بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Tanah 'Segenting Kera', Thailand.

Sejak membulatkan tekat untuk ke Bangkok dalam rangka menghabiskan baki cuti tahunan, saya sering lihat-lihat info tentang daerah mana yang mungkin akan saya lewati atau jalan mana yang bakal saya tempuhi. Maklumlah, kali ini saya peruntukkan masa yang begitu panjang hingga 10 hari. Biarpun masih belum pasti mahu ke mana nantinya, saya harap laluan yang bakal saya tempuh ini akan mengesankan jiwa.

Provinsi yang mungkin akan saya lawati sebelum sampai ke Bangkok adalah Rundung, atau sekarang jadi Ranong setelah diplesetkan dalam bahasa Thai. Di provinsi ini ada satu tempat yang (sepatutnya) sangat penting dalam sejarah bangsa Melayu, khususnya Melayu Malaysia. Tempat itu tak lain tak bukan ialah Segenting Kera. Tapi sebelumnya biarlah saya terangkan di mana letyaknya provinsi ini. Ranong/Rundung adalah provinsi di Thailand paling selatan yang berkongsi sempadan dengan Myanmar. Provinsi lain di selatannya masing-masing menghadap laut lepas di sebelah timur dan barat. Dan di Provinsi Rundung atau Ranong inilah (sepatutnya) perbatasan paling utara wilayah Melayu. Bukannya Perlis seperti sangkaan ramai pada hari ini. Hal ini sendiri telah diabadikan dalam satu batu tanda yang terletak di satu nama tempat bernama Segenting kera.

Dari namanya pun sudah mencerminkan ia berbau Melayu biarpun kini tempat itu dieja 'Kra'. Dan dari namanya juga kita tahu tempat ini tanahnya genting, sesuai seperti kiasan Melayu "segenting kera" yang bermaksud tanah yang sempit. Begitulah geografi sebenar kawasan ini bila lebar kawasan ini hanya 45km jika diukur dari pantai timur ke barat.

Batu yang dibina khas ini menandakan sempadan asal wilayah kekuasaan negeri-negeri Melayu naungan Kerajaan Kedah Tua seperti Rundung (Ranong), Tanahseri (Tennaserim), Cahaya (Chaiya) Ujung Salang/Bukit (Phuket), Bedelung Pathalong), Negara Sri Dharmaraja (Nakkon Sri Thamarat), Terang (Trang) dan Setul (Satun) dengan wilayah kekuasaan orang-orang Tai dari kerajaan Sukothai. Sayangnya Orang-orang Tai telah khianati perjanjian dan melanggar wilayah Melayu hingga sempadannya berubah menjadi seperti sekarang. Malah, Orang-orang Tai turut dipindahkan beramai-ramai ke wilayah yang diduduki ini. Tidak sekadar itu, mereka terakhir mengamalkan dasar Thai Rathaniyom (Thainisasi) ke atas penduduk bukan Tai. Hasilnya sudah terlihat bila di Provinsi-provinsi selatan yang sudah didominasi orang Tai, penduduk Melayunya sudah tidak lagi mampu berbahasa Melayu. Hanya Pattani, Yala dan Narathiwat masih selamat kerana penduduk Melayu masih menguasai 80% populasi.
 
 
 













 

Sayang, kini kita hanya mampu memandang penuh sayu.



Jelajah Thailand

Start:     Dec 23, '11 11:00p
End:     Jan 2, '12
Location:     Hatyai - Bangkok - Suratthani - Koh Samui
10 Hari menjelajah sebahagian Thailand dari jalan darat. Ada yang mau gabung?

KEJATUHAN EMPAYAR MELAKA KERANA BANTUAN PEDAGANG CINA

Ini sebuah terjemahan dari artikel asal bahasa Inggeris tulisan B. W. Diffie dan G. D. Winius dalam buku "Foundations of the Portuguese Empire 1415-1580" yang saya petik dari laman KHAZ 2011. Dua cendikiawan Barat ini dilihat bias kerana terkesan mengagung-agungkan Portugis dan merendah-rendahkan Melaka dalam tulisan mereka. Silakan membaca dan nilaikannya.


 
KEJATUHAN EMPAYAR MELAKA KERANA BANTUAN PEDAGANG CINA

Ketika pengembara Portugis sampai di Asia, mujurlah ada Melaka, sebuah lokasi strategik di satu selat yang miliki nama yang sama, sebuah pusat tumpuan yang luar biasa untuk perniagaan dan perdagangan rempah-ratus. Waktu itu, Melaka telah pun diperintah oleh Kesultanan Islam.

Melaka miliki jajahan yang sangat luas termasuklah ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Pelabuhannya dikunjungi banyak kapal dan pedagang dari seluruh Nusantara dan negara-negara Asia seperti Arab Saudi, Parsi, China, India, Jepun, Sri Lanka dan Bengal. Segala hasil bumi Asia terkumpul dan dijual di sini: lada hitam, bunga cengkih, halia, kayu manis, buah pala dan lain-lain lagi.

Selepas bertapak di India, barulah Portugis sedar betapa pentingnya kota ini. Sayangnya ekspedisi ke Melaka pada tahun 1509 telah gagal, banyak perisik Portugis tertangkap dan dipenjarakan oleh Sultan.

Pada tahun 1511, Wizurai Portugis di India, Afonso de Albuquerque sekali lagi memutuskan belayar ke Melaka, penaklukan pun bermula. Sebaik sampai di Melaka pada bulan Jun 1511, Afonso de Albuquerque dengan kekuatan seramai 1,100 - 1,200 perajurit berserta 14 buah kapal telah menuntut agar semua tawanan Portugis yang dipenjarakan pada ekspedisi tahun 1509 dibebas. Bagaimanapun Sultan cuba bermuslihat dan melengahkan masa bagi perkukuhkan pertahanan kota. Dia sedar akan kekurangan upaya tentera Portugis dengan kekuatan yang kecil, justru lebih yakin akan kekuatan anggotanya sendiri yang terdiri dari 20,000 perajurit dan 2,000 senjata api.

