam 5:30 petang - dan saya ke pajabat menggunakan kenderaan awam kecuali jika ada berlaku hal-hal lain yang memerlukan saya berkereta. Oleh sebab itu, kereta saya selalu ada di ruang di mana saya meletakkannya kecuali jika saya menggunakan kereta itu ke pejabat pada hari-hari tertentu. Kenakanlah kompaun kepada saya setiap hari sekalipun, saya tetap tak mampu berbuat apa-apa. Kerana di situ sajalah pilihan yang ada untuk saya.

Di seberang sana, setentang dengan Taman Bukit Angkasa tersergam kawasan kuarters kakitangan DBKL. (Kuarters Kakitangan DBKL Pantai Permai). Kediaman kakitangan DBKL ini telah lengkap dipagar dan terkawal setiap hari. Penghuninya tentu tidak pernah merasakan bagaimana sukarnya kami mencari parkir saban waktu kerana setiap penghuni kuarters itu telah mendapat parkir secukupnya. Mereka tidak terganggu pula dengan kehadiran kenderaan dari luar dan mereka boleh meninggalkan kereta mereka secara tetap di situ berapa lama pun yang mereka mahu jika mereka berpergian ke mana-mana ke luar kawasan.

Bagaimana dengan kami? Di manakah ruang yang aman untuk saya? Saya tidak mengharapkan lebih, kecuali sekadar satu ruang yang aman dan terhindar dari gangguan penguasa-penguasa DBKL yang ketagih memberi kompaun dan penghuni-penghuni tamak yang buas mencederakan kenderaan yang tidak mereka inginkan.

Apa cadangan DBKL buat kami supaya kami tidak dikompaun lagi? Adakah DBKL mahu kami penghuni-penghuni miskin yang tersepit dan tinggal di kawasan sesak seperti di sini menjual kereta masing-masing sedangkan itu sajalah kenderaan yang kami ada?

Saya tidak nampak satu apa pun usaha DBKL untuk menyelesaikan masalah kami kecuali mengenakan kompaun, kompaun dan kompaun kepada pemilik kenderaan kepunyaan penduduk Taman Bukit Angkasa yang tersepit seperti saya. DBKL seolah-olah sengaja menjana untung dari masalah yang tidak pernah mampu DBKL selesaikan.

Saya mengharapkan DBKL prihatin masalah saya dan mungkin ramai lagi penghuni yang lain. Saya juga berharap agar DBKL mampu menyediakan ruang parkir alternatif kepada kami ataupun paling tidak, ambillah tindakan terhadap masalah-masalah yang saya sebutkan di atas.

Sekian.

Nantikan Laman Multiply berbahasa Melayu

Setelah hadir dengan beberapa bahasa sebelum ini, Multiply juga akan muncul dalam versi bahasa melayu tak lama lagi. Mari kita sama-sama bantu Pengurusan Multiply untuk terjemahkan frasa-frasa bahasa Inggeris ke bahasa Melayu untuk memudahkan mereka.

Caranya mudah, pilih Multiply in Malay dan klik Trenslate Phrase.

Memajukan bahasa kita tanggungjawab bersama. SOKONG MULTIPLY

 

KEHIDUPAN RINGKAS ORANG NEGRITO



Ini adalah versi terjemahan dari artikel asli berbahasa Inggeris tulisan Sharon Ng Kooi Kin yang tersiar dalam akhbar New Straits Times, 22 April 2010.  Telah saya terjemahkan bertujuan memperbanyakkan lagi bahan-bahan ilmiah/domumentari berbahasa Melayu. Mohon perhatian, di antara ayat-ayat di bawah sudah ada perubahan struktur, pengguguran, penambahan dan penukaran kata supaya selari dengan maksud asal yang terkandung dalam atrikel yang dirujuk. 

Selamat membaca!!!

Miliki rambut yang keriting, bergulung-gulung lebat warna hitam dan berkulit gelap, amat mudah menjelaskan bahawa merekalah orang-orang Negrito. 
Penulis yang berada di Penempatan Orang Asli Ulu Kelantan rasa gembira bila  mengetahui penghuni di penempatan ini iaitu suku Batek, tergolong dalam salah satu suku dari rumpun bangsa itu. Satu hal yang mengujakan, sebelum ini penulis hanya tahu tentang Negrito melalui pembacaan dalam buku semata-mata. Inilah kali pertama penulis melihat mereka secara nyata.