Tapi Albuquerque tidak mahu persiakan masa. Pada 25 Julai tahun 1511, Portugis telah menyerang kota Melaka dengan tumpuan dilebihkan ke atas jambatan yang memisahkan dua bahagian kota ini hingga ia ditawan. Bagaimanapun, Portugis terpaksa undur kembali sebelah petangnya. Setelah beberapa hari siaga, akhirnya pada 10 Ogos 1511, Portugis sekali lagi perbaharui serangan. Penggunaan jong-jong (kapal-kapal dagang) yang sedang berlabuh hasil bantuan pedagang China turut membantu. Jong-jong inilah yang jadi penentu dan berperanan sebagai pangkalan sementara. Serangan pun berjaya! Portugis pun berhasil membina pangkalan di bandar ini.

Beberapa bedilan ke atas kota Melaka tetap dilakukan Portugis selepas itu. Pada 24 Ogos 1511 Portugis menyerang lagi semata-mata untuk pastikan Sultan benar-benar telah meninggalkan kota. Dengan Melaka berada di tangan Portugis, mereka kini berkuasa, tapi atas arahan Albuquerque, mereka hormat akan harta-harta pihak yang memberi sokongan.


Orang Laut di Johor

Orang Laut ialah satu kumpulan etnik yang wujud di pulau-pulau dan pesisir pantai sebelah selatan Selat Melaka antara Pulau Rupat, di Sumatera dan Muar, di Johor ke selatan, hingga ke Pulau Bangka-Belitung. Mereka tergolong dalam sub-etnik Melayu Tua (Proto Malay), saudara paling rapat kepada etnik Melayu (Deutro Malay) yang ada pada hari ini, yang merupakan etnik majoriti di Semenanjung dan Sumatera. Rumah-rumah Orang Laut adalah perahu panjang yang di dalamnya dilengkapi dapur dan ruang tidur.

Suatu hal yang menarik, masyarakat Bajau Laut yang wujud di sekitar Laut Sulu antara Sabah, Kalimantan Timur dan Mindanau bila ditanyakan asal usulnya, mereka mengaku nenek moyang mereka berasal dari Johor (Johor-Riau Empire, 1511-1824). Barangkali ada hubungan antara Orang Laut dengan mereka. Malah, beberapa suku orang perahu yang hidup di Laut Andaman antara Thailand dan Myanmar juga menggelar diri mereka Urak Lawui yang bermaksud Orang Laut dalam bahasa Melayu. Perlukan kajian lanjut untuk membuktikan hipotesis ini.

Tulisan saya lebih fokus kepada sub-suku Orang Laut yang ada di Malaysia – yang hanya ada di Johor.

Seletar, Duano dan Kanaq adalah 3 sub-suku Orang Laut yang boleh ditemui di Malaysia (lebih banyak lagi sub-suku Orang Laut boleh ditemukan di Kepulauan Riau, Indonesia). Ketiga-tiga sub-suku ini telah digabungkan bersama suku Jakun dan Temuan sebagai orang Melayu Proto, salah satu dari tiga kelompok Orang Asli (Orang Asal Semenanjung- Selain dari Melayu) yang diakui pemerintah Malaysia. Sepertimana Orang Laut, Jakun dan Temuan juga adalah sub-etnik Melayu Tua, tapi tinggal di darat. Mereka dikenali sebagai Orang Darat. Saya tidak akan menyentuh lebih lanjut tentang mereka.

Orang Seletar boleh ditemui di sekitar pesisir pantai daerah Johor Bahru. Nama Seletar diambil dari satu tempat bernama Seletar di Singapura. Asalnya mereka menghuni Selat Tebrau dan Selat Singapura sebelum perlahan-lahan pindah (dipindahkan?) ke Johor. Perpindahan ini sampai kemuncaknya pada tahun-tahun awal perpisahan Singapura dari Malaysia. Pada hari ini, Orang Seletar di Singapura telah diistiharkan pupus sama sekali sama ada sebab kematian maupun terasimilasi dengan etnik Melayu. Di Malaysia, orang Seletar masih lagi meneruskan hidup cara tradisional mereka walaupun sudah menetap kekal di pinggir pantai. Orang Seletar lambat menerima Islam hingga ada dikalangan mereka yang menganut Kristian dan Budha. Bahasa Seletar, sama seperti musibah yang mendepani penempatan mereka, telah sedikit-demi-sedikit hilang. Tenggelam dalam kelompok bahasa lain yang lebih dominan di sekeliling. Biarpun aslinya hanya 20% kosakata bahasa Seletar sama dengan bahasa Melayu, anak-anak seletar kini lebih selesa berbahasa Melayu.

Orang Duano pula berasal dari Pulau Bengkalis (Sumatera) sebelum menyebar ke banyak pulau lain di sekitar Selat Melaka, pesisir pantai barat negeri Johor dan pesisir pantai tumur selatan Sumatera. Di Johor, Orang Duano mendiami kuala-kuala sungai di Batu Pahat dan Pontian, bagaimanapun sebahagian dari mereka telah dipindahkan ke petempatan kekal di Kota Tinggi. Bahasa orang Duano beza dengan bahasa Melayu, bagaimanapun boleh dipastikan bahasa ini bakal pupus tidak lama lagi kerana genarasi muda lebih gemar bertutur dalam bahasa Melayu seperti yang diajarkan di sekolah-sekolah.  Saya pernah lihat sendiri kehidupan orang Duano di Kampung Bumiputra Dalam di Rengit, Batu Pahat dan nampak jelas keasimilasian mereka dengan orang Melayu. Dari info yang saya dapat, generasi muda bukan sekadar tidak faham bahasa Duano, malah mereka juga malu dilabelkan 'Orang Asli'. Bagi maksud membezakan mereka dengan etnik Melayu, mereka lebih selesa menggelar diri mereka Orang Melayu Kuala. Di Malaysia, Orang Duano beragama Islam seluruhnya.

Manakala Orang Kanaq merupakan sub-suku Orang Laut yang terkecil dari seluruh Orang Laut yang ada di Malaysia dan Indonesia. Bilangan mereka yang dapat di kesan hingga ke hari ini hanya tinggal 87 orang, semuanya menetap di Kampung Sungai Selangi, Kota Tinggi, Johor. Dapatan kajian luar juga menyimpulkan, tidak ditemui walau satupun suku Kanaq di Kepulauan Riau meskipun di tempat asal mereka sendiri di Pulau Sekanak, sebuah pulau kecil di utara Batam. Mengikut catatan sejarah (The Sosioeconomic History of The Orang Kanaq of Johor, Mahani Musa, 2011), Orang Kanaq dibawa pindah ke tanah besar Semenanjung pada zaman Kesultanan Johor bagi tujuan membekalkan hasil hutan. Bagaimanapun, mereka gagal berbuat begitu kerana tidak betah hidup di darat hingga akhirnya terabai dan tidak mampu membangunan ekonomi sendiri. Atas kebajikan kerajaan negeri Johor, mereka dikurniakan tanah 10 hektar tiap keluarga untuk diusahakan selain satu perkampungan khusus untuk mereka di Kota Tinggi (Kampung Sungai Selangi, sekarang ini). Bagaimanapun, naluri kelautan dalam diri mereka kekal gagal dikikis, tanah yang dikurnia gagal diusahakan malah mereka menyewakan tanah itu kepada pengusaha Cina. Hidup dalam perkampungan khusus juga telah menyempitkan Orang Kanaq dari terdedah kepada masyarakat dari luar lingkungan mereka. Orang Kanaq sejak zaman Kesultanan Johor lagi telah menganut Islam. Bagaimanapun kepercayaan tradisional suku mereka masih kekal bertahan hingga ke hari ini. Hal ini juga berkaitan dengan keterbatasan pergaulan suku ini dengan masyarakat luar. Anak-anak orang Kanaq masih enggan ke sekolah, walaupun diberi bermacam bantuan. Menurut seorang pengkaji, label 'Orang Asli' semakin memencilkan mereka dari terus bersaing dengan dunia luar.  Namun ada satu hal yang baik, bahasa orang Kanaq tetap terlestarikan hingga ke hari ini. Kekal bertahan dan dituturkan segenap generasi biarpun perlahan-lahan kosakatanya tergantikan kosakata bahasa Melayu melalui media massa.

Perlahannya Islam di Nusantara bermula dari kejatuhan Melaka

Dibawah adalah kata-kata pertama yang terucap di bibir penjajah kafir Portugis laknatullah sebaik mereka menakluk Melaka - titik perdagangan terpenting di Alam Melayu waktu itu.

'...bakti mulia yang kita berikan kepada Tuhan waktu kita usir orang-orang Moor (Islam) keluar dari negeri ini adalah dengan memadam nyalaan api agama Muhammad. Sehingga api itu tidak menyebar lagi sesudah ini. Saya yakin, jika kita berhasil merampas Melaka, Mekah dan Kaherah juga pasti akan hancur...'    Alfonso De Albuquerque, 10 Ogos 1511

Tersedar dari kata-kata hina di atas, marilah kita kembali bersatu, menentang musuh sebenar yang telah mencerai-beraikan persaudaraan kita selama ini.



amek kaw!!!

                                                       

 















                             =





"Bang, Orang gaji kita dah lari..."

Berita apakah itu?

Inilah berita tergempar yang diterima rakan sepejabat saya tengahhari tadi. Rupa-rupanya pembantu rumahnya yang berasal dari sebuah negara jiran, dikesan hilang. Tak ada berita dan tanpa kesan. Pakaiannya juga dibawa bersama, tinggalkan rumah belum dikemas dan anak majikan yang belum 3 tahun dibiar terlantar. Dokumen peribadi tidak sempat dibawa kerana telah disimpan rakan saya itu.

Beginilah risiko warga Malaysia yang ambil pembantu rumah warga asing. Di kalangan rakan sepejabat saya, kejadian seperti ini sudah banyak kali terjadi. Malah ada yang bernasib lebih malang bila barang berharga turut dikebas.

Memang tidak sedikit kos ditanggung untuk dapatkan pembantu. Sudah tentulah mereka harapkan khidmat terbaik dari setiap Ringgit yang dikeluarkan. Berbalik cerita rakan saya tadi, dia dianggarkan rugi hampir RM 10,000 untuk urusan memutihkan pembantu rumahnya yang disenarai hitam, menyiapkan permit kerja, upah agen, perbaharui pasport dan segala kos kecil lain yang turut ditanggung. Malang sekali, pembantu yang diharapkan kekal lama dan setia rupanya lari tidak sampai dua minggu.

Kisah pembantu rumah lari tanpa bawa dokumen, bukan asing di sini. Barangkali pasport atau kad identiti bukan suatu yang penting bagi mereka bila tidak di negara asal (mungkin di negaranya juga). Seingat saya, beberapa tahun yang lalu, negara jiran itu telah membekukan tenaga kerjanya ke Malaysia atas alasan keselamatan. Malangnya petinggi negara itu tidak sedar, warganya tetap masuk biar menyamar jadi pelancong sekalipun. Bila sudah sampai, mereka buang pasport, buang identiti kenegaraan dan lakukan apa saja yang boleh asal saja mampu menampung hidup di bumi bertuah ini selama mungkin. Cukup tempoh, mereka harapkan program pemutihan untuk dihantar pulang tanpa keluar biaya. Pintarnya mereka.

Bila tembelangnya pecah, mereka karang cerita konon diseksa fizikal, tidak dibayar gaji, dilayan kasar, tidak diberi makan dan segala keburukan lain bagi menagih simpati. Tidak dinafikan hal itu memang berlaku, tapi bilangan yang kecil sepertinya sengaja diperbesar. Lalu kisahnya diberitakan berhari-hari agar kelihatan banyak. Padahal orang gaji dari negara jiran itu pun, bukanlah semuanya baik.