Negrito, diklasifikasikan sebagai salah satu dari 3 puak Asli (Orang Asli) yang menghuni hutan Semenanjung Malaysia, Negrito mendiami hutan bahagian utara, Senoi di kawasan tengah dan Melayu Proto di selatan.

Penempatan primitif
Ketika itu hujan turun di Taman Negara Kelantan, Kuala Koh. Banyak aktiviti luar seperti Jungle Trecking tergendala. Penulis dan rombongan dengan rela hati terpaksa setuju melawat penempatan Orang Asli yang terletak kira-kira satu kilometer dari pintu masuk taman negera itu.


Sebelum ini penulis sering melawat perkampungan orang Asli di Cameron Highlands, Pahang, Endau-Rompin, perbatasan Johor dan Pahang dan Ulu Geroh, Perak. Tapi yang sangat menarik perhatian, penempatan di sini lebih primitif berbanding penempatan lain yang pernah penulis temui.
Pondok-pondok mereka terbina dari pohon-pohon buluh yang bersulamkan rotan dengan bumbungnya diperbuat dari atap. Lantainya yang setinggi setengah meter dari tanah adalah hasil dari susunan batang-batang buluh yang dilapisi bilahan-bilahan buluh. Dindingnya yang tidak berpintu itu juga dibuat dari bilahan buluh. Ada juga pondok-pondok lain yang tidak berdinding sama sekali. Simen konkrit tidak ada di sini apa lagi bekalan elektrik.

Jalan penghubung antara pondok ke pondok di sini terdedah cuaca, Hanya berlantaikan tanah yang kini sudah tergenang air dan becak. Penulis dan rombongan harus berhati-hati saat melawati setiap pondok. Baru-baru ini, kerajaan negeri telah memasang paip air dari kaki bukit ke tangki air utama. Di sanalah mereka menadah air untuk kegunaan domestik seisi rumah setiap hari.

Kediaman mereka juga kosong tidak berperabot. Sinilah letaknya ruang tamu, dapur dan bilik tidur. Mereka masak menggunakan tungku kayu dari bahan bakar yang dikutip di hutan. Setiap tungku dilapik dengan zink untuk mengelak lantai pondok mereka terbakar, Perkakas yang ada di dapur mereka hanyalah periuk besar dan cerek. Mereka tidak menggunakan sudu dan garfu kecuali pisau, kontena plastik, pinggan dan cawan.

Ada tikar dan kain sarung dibentangkan pada lantai sebagai alas tidur. Tidak terlihat bantal dan selimut di sini kecuali ada kelambu di sesetengah pondok.

Generasi tua dan anak-anak mereka memakai kemeja T dengan seluar pendek. Masing-masing berselipar jepun.

Di sini setiap keluarga menerima bantuan RM100 sebagai subsidi bahan-bahan asas seperti beras, gula dan minyak masak yang dihantar berkala. Van akan datang dua tiga kali seminggu bersama sayur dan barang runcit. Sebenarnya, mereka lebih sering memakan hasil-hasil hutan dan buruan sebagai diet paling sederhana.

Jika diperhatikan, seperti ada pengkelasan buruh secara ringkas di kalangan komuniti mereka. Kaum perempuan bekerja menangkap ikan dan mengutip buah-buah hutan sementara lelakinya berburu binatang dan mengandar buluh. Semua hasil ini akan dipasarkan di pasar terdekat yang terletak jauh tanpa kenderaan.

Pemusnahan suku kaum hutan
Ras Negrito hanya sebesar tiga peratus dari populasi Orang Asli di seluruh Semenanjung. Dari jumlah itu, bancian tahun 2000 merekodkan terdapat kira-kira 1,519 orang suku Batek, antara suku terawal yang dikatakan mendiami bumi Semenanjung. Mereka tergolong dalam rumpun Austro-Melanesia dari zaman Hoabinhian. Ini disahkan oleh pakar arkologi melalui penemuan kubur bawah tanah dan lukisan di dinding gua yang dapat menggambarkan sejarah kemunculan ras Negrito 10,000 tahun yang lalu.