Huh.

Bangladeshi Pun Dah Dapat Status Warganegara

Baru-baru ini terbocor satu berita dalam Portal Pejabat Perdana Menteri Bangladesh satu dakwaan ada warga Bangladesh dianugerahi kewarganegaraan Malaysia untuk membantu menambahkan suara kepada parti pemerintah. Sepantas kilat hal ini dinafikan Timbalan Perdana Menteri.

Dan baru sebentar tadi Astro Awani dalam laporan beritanya memberitahu "Hanya 37 Bangladesh diberikan kerakyataan Malaysia". Pendedahan itu walaupun mendepankan kata 'HANYA' tetap memberi maksud hal ini memang terjadi, tak kira berapapun jumlahnya.

Saya pun terfikir atas kategori bangsa apa warga 'baru' keturunan Bangladesh itu terdaftar? Mungkinkah termasuk kategori Melayu atau dicampurkan dibawah India? Tak mungkin terletak di bawah bangsa Cina kerana faktor, agama dan bentuk namanya sangat tidak memungkinkan. Di sisi lain, saya juga terfikir jika hal ini ada, tak mustahil kerja yang sama dilakukan ke atas warga Nepal, China, Thailand dan India. Apatah lagi dari Indonesia.

Hal ini mengingatkan saya akan satu perbualan tanpa sengaja dengan seorang warga Indonesia keturunan Kerinci, "Pakcik saya sekarang dah dapat IC, dah jadi warga Malaysia untuk sokong ameno, dia baru sebulan memohon"

Jadi semua ini ertinya apa?

Pengertian Hari Malaysia, Sesuatu untuk dikenang

Dari mana asal usul nama Malaysia?

Nama Malaysia pertama kali muncul pada tahun 1826 ketika pengembara Perancis, Julies Dumont d'Urville menklasifikasi rumpun dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik kepada 3 bahagian. iaitu rumpun malaysia (rumpun manusia berbahasa Melayu dari Sumatera hingga Maluku) rumpun micronesia (pulau-pulau kecil selepasnya) dan rumpun malenesia (manusia kulit hitam rambut keriting yang banyak bermukim di selatan micronesia). Menjelang pembentukan sebuah negara bernama Malaysia hasil pengabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak oleh Tuanku Abdul Rahman, rumpun malaysia yang luas itu kita kenali sebagai nusantara.

Siapakah sebenarnya kita?

Kita bermula dengan megah sejak tiga generasi. Hindu  - Buddha - Islam, Kitalah bangsa hebat yang disegani segenap manusia dari timur dan barat. Kitalah pembina kerajaan kuat, jadi tumpuan siswa belajar agama tiap-tiap generasi ini. Kitalah empayar gemilang yang menguasai perdagangan di antara laluan dari timur ke barat.

Kita melemah juga melalui tiga generasi. Portugis - Belanda - Inggeris. Kita hilang identiti. Jejak kemegahan kita dibumi-hanguskan. Sejarah kita dilucutkan. Kitalah manusia telanjang yang digambarkan hanya pandai pegang cangkul dan parang dan berperang dengan keris dan lembing.

Jadi, marilah kita kenang semua ini di hari perpaduan. Buktikan pada dunia kita mampu bangkit kembali. Selamat Hari Malaysia

Merdeka yang Pra-Matang

"British tidak pernah merdekakan Malaysia dengan kerelaan"

Ini kalimat Dr Farsih Noor (wartawan) yang saya petik dari satu artikel tulisannya. Kata-kata ini  harus kita ingat. Dan harus kita akui kebenarannya kerana kemerdekaan yang kita gapai waktu itu bukan kemerdekaan hakiki.

Kita harus terima syarat itu dan ini, harus tandatangan satu kontrak dengan dua bangsa bukan pribumi, harus akui hak-hak mereka meski ada diantaranya merugikan kita sendiri. Terpaksa terima saja siapapun yang lahir selepas tahun 1957 sebagai warga. Harus ikut kuota untuk segala macam urusan, harus berkongsi kuasa hatta dalam hal politik. Harus macam-macam lagi hingga kita tetap saling curiga.

Tapi harus bagaimana? Kita sudah dilahirkan pra-matang.

Menjelang Aidilfitri: Surat Terbuka untuk DBKL

Salam sejahtera buat Pengurusan DBKL.
 
Tahun ini tentunya sangat bermakna kepada majoriti warga Malaysia kerana kebetulan tarikh Hari Raya Aidilfitri dan ulangtahun kemerdekaan negara jatuh bersamaan. Sambil membuat persiapan Raya, ramai warga kota tidak ketinggalan turut kibarkan Jalur Gemilang. Iklan-iklan korporat di TV juga turut sama membuat ucapan serentak untuk kedua perayaan terbesar di negara kita ini. Dari iklan motif Baju Melayu corak Jalur Gemilang sampailah iklan anak bulan Syawal dari bulan sabit bendera Malaysia. Pendek kata, iklan korporat sangat bijak menyelami perasaan warga Malaysia yang sedang girang sambut kemenangan berganda yang jarang-jarang berlaku di negara kita ini.

Cuma sayang, perasaan warga Malaysia yang sedang girang ini sangat sedikit diterjemahkan oleh DBKL. Nyaris tidak ada alu-aluan secara materi di pinggir-pinggir jalan khasnya di pusat bandar. Tidak seperti beberapa tahun lalu, Kuala Lumpur pasti bermandi cahaya dengan lampu kelap-kelip motif ketupat, malah turut digantung sepanduk berucap selamat melintang jalan. Tidak ketinggalan, bunting tiang lampu akan dipasang bagi meraikan hari yang mulia ini bersama-sama warganya.

Tapi pada tahun ini, ketika kita meraikan kemenangan berganda, DBKL memilih diam. Tidak sedikitpun menzahirkan ucap selamat kepada warganya. Jalan-jalan tidak dicahayakan melainkan dari cahaya biasa. Malah Bangunan DBKL sendiri kelihatan malap. Hal ini amat mengecewakan.

Mujurlah dekorasi raya dapat dilihat di premis persendirian di sekitar pusat bandar (itupun bilangannya boleh dihitung). Dan mujurlah Jalan Tunku Abdul Rahman masih meriah seperti tahun sebelum. Kalau tidak ada kedua faktor ini, Kuala Lumpur kelihatan sama saja seperti hari biasa.

Dengan penuh yakin, saya percaya hal ini tidak akan terjadi menjelang sambutan Tahun Baru Cina nanti. Jika hal ini demikian, barangkali saya perlu semak semula banci terkini penduduk Malaysia. Jangan-jangan pribumi Melayu beragama Islam bukan lagi kaum majoriti di negara ini.

Mohd Fazli bin Abdullah
Pantai Dalam, Kuala Lumpur

Aidilfitri - 30 atau 31?

Pernah dapat emel berantai tentang tarikh jatuhnya Syawal di Semenanjung dan Malaysia Timur pada tahun ini? Saya percaya ramai yang dah terima. Tentunya kita tambah keliru bila baca emel tersebut.

Manakan tidak, dua bahagian Malaysia di timur dan barat Laut Cina Selatan dikabarkan (secara hukum alam) bakal menyambut 1 Syawal pada tarikh yang berbeza, iaitu 30hb Ogos di Semenanjung dan pada 31hb Ogos di pulau Borneo.

Tentunya kita yang terdedah dengan ilmu Alam moden tertanya-tanya bagaimana wilayah timur yang secara alamiah lebih dulu terima matahari boleh lambat sehari dari wilayah barat, apalagi dalam satu negara yang sama. Mungkin begitulah yang kita fikirkan.

Setelah diterangkan secara hukum Alam, kaedah penentuan hari baru dalam Islam ditambah dengan pencerapan cakrawala tentang kemungkinan dua hari berbeza di Malaysia Timur dan Barat, apakah pihak berkuasa agama di Malaysia ini bakal istiharkan Syawal jatuh pada dua hari berlainan untuk dua bahagian Malaysia di timur dan barat ini? Apalagi negara Brunei yang sepulau dengan Malaysia Timur dijangka turut sambut Syawal pada 31hb Ogos, sehari lebih lambat dari Semenanjung.

Mungkin atas kesadaran telah beredarnya emel berantai itu, banyak pengamal media sudah beri nasihat agar umat Islam seluruh Malaysia bersatu hati dan turutkan saja tarikh yang bakal diumumkan oleh penyimpan mohor besar Majlis Raja-Raja.

Mujur kita ada pemutus terakhir yang boleh dirujuk dan dapat jadi orang tengah bagi pihak-pihak beza pendapat. Saya teringat di negara jiran, 1 Syawal pada dua atau tiga tarikh berbeza adalah hal biasa mengingat banyaknya pecahan kelompok Islam di sana.

Apapun tarikhnya, selamat menyambut dua kemenangan untuk umat Islam di Malaysia. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-54.

Kasihan! Media Malaysia Buta Geografi

Baru-baru ini, saya baca berita tentang meriahnya Pasar Serikin dalam sebuah akhbar terkemuka di Malaysia. Pasar minggu yang berada dalam wilayah Sarawak itu terletak hampir dengan sempadan Kalimantan Barat. Diberitakan pedagang di sana hampir semua berasal dari Indonesia dan kononnya ada pedagang yang sanggup "memandu" dari Jakarta untuk sampai ke Pontianak sebelum melanjutkan perjalanan ke sempadan.

Begitulah laporan aneh akhbar berkenaan. Tertanya-tanya saya bagaimana pedagang dari Jakarta boleh memandu sampai ke Serikin padahal kedua-dua lokasi ini terletak di dua pulau berlainan. Mungkin wartawan yang melapor tidak tahu kalau Jakarta terletak di Pulau Jawa.

Ada lagi satu berita aneh dalam sebuah televisyen Malaysia yang saya tonton sebelum ini. Berita berbahasa Melayu itu melaporkan tentang satu gempa bumi yang terjadi di sebuah pulau di Indonesia. 'Gempa Bumi berukuran X.XX skala richter telah terjadi di "Celebes"'. Begitulah menurut laporan berita yang caca merba.

Saya yakin, pemberita yang membacakan laporan itu sendiri tidak tahu di mana letaknya pulau Celebas. Malah dia juga mungkin belum pernah dengar nama itu kerana pulau itu dikenal di sini sebagai Sulawesi. Nampaknya Media Malaysia itu hanya terjemahkan bulat-bulat berita dari sumber asing.

Satu lagi berita media cetak di Malaysia yang pernah saya ingat, berita tentang pemberontakan di "Pantai Gading". Sekali lagi saya yakin, penulis laporan itu tak pernah tahu di mana letaknya negara bernama Pantai Gading kerana negara itu dikenal di Malaysia sebagai Ivory Coast. Sekali lagi media di Malaysia menyalin bulat-bulat sumber berita dari negara jiran tanpa pernah mengkaji atau sekurang-kurangnya melihat peta.

Kisah lain, beberapa minggu lepas telah berlaku satu kes kematian di asrama pelajar sebuah universiti tempatan. Si mati dikenal pasti seorang pelajar Afrika berasal dari 'Papua New Guinea'. Begitulah berita yang sempat saya baca dari sebuah akhbar yang baru muncul beberapa tahun terakhir. Lucu sekali. Apa benar Papua New Guinea ada di Afrika? Sekali lagi, wartawan media hanya ambil berita tanpa telusuri betul-betul info apa yang mereka catat. Pelajar yang mati itu sebenarnya berasal dari sebuah negara bernama Guinea di benua Afrika.