Suku Batek (kadangkala dieja Bateq) bertutur dalam varian bahasa Jahai. Ramai di antara mereka yang agak fasih berbahasa Malaysia. Di penempatan ini tidak ada seorang pun anak-anak mereka yang bersekolah walaupun pernah ada usaha mendaftarkan mereka ke sekolah terdekat sejauh 30km di Kampung Aring Satu.

Suku Batek hidup secara nomad, namun semenjak penempatan semula oleh beberapa organisasi seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Majlis Agama Islam Negeri, mereka mungkin boleh dikelaskan sebagai separa nomad.

Di penempatan-penempatan Orang Asli lain yang dekat dengan kawasan bandar, contohnya Gombak di pinggir Kuala Lumpur, bolehlah kita anggap itu sebagai penempatan kekal. Walau bagaimanapun masih banyak juga penempatan separa kekal yang dibangunkan di pinggir hutan yang masih separa nomad. Ia sengaja dibina bagi membolehkan mereka menyambung hidup cara tradisi. Semenjak lawatan Tengku Mahkota Kelantan pada 2001, nasib dan kebajkan mereka mendapat lebih perhatian.

Kelangsungan hidup suku Batek mungkin pupus satu masa nanti akibat cara hidup mereka yang bertentangan dengan pelbagai kehendak termasuk keperluan melupuskan hutan untuk pembangunan, empangan dan pertanian.

Walaupun tidak ada tanda kebuluran di kalangan anak-anak Orang Asli Kuala Koh, ramai juga yang menderita masalah kulit bersisik serta kusam pada lengan dan kaki.
Penulis akhirnya dimaklumkan bahawa kadar keciciran di kalangan murid-murid Orang Asli selepas tamat darjah 5 sangat tinggi sebesar 70%.

Saat ini, sumber hutan tempat Orang Asli bergantung harap termusnahkan begitu pantas. Corak hidup mereka terancam oleh pemakaian teknik moden untuk aktiviti memburu dan memancing. Mereka menggunakan senapang, jaring, racun dan bahan peletop, jauh menanding tradisi Orang Asli yang masih bersumpit.

Pengurangan sumber dari hutan mungkin memaksa suku Batek membangunkan penempatan lain di lokasi baru yang biasanya semakin jauh dalam hutan.

Jadilah pelawat bertanggungjawab 
Hormat sensitiviti mereka yang tidak sukakan orang luar, pelawat dan jurugambar. Di sini, anak-anak mereka terlalu pêrak (norak: bahasa Indonesia), berikan saja hadiah berupa duit dan makanan ringan. Cuma ingat, hadiah dalam jumlah yang banyak harus disampaikan kepada Tok Batin Hamdan untuk diagihkan. Sumbangan berupa pakaian lusuh mahupun baru seperti kemeja T dan kain sarung sangat dialukan.

Pada lawatan ini, penulis melihat mereka menggunakan makanan dalam tin dan minuman berkabonat, anak patung, bola takraw dan lori mainan. Pastinya itu datang dari pelawat.
Pemandu pelancong kami, Zulkifli Mansor dari Gua Musang berkata, terdapat 100 penghuni daripada 25 keluarga di sini. Dia telah membawa pelawat ke sini sejak 8 tahun yang lalu. Katanya, dia lebih suka memilih kumpulan kecil. Kadang-kadang terdapat 40 orang pelawat dikalangan pelajar sekolah yang memberikan gula-gula dan biskut sebagai hadiah.

Zulkifli menguruskan lawatan tiga hari dua malam ke Taman Negara Kelantan yang terletak berdekatan dengan pelbagai pakej menarik termasuk makan dan penginapan.
Pada penulis, ini mungkin sekadar lawatan yang singkat tapi ia mampu memberikan mesej jelas tentang kemiskinan ganas yang wujud di salah satu bahagian dalam negara ini. Tak hairanlah Batek Negrito, bersama-sama suku kaum hutan dan gunung yang lain di Asia Tenggara dianggap manusia kelas ke empat.

Di sini, isu seperti hak ke atas tanah, asimilasi sosial, pendidkan, perubatan dan pengurangan sumber tradisi; mungkin wajar diperhatikan.