Malaysia Kini 28.3 Juta

Penduduk Malaysia kini berjumlah 28.3 juta orang. Begitulah hasil banci penduduk negara yang dilakukan tahun 2010 yang lalu. Dari jumlah itu, direkodkan terdapat seramai 2.3 juta orang warganegara asing yang menetap di negara ini. (saya percaya warganegara asing yang tidak direkodkan sekali ganda lebih ramai dari jumlah ini).

Pecahan warganegara mengikut ras:
- Pribumi = 67.3% (17.5 juta)
- India = 7.3% (1.9 juta)
- Cina = 24.6% (6.4 juta)
- Lain-lain keturunan (arab, eropah dll) = 0.8% (200,000 orang).

Dari jumlah 67.3% penduduk Pribumi, tidak dinyatakan pula berapa peratus pecahan pribumi Melayu, Orang Asli, Portugis, Siam, bumiputra bukan islam Sabah dan bumiputra bukan Islam Sarawak. Kalau ada yang tahu, mungkin boleh berikan info tentangnya, atau paling kurang info tentang bagaimana mendapatkannya.


Pilihanraya Hanya BERSIH Bila Pembangkang Menang?

Sering dengar persoalan di atas?

Itulah soalan yang sering saya dengar dalam media mahupun dari mulut teman-teman yang percaya sepenuh hati pada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR). Saya kira, ini bukanlah soalan, tapi tuduhan.

Persoalan Parti B selalu Menang dan Parti P sering kalah bukanlah pengukur pilihanraya itu BERSIH atau KOTOR. Tapi yang dipersoalkan ialah setelus mana SPR yang menjadi orang tengah dalam pilihanraya itu bersikap neutral, tidak berpihak, tidak bias dan berlaku adil.

Perhimpunan BERSIH menuntut SPR memperbaiki sistem yang dipakai dalam pilihanraya di Malaysia. Kalau tak mahu dituduh bias lagi (kalau sebenarnya satu tuduhan), cubalah sekali ini SPR turut saja tuntutan tersebut?. Andai sudah perbaiki tapi mereka tewas lagi, barulah kita tahu siapa yang sering menyalak bukit.

Saya hairan, susah benarkah SPR hapuskan undian pos/undian awal untuk kakitangan polis dan tentera? padahal undian pos inilah yang dikatakan 'talian hayat' kepada pihak yang sebenarnya kalah tiba-tiba diumumkan pemenang. Di banyak negara lain jangankan ada undi pos, polis dan tentera sendiri dituntut tidak boleh mengundi.

Saya hairan, sulitkah bagi SPR gunakan dakwat kekal untuk ditanda pada jari pengundi yang sudah selesai mengundi? Padahal sistem yang sediaada - hanya tunjuk mykad sudah boleh mengundi, sangat mudah dimanipulasi. Barangkali boleh berlaku, pembawa mykad yang sudah keluar mengundi, akan beratur sekali lagi untuk mengundi bagi pihak orang lain dengan bawa mykad milik orang yang belum tentu masih bernyawa. Di banyak negara lain, amalan mencelup dakwat hitam di jari pengundi sudah lama berlaku bagi mencegah berlakunya undi dua kali atau lebih oleh satu pengundi yang sama. Kenapa SPR tak berani terapkan cara ini?

Saya hairan, bagaimana SPR mendakwa daftar pemilih yang mereka gunakan sudah dikemaskini dan disahkan betul padahal banyak dakwaan dalam satu alamat yang sama menyimpan puluhan nama pengundi, malah berlainan bangsa.   

Saya juga hairan, apa yang dituntut oleh para peserta himpunan ini lebih ditujukan kepada SPR. Tapi yang aneh, parti pemerintah dan cabang-cabangnya yang lebih banyak bersuara.

Saya tidaklah menyokong perhimpunan BERSIH, tapi saya juga tidak membantah jika jalannya betul dan apa yang dituntut ada rasional. Saya tidak percaya perhimpunan BERSIH mengundang berlakunya tragedi 13 Mei buat kali kedua. Saya tidak percaya BERSIH dipergunakan pihak-pihak yang ada hasrat meniup fahaman komunis. Lebih dari itu, saya tidak percaya BERSIH memang sengaja cipta huru-hara. Apa yang diberitakan sejauh ini dalam media, saya sifatkan keterlaluan.

Kerana Nasionalisme?

Saya tak tahu kenapa senarai sultan yang memerintah kerajaan Kesultanan Johor dalam catatan yang diterbitkan di Indonesia (mereka tidak namakan kerajaan ini sebagai kesultanan Johor) begitu sedikit sekali.

Ada beberapa hal aneh yang saya sadar dalam catatan mereka, iaitu:
1. Sultan pertama dalam senarai mereka adalah sultan yang ke-11 dalam catatan di Johor.
2. Sultan dalam senarai mereka hanya bermula selepas ibu kota kerajaan berpindah ke wilayah yang sekarang menjadi sebahagian wilayah mereka - Mulai tahun 1699.
3. Kesultanan ini dalam catatan mereka bernama kesultanan Riau-Lingga & Jajahan Takluknya dan bermula tahun 1699. Padahal kesultanan yang mereka maksudkan ini telah diasaskan 150 tahun lebih awal di Johor. Hairan kenapa nama Johor terpadam dalam sejarah mereka (sekurang-kurangnya mengikut catatan buku yang saya rujuk ini)

Apa mungkin kerana nasionalisme? Boleh lihat catatan ini untuk perbandingan
Berikut ini adalah senarai sultan-sultan seperti di dalam catatan mereka

1. Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV (1699-1718) - Sebetulnya sultan yang ke 11
2. Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah (1718-1722) - Sebetulnya sultan yang ke 12
3. Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (1722-1760) - Sebetulnya sultan yang ke 13
4. Sultan Abdul Jalil Muazam Syah (1760-1761) - Sebetulnya sultan yang ke 14
5. Sultan Muhamad Syah (1761-1812) - Sebetulnya sultan yang ke 15
6. Sultan Abdul Rahman* (1812 - 1824/1832) - Sebetulnya sultan yang ke 16

Sila beri perhatian, Sultan Abdul Rahman (Sultan ke-16) baru dilantik menjadi Sultan Kerajaan Riau-Lingga yang pertama selepas gabungan Johor (dan Singapura), Riau-Lingga dan Pahang terpecah angkara perjanjian Inggeris dan Belanda.

Rujukan: Peninggalan-peninggalan sejarah Pulau Penyengat, terbitan Yayasan Kebudayaan Indera Sakti

Pulau Bintan: Argo Bintan Beach dan sekitar

Pada kunjungan kali pertama ke Pulau Bintan ini, saya nginap di sebuah hotel agak mewah di Pantai Trikora, Agro Bintan Beach Hotell. Ia dimiliki warga Singapura dengan matawang Dollar Singapura digunakan dengan meluas. Selain pengujungannya lebih ramai dari Singapura, produk Singapura didagangkan meluas di pulau ini. Panas rasa hati bila lihat begitu aktifnya orang Cina Singapura meneroka satu lagi keindahan Alam Melayu.

Sayang sekali. Saksikan...





























PULAU BINTAN: Dan Pendampingku - Catatan Ketiga

Alhamdulilah hasrat ke Pulau Bintan pun terlaksana  meski sudah lama saya tunggu peluang ini. Terima kasih tak terhingga buat seorang sahabat dari Singapura yang pelawa saya ke sana. Umpama pucuk dicita ulam mendatang, saya terima ajakan dia dengan girang hati. Berkobar-kobar penuh semangat. Biarpun masih ada waktu sebulan ke depan, saya sudah sangat teruja. Biar mungkin saya bakal digosipkan dengan sahabat saya ini (kerana dia seorang perempuan), saya redha. Yang penting nawaitu. Saya ketepikan apapun yang bakal orang kata kerana saya tak ada hasrat lain selain cari ketenangan. Dan dalam masa sama lihat kesan-kesan tinggalan kesultanan Melayu. Juga mengamati betul-betul seperti apa kehidupan sosial penduduk Melayu Bintan setelah ratusan tahun berpisah dari induknya - Melayu Semenanjung.

Lima minit selepas feri yang saya naiki mendarat, saya lihat ada feri lain yang baru sampai di Jeti Tanjung Pinang ini. "Mungkin di dalamnya ada teman saya dari Singapura" begitu telahan saya. Ternyata benar kerana dia, Salbiah Sirat namanya, mengirim SMS berbunyi "saya dah sampai, awak kat mana?". Saat itu Saya masih ada di dek feri, sedang mencari seseorang yang baru saya kenal ketika dalam perjalanan ke sini. Takut hilang jejak, bimbang tak bertemu lagi. Akhirnya tanpa diduga saya temui juga orang itu ketika sibuk mencari Salbiah. Ternyata orang itu juga sedang mencari saya. Alhamdulillah dapat juga kami bertukar nombor kontak.

Seperti dijanjikan, saya dan Salbiah dijemput wakil hotel ke Argo Bintan Resort. Kami sempat diajak makan siang dulu di sebuah restoran di pertengahan jalan. Menunya makanan khas Indonesia, dan saya pesan Nasi Ayam Penyet buat kami bertiga. Pemandu yang ditugas menjemput kami ini namanya Suyatno, lelaki asal  Ponorogo. Baru setahun hijrah ke Bintan. Katanya, ingin cari hidup yang lebih baik. Gembira kenal dia. Orangnya baik dan peramah.

Argo Bintan Resort terletak di tepi laut sebelah selatan pantai timur Pulau Bintan. Tampak eksklusif, hanya ada beberapa blok 4 tingkat di dalamnya. bererti, jika penuh semua bilik dihuni, tetap masih mampu beri ruang santai pada pelanggan yang lain. Tidak akan sampai jadi sesak. Di depannya, ada pantai air cetek dan landai. Cuma dari pasir pantai ke gigi air agak curam. Panoramanya indah. Cuma sayang kurang bersih kerana banyak sisa-sisa domestik, dari pemelihara kerang yang turut berkongsi hamparan laut yang sama untuk mencari rezeki.

Selama di sini, sesuai ketika saya dalam kondisi "bosan berat dengan hidup", Teman saya dari Singapura ini sangat pandai menyesuaikan suasana. Saya sangat terhibur. Rasa damai dan tenang. Tidak ada perbualan kosong yang tidak punya isi. Semuanya tentang hal-hal berfaedah dan memberi menafaat. Pendek kata, Saya sangat menikmat percutian ini dengan penuh kedamaian, tenteram dan dapat kosongkan semua masalah yang membebani fikiran. Terima kasih sekali lagi. juga buat buku-buku pemberian dia yang sangat banyak itu. Sangat saya hargai. Juga suasana sekitar Argo Bintan yang jauh dari kesibukan ini  yang turut berperanan mendidik jiwa saya.

Saya dan Salbiah juga sempat nyebrang ke Pulau Penyengat, di sana kami temui Faizal, pengemudi beca-motor yang bawa kami jalan-jalan ke seluruh pelosok pulau, Beca motor inilah satu-satunya angkutan awam yang ada sini, dan inilah antara pekerjaan yang mampu Faizal lakukan di pulau kecil ini. Kadang-kadang jasanya terpakai sampai jauh malam, adakalanya tidak terpakai langsung. Tidak tiap hari ada orang luar datang ke pulau ini. Faizal berketurunan Melayu asli dari Pulau Penyengat. Syukur saya temui lagi orang yang ramah dan jujur di sini. Dari cerita Faizal, saya dapat gambaran jelas tentang kondisi ekonomi penduduk Melayu Pulau Penyengat. Apa boleh saya kata selain berharap orang sejujur Faizal dapat rezeki lebih dari usahanya. Begitu meninggalkan pulau ini,  kami dijanjikan Faizal tempat bermalam jika berhajat menginap di Pulau Penyengat satu hari nanti.

Seorang lagi watak yang mengisi hari-hari saya di Bintan ini adalah Ajid. Dialah orangnya yang saya kenal di dalam feri waktu belayar ke Tanjung Pinang kelmarin. Ajid Masih muda, umurnya baru 19 tahun. Waktu dalam feri, beriya-iya benar dia tawarkan jasanya bawa saya pusing keliling Pulau Bintan. Malah biarpun sudah saya bilang kalau saya ada yang menemani selama di sini, dia tetap kirim sms ajak saya lihat Lagoi, pantai pesisir utara yang menurut dia jauh lebih baik dari Argo Bintan. Sering kali saya tolak pelawaan dia kerana dia hanya ada motor. Tak sesuai untuk saya berdua dengan rakan dari Singapura itu.

Tidak mahu menghampakan dia, dan mujur saya masih belum putuskan jadual berangkat balik ke Johor Bahru. Dapat juga saya lanjutkan sehari lagi tinggal di pulau ini. Buat Salbiah Sirat, mohon maaf kerana saya putuskan tidak pulang pada hari yang sama dengan anda. Ada hasrat insan lain yang perlu saya jaga di sini. Dan barangkali ada menafaat yang boleh saya didapatkan dari dia di masa mendatang.

Menghayati corak hidup manusia di daerah-daerah yang saya lawati adalah satu hal yang sangat memberi saya kepuasan. Alhamdulillah telah saya dapatkan ini hasil perkenalan dengan Ajid. Kurang indah rasanya datang ke tempat orang tanpa kenal budayanya. Buat Salbiah Sirat, hal yang saya lakukan di sini terlalu mencabar untuk anda hadiri. Maafkan saya.

Ajid, berdarah campuran Boyan dan Melayu. Bapanya keturunan Melayu dari Kedah yang telah terputus hubungan hampir seratus tahun yang dulu. Konon dalam garis keturunan bapanya juga, ada sejalur darah India keturunan Punjabi. Dia punya lima saudara. Satu saudaranya kerja di Kuala Lumpur (akhirnya menikah dengan orang sana), seorang lagi saudaranya hijrah ke Jemaja. Dia dan yang lain tetap berdiam di Tanjung Pinang. Ajid putus sekolah ketika umurnya seusia pelajar sekolah menengah pertama (di Malaysia: antara 13 - 15 tahun). Tapi pengetahuan dia tentang geografi kepulauan Riau sangat membuat saya kagum. Tanya saja sana sini pulau apa, dia sudah hafal. Malah sampai sejauh Natuna juga dia mampu terangkan penuh yakin.

Melalui Ajid, saya banyak dapat info tentang lokasi makam-makan dan tapak istana bekas kesultanan Johor (yang menurut dia adalah istana raja dari Malaysia). Cuma masanya terlalu singkat untuk saya teroka semua tempat-tempat itu. InsyaAllah saya akan datang lagi untuk penuhi segala keinginan saya.

Selama menginap tambahan sehari di sini, saya di bawa Ajid ke rumahnya di Kampung Bukit. Tak jauh dari bandar Tanjung Pinang. Kampung Bukit, sama saja seperti mana-mana kampung dalam bandar di seluruh Indonesia. Rumahnya rapat-rapat. Hanya ada lorong selebar jalan motor jadi pemisah antara satu rumah dengan rumah yang lain. Rapat, sesak, riuh dan bising suasananya. Tapi komuniti mereka sangat bersatu. Masing-masing saling kenal dan tak lokek bertegur sapa jika bertemu mata. Setiap kali berselisih dengan orang kampung, saya diperkenalkan Ajid sebagai "saudara dari Johor". Bila  dengar tentang Johor, ramai orang teruja dan mula tanyakan itu-ini. Ada yang mengaku punya adik, abang, pakcik, makcik dan tak kurang yang beritahu asal usul mereka dari Semenanjung. "Oh, begitu", jawab saya dalam hati. Makin jelas. Penjajahlah puncanya kita terpecah-pisah seperti ini.

Sudah adatnya menumpang di tempat orang, saya ikut saja apa kebiasaan Ajid dan teman sekampungnya lakukan. Di sini, buat pertama kalinya saya main snooker. Terasa jahat sebenarnya. "padahal permainan ini hanya satu cabang olahraga". Begitulah menurut Ajid, yang sudah dianggap sifu oleh rakan-rakannya. Saya juga dibawa Ajid lihat dia dan rakannya main muzik. Dia ambil posisi sebagai vokalis. Cita-cita anak ini sangat tinggi, ingin hijrah ke Jakarta untuk satu hari nanti dapat jadi penyanyi. Menurut dia, sudah ada 15 lagu yang dia ciptakan sendiri. termasuklah menulis liriknya juga. Hebat anak ini. Setiap kali saya cerita tentang Jakarta, seratus soalan akan keluar dari mulutnya. "kalau ada rezeki, bawalah Ajid jalan-jalan ke Jakarta, bang." begitu pinta Ajid sebelum kami berpisah. InsyaAllah. Kalau ada rezeki, kalau kita bertemu lagi.

Begitulah sudahnya cerita saya di Pulau Bintan. Setiap lokasi yang saya lawati, ada saja ceritanya. Dan cerita di Bintan ini tak kurang menarik untuk saya catatkan dalam catatan perjalanan saya. Sekian

PULAU BINTAN: Penyengat Dalam Gambar

Inilah gambar kenangan yang sempat saya rakamkan ketika kembara sejarah ke Pulau Penyengat 3 Mei 2011 yang lalu. Meruntun jiwa ini bila lihat sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu hanya tinggal bahan pameran.

Selepas 5 minit
Gambaran Penyengat zaman dulu
Makam Raja Ali Haji














Pintu Istana Sultan Abdul Rahman